Senarai Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 HSPM2014 & Sorotan Ringkas


4799174e73e5a1e78c36825b98c40dd6.jpg
Lukisan: Afu Chan

Tahun ini, sekretariat HSPM iaitu DBP membuat kelainan pada penganjurannya, dengan membuat sidang akhbar dan mengumumkan senarai pemenang sebelum hari penyampaian hadiah. Jadi tidaklah khalayak sastera tertanya-tanya dan penganjuran menjadi sepi-sepi. Tahniah kepada DBP.

Tahun ini menyaksikan beberapa kejutan terutamanya kepada kategori A iaitu kategori Buku dan Karya Perseorangan, iaitu kemenangan kepada calon bukan pilihan serta kumpulan puisi penulis muda yang menewaskan penyair mapan. Sebagai contoh, antara nama-nama yang disebut untuk novel ialah Luka Nering (Malim Ghozali Pk) dan Boneka Rusia Guido (Wan Nor Azriq). Selain daripada itu kumpulan puisi dimenangi oleh penulis muda yang hanya berusia 23 tahun menerusi Jaulah Sampai Syurga, iaitu Muzaf Ahmad diterbitkan oleh Karyawan Luar Negara yang dinaungi oleh Grup Karyawan Luar Negara. Ini tentu sahaja satu perihal yang menarik apabila penerbit kecil atau indie, menerbitkan kumpulan puisi dan memenangi HSPM. Apatah lagi Muzaf Ahmad itu bukan lulusan sastera tetapi kejuruteraan dari Jepun. Mungkin itu salah satu faktor yang menarik. Kumpulan puisi Jaulah Sampai Syurga berjaya memenangi hati juri berbanding beberapa nama besar yang turut dipertandingkan pada tahun 2014 seperti Seluas-luas dan Setenang-tenangnya (Abrak Othman), Aroma (S.M Zakir), Surat dari Awan (Siti Zainon Ismail). Manakala kumpulan cerpen dimenangi tokoh tidak asing lagi, yang mana baru-baru ini novelnya dicalonkan untuk Anugerah IMPAC Dublin, Malim Ghozali Pk, Langit Tidak Berbintang di Ulu Slim. Orang Perak mesti rasa sangat dekat dengan kumpulan cerpen ini. Manakala buku kajian sastera, sudah menampakkan kemenangannya sejak awal buku ini terbit iaitu daripada Presiden PENA dan juga pensyarah Universiti Malaya, Dr. Saleeh Rahamad. Hal ini kerana bukunya merupakan kajian tesis Ph.D beliau. Oleh yang demikian, kita harus menggalakkan lagi penerbitan tesis Ph.D sarjana sastera ke dalam bentuk buku.Kalau dilihat kategori C, turut bersaing juga dan meriah meskipun ramai yang tidak memberi perhatian kepada kategori ini. Walhal kemenangan dalam buku kanak-kanak dan remaja tidak kurang pentingnya dalam landskap kesusateraan. Berbanding beberapa tahun lalu, tidak banyak pencalonan daripada penerbit. Merujuk tahun lepas, dalam kategori remaja, hanya saya seorang diri memenangi kategori novel menerusi Sepetang di Kafe Biblioholic. Tetapi tahun ini, nampak meriah. Nampaknya, penganjuran pertandingan penulisan novel remaja dan kanak-kanak anjuran koperasi DBP ketika zaman gelap DAWAMA-DBP, membuahkan hasil lebih besar apabila kategori novel kanak-kanak dan remaja digondoli oleh pemenang sayembara ini. Kita juga boleh melihat bahawa novel-novel yang memenangi HSKU sepertinya sudah tidak mendapat “tempat” di hati panel penilai memandangkan sudah lebih 2 tahun, novel HSKU tidak menjadi calon kegemaran berbanding tahun-tahun sebelum ini. Adakah mutunya sudah jatuh atau novel HSKU terlalu ‘dewasa’ untuk bertanding dalam kategori remaja HSPM?

Kedua-dua kategori (A & C) yang mempertandingkan buku memperlihatkan persaingan sihat oleh ITBM dan DBP. Walaupun begitu, penerbit-penerbit kecil mula menunjukkan mutu dan kualiti penerbitan sehingga menyaingi penerbit besar dan mula mendapat tempat sejak dua tiga tahun kebelakangan ini. Ini menunjukkan bahawa sudah ada kesedaran mungkin untuk penerbit menghantar pencalonan dan juga menerbitkan karya-karya bermutu tinggi yang memandaikan akal budi bangsa. Dominasi DBP dilihat sudah mula dipecahkan.

Kalau melihat pemenang Kategori B, kategori eceran yang juga tidak kurang dalam mencetuskan polemik, dilihat bahawa pemenang HSKU 2014 menguasai senarai pemenang. Hampir sebahagian besar pemenang HSKU 2014 memenangi HSPM 2014 sama ada kategori puisi atau cerpen. Ini berbeza dengan HSPM 2013 yang mana terdapat satu atau dua sahaja pemenang HSKU 2013 mendapat kemenangan di HSPM. Mungkin panel penilai yang sama di HSKU menjadi panel penilai HSPM? Senarai pemenang untuk cerpen eceran dan puisi eceran sememangnya didominasi oleh karya yang terbit di Mingguan Malaysia diikuti Dewan Sastera dan Berita Harian. Mungkinkah faktor HSKU membuatkan pengarang menghantar cerpen dan puisi yang kuat kepada Mingguan Malaysia, meski pun dua tiga tahun kebelakangan ini HSKU memperlihatkan pengurusan penganjuran yang sedikit lemah? Dalam kategori puisi eceran juga, dua orang pengarang besar, Siti Zainon Ismail dan SN Muhammad Haji Salleh memenanginya menerusi 2 buah puisi setiap seorang. Manakala arwah Rahimidin Zahari memenangi menerusi puisi, Jika Papa Memukulmu Adib.

Dewan Sastera mengekalkan penguasaan dalam kategori esei dan kritikan apabila 5 daripada 7 pemenang merupakan dari Dewan Sastera. Ini meninggikan mutu penerbitan majalah Dewan Sastera di bawah pimpinan editornya Fadli Al Akiti. Manakala Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) yang dianjurkan tahun lalu, kemudian kertas kerjanya dibukukan, memungkinkan kemenangan 2 kertas kerjanya. Hal ini membuktikan kepentingan membukukan dan menyebarluaskan makalah serta kertas kerja seminar atau persidangan seperti yang dilaksanakan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia. Namun, hanya 7 esei sahaja diakui kemenangannya berbanding 10 esei.

Walaupun demikian, kita harus juga menyorot, kategori yang tidak langsung pemenang, iaitu Kumpulan Cerpen Kanak-kanak, Kumpulan Drama, Kumpulan Esei/Kritikan Sastera, Drama Eceran dan Cerpen Eceran Remaja. Manakala Kumpulan Drama Kanak-kanak dan Kumpulan Drama Remaja tiada pencalonan. Kategori Cerpen Remaja Eceran baru sahaja diperkenalkan tahun ini bersama dengan Buku Bergambar Kanak-kanak. Apakah tiada langsung cerpen remaja yang bermutu dalam penerbitan sepanjang tahun lalu atau tiada pencalonan?

Sebagai orang yang bertungkus lumus menyenaraikan buku serta membahagikan kepada kategori, serta menghantar berkotak-kotak buku ke Seketariat, DBP, tentu sahaja saya rasa berbangga dengan kemenangan buku ITBM. Apatah lagi ada sebuah buku yang saya kendalikan memenangi HSPM iaitu Mimpi Kotaku. Saya akan kongsikan lebih lanjut tentang proses buku itu kelak.

Saya kongsikan senarai penuh pemenang HSPM 2014 dari sidang akhbar tadi

Kategori A

Novel – Nenek – Razali Endut (ITBM)

Kumpulan Cerpen – Langit Tidak Berbintang di Ulu Slim – Malim Ghozali Pk (DBP)

Kumpulan Puisi – Jaulah Sampai Syurga – Muzaf Ahmad (Karyawan Publishing House)

Kajian Sastera – Oksidentalisme dalam Novel Melayu Sebelum Merdeka Hingga Era Mahathir – Dr. Saleeh Rahamad (ITBM)

Biografi/Autobiografi – Biografi Ishak Shaari Pejuang Bumi Semua Manusia – Dr. Mohamed Salleh Lamry (Penerbit UKM)

Kategori C

Novel Remaja – Gerbang Raudhah – Rohaidah Yon ( Koperasi DBP)

Kumpulan Cerpen Remaja – Tetamu Istimewa – Mohd Helmi Ahmad (ITBM)

Kumpulan Puisi Remaja – Mimpi Kotaku – Hilmi Rindu (ITBM)

Novel Kanak-kanak – Rahsia Dhia – Zainun Mustapha (Koperasi DBP)

Kumpulan Puisi Kanak-kanak – Sakura – Mahaya Mohd Yassin (DBP)

Buku Bergambar Kanak-kanak – Di Mana Sebelah Lagi – Razisatul Asyifah Ismail (Cerdik Publication)

Kategori B

Cerpen Eceran

1. Al-Kisah Ratu Kebaya dan Walhal Naga – Zainal Rashid Ahmad (Berita Minggu, 14 September 2014)

2. Hingyaku – Ratna Laila Shahidin (Mingguan Malaysia, 31 Ogos 2014)

3. Bara Sang Suri – Zaniffa Azzura Abdullah (Mingguan Malaysia, 20 Julai 2014)

4. Infithaar di Taman Salju – Mawar Shafei (Berita Minggu, 3 Ogos 2014)

5. Selimut – Maskiah Haji Masrom (Mingguan Malaysia, 12 Januari 2014)

6. Delusisma 2.0 (Denggi) – Fahd Razy (Mingguan Malaysia)

7. Psiko – Fudzail (Mingguan Malaysia, 16 Jun 2014)

8. Pesanku Pada Hujan – Malim Ghozali Pk (13 Julai 2014)

9. Seru – Jais Sahok (Dewan Sastera, Mei 2014)

10. Cekur – Lee Keok Chih (Dewan Sastera, September 2014)

Puisi Eceran

1. Membaca Aksara (Buat Profesor Siti Chamamah) – Muhammad Haji Salleh (Dewan Masyarakat, Julai 2014)

2. Al-Kisah, Di Negara yang Memansuhkan Bahasa – Muhammad Haji Salleh (Antologi Puisi Nyala Api dalam Dada, ITBM 2014)

3. Kepada Perempuan Laut – Siti Zainon Ismail (Dewan Sastera, Mei 2014)

4. Rezeki Bumi -Siti Zainon Ismail (Dewan Sastera)

5. Perkebunan Budaya Melayu – Basri Abdilah

6. Di Padang Sarjana- Tuah Sujana (Mingguan Malaysia, 5 Januari 2014)

7. Tigris -Rosli K. Matari (Jendela Timur, Ogos 2014)

8. Dari Mimbar Shinjuku (dedikasi buat anakanda) – Syafiq Zulakifli (Mingguan Malaysia, 30 November 2014)

9. Mencari Jernih – Shapiai Mohammad Ramly (Antologi Puisi Cerita Alam Gelora Hujung Benua, DBP Wilayah Selatan)

10. Kalaulah Papa Memukulmu, Adib – Rahimidin Zahari (Mingguan Malaysia, 23 Februari 2014)

Esei/Kritikan Sastera

1. Penciptaan Drama Metasejarah Suatu Hasil Eksperimental – Mana Sikana (Dewan Sastera, Mac 2014)

2. Menilai Semula Makna Ekstetik – Prof Madya Dr. A. Halim Ali (Dewan Sastera, April 2014)

3. Teknoteks Menyepadukan Sastera, Teknologi dan Kritikan – Prof. Dr. Sohaimi Abdul Aziz (Dewan Sastera, Julai 2014)

4. Perhubungan Sastera dengan Wayang: Meneliti Genre dalam Prespektif Budaya -Dr. Norman Yusoff (Dewan Sastera, Oktober 2014)

5. Sastera Profetik: Kaffah dalam Revolusi yang Ditangguhkan – Saifullizan Yahaya (Dewan Sastera, Mei 2014)

6. Pembinaan Mercu Tanda Penulisan Malaysia: Yang Dipelajari Adalah Secara Saka (Perennial) – Prof Emeritus Dato’ Ahmad Ibrahim Bajunid (Sastera Teras Negara Bangsa, ITBM)

7. Pembinaan Mercu Tanda Sastera Malaysia: Sastera Sebagai Budaya Tinggi -S.M. Zakir (Sastera Teras Negara Bangsa, ITBM)

Advertisements

5 thoughts on “Senarai Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 HSPM2014 & Sorotan Ringkas”

  1. Tahniah dengan huraian yg jelas dan prihatin.. Tak perlu hadir sidang media atau baca dalam surat khabar yg pastinya lambat “memberitakan”nya. Kategori B tidak ada yang layak ya, sayang sekali.
    Terima kasih.

    Like

      1. Assalamualaikum kak ainunl, saya berharap untuk kak ainunl berkongsi pendapat terhadap 10 cerpen eceran yang telah dipertandingan dalam HSPM 2014 tetapi tidak mempunyai pemenang utama dalam kategori tersebut? boleh tak kak memberikn pendapat terhadap 10 cerpen eceran tersebut dari segi tema, persoalan dan keseluruhan cerpen tersebut sebagai seorang editor dan penulis buku yang terkenal?
        Saya berasa amat berbesar hati jika kak ainunl sudi berkongsi pendapat terhadap soalan yang saya kemukakan di atas..

        Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s