Dari Kaca Jendela Perempuan Bulan Perempuan Hujan


Saya sebenarnya ingin menulis lebih banyak lagi tentang Kumpulan Puisi Perempuan Bulan Perempuan Hujan yang pertama kali diterbitkan pada Mei, 2015 oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia. Tetapi saya kongsikan dahulu prakata dalam buku ini yang diberi judul Dari Kaca Jendela sebagai jendela pertama mengenal “anak kecil” ini.

PBPH

 

Dari Kaca Jendela

Puisi, ialah cinta yang datang lewat. Saya bertemu dengannya usai meladeni dunia cerpen dan novel. Sehingga waktu ini, saya tidak pernah dapat membayangkan bahawa saya akan menyempurnakan kata-kata ke dalam puisi. Malah, saya selalu berfikir, betapa payahnya mengatur seluruh rasa dan fikiran dalam beberapa baris berbanding menulis cerpen yang bermain dalam lapangan imaginasi yang lebih luas. Namun, ternyata puisi merupakan kotak pandora yang penuh misteri, di dalamnya penulis sedang gigih menulis perasaannya, dan pembaca ialah pemain yang sedang menyelesaikan teka-tekinya.

Saya memilih judul kumpulan puisi pertama ini, Perempuan Bulan Perempuan Hujan kerana dua imej ini merupakan imej yang gemar dipetakan ke dalam puisi saya. Bahagian “Perempuan Bulan” merupakan rangkuman hampir kebanyakan puisi awal saya. Puisi dalam bahagian ini, kelihatan seperti anak-anak kecil yang sedang diasuh mengenal dan mengeja kata. Namun, anak-anak kecil yang tampak naif dan polos, merupakan bahagian terpenting dalam proses kedewasaan. Dengan menuliskannya, saya menyimpan memori dan kenangan dalam tulisan saya. Imej-imej bulan sering kali hadir menemani waktu malam gelap pekat, dalam kesunyian dan kesepian.

Manakala bahagian “Perempuan Hujan” pula merupakan gugusan puisi yang lebih kemudian. Hujan merupakan peramal hati yang paling bijaksana dan sering kali hadir pada waktu yang tepat untuk menumbuhkan ilham. Saya menyenangi hal-hal yang kecil dan sederhana seperti bau rumput sesudah hujan, secawan kopi di tepi jendela kafe, daun luruh ditiup angin petang, sekaki payung yang tertinggal di halaman, bunyi peluit dan tren meninggalkan landasan juga renyai halus hujan di luar jendela. Dalam bahagian ini juga, saya menyedari menulis puisi sepertinya mengasuh saya menghaluskan pandangan dan pengalaman yang saya lalui hari demi hari.

Saya fikir setiap puisi adalah rakaman diri penulisnya. Hal ini kerana dengan menulis puisi, sebenarnya menulis diri sendiri meski pun separa fiksi. Hampir kesemua puisi dalam kumpulan puisi Perempuan Bulan Perempuan Hujan merupakan potongan pengalaman dan kenangan yang saya sembunyikan ke dalam kata-kata. Puisi saya tetap masih sejumlah kata-kata sederhana yang kurang sempurna, kepada pembaca, mereka menyempurnakan bahagian yang tertinggal dengan pengalaman pembacaannya. Selamat menikmati kumpulan puisi yang sederhana ini bertemankan secawan kopi atau secangkir teh pada malam langit bulan terang atau hujan menggerimis kecil.

Nota:

Kumpulan Puisi Perempuan Bulan Perempuan Hujan merupakan kumpulan puisi pertama saya terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia. Kepada sesiapa yang berminat untuk membelinya, boleh hubungi saya di ainunl.muaiyanah[at]gmail[dot]com untuk butiran pembayaran. Harganya hanya RM20 sahaja termasuk penghantaran Mohon berikan nama, alamat pengiriman, nombor telefon serta nama untuk diabadikan dalam buku ini.

Advertisements

2 thoughts on “Dari Kaca Jendela Perempuan Bulan Perempuan Hujan”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s