Artikel: Gerakan Anak Muda dalam Penerbit Alternatif


Gerakan Anak Muda dalam Penerbit Alternatif

Oleh Ainunl Muaiyanah Sulaiman

Berita Harian, Sabtu, 11 Julai 2015

 

Setahun dua kebelakangan ini, pada hujung minggu sering sahaja padat menerima jemputan acara sastera sama ada yang dijalankan oleh kolektif sastera kecil, komuniti penerbit alternatif, persatuan sastera, agensi berkaitan kerajaan mahu pun badan berkanun. Ada waktunya acara menarik bertindan antara satu sama lain namun tidak pula mengurangkan khalayak yang menghadiri acara tersebut.

Pemandangan yang menarik perhatian dalam acara sastera ini tentu sahaja jualan buku tanpa putus dan selalu juga setiap kali acara sastera akan dilihat kehadiran beberapa penerbit baru. Penerbit ini ada yang lahir daripada kolektif sastera, persendirian atau pun perkongsian. Fenomena ini mengingatkan kepada beberapa tahun sebelum ini, apabila penerbit alternatif masih boleh dibilang dengan jari dan mereka mencetak buku terbitan syarikat mereka dengan judul dan jumlah yang kecil. Kini, sebahagian daripada penerbit alternatif yang kecil itu sedang mendaki kejayaan sehingga terkini mencatatkan jualan yang hampir mencecah setengah juta dalam sebuah pesta buku antarabangsa baru-baru ini.

Hampir kebanyakan orang di sebalik penerbitan alternatif ini merupakan orang muda yang ghairah, ideal, serta berani bereksperimen terhadap pasaran baru tanpa perlu tunduk kepada pihak-pihak bermentaliti material semata-mata. Mereka menerobos pasaran dengan tema dan judul yang provokatif di samping cuba meneroka genre yang tidak menarik pihak penerbit komersial seperti genre seram, sains fiksyen, ‘pulp’, ‘noir’, seram, jenayah serta catatan harian. Mereka ini bermula dengan perbincangan di meja makan, atau kolektif di media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram sehingga terkini menerbitkan buku saban bulan tanpa henti.

Awalnya buku-buku terbitan penerbit alternatif menjual melalui inisiatif sendiri seperti jualan atas talian, media sosial atau acara seni dan sastera tanpa berpeluang memasuki rangkaian kedai buku gergasi. Jika ada pun hanya menempati ruang yang kecil, di rak yang tersorok. Namun, kerana gelombang gerakan penerbit alternatif secara intens dan permintaan pembeli yang mendadak naik telah mendesak kedai buku memesan buku mereka dalam jumlah yang banyak serta ditempatkan di rak-rak hadapan serta popular. Sehinggakan memberi kesan kepada jualan buku-buku daripada penerbit besar.  Sebagai contoh, jualan buku cetakan terhad, Malam (FIXI) berjaya dijual keseluruhan dalam masa tidak kurang daripada 48 jam sahaja dalam satu pesta jualan murah buku.

Fenomena ini menggugat penerbit besar yang selama ini tidak berminat menerbitkan genre tersebut sehingga terpaksa mengambil langkah menubuhkan anak syarikat atau pun label alternatif yang menjadi serigala berbulu kambing untuk masuk ke dalam lautan biru pasaran pembeli muda ini.

Selain daripada itu, dekatnya buku-buku terbitan penerbit alternatif ini dengan generasi muda juga telah meletakkan kelompok ini dalam radar pengawasan agensi kerajaan sehingga menimbulkan polemik dalam kalangan penggiatnya apabila dokumen kajian itu tersebar dalam media sosial pada bulan lalu.

Terkini, ketiga-tiga “abang besar” penerbit alternatif: FIXI, Dubook Press dan Lejen telah memiliki kedai bukunya sendiri yang menawarkan seleksi penawaran judul yang lebih luas dan ruang aktiviti yang lebih rancak.

Kelebihan penerbit alternatif yang sering diuar-uarkan oleh penerbit, penulis mahu pun pembacanya ialah kemerdekaan dari sudut tiada sekatan sama ada dari sudut bahasa, gaya rumah penerbitan, penawaran mahu pun seleksi pilihan penulis. Penulis yang karyanya berkali-kali telah diharamkan oleh pihak berwajib diterima baik dan karyanya diterbitkan tanpa prejudis seperti Faisal Tehari. Penulis baru yang tidak mempunyai nama, diberi ruang publisiti yang cukup meluas sehingga membina rangkaian pengaruh seperti Zulfikri Zamir, Nami Cob Nobbler, Nadia Khan. Penerbit seperti Sindiket Soljah pula menerbitkan catatan secara runcit-runcitan dan novel eksperimental seperti Dompet Kulit Buaya. Terkini, penerbit alternatif seperti Dubook Press giat menerbitkan buku-buku non fiksyen yang merakam sejarah sosial dalam bentuk yang mesra pembaca. Selain itu, pempakejan penerbitan buku mereka tampak lebih ke hadapan dan menarik minat pembeli.

Namun kebebasan yang tanpa bersempadan memungkinkan kepada dua hal, keselesaan sehingga menutup ruang mencabar diri tanpa sedar atau perlawanan keghairahan menghasilkan karya-karya yang lebih bermutu. Jika melihat paten gaya penerbitan di FIXI misalnya, sudah ada berlakunya berulangan tema serta jalan cerita seperti wujudnya formula khusus yang diterima oleh pembaca FIXI. Ada kemungkinan penulis baru, hanya berani menulis jalan cerita yang hampir sama dengan judul-judul yang laku keras sehingga tidak mahu keluar dari zon selesa.

Jika dilihat kepada perkembangan sastera mutakhir, khalayak dan pengkritik sastera masih melihat penulis akhir 30-an malah atau 40-an sebagai penulis muda dan merekalah yang dikatakan membawa panji pembaharuan dalam sastera. Sedangkan penulis muda yang giat menulis dalam medium penerbitan alternatif ini rata-ratanya awal 20-an, sedang ghairah dan giat meneroka idea dan teknik baru tanpa perlu risau kepada sekatan dan pola penulisan hanya untuk diterima masuk ke dalam media.

Dan, apakah pada masa depan tidak akan menimbulkan kehairanan sekiranya di lapangan alternatiflah yang akan lebih banyak melahirkan pelapis penulis muda yang bagus dan membanggakan (yang benar-benar muda), sedangkan di media arus perdana, penulis muda yang setara masih terkial-kial mahu berjuang menempati masuk, mengekor di belakang penulis mapan?

Namun harus juga diingatkan, buku-buku yang laku keras daripada “abang besar” penerbit alternatif seperti Terima Kasih Si Babi Hutan, Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang (Dubook Press), semuanya merupakan buku non fiksyen. Sedangkan buku fiksyen yang terlaris di penerbit FIXI Asrama, Kelabu, Gantung bertemakan fiksyen pulp dan seram dan penerbit Lejen Press ialah Awek Chuck Taylor, Sperma Cinta, Lelaki Eksistensial. Penerbit ini juga memastikan supaya buku-buku fiksyen juga harus laku keras setara dengan buku-buku non fiksyen.

Namun, dalam hal yang lainnya, keberangsangan penerbit alternatif ini sebenarnya memberi penawaran yang lebih banyak kepada pembaca serta peneliti sastera. Malah, ia menimbulkan kecenderungan kepada  generasi muda mengikut trend untuk membeli, membaca buku serta berkongsi hal itu di laman sosial mereka. Ia tentu sahaja perkara menarik untuk perkembangan industri perbukuan kita yang sering khuatir dengan pasang surut trend membaca rakyat Malaysia.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s