Artikel: Eulogi Fauziah Nawi melalui Teater Bintang ke Bintang


12109278_10153326306488515_6047269980821426493_n

Eulogi Fauziah Nawi melalui Teater Bintang ke Bintang

Oleh: Ainunl Muaiyanah Sulaiman

Berita Harian,

Melalui pengakuan Fauziah Nawi ketika Dialog Dari Bintang ke Bintang yang diadakan selepas pementasan teaternya di Wisma ITBM, beliau mengatakan bahawa beliau tidak pandai menghargai puisi serta merasakan pembacaan puisi tidak difahami dan mempesonakan. Beliau berterima kasih kepada Mustafa Noor yang memberi sedikit pencerahan untuk mengapresiasi puisi.

Ternyata Fauziah Nawi masuk ke dalam puisi Usman sebagai seorang gadis dan keluar sebagai seorang perempuan.

Maka di zaman gawat ini, ketika teater tidak bernilai untuk mengisi perut, atas nasihat Ladin Nuawi, beliau mengambil inisiatif untuk mengadaptasi rangkaian puisi Usman Awang menjadi skrip drama yang akhirnya diberi judul Dari Bintang Ke Bintang. Setelah melalui tiga pementasan, pementasan terkininya pada tahun 2015 telah mengalami perubahan gaya persembahan dengan menampilkan anak-anak muda sebagai tonggak utama serta jalan cerita yang mengambil naratif anak-anak jalanan yang kurang ajar dalam mentafsirkan makna kemerdekaan dan kebebasan.

Seperti pencinta sastera sedia maklum, Usman Awang dikenali sebagai lelaki budiman dan romantis atau mungkin sahaja lelaki Melayu terakhir yang menggunakan puisi sebagai medium menginterprestasikan rasa cinta kepada manusia dan nusa. Manakala melalui teater Dari Bintang ke Bintang, arahan bersama Fauziah Nawi dan Iryanda Mulia, penonton dapat melihat bagaimana mereka menelajangkan keluhuran peribadi Usman Awang yang sering ditonjolkan dalam puisinya.

Terlebih dahulu kita harus akui, langkah Fauziah Nawi dan Iryanda Mulia mengadaptasi puisi Usman awang memang bukan langkah mudah. Ini kerana seorang pembaca puisi bukan sahaja perlu memahami tubuh teksnya semata-mata tetapi juga penyairnya. Dalam kata lain,  kekompleksitian puisi  memerlukan darjah pemahaman yang tinggi. Apatah lagi untuk menyusunnya menjadi satu drama pentas. Kerana penyusunan puisi sama ke dalam apa sahaja medium, memerlukan penyusunnya memahami pemikiran, keperibadian pengarang supaya aspirasi yang diterjemahkan ke dalam teks mencapai maksudnya.

Hanya sahaja sebuah persembahan drama pentas meski sebuah adaptasi mahupun apresiasi, akhirnya haruslah memberi kesan kepada penonton. Dalam konteks drama Teater Bintang ke Bintang, kesan ini tidak terasa. Gerak tubuh pelakon muda di pentas tidak meyakinkan dalam menyampaikan kekurangajarannya. Lontaran suara sama ada daripada pelakon perempuan terlalu “gemersik” dan pelakon lelaki menjadikan daripada awal drama pentas ini kelihatan monotonous. Kalaupun gender bukan persoalan utama sebaliknya warna kostum – hitam dan putih juga tidak perbezaan yang begitu dinamik dan jelas serta menyakinkan. Hasilnya, suara puisi Usman Awang tenggelam dalam nyaring suara dan hentak kaki yang terseliuh dalam mengatur bunga silatnya.

Teater ini sebenarnya mempunyai potensi besar untuk mengajak penonton membaca semula puisi Usman Awang mengikut suasana dan emosi anak-anak muda yang, mungkin, masih punya jiwa romantis (dan “jiwa hamba”) tetapi enggan mengikut acuan tradisi ibu bapa mereka.  Malangnya ada beberapa babak dalam teater ini yang dibazirkan dengan aksi dan interpertasi klise terhadap teks klasik Melayu seperti mitos Hang Jebat dan Puteri Gunung Ledang.

Kekecewaan terbesar penonton, barangkali, adalah adaptasi puisi Kekasih yang sering kali dianggap sebagai puisi Usman yang paling romantis. Kita menghargai dan memahami kehendak Fauziah Nawi untuk memberi nafas baru (dan mungkin juga “nafas feminis”) kepada puisi ini. Namun kenapa agaknya gerak tubuh dan lontaran suara pelakon wanita Fauziah kelihatan seperti superficial di tengah pentas?

Maka timbullah persoalan di sini selepas melihat pementasan DBKB dan juga pengakuan Fauziah Nawi dalam Dialog DBKB yang memberi kesan kontradiksi kepada penonton yang mungkin terbahagi kepada dua. Satu: yang mengenal dan mencintai karya Usman Awang dan ingin melihat apresiasi penulis itu. Kedua: penonton baru yang menonton sebuah pementasan teater. Apakah pasangan pengarah ini mahu mengapreasikan puisi Usman Awang atau sebenarnya sedang melakukan penentangan atau mungkin menyampaikan eulogi kepada puisi –puisi Usman Awang?

Ada kemungkinan juga iaitu, sebenarnya, secara minda di bawah sedar, penentangan Fauziah Nawi merupakan  satu bentuk kritikan terhadap seni romantisisme di zaman Usman Awang. Jika dahulu sastera masih dekat dengan masyarakat, sastera masih indah dan mampu mencipta perubahan melalui kiasan dan bunga-bunga bahasa. Namun zaman sudah berubah dan masyarakat tidak boleh lagi berlemah-lembut dan bermadah kata di saat suasana dan budaya semasa menuntut kita untuk bertindak, bersuara, dan mungkin juga bersikap “kurang ajar” terhadap aturan dan desakan status quo.

Justeru, akhirnya, semangat penentangan dan pembaharuan ini yang kita harus raikan. Selain itu usaha  mengadaptasikan puisi sasterawan negara sememangnya bukan satu usaha yang mudah kerana memerlukan penglibatan segenap pihak iaitu Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Dewan Bahasa & Pustaka serta Yayasan Usman Awang yang turut merayakan Bulan Bahasa Kebangsaan. Ia satu usaha yang perlu berterusan dan dikembangkan dengan dokongan pelbagai agensi. Apatah lagi, seperti kata pengarahnya tidak ramai yang mahu menaja dan berganding bahu untuk menjayakan sebuah pementasan teater tidak berprofit, jika tidak sebuah muzikal yang menjual wajah komersial artis.

Ya, romantisme sememangnya tidak sesuai untuk zaman galau dan penuh rusuh tetapi dalam jerit pekik perjuangan, sesekali kita perlu juga berehat sebentar menikmati lagu dondang. Dengan itu mengingatkan kita pada suatu zaman yang tenang supaya dalam menjatuh letak pilihan dan keputusan, kita juga mempertimbangkan rasa kemanusiaan yang pernah wujud dan ada. Saya percaya itulah intipadi perjuangan Usman Awang melalui karyanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s