Esei, Perlawanan yang Mendera


79d9e683b45ea0141f333014a7ce72fc.jpg
Lukisan: Grace Helmer

 

Menulis esei dan artikel sememangnya bukan kepakaran saya. Kalau kawan saya, Wan Nor Azriq menggunakan blog sebagai gimnasium atau latihan menulis esei, sedangkan saya menggunakan blog hanya latihan menulis cerpen, novel mahupun puisi, tidak sesekali esei. Jadi sesekali diminta menulis esei, ternyata sangat menderakan.

Tetapi apabila diminta pihak-pihak tertentu untuk menulis artikel, kadangkala saya tidak sampai hati menolak. Bekerja di bidang penerbitan buku, kadangkala saya tahu situasi “tarikh mati”, keperluan menyediakan bahan pada saat akhir dan betapa kata”ya” atau “boleh’ daripada pihak terbabit sangatlah menceriakan hari. Haha, atau saya susah nak kata tidak kepada permintaan apatah lagi daripada kakak manis.🙂 Dan selalu sahaja saya menulisnya dalam hari Selasa atau Rabu kerana harus disiarkan pada hari Sabtunya.

Tetapi menulis esei, artikel berkaitan dengan isu semasa bukanlah menunjukkan kearifan, kepandaian atau pengetahuan luas saya tentang isu terbabit. Cuma cuplikan buah fikiran saya, dan juga sebenarnya saranan kepada diri sendiri.

Saya melihat selepas kebangkitan media sosial, penyebaran maklumat serta perkongsian buah fikiran pengarang boleh dilihat secara pantas dan terang-terangan. Kadangkala sesebuah status pengarang memiliki berpuluh-puluh komen membidas, memberi buah fikiran, berdebat, berpolemik, mencurah api dan membakarnya. Tetapi selepas itu apa? Selepas itu tenaga sudah habis dikuras untuk ditulis dalam media sosial kemudian hilang, tidak larat dikomposisi dengan teratur untuk jadi sebuah hujan/esei/artikel yang baik dicerap pembaca. Akibatnya sesuatu isu tidak dapat dibahaskan dengan sempurna, khalayak yang serba naif ini hanya mendapat sekerat kata, sekerat angin. Itu belum lagi kalau di Twitter. Boleh menimbulkan salah faham dan perdebatan sia-sia dengan orang yang kepalanya hanya  berisi angin. Haha. Mujur juga ada angin kan?🙂

Saya jadi kagum dengan kawan saya yang punya stamina menulis esei, membahaskan perkara atau kerajinan melakukan resensi, dan itu dilakukan hanya sebagai kegemaran dan kesukaan. Hanya latihan untuk perlawanan. Bukanlah satu tanggungjawab dan kewajiban membentangkan dalam seminar, sidang mahupun acara.

Beberapa kali diminta menulis isu-isu seputar dunia sastera, saya mendapati, ya menulis esei merupakan perlawanan yang menderakan. Saya terpaksa menetapkan syarat yang ketat kepada diri sendiri, supaya saya tidaklah menguap bila membaca artikel sendiri, malu apabila artikel saya hanya pendefinisian dan cuplikan daripada kenyataan yang sudah purba, segan kalau-kalau artikel saya hanya kekosongan tin yang minta dibunyikan. Saya harus mengingati diri saya kepada perkara-perkara itu. Dan saya sedar satu hal yang lain, saya tidak boleh menulis artikel dalam kamar saya sebaliknya saya harus menulis artikel di luar, di kafe-kafe. Haha ruwet sekali.  Jadi menulis artikel memaksa saya membuat kajian, rujuk silang, membaca artikel-artikel luar kemudian harus mengolahnya dalam bahasa sendiri. Dengan ini, memberi pendedahan yang sedemikian banyak. Rupa-rupanya memang benar,  kadangkala sebelum kita bertarung, kita kena melakukan sedemikian banyak latihan, seperti di gimnasium, kita cuba mengangkat berat, berlari di trek, mengayuh basikal supaya diri kita lebih bersedia apabila berlari dalam jarak yang jauh atau mahu bertarung kelak.

Sebenarnya saya berazam untuk lebih low profile tahun ini, tidak terlibat dengan banyak acara, tidak mendedahkan diri di media sosial, mengurangkan bersuara di hadapan umum. Sebaliknya giat menulis di blog, azam saya pada tahun ini, untuk lebih giat lagi menulis di blog, menyiapkan manuskrip-manuskrip yang tertangguh. Tetapi keseronokan menulis esei ini mengingatkan tahun-tahun 2009 dan seterusnya. Tahun di mana saya sangat vokal, kritikal. Tetapi saya ingin jadi sederhana dan merayakan semua. Bolehkah saya memiliki kedua-duanya pada tahun ini?

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s