Teater: Macbeth – Saya Telah Bermimpi dan Saya Harus Membunuh


macbeth-724x1024

Daripada ramalan, rupa-rupanya boleh menimbulkan keinginan-keinginan yang tertanam dalam hati, dan di situlah ibu kepada segala kejahatan di dalam kisah hidup Macbeth.

Di Kotak Hitam ASWARA, penonton dibawa melihat tragedi kejatuhan seorang lelaki kerana seorang wanita. Walaupun ramai yang mengatakan di sebalik kejayaan seorang lelaki, ada wanita di belakangnya, tetapi di sebalik kejatuhannya juga, tetap kerana seorang perempuan. Walaupun Macbeth yang mendengar ramalan daripada ahli sihir, tetapi hatinya masih tetap ragu, masih tidak mahu percaya biarpun sudah ditunjukkan bukti. Tetapi kerana dia berkongsi ramalan itu bersama isterinya, di mana Lady Macbeth telah menggoda dan memujuk kelakian Macbeth untuk membunuh raja itu bagi mendaki puncak dengan lebih tinggi. Kerana ingin memuaskan keinginan besar Lady Macbeth, Macbeth telah menggadaikan kesetiaannya, kemuliaannya sebagai perwira, dengan menikam raja itu dalam tidur. Sebenarnya itu telah menunjukkan tanda kebaculan. Seorang lelaki yang berani, pasti mengajak beradu untuk merebut kekuasaan. Tetapi Macbeth hanya berani menikam sewaktu musuh dalam tidur, yang menurut Lady Macbeth, tiada bezanya antara tidur dan mati. Dari situ bermulalah kehidupan Macbeth dan Lady Macbeth sebagai raja, tetapi hati meeka tidak tenang, tidur mereka tidak pernah lena. Mereka perlu untuk mengekalkan kuasa dan satu pembunuhan membawa ke satu pembunuhan yang lain.

Dan sebuah negara porak peranda kerana ingin mencapai hasrat seorang wanita. Bunyinya seperti familiar sahaja kan?

Pementasan teater Macbeth di ASWARA pada minggu ini sempena pemergian 400 tahun pengarang kesayangan Tanah Ratu itu begitu dinantikan semenjak melihat posternya pada bulan Disember lagi. Dan saya fikir, pementasan teater ini juga telah memperkayakan perbendaharaan teater apabila naskhah ini diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan bahasanya begitu puitis. Kebetulan, saya berkesempatan menonton filem Macbeth yang begitu dramatik.

Ketika menonton teater ini, saya tidak boleh tidak melihatnya juga sebagai satu bingkai daripada situasi negara yang saya sayangi, seperti kata Macduff, Celakalah negara yang sejahtera ini di bawah Macbeth. Dan betapa, jika kita hendak mencapai cita-cita dengan cara mengorbankan orang lain, jangan pula kita fikir, kita tidak akan berterusan mencipta korban dan ketika itu sudah tiada jalan untuk berpaling, dan harus berjalan terus ke depan, berterusan melakukan kesilapan.

Dan betapa sebagai perempuan, saya jadi menginsafi diri. Kerana lebihnya nafsu dalam diri sering mendorong untuk kita meminta pasangan melakukan hal-hal yang tidak teringini. Hanya demi mencapai matlamat yang akhirnya merosakkan diri. Dan saya berdoa, saya tidak menjadi Lady Macbeth yang meracuni fikiran dan kewarasan lelaki.

Setiap keinginan demi keinginan yang diperoleh bukan melalui jalan benar, pasti punya harga yang sangat besar untuk membayarnya.

 

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s