Kata Pengantar: Sajak Kepada Tuhan


Tulisan ini ditulis sebagai kata pengantar buku debut Faisal Mat Zawi – Sajak Kepada Tuhan terbitan GKLN . Oleh kerana penulisnya yang belajar di India, pulang bercuti di Malaysia, saya kongsikan kata pengantar buku ini, yang mana, inilah pertama kali saya menulis kata pengantar untuk buku seseorang. Banyaknya momen yang pertama untuk buku ini, juga mungkin momen terakhir untuk seseorang.

 

25414378

 

Kepada Penulis Sajak Tuhan

 

“adakah aku

terlahir untuk mati

sekadar nama

yang digores pada nisan

 

atau yang bijaksana

tetap hidup di tengah kita

sebagai kata-kata dan tulisan.”    

 

“Sajak Kelahiran”

 

Saya menyenangi sajak ini, yang saya kira pembuka terbaik kepada banyak pertanyaan yang lain kepada Faisal Mat Zawi, penyair muda yang sering sahaja mesejnya singgah dalam kantung mesej, sekadar bertanya khabar atau menanyakan khabarnya sendiri. Kadangkala berbalas puisi dalam laman sosial kerana Faisal merupakan pencinta puisi Sapardi Djoko Damono (kebetulannya kekasih puisi saya dan kami berkongsi kecintaan yang sama) dan sebahagian jiwanya lagi ditakluki puisi Khalil Gibran. Oleh itu, apabila menatap sajaknya yang ada waktunya dihantar secara peribadi atau ditag secara terbuka dalam laman sosial, saya tidak dapat lari untuk mengesan betapa akrabnya puisi Faisal dengan kedua-dua penyair tersohor yang saya sebutkan namanya sebentar tadi.

Namun, akhirnya apakah yang akan tertinggal mengiring nama seorang penyajak itu? Apakah selamanya menjadi pengekor bayang-bayang nama besar sehingga terhapusnya bayang-bayang sendiri? Persoalan itu juga cuba saya bawa bersama semasa menelusuri keluk lekuk puisi-puisi Faisal Mat Zawi yang banyak sekali terkandung pertanyaan kepada Tuhan serta hal-hal metafizik, tentang pertanyaan kepada hati yang di dalam tubuh manusia.

Seusai membacanya, saya menyedari betapa kekuatan Faisal kepada sajak-sajak pendeknya, yang hadir seperti ada dalam ketiadaan, tetapi menyinggung ingatan pembaca sehingga sajak itu bisa diam di sana. Sajak-sajak pendek nampak sahaja mudah dan ringkas ditulis tetapi semakin pendek sesebuah sajak, ia juga semakin menjerut ruang. Penulis sajak-sajak pendek ini harus pintar merebut ruang dalam memberi kesan kepada pembacaan. Dan ini, jika Faisal menghaluskan dan mendalami gaya begini, saya fikir lama-lama ia akan jadi tanda khas kepada kepengarangan Faisal sendiri.

Kebaikan tak punya wajah / Ia datang kepada Tuhan /bertelanjang.

“Tentang Kebaikan”

 

Ada waktunya, kita tidak boleh banyak lagi bicara tentang kritik yang semakin hari kita lihat, semakin menimbulkan nyilu di dalam dada. Ada banyak kemusnahan sedang berlaku dalam dunia zaman ini, yang miskin semakin miskin, yang kaya semakin kaya, yang sakit bertambah sakit, yang sihat tidak menghargai masa sihatnya, api benci sepertinya sedang diam di dalam sekam, menanti marak nyala dibakar sumbunya. Lalu, salah satu caranya untuk mengharungi hal ini, kita memilih menjadi anak-anak yang polos, yang melihat hidup dengan mata naif dan bertanya banyak persoalan yang entah dipedulikan atau tidak didengarkan. Dalam beberapa buah sajak seperti “Pelajaran Mengira” dan “Pertanyaan dalam Sidang Akhbar” dan “Jam 12 Di Sebuah Kota” ini, Faisal menjadi anak kecil yang polos itu dan pertanyaan itu menggigit dan menggetarkan.

Dalam meneliti beberapa sajaknya yang lain, saya tertanya-tanya, mungkinkah Faisal bertanya banyak kepada Tuhan dan menjadi anak kecil yang polos, selepas patah hati dengan kenangan lama yang suam-suam hangat seperti sesudah hujan? Kerana patah hati selalu sahaja pendorong besar ramai orang memilih menjadi penyajak. Kita boleh sahaja mengintai kehangatan perasaan dalam musim dingin itu dalam beberapa buah sajaknya lain. Cuma mungkin sahaja sajak-sajak kenangan ini belum dapat menandingi sajak pertanyaannya kepada Tuhan dan sajak-sajak lainnya.

Ya, moga-moga sahaja sajak-sajak Faisal menjadi daun gugur yang memberi puisi paling indah kepada penyair seperti anak-anak kepada seorang ibu. Dan saya selalu berharap buku ini akan menjadi pengenalan yang baik kepada sosok Faisal Mat Zawi, kerana buku pertama meskipun bukan dalam kondisi terbaik tetap sejuzuk awal peta perjalanan seorang penyajak yang kadangkala akan dilihat kembali, tapak awalnya bermula.

Kepada Faisal, jangan berhenti mengutuskan pertanyaan-pertanyaan itu kerana Tuhan tidak akan pernah lelah mendengar begitu banyak pertanyaan, meskipun Faisal akan bilang, mengapa begitu banyak telah aku tanyakan, belum juga ku temui jawapan? Dan Faisal, penghujung catatan ini saya kembalikan ucap “Selamat Tinggal” kepada Faisal dan pembaca.

“Apakah yang dinamakan perpisahan/antara dua jasad yang saling mencintai /hanyalah sebuah ucapan selamat tinggal/ yang panjang / bagaimana dua hati dapat menjauh / sedang nabi bersabda kita / laksana sebatang tubuh/”

 

Ainunl Muaiyanah Sulaiman

 

Advertisements

Acara Mini: #Senandung – Hadiah untuk Puisi


Poster (2).png

Kata T. Alias Taib, “Siapakah pernah mengukur berapa dalam sepiku yang riuh”, tetapi di dalam kesepian penyair ada pembaca yang mengukur kesepiannya dalam diam. Penyair gemar bersunyi-sunyi dan pembaca puisi suka bersepi-sepi.

Oleh itu, sempena Hari Puisi Sedunia pada 21 Mac setiap tahun, Ainunl Muaiyanah dan Wan Nor Azriq akan mengkuratorkan satu acara mini apresiasi khusus untuk peminat puisi iaitu, #Senandung – Hadiah untuk Puisi.

Sesiapa yang berminat untuk hadir, digalakkan membawa sekurang-kurangnya sebuah puisi daripada penyair kegemaran anda, kita akan sama-sama mendengar bacaan puisi itu dan mengapa anda menyenangi puisi tersebut. Mana tahu puisi yang anda sukai itu disenangi oleh orang lain juga atau anda akan terjumpa puisi yang bakal anda sukai.

Ada buku puisi percuma yang dipilih khusus untuk acara ini. InsyaAllah, kalau pihak penaja kata OK, ada minuman percuma juga.

Sebelum itu, saya kongsikan puisi Adam Zagajewski:

“Treatise on Emptiness”

In a bookstore I accidentally ended up at the section on Tao, or

more precisely, by the Treatise on Emptiness.

I rejoiced, since that day I was perfectly empty.

What an unexpected meeting — the patient finds the doctor,

the doctor doesn’t speak.

 

Maklumat lanjut acara: https://www.facebook.com/events/963937350352298/?hc_location=ufi

Selamat Merayakan Hari Puisi Sedunia


Tujuh belas tahun lalu, UNESCO telah menetapkan tarikh hari ini 21 Mac sebagai Hari Puisi Sedunia sebagai hari meraikan pembacaan, penulisan, penerbitan puisi seluruh dunia. Secara peribadi, hari ini merupakan hari khas untuk saya dan rakan-rakan penyair untuk meraikan sesuatu yang sentiasa dekat dalam kalbu, sesuatu yang sentiasa berusaha menyelinap dan membongkar peti-peti rahsia dalam kata, suatu senjata buat menajamkan fikiran.
Tetapi untuk saya sendiri, yang kerja sehari-hari membaca kata, dan sebahagian kerja  itu adalah menjahit puisi-puisi yang berselerakan menjadi buku, membuatkan saya melihat kembali 4 tahun pertama ini, berapa banyak buku yang telah saya tukangi?
Melihatkan gambar di bawah, rupa-rupanya saya telah menukangi hampir 40 buah kumpulan puisi, dan jumlahnya hampir separuh daripada keseluruhan jumlah buku yang pernah saya kendalikan iaiti 101 buah buku.
P_20160321_094455
Setiap satu buku-buku di dalam gambar ini merupakan belahan-belahan dunia penulis yang telah saya kembara dan duduk bersunyi-sunyi bersama-sama. Ada yang pecah dengan marah, ada yang retak dengan kecewa, ada yang beku bersama kesepian. Ada yang cuba menyembunyikan melalui serakan puisi yang tidak disusun tetapi selepas saya cerakinkan dan menyusun kembali, semakin terang tempat penyembunyian.
Mengendalikan buku puisi sememangnya menerbitkan banyak rasa kepada saya selaku editor. Apatah lagi selepas berbual-bual dengan penyairnya mengenai puisi-puisi di dalamnya serta meneka-neka apakah cerita di dalam cerita, siapakah yang diseru dan ditujukan, kidung nan merdu ini siapakah pemiliknya. Ah, betapa menyenangkan menjadi antara mereka yang membuka pintu-pintu itu.
Saya berpeluang mengendalikan dua daripada pemenang Hadiah Pertama Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH dua kali berturut-turut iaitu Negeri Kunang-kunang (Ridzuan Harun) dan kemudian Dondang Pembukaan (Lutfi Ishak). Kumpulan Puisi Mimpi Kotaku memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014. Dan juga buku terkini Sasterawan Negara Dato’ Dr. Zurinah Hassan, Cerita dalam Cerita. Berpengalaman dua kali mengendalikan buku Fahd Razy (Ikan dalam Jiwa & Kota Subuh). Serta cap ibu dan anak, Dato Dr. Zurinah Hassan dan Raihani Mohd Saaid (Sidang Kultus). Setiap satu buku ini punya kenangan yang tersendiri kepada saya sepanjang mengendalikannya serta rahsia-rahsia di dalamnya. Ahem ahem.

Kepada penyair-penyair, terima kasih kerana memberi peluang saya mendewasa dalam buku-buku kalian dan sempena hari ini, selamat hari puisi sedunia.

Saya tinggalkan salah satu puisi yang saya sukai, dan selalu merasakan setiap penyair merupakan “rumah api” dan dengan puisi, ia menerangi mereka yang memerlukannya.

 

KATA RUMAH API

T. Alias Taib

 

aku lilin meleleh dibakar bulan

aku lilin pedih ditusuk karang

 

kepada kapal mengantuk

dan kelasi mabuk

kuhantar sepercik cahaya

 

kepada dua kekasih

yang sedang berkasih

kuhampar sebidang tikar

 

siapakah pernah mengukur

berapa dalam

sepiku yang riuh?