Acara Mini: #Senandung – Hadiah untuk Puisi


Poster (2).png

Kata T. Alias Taib, “Siapakah pernah mengukur berapa dalam sepiku yang riuh”, tetapi di dalam kesepian penyair ada pembaca yang mengukur kesepiannya dalam diam. Penyair gemar bersunyi-sunyi dan pembaca puisi suka bersepi-sepi.

Oleh itu, sempena Hari Puisi Sedunia pada 21 Mac setiap tahun, Ainunl Muaiyanah dan Wan Nor Azriq akan mengkuratorkan satu acara mini apresiasi khusus untuk peminat puisi iaitu, #Senandung – Hadiah untuk Puisi.

Sesiapa yang berminat untuk hadir, digalakkan membawa sekurang-kurangnya sebuah puisi daripada penyair kegemaran anda, kita akan sama-sama mendengar bacaan puisi itu dan mengapa anda menyenangi puisi tersebut. Mana tahu puisi yang anda sukai itu disenangi oleh orang lain juga atau anda akan terjumpa puisi yang bakal anda sukai.

Ada buku puisi percuma yang dipilih khusus untuk acara ini. InsyaAllah, kalau pihak penaja kata OK, ada minuman percuma juga.

Sebelum itu, saya kongsikan puisi Adam Zagajewski:

“Treatise on Emptiness”

In a bookstore I accidentally ended up at the section on Tao, or

more precisely, by the Treatise on Emptiness.

I rejoiced, since that day I was perfectly empty.

What an unexpected meeting — the patient finds the doctor,

the doctor doesn’t speak.

 

Maklumat lanjut acara: https://www.facebook.com/events/963937350352298/?hc_location=ufi

Selamat Merayakan Hari Puisi Sedunia


Tujuh belas tahun lalu, UNESCO telah menetapkan tarikh hari ini 21 Mac sebagai Hari Puisi Sedunia sebagai hari meraikan pembacaan, penulisan, penerbitan puisi seluruh dunia. Secara peribadi, hari ini merupakan hari khas untuk saya dan rakan-rakan penyair untuk meraikan sesuatu yang sentiasa dekat dalam kalbu, sesuatu yang sentiasa berusaha menyelinap dan membongkar peti-peti rahsia dalam kata, suatu senjata buat menajamkan fikiran.
Tetapi untuk saya sendiri, yang kerja sehari-hari membaca kata, dan sebahagian kerja  itu adalah menjahit puisi-puisi yang berselerakan menjadi buku, membuatkan saya melihat kembali 4 tahun pertama ini, berapa banyak buku yang telah saya tukangi?
Melihatkan gambar di bawah, rupa-rupanya saya telah menukangi hampir 40 buah kumpulan puisi, dan jumlahnya hampir separuh daripada keseluruhan jumlah buku yang pernah saya kendalikan iaiti 101 buah buku.
P_20160321_094455
Setiap satu buku-buku di dalam gambar ini merupakan belahan-belahan dunia penulis yang telah saya kembara dan duduk bersunyi-sunyi bersama-sama. Ada yang pecah dengan marah, ada yang retak dengan kecewa, ada yang beku bersama kesepian. Ada yang cuba menyembunyikan melalui serakan puisi yang tidak disusun tetapi selepas saya cerakinkan dan menyusun kembali, semakin terang tempat penyembunyian.
Mengendalikan buku puisi sememangnya menerbitkan banyak rasa kepada saya selaku editor. Apatah lagi selepas berbual-bual dengan penyairnya mengenai puisi-puisi di dalamnya serta meneka-neka apakah cerita di dalam cerita, siapakah yang diseru dan ditujukan, kidung nan merdu ini siapakah pemiliknya. Ah, betapa menyenangkan menjadi antara mereka yang membuka pintu-pintu itu.
Saya berpeluang mengendalikan dua daripada pemenang Hadiah Pertama Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH dua kali berturut-turut iaitu Negeri Kunang-kunang (Ridzuan Harun) dan kemudian Dondang Pembukaan (Lutfi Ishak). Kumpulan Puisi Mimpi Kotaku memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014. Dan juga buku terkini Sasterawan Negara Dato’ Dr. Zurinah Hassan, Cerita dalam Cerita. Berpengalaman dua kali mengendalikan buku Fahd Razy (Ikan dalam Jiwa & Kota Subuh). Serta cap ibu dan anak, Dato Dr. Zurinah Hassan dan Raihani Mohd Saaid (Sidang Kultus). Setiap satu buku ini punya kenangan yang tersendiri kepada saya sepanjang mengendalikannya serta rahsia-rahsia di dalamnya. Ahem ahem.

Kepada penyair-penyair, terima kasih kerana memberi peluang saya mendewasa dalam buku-buku kalian dan sempena hari ini, selamat hari puisi sedunia.

Saya tinggalkan salah satu puisi yang saya sukai, dan selalu merasakan setiap penyair merupakan “rumah api” dan dengan puisi, ia menerangi mereka yang memerlukannya.

 

KATA RUMAH API

T. Alias Taib

 

aku lilin meleleh dibakar bulan

aku lilin pedih ditusuk karang

 

kepada kapal mengantuk

dan kelasi mabuk

kuhantar sepercik cahaya

 

kepada dua kekasih

yang sedang berkasih

kuhampar sebidang tikar

 

siapakah pernah mengukur

berapa dalam

sepiku yang riuh?