Jane Bordeaux – Ma’agalim


(kepada yang ingin sahaja bersenang-senang menikmati perjalanan dan kehidupan tanpa keterlaluan mengejar masa depan dan berlari dari masa lalu)

I

Semuanya telah berjalan seperti kebiasaannya, lelaki dan perempuan kan bertemu pasangan, bercinta, bernikah dan membina keluarga. Seorang nelayan akan menangkap ratusan ikan-ikan di tasik dalam, dan berperang dengan ketamakan dan kesederhanaan sehingga ikan-ikan itu memecah bot kecilnya, kereta api akan berpapasan mengulangi landasan yang sama setiap hari membawa penumpang yang berbeza. Itik-itik di tasik akan beranak dan membawa anak-anaknya menikmati kedinginan tasik itu. Nenda yang telah kematian seluruh ahli keluarga menunggu masa dan akan kembali kepada penciptanya.

Masa berlalu mencipta peristiwa-peristiwa baru, dan kau juga berjalan menikmati peristiwa itu tanpa melakukan atau mengubah apa-apa. Apakah kau enggan berubah dan bermetaformosis seperti sekian-sekian peristiwa di sekelilingmu? Atau mereka berlari terlalu jauh? Atau  kau tidak ditakdirkan untuk bergerak ke depan dan bersendirian mendepani kesunyian?

II

Sewaktu pertengahan 20-an, saya pernah diserang banyak pertanyaan, sesudah saya memilih untuk berangkat daripada berada dalam satu hubungan yang tidak berpangkal dan tidak berpenghujung. Mengapa memilih keputusan terburu-buru, usia saya seharusnya sudah seperti kakak saya, bercinta, bernikah dan beranak? Tidak pula saya berdebat dengan pertanyaan ini, mengapa saya harus mengulang jalan orang lain tanpa mencipta jalan sendiri. Mengapa harus hidup dalam ciptaan dan impian orang lain? Dan mengapa harus bergantung emosi dan status diri dengan orang lain?

Saya juga sering ditanya, apakah tidak takut memesong dari pengajian? Cita-cita daripada kecil untuk mengembangkan potensi dalam bidang sains? Kemudian saya sedar, cita-cita saya berubah-ubah dari kecil, daripada peguam ke ahli sains ke pelbagai-bagai lagi mengikut situasi dan keadaan. Tetapi kita bertindak dan respons kepada peristiwa yang berlaku di sekeliling kita. Kalau kita sudah belajar bidang yang kita minat dari kecil tetapi kemudian kita minat hal yang lain pula, siapa yang dapat menghalang? Kenapa harus mengikut jalan lurus sahaja?

III

Tapi sampai satu tahap kita akan merasakan hidup ini statik. Setiap hari, kita bangun tidur dan mengulangi hal yang sama sehingga apabila ia memakan tahun  dan suatu hari kita terfikir, apa yang kita lakukan selama ini? Tetapi berapa jauh kita benar-benar dapat memerdekakan diri dan pendapat kita? Hidup ini tidak boleh tidak berkaitan antara satu sama lain. Tetapi satu hal yang kita boleh pegang, jangan membiarkan diri berterusan ditakluki nasib dan berterusan menyalahkannya apabila hidup ini berubah dan statik.

 

2 thoughts on “Jane Bordeaux – Ma’agalim”

  1. Salam. Sebab itu Tuhan turunkan warna dalam hidup kita, Ainul. Kadang suka, kadang duka, kadang tenang, kadang gelisah. Untuk kita nikmati olak dan onaknya. Agar tidak monotonous. Dan tidak lurus. Dan semua itu memanusiakan kita. Kerana manusia diberikan akal untuk mendepaninya, dan bereaksi sebagai manusia menghadapinya.

    Pelangi ada tujuh warna; jangan melungsur pada warna yang sama sahaja; sesekali melungsurlah pada warna yang lain. Hidup ini untuk kita ambil iktibar dan pedoman dengan mempelajari kehidupan manusia lain. Itu tidak akan membosankan kita tentunya.

    Selamat menjalani hidup .

    Like

    1. Benar itu Kak Azizah.🙂 Jangan takut melungsur warna yang lain. Masa saya menonton muzik video ini teringat tentang perulangan dalam hidup dan bagaimana kita menempuhnya hari demi hari🙂

      Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s