Tentang Merayakan Hari Wanita


a4c2db241a5325209d84108c7f1cd315
Datuk Mohd Hoessein Enas “Teguran”
1. Saya jarang meraikan hari wanita, atau saya kadangkala terlupa kita punya hari wanita peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Dan saya sudah jarang mahu memperkatakan tentang hal hati mahupun cinta depan orang umum. Bila mahu berkahwin pun masih sembunyi-sembunyi begitu🙂 Tetapi hari ini dalam sejarah, saya memperkatakan tentang dunia wanita dan cinta sekaligus sempena Hari Wanita Kebangsaan di dalam rancangan Assalamualaikum, TV Al-Hijrah. Begitulah, kadangkala semakin kita cuba mengelak, ia makin dekat dan memaut, macam cinta, contohnya. Eh?🙂
2. Sebagai perempuan yang memilih bersendiri agak lama (daripada rakan-rakan yang lain) dan merdeka dan bebas mengatur hidup sehari, bukanlah kita tidak memerlukan keberadaan lelaki di dalam hidup. Tetapi kita sudah biasa jadi berdikari, untuk tidak menyusahkan orang lain dan pasangan di kemudian hari. Jadi, lelaki yang hadir dalam hidup perempuan seperti itu, harus bersedia memberi ruang dalam keadaan tertentu dan berada di sisi menyokong, tetapi siap siaga membantu dan tegas dalam menentukan beberapa keputusan. Bijak bila perlu mengekor atau menyongsong angin. Lama-lama perempuan jiwa merdeka ini akan jatuh percaya untuk mengatur hidup bersama-sama.

3. Saya fikir, perkahwinan bukanlah titik akhir dalam perjalanan hidup. Seperti kata orang, “settle down”. Banyak orang merencana majlis perkahwinan lebih daripada sebuah perkahwinan. Seperti dalam babak terakhir filem “The Graduate”, masing-masing merenung jauh dan bingung dengan tindakan seterusnya. Sedangkan selepas perkahwinan, kita saling mengenal watak yang berbeza. Memetik puisi Zurinah Hassan,

Seorang lelaki membebaskan diri

untuk membataskan pilihan.

Seorang perempuan membataskan pilihan

untuk membebaskan diri.

 

Setiap daripada kita sebenarnya perlu ruang masing-masing dalam perkahwinan. Semakin hari ruang peribadi kita semakin terhad. Ruang ini selalu diceroboh dan dikecilkan melalui media sosial, pasangan, keluarga dan kawan-kawan. Seharusnya dengan perkahwinan, kita lebih memperkayakan ruang dalam diri kita sama ada peribadi atau berkongsi bersama pasangan kita.

4. Dari dahulu ramai menakutkan saya dengan kata-kata ini, “Selepas kahwin, Ainunl akan kurang menulis dan lebih mengemas kini status bersama suami.” Benar, banyak sudah penulis wanita membenarkan kenyataan ini. Mengapa ya, tidak memberi galakan, selepas kahwin akan lebih aktif menulis? Tetapi saya ingat kata-kata Kak Wani Ardy, lebih kurang begini “Kalau kau passion pada sesuatu, kau akan akan memilih pasangan tanpa perlu mengorbankan passion itu.”

5. Saya sempat mempromosikan novel Sepetang di Kafe Biblioholic dan Kumpulan Puisi Perempuan Bulan Perempuan Hujan semasa di rancangan ini. Apabila sinopsis novel itu dibacakan oleh Irma Hasmie, saya tersenyum sendiri. Saya tidak sedar sebenarnya, kedua-dua kulit buku ini mempamerkan sosok perempuan di kulit depannya. Kedua-duanya dilukis oleh 2 orang perempuan, seorang Kak Dila dan seorang lagi Rasyidah Othman. Dan saya menulis tentang dunia perempuan dalam kedua-dua buku ini. Kamellia yang membesar bersama ibunya  yang positif, kuat mengenang masa lalu dan kuat memegang masa depan. Dan Perempuan Bulan pula dari dunia remaja saya yang penuh berontak dan Perempuan Hujan adalah sisi perempuan yang semakin dewasa dan tahu memilih apa yang perlu.

6. Setiap kali bergema soal mempertegakkan hak-hak wanita, atau perjuangan-perjuangan yang bertaut tentangnya, saya selalu bertanya, apakah tidak cukup sikap feminisme dalam diri saya kerana saya tidak begitu tertarik untuk memperkatakan lebih lanjut tentangnya? Sedikit menyalahkan diri, tetapi akhirnya saya sedar. Sebagai perempuan yang dibesarkan dalam keluarga yang perempuan adalah minoriti tetapi punya vokal yang besar dalam keluarga, saya tidak terhimpit dengan hal ini. Saya pernah berkata kepada kawan saya yang mempersoalkan hal yang sama, ingat-ingat lupa kenyataan penuhnya, “Seorang perempuan yang kuat, dia akan menang dalam kelembutan, dalam sembunyi, dalam rahsia, sebab itulah kelebihannya, tanpa perlu berteriak lantak dan menganyang lelaki. Kerana apabila kita mula melakukan gertakan-gertakan itu, kita mula mendedahkan kelemahan kita.”

Selamat Hari Wanita Kebangsaan🙂

 

2 thoughts on “Tentang Merayakan Hari Wanita”

  1. Salam untuk bakal pengantin. Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar sebelum, semasa dan selepas perkahwinan hinggalah ke akhirnya. Doa saya untuk Ainul dan Azriq.

    Izinkan saya menitipkan pesan yang dititipkan oleh ibu saya kepada saya pada hari pernikahan saya: Sabar, sabar dan sabar. Hanya itu yang menjadi kunci keberjayaan sebuah perkahwinan. Tiada yang lain. Moga Ainul dan Azriq akan menanam sabar bulat dalam hati menjelang hari berbahagia nanti.

    Dan saya akan sentiasa menunggu karya yang lebih dewasa hasil perkahwinan ini daripada anda berdua.

    Like

  2. Salam, Kak Azizah yang dikasihi🙂

    Terima kasih Kak Azizah atas nasihat dan doa atas majlis perkahwinan saya. Moga-moga Kak Azizah berkesempatan untuk ke majlisnya ya🙂

    Sabar. Sabar. Sabar. Saya akan pegang nasihat ini.

    Membaca kata-kata Kak Azizah, saya jadi terharu dan akan menulis dengan lebih gigih lagi, InsyaAllah🙂

    Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s