Sorotan Pembaca: Puisi Jauh dari Halaman Rumah


Saya kongsikan ulasan Abdul Rahman ShahΒ Β yang mengulas puisi saya, Jauh dari Halaman Rumah. Puisi ini dimuatkan dalam buku Melompat Keluar dari Mimpi (2015) terbitan Katapilar Books πŸ™‚

* * *
Ulasan ringkas puisi “Jauh dari Halaman Rumah” nukilan Ainunl Muaiyanah.

Puisi ini adalah salah sebuah puisi dalam buku antologi puisi dan cerpen Melompat Keluar dari Mimpi (2015) terbitan Kata Pillar Books. Puisi serta muka depan buku boleh dirujuk pada gambar yang disisipkan bersama ulasan.

Apa yang menarik tentang puisi ini adalah pembaca akan di bawa oleh penulis menyusuri emosi-emosi bersama perlambangan perjalanan atas kapal terbang. Setiap emosi ini adalah berkaitan tentang sebuah proses, proses yang akan diterangkan pada hujung ulasan.

Rangkap pertama puisi ini adalah mengenai perasaan rindu yang hadir apabila berjauhan dengan mereka yang disayangi. Seterusnya penulis mengatakan tentang bagaimana jendela dan lagu adalah penyelamat kerinduannya. Jendela di sini boleh juga dibaca sebagai alat komunikasi atau telefon pintar yang boleh digunakan untuk berhubung dari jauh.

Jika rangkap pertama mengenai bagaimana rindu terjadi, rangkap kedua pula adalah tentang emosi seterusnya dalam proses, iaitu kesedihan. Kesedihan yang dirasai penulis akibat pemisahan ini menggunakan perlambangan air matanya seperti anak-anak yang mencari ibunya.

Rangkap ketiga adalah mengenai perasaan resah/anxiety yang hadir selepas kesedihan. Penulis menggunakan gambaran adakah kapal terbang tidak takut dengan angin-angin yang akan datang menolak mereka keluar dari perjalanan asal, jauh lari dari rumahnya. Di saat ini perasaan panik mula timbul dengan baris yang mengatakan penulis ingin berhenti dan pulang terus ke rumah.

Rangkap keempat adalah sambungan perasaan resah tadi tetapi penulis telah sedikit tenang – iaitu dalam perasaan menerima, dia sudah sedikit sebanyak menerima yang dia perlu mengambil perjalanan ini walaupun perlu berjauhan dengan yang tersayang. Terpaksa meninggalkan segala keselesaan sebelumnya.

Dan akhirnya rangkap kelima adalah perasaan tekad, perasaan keberanian selepas menerima hakikat yang dia perlu ada dalam perjalanan yang menjauhkan dia dari rumah.

Tetapi sekarang, apakah yang ingin disampaikan oleh puisi ini? Adakah sekadar puisi rindukan halaman rumah atau homesick bak kata orang Inggeris? Di mana kapal terbang sedang membawa penulis untuk belajar atau kerja di luar negara? Ataupun ini mengenai perkahwinan di mana penulis kini perlu berjauhan dengan keluarganya?

Semua mempunyai kaitan tetapi masih tidak tepat. Puisi ini untuk aku adalah dalam genre “coming-of-age”. Tentang transisi emosi yang semua akan lalui apabila kita sedar kita bukan kanak-kanak lagi – merindui hidup lama, menangis dalam kerinduan, resah adakah jalan yang dipilih itu benar-benar selamat, risau akan mengikuti orang yang salah, panik apabila tidak yakin dengan diri, dan seterusnya proses penerimaan.

Ianya tentang proses eksistential melalui emosi-emosi yang akan dirasai di ambang menyedari kita sudah dewasa dan perlu mengambil alih tanggungjawab terhadap diri sendiri, merealisasikan impian diri, dan tidak melupakan asal usul kita dalam proses.

img_9720img_9721