Buku Ganti Duit Raya


“Jumaat pagi ini ada rakaman di TV Al-Hijrah,” kata A semasa saya sedang sediakan lauk berbuka.

“Oh ya, topik apa?” sebab saya pernah juga beberapa kali masuk TV Al-Hijrah, selalunya mereka ada topik tertentu yang dibincangkan

“Buku ganti duit raya, ” kami berpandangan dan tertawa. Sebab kami memang sudah siap-siap beli beberapa buku ITBM (sebenarnya banyak) untuk dihadiahkan kepada anak saudara raya nanti. Hari tu pulang ke kampung, saya hadiahkan ensiklopedia dunia dan mereka suka betul sampai kata kalau ada buku begini, tolong belikan lagi

Kami sempat berbincang berkenaan topik ini. Saya okey sahaja nak ganti duit raya dengan buku tapi berapa ramai kanak-kanak yang mengharapkan dapat duit raya berbanding buku raya. Kita sudah membina budaya ini cukup lama. Zaman saya pun, masa hari raya inilah masa mengumpul duit raya kalau teringin mahu beli apa-apa. Saudara mara jadi murah hati betul lagi lagi kalau kita berkelakuan baik dan sopan.

Saya teringat cerita Nobita yang setiap tahun akan dapat ensiklopedia atau buku dari ayahnya. Dan dia akan merungut hal itu kepada Doraemon. Sebab dia ingin beli mainan untuk tunjuk kepada kawan-kawan. Beberapa tahun lalu anak saudara saya mengumpul duit raya untuk beli handphone & IPad. Zaman sekarang, tekanan rakan sebaya (peer pressure) untuk punya material semakin tinggi.

Tapi kita kena budayakan hal ini, dengan cara perlahan. Kita sendiri kalau nak tukar habit pun payah. Seperti sudah biasa minum air manis, nak minum air putih 3L pun siap buat #everydaychallenge . Haha. Duit raya ini macam air manis bergulalah.

1) Buat 50/50. Kalau biasa beri RM10, mungkin boleh kurangkan jadi RM5, dah lagi RM5 itu jadi buku raya.

2) Pilih buku berkualiti dan sesuai dengan minat anak/anak saudara. Kalau dia suka haiwan, beli buku fakta tentang haiwan.

3) Sediakan juga sampul buku raya. Mungkin belum ada lagi untuk tahun ini, tetapi boleh dibuat permintaan sehingga pengilang pun mengeluarkan sampul buku raya. Jadi kanak-kanak pun teruja dapat buku dalam sampul raya yang cantik. Nak bergambar pun seronok. (terima kasih Shamsul Amin untuk ideanya)

Lama-lama buku ganti duit raya jadi tradisi, kanak-kanak pun sudah terbiasa. Dapat buku dan duit raya. Lepas tu buku sahaja. Haha

Tapi yang paling penting, ibu bapa dan pak/mak saudara pun kena suka/mula membaca dan budayakan hal ini. Jangan nak kanak-kanak sahaja rajin membaca tetapi kita nak buka buku setahun sekali pun payah. Kepimpinan melalui teladan gitu.

Advertisements

Tentang Balang Kuih Raya & Hal yang Memaknakan Raya


Menyambut hari raya dengan status berbeza tahun ini buat saya sibuk sekali. Pertama kali akan beraya jauh, pertama kali beraya di rumah sendiri, pertama kali beraya berdua.

Rumah masih berantakan, buku-buku belum punya ruang sendiri, dapur masih bukan dalam komposisi ruang terbaik yang saya mahu. Saya harus selesaikan semua sebelum raya.

Saya bukanlah orang yang mengutamakan hari raya. Raya bagi saya adalah nasi impit dan lauk-pauk untuk dimakan bersama-sama. Saya boleh survival makan nasi impit selama seminggu. Kalau tiada ini, mahu merajuk juga dan akan sirat daun pisang sendiri untuk buat nasi impit ni. Nasi impit resipi ibu saya tentunya bukan resipi orang lain. Tiada baju baru? Tiada masalah. Tiada kasut baru? Tiada masalah. Tiada kuih raya? Tiada masalah. Tiada cuti raya? Tiada masalah. Kampung saya tidak jauh dari tempat bekerja. Kalau saya mahu pulang, sejam sahaja sudah tiba di halaman rumah. Jadi saya jarang berebut cuti, jarang mahu bersesak di Jalan TAR, atau beria membeli kuih raya.

Tetapi situasi sekarang berbeza. Saya sudah punya rumah sendiri untuk dirias dan dikunjungi rakan-rakan serta sanak saudara. Kena merencana cuti dengan rapi. Menu untuk dimasak. Saya harus memaknakan raya saya dengan definasi berbeza. Dan yang paling mengganggu dalam fikiran saya sekarang ini, balang kuih raya!

Saya dan A meski serasi tetapi punya citarasa yang berbeza. Meskipun punya ruang masing-masing, tetapi kami juga ada ruang bersama yang selalu dibincangkan. A ada citarasa dan kesukaan tertentu yang dibayangkan, kebanyakan memori masa kecilnya. Saya, lebih praktikal dengan ruang yang ada, dan tentu sahaja elemen klasik dan tradisional. Kami ada kesukaan tertentu dan harus memastikan kompromi dalam kesukaan kami yang bertindanan. Kalau melibatkan barang yang dibeli, barang itu mestilah berjaya merebut hati kami berdua.

Semasa perbincangan dengan rakan sepejabat mengenai balang kuih raya, mereka menasihati saya membeli apa adanya, sebab kalau setiap tahun melihat balang yang sama, pun boleh bosan juga. Raya baginya musim berganti barang baru. Ada juga yang berkata beli yang paling cantik dan trendy. Ada yang kata, apa-apa pun boleh. Balang kuih raya sahaja pun.

Perbualan ini mengingatkan sahaja tentang dunia hari raya saya. Ibu punya balang kuih raya khas. Bentuknya bulat dan dari kaca. Penutupnya jenis skru dan punya corak bunga-bunga renek. Dua hari atau tiga hari sebelum raya, balang kuih raya ini akan dikeluarkan dari almari (yang mana dikeluarkan setahun sekali semasa hari raya). Saya akan membasuh dan membersihkannya dengan berhati-hati sebelum dimasukkan kuih raya. Kalau pecah ini, ibu akan menangis dan mengungkit perbuatan saya bertahun-tahun (mak cik saya pernah pecahkan dua dan ibu sangat mengingati peristiwa itu). Lagipun bekas itu sudah tiada di pasaran. Maklumlah fesyen 20 tahun lalu.

Begitulah rutin saya daripada kecil sehingga dewasa. Saya telah berhari raya dengan balang yang sama hampir sepanjang usia saya rupanya. Adakah saya jemu? Tidak. Balang kuih raya itu warna hari raya saya, yang saya bawa memorinya bertahun-tahun menjelang hari raya. Tanpa ritual membasuh balang kuih raya dan memasukkan kuih ke dalamnya, saya jadi seperti tidak beraya (selain nasi impit tentunya)

Hari raya bukanlah tentang perayaan ini semata-mata, tetapi bagaimana kita Β memaknakannya dengan cara kita. Balang kuih raya bukan semata-mata fesyen raya atau mahukan yang trendy. Atau ia boleh berganti setiap tahun. Tetapi saya tahu setiap kali saya mengeluarkan balang kuih raya ini daripada tempat simpanan, raya bakal menjelang. Baju raya akan berubah fesyen dan saiz. Langsir akan lusuh bersama waktu. Balang kuih raya, ia akan kekal bentuknya dan muncul hanya setiap kali hari raya.

Rupanya, balang kuih raya membuat penyataan penting kepada saya. Ia menjadi lambang kegembiraan hati kita menerima tetamu dan meraikannya dalam balang cantik dan kuih yang sedap. Ia juga akan menjadi tanda memori pertama kali beraya berdua dalam rumah sendiri. Ia juga bekal membawa memori bertahun-tahun lamanya dalam dunia raya saya.

Menjelang hari raya, kita punya banyak sebab untuk bergembira. Kanak-kanak dengan cara mereka, orang bujang dengan cara mereka, pasangan baru berkahwin dengan cara mereka, keluarga dengan cara mereka. Selepas bersalaman, berkunjungan, makan dengan sejahteranya, baju raya/kasut raya/tudung raya akan tergantung, pinggan akan dibasuh dan rumah akan dikemas. Balang-balang kuih raya akan dibersihkan dan dimasukkan ke dalam rak. Dan kita akan menyimpan memori ini. Tentang kegembiraan sebuah perayaan dan ketawa yang penuh di dalamnya atau mungkin kesayuan yang memercik.

p/s: Oh ya, saya dan A sudah bertemu dengan balang kuih raya yang membuatkan kami kata ya. Ia seperti cinta pandang pertama πŸ™‚