Buku Ganti Duit Raya


“Jumaat pagi ini ada rakaman di TV Al-Hijrah,” kata A semasa saya sedang sediakan lauk berbuka.

“Oh ya, topik apa?” sebab saya pernah juga beberapa kali masuk TV Al-Hijrah, selalunya mereka ada topik tertentu yang dibincangkan

“Buku ganti duit raya, ” kami berpandangan dan tertawa. Sebab kami memang sudah siap-siap beli beberapa buku ITBM (sebenarnya banyak) untuk dihadiahkan kepada anak saudara raya nanti. Hari tu pulang ke kampung, saya hadiahkan ensiklopedia dunia dan mereka suka betul sampai kata kalau ada buku begini, tolong belikan lagi

Kami sempat berbincang berkenaan topik ini. Saya okey sahaja nak ganti duit raya dengan buku tapi berapa ramai kanak-kanak yang mengharapkan dapat duit raya berbanding buku raya. Kita sudah membina budaya ini cukup lama. Zaman saya pun, masa hari raya inilah masa mengumpul duit raya kalau teringin mahu beli apa-apa. Saudara mara jadi murah hati betul lagi lagi kalau kita berkelakuan baik dan sopan.

Saya teringat cerita Nobita yang setiap tahun akan dapat ensiklopedia atau buku dari ayahnya. Dan dia akan merungut hal itu kepada Doraemon. Sebab dia ingin beli mainan untuk tunjuk kepada kawan-kawan. Beberapa tahun lalu anak saudara saya mengumpul duit raya untuk beli handphone & IPad. Zaman sekarang, tekanan rakan sebaya (peer pressure) untuk punya material semakin tinggi.

Tapi kita kena budayakan hal ini, dengan cara perlahan. Kita sendiri kalau nak tukar habit pun payah. Seperti sudah biasa minum air manis, nak minum air putih 3L pun siap buat #everydaychallenge . Haha. Duit raya ini macam air manis bergulalah.

1) Buat 50/50. Kalau biasa beri RM10, mungkin boleh kurangkan jadi RM5, dah lagi RM5 itu jadi buku raya.

2) Pilih buku berkualiti dan sesuai dengan minat anak/anak saudara. Kalau dia suka haiwan, beli buku fakta tentang haiwan.

3) Sediakan juga sampul buku raya. Mungkin belum ada lagi untuk tahun ini, tetapi boleh dibuat permintaan sehingga pengilang pun mengeluarkan sampul buku raya. Jadi kanak-kanak pun teruja dapat buku dalam sampul raya yang cantik. Nak bergambar pun seronok. (terima kasih Shamsul Amin untuk ideanya)

Lama-lama buku ganti duit raya jadi tradisi, kanak-kanak pun sudah terbiasa. Dapat buku dan duit raya. Lepas tu buku sahaja. Haha

Tapi yang paling penting, ibu bapa dan pak/mak saudara pun kena suka/mula membaca dan budayakan hal ini. Jangan nak kanak-kanak sahaja rajin membaca tetapi kita nak buka buku setahun sekali pun payah. Kepimpinan melalui teladan gitu.