Buku – Antologi Surat Cinta Kita

 

Surat Kepada Mantan Kekasih Ketika Ulang Tahun Perpisahan

 

Surat Kepada Mantan Kekasih Ketika Ulang Tahun Perpisahan

 

Mantan kekasih,

 

Semalam aku datang ke perkuburan cinta kita. Berbaju kurung polos kapas berintik bunga ungu kecil-kecil. Warna kegemaran aku serta sesekali pernah kau bisikkan satu ketika dahulu, warna cinta kita.

Aku lihat, pohon kemboja yang aku tanam setahun dahulu sedang menguntum harum dan rebas hujan yang menitis halus-halus dari dada langit.

Ah, hujan. Mengapa merebas saat ini. Hujan yang sering kita cintai bersama. Hujan yang membuatkan kita sentiasa jatuh cinta antara satu sama lain. Hujan yang seringkali membuatkan kita saling merindu semasa berjauhan. Hujan yang juga turun ketika kau memilih untuk pergi menguburkan cinta di sini.

Aku lihat ada rumput menjalar dan lumut-lumut hijau menumpang kasih di batu nisan dari batu sungai itu. Tiada apa yang berubah. Tiada. Nisan yang bersusah payah aku letakkan masih disitu. Pohon kemboja yang aku tanam masih mekar mewangi dan hujan merebas juga. Jasad yang mengunjungi perkuburan itu masih aku lagi, sendiri dan sendiri.

Tiba-tiba kenangan mendadak datang. Hujan yang dingin membuatkan aku merindui semua masa lalu yang indah. Merindukan kesederhanaan kita berkasihan dan bertukar cinta lewat senyum dan pandang.

Mantan kekasih,

Pernahkah kau merinduikan, saat-saat kita saling mencari diri di rak-rak buku dan baunya yang memabukkan. Kita sama-sama akan memilih buku-buku yang mengujakan dan sesekali menunjukkan ayat-ayat yang mengusik hati kita. Sesekali kau akan melahirkan rasa cinta dengan menunjukkan ungkapan indah dalam buku yang kau temui. Aku yang membacanya akan senyum dan tersipu malu. Katamu, aku suka sekali melihat kau malu-malu begini.

Ada waktunya, kita ke kedai muzik, sekadar mahu mendengar lagu-lagu percuma. Kau, tiba-tiba sahaja akan memanggil aku dan meletakkan earphone di telingaku dan berkata, lagu ini untukmu, manisku.

Hujan sering mengingatkan aku sewaktu kita saling mencicip secawan kopi di kedai kopi, sambil menghadam helain-helaian buku, di luar jendela separuh terbuka hujan merebas. Aku yang sedang asyik membaca akan tiba-tiba terganggu kerana tanpa sebab kau berhenti membaca dan memandangku penuh mesra dan sekali lagi membuatkan aku jadi sebegitu segan dan pipiku merona merah. Dimatamu kulihat adalah cinta.

Dalam getar kerana merasa segan dan malu, aku akan buru-buru menambah creamer atau gula ke dalam cawan kopiku. Kau pantas akan menahan dan berkata, minumlah kopi yang bersahaja ini. Kopi yang pahit ini seperti cinta. Sederhana tetapi enak. Gula akan menghilangkan rasa asli kopi, seperti sayang yang keterlaluan menghilangkan keindahan cinta. Creamer yang manis seperti cemburu dalam cinta. Berlebihan akan merosakkan diri. Kopi yang pahit ini, seperti cintaku, sayang. Sederhana dan bersahaja.

Ah, mantan kekasih,

Ketika kamu mahu berpisah, aku terasa betapa dahulu sukar mengucapkan perpisahan. Seolah-olah perpisahan tidak pernah wujud dalam perbendaharaan kata kita. Mengapa tidak kita persiapkan menyusun dan menyisip perkataan perpisahan sewaktu kita bertemu dahulu supaya kita siap sedia apabila tiba waktunya?

Lalu pada mulanya, aku tidak pernah dapat memaafkan perpisahan ini kerana aku takut tidak dapat memaafkan diri sendiri sekiranya memaafkan perpisahan dan kau. Betapa mudahnya untuk jatuh cinta pada kau dan rupanya begitu sukar untuk melupakannya. Bagaimana ya mantan kekasih, untuk aku melupakanmu? Mengeja nama yang lain pun aku tidak tahu, inikan pula ingin menjemput seseorang masuk ke dalam taman hatiku, yang pernah kita huni bersama dahulu? Tentu sukar bukan? Begitulah aku.

Seharusnya aku berasa beruntung, betapa perpisahan kita tidak dicemari dengan pengkhianatan. Tiada siapa yang mengkhianati perpisahan ini. Hanya kau mahu memilih jalan yang lain. Jalan yang tidak segaris dengan diriku lagi. Begitulah akhirnya cinta yang sederhana dan bersahaja menurutmu.

Dan pada setiap kali ulang tahun perpisahan kita, aku ingin sekali menulis surat seperti ini kepadamu. Moga-moga setiap huruf dalam surat ini adalah cinta, rindu yang ingin sekali aku buang dan kirimkan kepada kamu. Moga-moga semuanya terbebas dan aku tidak lagi dihantui semua itu. Sehingga saat itu, aku akan sentiasa mengunjungi tanah perkuburan cinta kita setiap kali ulang tahun perpisahan kita, aku datang ke sini, sekadar mahu membersihkan rumput-rumput yang nakal menjalar kubur cinta kita sambil-sambil menyapu cinta dalam hati. Sekadar memetik sekuntum dua bunga kemboja buat menghias kamar tidurku yang dingin. Sekadar berdoa, berharap entah tiba-tiba kau mengabur datang.

 

 

Daripada:

Mantan Kekasihmu

23 thoughts on “Buku – Antologi Surat Cinta Kita

  1. mengulang baca ini untuk entah kali ke berapa..

    pun masih rasa belum puas dan belum jemu…

    terima kasih, kerana meluahkan rasa hati saya melalui tulisan ini.. serasa sangat-sangat rapat di dalam hati saya.. terima kasih.. 🙂

    Like

    1. Cahaya Mata : Kita membaca kerana kita mencari diri kita dalam bahan bacaan yang kita baca. Terima kasih kerana membaca tulisan ini dan kebetulan benar apa yang saya tulis.

      Semoga kita saling menemui kebahagiaan dalam apa bentuk pun 🙂

      Like

  2. yup, pengalaman ini pernah saya lalui. sudah menjadi lumrah manusia, sukar menerima kenyataan. hanya rajin menurut perasaan.

    hati mengatakan keindahan. sedangkan akal yang waras mengatakan ” sudah2 la tuu..”

    kukerahkan serebrum untuk mencari jalan terbaik bagi menyimpulkan kenangan lama itu.

    simpan elok – elok dalam lubuk hati yg paling jauh.

    mensyukuri redha, menerima pasrah.

    Liked by 1 person

      1. sukar untuk sy mencari,kerana bermula dari awal bacaan, minda sy sudah terasuk, berkaliku ulang baca, agaknya di sini,

        “Dalam getar kerana merasa segan dan malu, aku akan buru-buru menambah creamer atau gula ke dalam cawan kopiku. Kau pantas akan menahan dan berkata, minumlah kopi yang bersahaja ini. Kopi yang pahit ini seperti cinta. Sederhana tetapi enak. Gula akan menghilangkan rasa asli kopi, seperti sayang yang keterlaluan menghilangkan keindahan cinta. Creamer yang manis seperti cemburu dalam cinta. Berlebihan akan merosakkan diri. Kopi yang pahit ini, seperti cintaku, sayang. Sederhana dan bersahaja.”

        cinta itu adalah seada-adanya.

        Like

        1. inilah cintaku
          yang tak pernah kugarapkan
          yang selalu kau tunggu terbaca
          kerna aku percayakan cinta
          bukan pada luahan
          tetapi pada hati.

          rangkap terakhir
          Cinta Dati Hati.

          ini yang sy percaya tentang cinta.

          Like

  3. Semalam aku baru mendengar jejaka berkata……..
    Saya mencintai dia seadanya walau pun dia OKU….
    Aku tanya..Dia ada cakap apa apa?
    Ada….katanya,aku janda lagipun aku OKU satu hari nanti kau akan tinggalkan aku
    Kau cakap apa?
    Jejaka berkata, aku akan tinggalkan kau kalau kau dah pulih……

    Like

Tinggalkan komen