Apa Aku Mahu Tulis?


Sebelum ini, aku sudah memutuskan untuk berhenti menulis entri yang penuh emosi dan melodrama ala-ala filem Hindustan tetapi tidak berjaya. Jadilah tanah birungu bersarang sebulan lamanya. Apabila ada orang sudah merindu dan bertanya kenapa si nyanyian hujan tidak bernyanyi lagi, maka aku kira aku harus (baca : terpaksa) menulis entri. Aku terpaksa lah memenuhi permintaan peminat ini. Aish (harap mereka yang berkenaan rabun semasa membaca ayat ini. Haha. Gelak jahat).

Sebenarnya mahu berkabung kerana pengarah kegemaran aku telah pergi. Tetapi tunggulah aku buat entri khas untuk mereka yang telah pergi.

Sedapnya burger ala-ala bulan sabit ini. Ada rasa mahu berbuka tak?

Oleh itu dengan penuh rasa bersemangat, aku akan mengirimkan entri-entri mengenai puasa ketika zaman muda-muda (sekarang pun muda lagi) setiap hari sehingga hari raya. Hanya entri sahaja dan gambar-gambar yang akan dicuplik dimana-mana. Semasa hari raya, mungkin akan berehat sebentar. Ialah siapalah mahu membaca blog ketika tengah memakan kuih tart atau almond London kan? (Sebenarnya tiada acess internet di kampung, pandai saja kamu bagi alasan ya yana)

Jadi, aku sedang fikir. Kenangan mana yang mahu aku kutip sebagai entri bulan Ramadan ini? Kawan-kawan mahu entri yang bagaimana?

Cemerlang bukan penentu segalanya


Apa yang membezakan pelajar terbaik SPM pada tahun ini dengan tahun-tahun yang sudah?

Keputusannya?

Bukankah tahun ini masih berkurangan satu A berbanding dengan pelajar cemerlang tahun sudah?

Lalu apa?

Pelajar cemerlang SPM tahun-tahun sudah biasanya terdiri daripada keluarga yang serba lengkap untuk menyediakan kemudahan tuisyen, buku rujukan yang berlambak., kemudahan internet dan sebagainya.

Malah bila ditanya apakah cita-cita Nik Nur Madihah? Maka jawabnya dia mahu menjadi seorang ahli fizik bukannya menjadi doktor seperti kata pelajar-pelajar cemerlang yang lain. Maka tidaklah semuanya memikir kalau dapat keputusan terbaik dan cemerlang terus mahu mohon ambil bidang perubatan.

Maka Nik Nur Madihah membawa legasi baru pelajar cemerlang yang bukan didokong dengan kelas tambahan atau buku rujukan yang berjela. Bukan melayar igau mahu menjadi doktor sahaja.

Adik-adik,

Keputusan SPM hanya sejarah untuk 3 bulan. Setelah kamu dapat kemasukan ke mana-mana, keputusan SPM itu tinggal di atas kertas. Tidak peduli lagi dan tidak diendah. Yang penting adalah keputusan pengajian kamu selepas itu. Sama ada kamu di matrik, di INTEC dan sebagainya. Kemudian kalau kamu sudah dapat keputusan matrik dan

Lalu adik-adik yang cemerlang, jangan selalu di alam mimpi ya dan kepada adik-adikku jika kamu tiba-tiba mendapat keputusan yang tidak terduga. Hidup ini bukanlah hanya SPM sahaja ya. Perjalanan masih panjang, jauh dan kita bukan punya kuasa melihat masa depan.

Pengkhianat cinta atau Pendusta cinta


Siapa yang mahu menjadi pengkhianat cinta? Kalau seseorang itu berkasih sejujurnya, pasti dia tidak mahu menjadi pengkhianat cinta. Namun adakalanya kamu yang tidak mahu menjadi pengkhianat cinta tetapi akhirnya kamu memilih menjadi pendusta cinta. Lalu siapa yang lebih teruk si pengkhianat cinta atau pendusta cinta?

Aku menemui watak-watak ini dalam hidup aku. Mereka yang tidak mahu dituduh menjadi pengkhianat cinta yang kemudiannya menjadi pendusta cinta. Mereka bermula menjadi pemuja cinta. Berhari-hari hidup dalam khayal dan bunga-bunga ria. Dalam diari harian, pasti tertulis nama si pria atau si perawan. Hidup sedetik tanpa mengungkapkan namanya seperti tidak lengkap bagai lagu tanpa irama. Rasanya kalau disuruhnya menyebut nama kecintaannya setiap minit pun ada yang sanggup.

Namun suatu hari, mereka ini bangun dari tidur dan mereka rasa pawana telah membawa rasa cinta pergi. Kali ini mereka tidak memandang wajah si dia dengan perasaan yang sama. Malah mereka ini telah memandang orang lain dengan perasaan yang lebih dari si dia. Masa telah membawa kecintaannya pergi. Masa dituduh menyebabkan rasa cinta yang pudar dan tidak semanis dahulu lagi. Mungkin hormon kimiawi cinta yang dirembeskan oleh kalenjar pituari telah semakin susut dan tidak melonjakkan perasaan girang. Segala macam teori punca-punca cinta pudar bermain-main di fikiran. Malah hati seakan kosong walaupun si dia ada di depan mata.

Sayangnya, mereka ini memilih berdiam daripada berkata benar. Mereka tidak mahu dituduh sebagai pengkhianat cinta. Mereka tidak mahu dikatakan punca perpisahan. Mereka tidak mahu dikritik kawan-kawan dan masyarakat bahawa mereka golongan pengkhianat cinta. Mereka mula bersikap dingin. Mereka berdikit-dikit memadam rutin hariannya. Mungkin hari ini mereka sengaja lupa menghubungi si dia ataupun tidak membalas pesanan ringkasnya. Mereka mencabar sabar si dia. Mereka menguji takah kemarahan si dia. Mereka menunggu si dia yang melafazkan kata putus dan pisah akbibat tidak tahan dengan sikap endah tak endah. Mudahlah mereka menuduh si dia yang berubah dan mengharap apa-apa yang tidak mampu mereka sediakan.

Malangnya, sabar si dia bukannya sesaga sahaja. Si dia masih bertahan dan selalu tersenyum. Bagaimana kalau si dia menganggap itu duga dan ujian dalam bercinta ataupun si dia juga punya fikiran seperti mereka? Tidak mahu dianggap si pengkhianat cinta? Lalu bagaimana hujung hubungan kamu-kamu ini? Kamu-kamu cuba bertahan? Sampai bila?

Bayangkan suatu hari nanti, kamu-kamu saling bertanya, sejauh mana cinta kamu pada pasangan kamu dan kamu menjawab kamu masih sayang dan cinta padanya. Maka jadilah kamu pendusta cinta. Mengada-adakan cinta meskipun cinta sudah tidak ada. Menjadikan cinta itu kehilangan makna.


Berdirilah dan berkata benar wahai kawan-kawanku. Berkatalah dengan segala keberanian yang pernah wujud dalam hidup kamu. Katakan bahawa hatimu telah hilang rasa cinta. Mengakulah itu salah kamu tidak membendung cinta dari pergi. Mengaku salah bukan bererti kamu kalah. Sebaliknya itu satu kemenangan untuk diri kamu. Kemenangan menegakkan kebenaran untuk hati kamu. Bebaskan diri kamu.

Tidak mengapa kawan-kawanku kamu menjadi pengkhianat cinta. Kamu sekadar mengkhianati cinta bukan mengkhianati diri sendiri dan orang lain. Kamu tidak membiarkan kemunafikan menjalar dalam jiwa kamu.


Percayalah, sampai bila kamu boleh berdusta? Lidah pun bisa tergelincir kata suatu hari nanti dan mengkhianati kamu juga suatu hari nanti. Ketika itu kamu bukan sahaja dituduh mengkhianati, malah menjadi pendusta juga.

Alasan VS Bidasan : Mengapa jarang tambah entri di blog ini?


Alasan VS Bidasan : Mengapa aku jarang tambah entri di blog ini?

  • Aku tengah sibuk sangat dengan PITA (Penilaian Tahun Akhir). Proposal aku asyik kena reject sahaja. Macam mana aku hendak tambah entri walhal tambah bahan dalam proposal pun aku sudah tidak cukup tangan?

Ah ! Itu semuanya alasan. Tidak semestinya entri kena panjang-panjang. Entri sepatah dua pun boleh asalkan ada.takkan gambar atau teka-teki pun kamu tidak boleh tinggalkan. Mana janji-janji manis kamu nak tambah entri setiap 3 hari sekali. Semuanya palsu!

  • Aku baru sahaja beli laptop baru. Window vista ini buat aku blur semacam saja. Aku sibuk kemas kini fail-fail dan cuba menyesuaikan diri dengan dengan laptop baru.

Eh! Nawaitu masih dengan laptop lama (yang selalu rosak) bukankah berbunyi begini, “Kalau aku ada laptop baru, aku akan semakin rajin menulis entri, cerpen dan cuba menyiapkan novel untuk HKSU sebelum hujung tahun ini”. Lalu mana nawaitu murni itu? Kacang lupakan kulit!.

  • Aku kekurangan klausa dan kata. Kamus dewan edisi ke-4 yang warna merah saga dan masih bau kedai itu hilang semasa dalam penyimpanan di stor ketika cuti semester. Jadi, macam susah sikit hendak dapat idea menulis. Wrgh.. aku tengah sedih ini, fahamilah sikit.

Oh, jadi bukankah kamus dewan edisi ke-3 itu masih ada lagi.. Walaupun kulitnya hijau lumut dan berbau semacam tetapi ilmu didalamnya kan boleh digunakan. Sudah ada gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi ya. Lagipun sumber idea bukankah boleh diperolehi melalui internet, akhbar dan juga jurnal tesis kamu yang menggunung itu?

  • Ala bukannya ada pembaca setia hendak baca blog aku pun. Pengunjung pun purata sehari dalam 4-5 orang saja. Itu pun dikira sekali aku yang menjadi pembaca danpengunjung tetap blog sendiri. Jadi aku tambah atau tidak tambah tidak beri kesan pada ekonomi dunia pun.

Ish, kita menulis ini kan niatnya menyebarkan ilmu. Orang nak baca atau tidak itu dibawah bidang kuasa kita. Kalau kamu pun malas nak pergi blog orang dan tinggalkan komen kat blog mereka, macam mana mereka dan bertandang dan membaca blog kamu?

Urm.. macam mana ini, setiap alasan yang diberi mesti ada bidasan. Okey, aku berjanji akan cuba memaksimumkan penghantaran entri diblog ini. Oleh itu, AKAL, jangan marah-marah aku lagi ya.

Si Tukang Bagi Alasan : Nafsuku yang pemalas

Si Tukang Bagi Bidasan : Akalku yang rasional

Eh Lelaki Edisi April 2008 (Cinta dan Kereta)


Suatu petang dingin, ada seseorang teman lelaki bertanya padaku.
“Yana, bagi kau cinta itu bagaimana?”

Aku terkedu. Dalam hati menyeranah. Aku bukan pakar cinta mengapa bertanya padaku? Riak wajahnya kosong tetapi matanya sarat harapan jawapan.

“Cinta itu seperti kereta.”

Matanya membuntang dan terus sahaja menyanggah jawapanku. Kalau nak menyerang balik, mengapa sibuk bertanya? Ah mesti dia tengah kalut dalam cinta.
Aku mempertahankan kerelevanan jawapan yang sebenarnya tiba-tiba muncul dalam minda.

Mengapa kau ingin memiliki kereta. Mestilah untuk kesenangan. Untuk memudahkan kau kemana-mana bukan? Jikalau kau sudah bersedia untuk memiliki kereta makanya kau telah mengumpul wang yang cukup sekurang-kurangnya untuk depositnya serta kewangan yang kukuh untuk bayaran bulanannya serta minyaknya. Takkan lah hendak kereta tapi tak cukup wang bukan.

RELEVAN
Begitu juga dengan cinta, mengapa kau ingin memiliki cinta. Untuk melengkapi apa yang kurang dalam diri. Untuk mencari bahagia dalam diri. Ada juga yang mencari dirinya yang hilang. Jika kau sudah bersedia untuk bercinta maknanya kau sudah bersedia untuk terikat dengan komitmen dan juga suka duka dalam bercinta kerana dunia cinta bukannya hanya indah-indah.

Kemudian apabila sudah memiliki kereta, biarpun boleh membanggakan diri, biarpun membahagiakan tetapi ingatlah kereta itu benda bukan hidup. Perlu diberi nafas nyawa untuk terus boleh berjalan. Minyak enjinnya harus diperiksa setiap 5,000km. Penyaman udara haruslah dielakkan bocor. Pemeriksaan terhadap saluran udara, karburetor, sistem pencucuhan supaya berkeadaan baik. Tayar juga harus diisi dengan angin untuk mengelakkan tayar mudah menjadi botak. Malah seribu satu macam penjagaan kereta yang rumit dan ruwet. Cuba bayangkan, kau tidak melakukan penyelenggaraan, mesti kereta mudah rosak kan?.

RELEVAN
Cinta juga perlu penjagaan seperti kereta. Harus diberi nyawa semasa hayatnya. Jangan berharap sekali kita mengikat rasa, rasa itu akan kekal selamanya. Kadang-kala perasaan itu mudah berubah.
Sedangkan pasir dipantai boleh berubah, apatah lagi manusia. Kita tidak perlu selalu mengungkapkan rasa sayang dan cinta kerana keistimewaannya akan hilang. Cukuplah sesekali kita memperbaharui ucapan tersebut pada hari-hari istimewa seperti minyak enjin kereta yang perlu diservis setiap takat perjalananannya. Nah, kalau kau enggan untuk itu, pastilah cinta akan berdikit-dikit pudar.

Ya, memiliki kereta sememangnya gah dan menyeronokkan. Bangga bukan bila mampu menayangkan kereta dihadapan rakan-rakan. Namun harus diingat kereta itu bukannya benda bernyawa. Yang meniupkan nyawanya ialah tangan-tangan manusia. Adakala kereta itu rosak dan terlibat dengan kemalangan tanpa sengaja atau kecuaian individu lain. Takkanlah nak biarkan kereta itu tersadai di garaj sahaja. Mesti kena hantar bengkel dan waktu itu dompet kau juga mengempis. Sungguh perit tetapi kau akan lakukan juga bukan? Kau tak minta kereta kau rosak tetapi kerosakkan itu bukanlah boleh dirancang.

RELEVAN
Cinta juga begitu. Mana mungkin sempurna. Adakalanya ada pihak yang merajuk. Takkan mahu biarkan sampai menjadi barah? Kalau kereta boleh dihantar ke bengkel , begitu juga cinta harus dihantar ke bengkel hati. Yang merajuk harus dipujuk. Yang marah-marah sayang harus diambil perhatian. Yang terkecil hati harus diperbesarkan hatinya. Ah leceh bukan? Itu yangs selalu kau rungutkan tapi itulah pengorbanannya. Anggap sahaja cinta ini seperti kereta. Seperti mana kau membelai kereta, seperti itu kau membelai cinta.

Jawapan aku panjang. Matanya terbelalak besar tanda kagum dengan teori aku yang aku baru cipta tak sampai 3 minit. Dia membelanja jus honey dew tanda terima kasihnya. Saat dia pergi aku terasa mahu tergulir-gulir. Ah, aku doktor cinta tak bertauliah. Pengalaman pun tak ada mahu diajari tentang cinta pada orang lain. Sepatutnya aku sarankan dia tengok cerita CINTA arahan Khabir Bahtiar. Kan senang. Atau kalau dia jelak dengan filem Melayu, pergi sahaja ke kedai Speedy dan pilih cerita orang putih yang berlambak-lambak menghikayat cerita cinta.

Namun aku mengerti. Lelaki ini kurang mengerti mengekspresi rasa hati. Ah mungkin analogi kereta dan cinta ini tepat juga. Untuk lelaki diluar sana yang sering merasakan leceh tentang peraturan cinta yang ruwet, ingat sahaja. Cinta itu seperti kereta. BroOoOOmmmmmm.

ANEKDOT :
Suka amat mebaca karya HAMKA ’Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’. Ada satu falsafah cinta yang aku kagumi hingga sekarang ”Cinta itu seperti mengejar kijang dirimba, semakin diburu semakin jauh ia berlari akhirnya tidak tahu jalan untuk kembali”sekarang ”Cinta itu seperti mengejar kijang dirimba, semakin diburu semakin jauh ia berlari akhirnya tidak tahu jalan untuk kembali”