Percakapan Singkat


Malaikat telah membawamu pulang ke tanah asal yang kau benci itu. Tanah yang kau ingin lari daripadanya tetapi entah apa tetap mahu pulang kepadanya juga. Lalu di helaian sayap-sayap malaikat itu, kau cuba bersembunyi dan malaikat dengan senang hati menyembunyikanmu.

Lalu kini dan di masa-masa akan datang, simpan sahaja malaikat kamu itu di dalam tas tangan atau beg tarik dan bawalah dia ke mana-mana supaya kamu rasa dilindungi. Bukankah itu yang kamu mahukan, rasa dilindungi kerana kamu itu hanya figura yang lemah. Sangat lemah. Dengan malaikat itu, kamu berasa kuat?

Kerana tiada rumah lain yang mahu menyimpan malaikat kamu itu. Kamu sudah tidak perlu risau atau berusuh hati lagi mahupun bergaduh apakah malaikat kamu mahu singgah di laman rumahmu? Simpan sahaja malaikat kamu itu dekat dengan kamu. Itupun jika kau boleh. Kerana malaikat yang punya sayap telah menyembunyikan banyak benda seperti kamu,telah banyak menghiburkan hati seperti kamu. Yang di helaian sayapnya hanya seakan-akan patung-patung yang digantung untuk hiasan dan hiburan.

Kepada malaikat, selamat berhibur dan menikmati madu di bulan

Advertisements

Rahsia, biarlah menjadi rahsia.


Rahsia, bersembunyilah daripada ditemui.

Semua benda yang tidak kita ketahui atau tidak boleh diberitahu telah kita beri namanya rahsia. Sifatnya sendiri adalah rahsia dan misteri.

Rahsia ini sifat semulajadinya ialah menggoda dan mewujudkan keinginan (desire). Jika ada sahaja apa yang disyaki sebagai rahsia, pasti akan timbul keinginan dalam hati kita untuk mengetahui apakah dia, rahsia menggoda kita supaya mencari jalan agar diketahui, ditemui padahal dia sepatutnya bersembunyi, duduk sahaja diam-diam dalam lingkungan diri dan kerahsiaannya.

Rahsia tidak semestinya wujud di luar lingkungan diri kita, ada waktunya kita juga punya rahsia-rahsia yang tidak kita sendiri ketahui. Sebab itu, ada kalanya bakat sebenar dalam diri seseorang tidak diketahui, sebab tersembunyi dan misteri dan dirahsiakan. Sejauh mana kita dapat menjelajah ke dalam diri kita untuk mengetahui rahsia-rahsia yang telah diri kita sembunyi. Bakat-bakat terpendam, bak kata orang.

Namun tahukah bahawa setelah rahsia diketahu, rahsia bertukar sifatnya menjadi kenyataan. Selepas itu, apakah kita akan dapat sanggup berdepan dengan kenyataan itu? Sejauh mana kita dapat bertahan untuk menerima kenyataan. Tidak semua kenyataan sifatnya manis. Sebab itu ada wujud frasa klise dan popular, “sungguhpun kenyataan itu pahit, kita harus menerimanya

Jika kita belum sanggup untuk bertahan dengan sifat kenyataan yang ada waktunya pahit dan manis itu, berahsialah. Kekalkan rahsia di tempat sewajarnya.

Biarlah rahsia itu terus bersembunyi, nyaman di tempatnya. Biarlah. Janganlah kita terlalu mahu mengetahui rahsia kerana mungkin kita tak sanggup menangung beratnya kenyataan.

Oleh itu, rahsia, bersembunyilah daripada ditemui. Bersembunyilah.

Notakakitangan :Oh ya, boleh juga layan cerpen Ini Rahsia Saya. Hehehe

Mari kita meraikan cinta seperti pasangan biasa yang melahirkan cinta di gedung-gedung besar pasar raya


Mari, kita keluar seperti pasangan biasa yang melahirkan cintanya di gedung-gedung pasar raya. Sewaktu kau ambil aku dengan keretamu dan mempersilakan aku duduk. Ah, manis sekali. Dengan dayamu, memandu ke gedung besar pasar raya, tempat pasangan bercinta bercanda. Ketika parkir dibayar dan terusan kau bertanya : mau makan atau jalan? aku jadi bingung.

Kau memutuskan mahu makan selepas tiket wayang dibeli. Aku menurut sahaja kerana masih terasa asing berjalan berdua denganmu di gedung besar itu. Semasa dihadapan panggung, kau bertanya filem apa yang mahu ditonton. Memilih dari skrin yang membariskan filem yang bobrok dan tiada satu berkenan di hati, namun kupilih juga cerita melayu untuk menyokong industri filemnya yang tenat. Sesudah itu, kita pergi mengalas perut yang semakin lapar.

Begitu payah memilih kedai di gedung besar kerana gudang besar dalam tempat menghimpun menu-menu dari seluruh dunia. Ada pasta, pizza, subway, agam gorengan, burger, sebut sahaja apa. Aku dan kau saling berpandangan. Di gedung besar, aku kepingin nasi dan restoran melayu kita pilih. Bersama memilih caj perkhidmatan yang mahal serta nasi sejemput yang dihidang secara seni dan profesional. Lalu lagu daripada John Lennon yang romantis menyapa serta seorang lelaki memainkan violin cinta untuk kita. Ah!

Sementara menunggu masa wayang berlangsung, kita pun memilih berjalan dari kotak kedai ke kotak kedai. Seperti pasangan biasa lakukan untuk melahirkan rasa cinta. Aku melihat-lihat baju yang diperagakan di kaca pameran. Kau melihat-lihat kasut yang rapi jahitan. Sehingga kita menjadi bosan walaupun baru sahaja 15 minit berlalu, lalu akhirnya kita terperuk di kedai buku dan hilang dalam sunyi sehingga lupa wayang akan ditayang.

Buru-buru mengejar wayang kerana terlupa masa di kedai buku. Kita sempat masuk panggung dan melihat sekian banyak pasangan sudah memenuhi panggung. Filem berputar, baru 10 minit, kita sudah jadi terlalu jemu dengan apa yang kita tonton serta saling tertanya kenapa filem ini banyak penontonnya. Bila melihat sekeliling rupanya ada wayang di kerusi lebih menarik daripada wayang di layar. Lalu kita berkeluh kesah menunggu satu jam berlalu sambil cuba tertawa atau menakut-nakutkan diri dengan cerita di layar.

Sesudah itu, apa caranya lagi untuk kita melahirkan cinta seperti pasangan biasa di gedung besar? Ya, mungkin melontar bola bowling atau karaoke? atau mungkin apa?

Kita sama-sama kebingungan di tengah-tengah gedung besar pasar raya dan pasangan biasa yang sedang melahirkan rasa cinta.

Penyelamat Cinta???


Kata mereka, “Terima kasih kerana menjadi cupid (penyelamat cinta).”

Saya senyum sahaja, terpinga dan tidak faham.

Itu cerita bertahun-tahun dahulu. Zaman saya sekolah. Zaman tudung putih disembat dihadapan.

Sekarang pun ada orang beri ungkapan yang sama. Masih berterusan beberapa tahun kebelakangan ini.

Saya rasa saya tidak buat apa-apa. Saya sekadar sudi menemankan mereka berjumpa-jumpa atau apabila mereka sedang pening dengan masalah cinta mereka, mereka seakan senang menerima nasihat-nasihat saya. Walhal saya ini lagi bebal dalam soal cinta.

Apabila semakin dewasa ini, rupanya sudah berapa ramai yang meminta saya menjadi penyelamat cinta, meminta menyambung ikatan terputus, memulakan cinta atau apa-apa. Saya masih dengan wajah manis tidak pernah menolak atau berkata tidak.

Kadang-kadang saya sendiri aneh dengan diri sendiri. Kalau orang lain, sudah menimbun rasa cemburu apabila melihat teman-teman seangkatan sudah punya cinta dihati tetapi diri sendiri masih solo juga. Saya senang sahaja menemankan mereka bila memerlukan atau menghantar dan menjemput mereka. Malah lama-lama saya menjadi perancang pula.

Saya pernah bergurau dengan seorang teman, “Agaknya aku ini boleh buka agensi mencari jodoh la. Banyak untung!”

Lama-lama saya bertanya, mengapa agaknya saya senang berbuat demikian ya?

Mungkin saya suka melihat wajah-wajah bahagia. Senyuman yang terpamer manis apabila hati dihujani kelopak mawar. Mungkin saya rasa bahagia melihat mereka memandang saya dan mengucapkan terima kasih. Mungkin saya suka mereka tertawa dan bercanda mesra. Mungkin.

Atau mungkin saya kaki menyibuk! Haha.. Itu pun satu kemungkinan kan?

Apa-apa pun untuk mereka yang pernah menerima khidmat penyelamat cinta (kononnya) ini, saya harapkan semoga hubungan berkekalan dan berpanjangan. Saya harap saya dihadiahkan dengan kad berukir nama anda berdua suatu hari nanti.

InsyaAllah.

Guru bukan dewa dan murid bukan kerbau


 

Kalau angka ku ditahan oleh model guru yang tak tahan kritik aku akan mengadakan koreksi habis-habisan aku tidak mau minta maaf, memang demikian kalau dia bukan guru pandai tentang karangan saja dia lupa aku rasa dalam hal sastraku lebih pandai. Guru yang tidak tahan kritik masuk kedalam keranjang sampah, guru bukan dewa dan selalu benar dan murid bukan kerbau. (Sok Hok Gie – Catatan Seorang Demonstrant)

 

Untuk semua guru yang pernah memberi ilmu, menunjuk ajar dengan sabar, menebar bijaksana. Terima kasih.

 

Notakakitangan : Tulisan Gie mengingatkan saya tentang satu peristiwa di maktab atas kayangan. Sedih tapi benar.

Numerikal (Untuk Kawanku Yang Telah Pergi)


Mari duduk kawanku. Untuk seketika ataupun sesaat.

 

Mari, kita membilang cerita yang pernah terjalin kerana masa akan datang tiada lagi cerita.

 

Kawanku,

Hitungkan buku-buku yang kita bicarakan dan lagu-lagu yang kita nyanyikan. Kirakan filem-filem yang kita diskusikan serta bakul-sampahkan. Karangkan falsafah yang kita pernah luncurkan atau pertanyaan-pertanyaan yang pernah kita jungkarbalikkan. Semua itu untuk aku menghitung nilai persahabatan kita secara numerikal.

 

Kawanku,

Kembalilah kita kepada keterasingan dan jarak yang memisahkan kita tidak terhapus dan bertambah jauhnya.

 

Kawanku,

Sekarang, pergilah, membilang pelangi.