Selamat Ulang Tahun, Aan Mansyur


Januari,

Langitnya adalah hamparan ramalan yang tidak terduga, kerana ia penghujung musim dingin hujan menghampiri tenang dan berimbang. Sebentar, malam boleh sahaja menjadi terlalu hangat, atau petang akan sahaja dikunjungi hujan. Langit Januari, langit yang jarang dapat ditebak isi hatinya.

Beberapa bulan sebelum ini, tepatnya 20 Oktober adalah ulang tahun ketiga jatuh cinta kepada puisi-puisi Aan atau saya lebih gemar memanggilnya Ulang Tahun Cinta. Saya gemar sekali mengingatinya dalam cara begitu, menghitung berapa lama saya mengenal puisi kamu dan berapa lama saya memilih jalan ini untuk terus menulis. Kerana saya selalu bercita-cita menjadi penulis cerpen, dan puisi jelasnya hanya tempat mengadu resah gelisah sesudah hati saya itu dipatahkan dan sebetulnya saya tidak pandai menulis puisi, atau merangkai hanya sejumlah kata untuk menebarkan jutaan emosi dan perasaan yang sedang bergelombang dalam fikiran. Tetapi saya lupa, seperti cinta, kita tidak pernah tahu betapa dalam perasaannya, kecuali selepas kita bertemu dengan orang yang betul, atau layak, begitulah, puisi atau kata-kata juga begitu, rangkaian kalimat yang tepat sedang menunggu kita di mana-mana untuk kita menemuinya, hanya perlu sahaja kita mencarinya. Jatuh cinta, ia seperti langit Januari, yang sukar sekali ditebak, bilakah akan jatuh dibasahi hujan atau terbakar oleh hangat matahari?

Saya sebetulnya, tidak tahu benar berapa umur atau nama sebenar Aan, meski pernah melihat kartu KPI, yang benar tertulis M. Aan Mansyur, yang dikatakan bukan nama sebenar. Bertemu dua kali di Makassar sebetulnya adalah mimpi-mimpi yang tak terduga. Ia menuntut keberanian yang bukan sedikit untuk meninggalkan Malaysia dan berjalan bersendirian, tetapi saya menemui diri sendiri, juga jalan mana yang seharusnya saya tempuh di sana. Dan saya juga percaya berjalan dan mengembara membuatkan kita menemui diri kita di mana-mana.

Sebuah buku sederhana saya sudah selamat ditulis dan diterbitkan tahun lalu, “Sepetang di Kafe Biblioholic”. Aan tentu sahaja begitu akrab dengan nama ini, yang saya ambil sempena kafe baca biblioholic, sebuah kafe yang diusahakan bersama Aan dan mantan pacar, Alifiah. Proses menulis novel ini bermula sangat sederhana, ingin berbagi rasa, seperti mana Aan membagi rasa dan berkongsi dengan komuniti buku di sana. Saya percaya menulis, adalah cara saya berbagi rasa juga, dan betapa menyedihkan apabila sebuah projek kecil tetapi besar maknanya itu sudah ditutup kerana beberapa hal. Lalu, saya memilih untuk mengawetkan kafe kecil jauh di Makassar, ke dalam buku sederhana ini supaya akan tumbuh juga sebuah kafe baca di sini yang mendukung semangat yang sama seperti di sana.

Sewaktu ulang tahun Aan yang entah ke berapa pada hari ini, yang sengaja tidak mahu saya tahu kerana saya ingin mengawet “kemudaan” usia dalam surat ini, supaya ia masih relevan untuk dibaca, atau masih juga suka dibaca sekurang-kurangnya kepada saya, saya membaca kembali sajak yang saya tulis sempena ulang tahun kelahiran Aan beberapa tahun yang lalu. Ia ritual yang saya selalu lakukan, kerana ia mengingatkan “keanak-anakan” puisi saya, dan kembali menjadi anak-anak membuatkan kita akan kembali bermain-main. Dan saya percaya dengan sentiasa menjadi anak-anak, kita tidak pernah terlambat untuk menulis dan terus menulis tentang apa-apa pun kerana masa hadapan masih terlalu jauh.

Januari, meski langitnya sering menggundahkan peramal kaji cuaca, tetapi saya mencintai bulan ini kerana di dalamnya terkandung ulang tahun kelahiran Aan Mansyur. Selamat menyambut ulang tahun. Dan terus menulislah, kerana tulisan Aan, sering kali buat saya jatuh cinta dan menyelamatkan saya daripada kesedihan.

Memo Untuk A IX: Lagu Penghujung November


Pink Martini – Veronique


Penghujung November telah tiba dan lagu ini menghantui saya, setiap hari, berulang kali.

Surat yang saya tulis tidak pernah saya kirim, alamatnya telah hilang pada sampulnya tetapi tidak pernah hilang dalam ingatan saya. Tetapi tiap satu patah perkataan itu saya ingat benar dan apakah surat yang tak terkirim itu isyarat untuk kau kembali?

Puisi Perkahwinan – Kekasih


I

Dengar khabar, puisi yang ditulis Usman Awang ini ditujukan untuk isterinya. Saya jatuh cinta pada puisi ini sejak terdengar lagu puisi yang dinyanyikan oleh kumpulan tersohor dalam lapangan ini, iaitu Kopratasa.

Lagu ini pernah saya jadikan ringtone khusus untuk seorang pemanggil. Waktu itu baru sahaja beli telefon canggih (sekarang telefon itu tidak canggih dah, hahaha)

Walaupun, puisi ini sangat indah dan sangat membuai, saya tetap terganggu sedikit di penghujung puisi ini kerana baris terakhirnya. Ini kerana semua susunan rangkap demi rangkap, imejannya sangat dekat dengan alam Melayu tetapi pada rangkap terakhir apabila diselitkan perkataan yang dipinjamkan daripada bahasa asing, menjadikan puisi ini sedikit sahaja janggalnya.

Tetapi lagu puisi ini sering kali diulang-ulang dengar terutamanya sekali waktu hujan. Apabila sampai di bahagian, Akan ku anyam gelombang-gelombang Menjadi hamparan ranjang tidurmu, mesti fikiran saya sudah melayang ke bulan

II

 

Usman Awang – Kekasih

Akan ku pintal buih-buih
Menjadi tali mengikatmu
Akan ku anyam gelombang-gelombang
Menjadi hamparan ranjang tidurmu

Akan ku tenun awan gemawan
Menjadi selendang
Menudungi rambutmu
Akan ku jahit bayu gunung
Menjadi baju pakaian malammu

Akan ku petik bintang timur
Menjadi kerongsang menyinari dadamu
Akan ku jolok bulan gerhana
Menjadi lampu menyuluh rindumu
Akan ku rebahkan matahari
Menjadi laut malammu
Menghirup sakar madumu

Kekasih…
Hitunglah mimpi-mimpi
Yang membunuh realiti
Dari syurga ilusi

III
Versi lagu puisi

Puisi Perkahwinan: Satu Cerita Cinta


I

Rujuk entri terdahulu mengapa judul entri ini Puisi Perkahwinan.

II

Saya sememangnya suka puisi Zurinah Hassan sehingga boleh ‘ter’hafal puisinya dan dibacakan di waktu senggang. Dr. Zurinah Hassan, saya kira antara penyair wanita terbaik Malaysia. Puisi ini pernah saya letakkan untuk salah satu album gambar di facebook yang telah diprivasikan dan yang cuba dihilangkan perlahan-lahan dalam fikiran saya bahawa saya punya album gambar tersebut. Bak dalam sajak Dr. Zurinah yang lain, iaitu Ingatan Pada Satu kasih Tak Jadi yang saya ubah-suai sedikit. “Kesilapannya, aku mengatur gambar-gambar
dalam sebuah album yang indah
sedang kau tidak pernah melihat gambar-gambar itu.”

Untuk puisi ini, saya sangat suka bahagian ini yang saya fikir boleh digunakan semasa sedang dalam keadaan ribut taufan perkahwinan iaitu,

“Perkahwinan kadang-kadang
mengajar kita melupakan cinta
untuk belajar hidup bersama.”

III

Zurinah Hassan – Satu Cerita Cinta

Di hari ia melahirkan cintanya
Ia berkata kepada kekasihnya
“Kita tidak usah berjanji untuk setia
kerana kita tidak mahu setia kerana janji
kita akan setia kerana cinta
hanya kerana cinta…”

Di hari perkahwinannya
Ia berkata kepada isterinya
Perkahwinan ini adalah ikatan
tapi kita tidak usah terikat kerananya
kita terikat kerana cinta
hanya kerana cinta…”

Di hari-hari kemudiannya
Ia berkata kepada dirinya
“Perkahwinan kadang-kadang
mengajar kita melupakan cinta
untuk belajar hidup bersama.”

Puisi Perkahwinan: Resep Sederhana Mengawetkan Cinta


I

Apabila mula masuk cuti sekolah dan bertindihan dengan tarikh-tarikh cantik ini, saya ingin berkongsi puisi-puisi tentang perkahwinan yang saya tahu di blog ini. Saya akan memuat-naik satu puisi setiap hari. Puisi ini boleh sahaja dibacakan oleh pengacara ketika mengacarakan majlis, atau kepada sesiapa yang menulis dalam guest book pengantin, atau di dalam kad yang mengiring hadiah perkahwinan.

Semua puisi perkahwinan ini adalah puisi yang saya suka baca, dan salah satu daripada puisi ini ingin saya abadikan dalam kad perkahwinan saya (impian sejak zaman belasan tahun, hahaha)

II

Puisi ini saya temui dalam salah satu blog Aan Mansyur dan saya terus sahaja jatuh hati kepada puisi ini (ya, saya tahu pembaca blog mungkin dah bosan membaca saya jatuh hati dengan sajak Aan Mansyur. Hahaha) Saya telah menghadiahkan puisi ini di dalam salah satu guest book majlis perkahwinan kawan baik saya dua tahun yang lalu.

Aan Mansyur menuliskan sajak ini untuk temannya yang Aan tidak dapat menghadiri majlis perkahwinannya.(Kalau tidak silap saya)

Saya sukakan resipi mengawetkan cinta di dalam sajak ini dan sungguh saya menunggu untuk mengatakan kepada (bakal) pasangan saya (yang sedang hilang GPS ke hati saya, hahaha)

sungguh, sayang, saya beruntung menemukan
seseorang yang kepadanya mulutku sangat
sangat sangat berat buat mengatakan satu
kalimat-dua-kata: selamat tinggal.

III


Aan Mansyur – Resep Sederhana Mengawetkan Cinta

jika anda mendengar atau membaca
kalimat sederhana entah dari siapapun,
entah di mana, catat atau ingatlah satu
atau dua kata dari kalimat tersebut.

masukkan kata-kata itu
ke dalam sebuah puisi sederhana.
tak perlu memaksa diri menulis puisi
yang, katakanlah, terlalu berbunga-bunga.

di bawah judul, tuliskan nama pasangan anda.
atau jadikanlah namanya sebagai judul puisi
—bisa menambah kata ‘untuk’ atau ‘buat’
di depannya. ingat, panggilan sayangnya saja.

atau sebaiknya saya ceritakan bagaimana
saya menggunakan resep sederhana ini.

saat berbulan madu, kami menonton film,
saya mendengar kalimat diucapkan seorang
dalam satu adegan di tengah-tengah film itu.

sekarang saatnya mengatakan selamat tinggal.

dengan kata-kata sederhana, saya lalu menulis
sebuah puisi pendek di kamar untuk istri saya.

‘selamat tinggal’ judulnya. saya tulis namanya
di bawah kata dari film yang jadi judul puisi itu.

sungguh, sayang, saya beruntung menemukan
seseorang yang kepadanya mulutku sangat
sangat sangat berat buat mengatakan satu
kalimat-dua-kata: selamat tinggal.

puisi itu saya tulis di balik foto pengantin kami

saya membacanya pertama kali di meja makan,
saat sarapan keesokan harinya. selanjutnya dia
selalu meminta saya membacanya ketika saya
sedang ditimpa kemarahan. juga sebaliknya.

kini, setelah lebih setengah abad sejak puisi itu
lahir, tak lama lagi salah seorang di antara kami
mungkin akan segera dimakamkan. sungguh,
masing-masing kami betul-betul sangat berat
mengucap kalimat selamat tinggal, sangat berat
mengembalikan puisi itu ke kalimat awalnya,
kalimat dari film yang kami sudah lupa judulnya:

sekarang saatnya mengatakan selamat tinggal.


Berulang 2 Tahun Jatuh Cinta


Dua tahun lepas, tepatnya pada hari ini, iaitu pada waktu ini, saya sedang dilanda murung kerana perancangan untuk kerja jadi tidak begitu teratur, berhadapan dengan komputer saya teringat seorang kawan saya mengesyorkan saya membaca sajak-sajak daripada seorang penulis Indonesia, yang menurut kawan saya, mungkin akan saya sukai kerana bahasa puisinya – kerana temanya iaitu hujan. Mulanya saya mengendahkan promosi kawan saya itu. Saya selalu begitu, sukar tertakluk kepada promosi seseorang. Namun, waktu itu saya menghantar pesanan ringkas, mohon berikan kembali nama penulisnya kerana saya perlu membaca sesuatu, sekurang-kurang pada waktu itu, untuk menghapuskan kemurungan dan kegundahan.

Saya menemui salah satu blognya dan dari satu puisi ke satu puisi yang lain dan saya sudah tahu waktu itu, saya sudah benar-benar jatuh cinta kepada kata-kata, kepada puisinya. Dalam diam, dia menjadi kekasih puisi saya. Dan saya akhirnya menemuinya di Makassar semasa pergi ke sana Jun tahun ini.

Saya menulisnya puisi kepadanya, dan waktu itu, hampir setiap hari saya menulis puisi kalau tidak puisi, saya akan memikirkan sejumlah kata-kata indah. Dan selepas dua tahun daripada waktu itu sekurang-kurangnya saya tahu bahawa puisi tidak semestinya perlu penuh dengan kata-kata susah.

Hari ini, saya mengucapkan selamat kepada Aan Mansyur yang sudah 2 tahun saya jatuh cinta kepada puisinya.

Saya akan kongsikan antara sajak yang pertama kali saya baca waktu itu dan membuatkan saya jatuh cinta kepada puisinya.

SAJAK BUAT ISTRI YANG BUTA
DARI SUAMINYA YANG TULI

Maksud sajak ini sungguh sederhana.

Hanya ingin memberitahumu bahwa baju
yang kita kenakan saat duduk di pelaminan
warnanya hijau daun pisang muda, tetapi
yang membungkus kue-kue pengantin
adalah daun pisang tua. Memang keduanya
hijau, tetapi hijau yang berbeda, Sayang.

Di kepalamu ada bando berhias bunga,
kau merasakannya tetapi mungkin tidak
tahu bunga-bunga itu adalah melati putih.
Sementara di kepalaku bertengger sepasang
burung merpati, juga berwarna putih.

Aku selalu membayangkan, hari itu, kita
seperti sepasang pohon di musim semi.
Kau pohon penuh kembang. Aku pohon
yang ditempati burung merpati bersarang.

Aku lihat, orang-orang datang dan tersenyum.
Mereka berbincang sambil menyantap makanan.
Tapi aku tak dengar apa yang mereka bincangkan.
Maukah kau mengatakannya padaku, Sayang?

(Aan Mansyur, 2007)

P/S: Punyalah semangat, siap buat entri ini auto update lagi J