Esei, Perlawanan yang Mendera


79d9e683b45ea0141f333014a7ce72fc.jpg

Lukisan: Grace Helmer

 

Menulis esei dan artikel sememangnya bukan kepakaran saya. Kalau kawan saya, Wan Nor Azriq menggunakan blog sebagai gimnasium atau latihan menulis esei, sedangkan saya menggunakan blog hanya latihan menulis cerpen, novel mahupun puisi, tidak sesekali esei. Jadi sesekali diminta menulis esei, ternyata sangat menderakan.

Tetapi apabila diminta pihak-pihak tertentu untuk menulis artikel, kadangkala saya tidak sampai hati menolak. Bekerja di bidang penerbitan buku, kadangkala saya tahu situasi “tarikh mati”, keperluan menyediakan bahan pada saat akhir dan betapa kata”ya” atau “boleh’ daripada pihak terbabit sangatlah menceriakan hari. Haha, atau saya susah nak kata tidak kepada permintaan apatah lagi daripada kakak manis. 🙂 Dan selalu sahaja saya menulisnya dalam hari Selasa atau Rabu kerana harus disiarkan pada hari Sabtunya.

Tetapi menulis esei, artikel berkaitan dengan isu semasa bukanlah menunjukkan kearifan, kepandaian atau pengetahuan luas saya tentang isu terbabit. Cuma cuplikan buah fikiran saya, dan juga sebenarnya saranan kepada diri sendiri.

Saya melihat selepas kebangkitan media sosial, penyebaran maklumat serta perkongsian buah fikiran pengarang boleh dilihat secara pantas dan terang-terangan. Kadangkala sesebuah status pengarang memiliki berpuluh-puluh komen membidas, memberi buah fikiran, berdebat, berpolemik, mencurah api dan membakarnya. Tetapi selepas itu apa? Selepas itu tenaga sudah habis dikuras untuk ditulis dalam media sosial kemudian hilang, tidak larat dikomposisi dengan teratur untuk jadi sebuah hujan/esei/artikel yang baik dicerap pembaca. Akibatnya sesuatu isu tidak dapat dibahaskan dengan sempurna, khalayak yang serba naif ini hanya mendapat sekerat kata, sekerat angin. Itu belum lagi kalau di Twitter. Boleh menimbulkan salah faham dan perdebatan sia-sia dengan orang yang kepalanya hanya  berisi angin. Haha. Mujur juga ada angin kan? 🙂

Saya jadi kagum dengan kawan saya yang punya stamina menulis esei, membahaskan perkara atau kerajinan melakukan resensi, dan itu dilakukan hanya sebagai kegemaran dan kesukaan. Hanya latihan untuk perlawanan. Bukanlah satu tanggungjawab dan kewajiban membentangkan dalam seminar, sidang mahupun acara.

Beberapa kali diminta menulis isu-isu seputar dunia sastera, saya mendapati, ya menulis esei merupakan perlawanan yang menderakan. Saya terpaksa menetapkan syarat yang ketat kepada diri sendiri, supaya saya tidaklah menguap bila membaca artikel sendiri, malu apabila artikel saya hanya pendefinisian dan cuplikan daripada kenyataan yang sudah purba, segan kalau-kalau artikel saya hanya kekosongan tin yang minta dibunyikan. Saya harus mengingati diri saya kepada perkara-perkara itu. Dan saya sedar satu hal yang lain, saya tidak boleh menulis artikel dalam kamar saya sebaliknya saya harus menulis artikel di luar, di kafe-kafe. Haha ruwet sekali.  Jadi menulis artikel memaksa saya membuat kajian, rujuk silang, membaca artikel-artikel luar kemudian harus mengolahnya dalam bahasa sendiri. Dengan ini, memberi pendedahan yang sedemikian banyak. Rupa-rupanya memang benar,  kadangkala sebelum kita bertarung, kita kena melakukan sedemikian banyak latihan, seperti di gimnasium, kita cuba mengangkat berat, berlari di trek, mengayuh basikal supaya diri kita lebih bersedia apabila berlari dalam jarak yang jauh atau mahu bertarung kelak.

Sebenarnya saya berazam untuk lebih low profile tahun ini, tidak terlibat dengan banyak acara, tidak mendedahkan diri di media sosial, mengurangkan bersuara di hadapan umum. Sebaliknya giat menulis di blog, azam saya pada tahun ini, untuk lebih giat lagi menulis di blog, menyiapkan manuskrip-manuskrip yang tertangguh. Tetapi keseronokan menulis esei ini mengingatkan tahun-tahun 2009 dan seterusnya. Tahun di mana saya sangat vokal, kritikal. Tetapi saya ingin jadi sederhana dan merayakan semua. Bolehkah saya memiliki kedua-duanya pada tahun ini?

 

Melayu dan Keterbukaan


image

Semasa dalam sesi Reading and Panel Discussion: Dangerous Ideas, di Georgetown Literary Festival bertemakan “We Are Who We Are/Are We Who We Are”, panel Khairudin Aljunied berkongsi pandangan yang menarik. Ketika itu ada persoalan tentang keterbukaan Melayu. Khairudin mengatakan bahawa Melayu sememangnya sudah sedia terbuka. Ini boleh dilihat kepada budaya orang Bugis punya 4 jantina (atau lima bila golongan Bissu juga dihitung), iaitu: 1) Orowane (Lelaki) 2. Makkunrai (Perempuan) 3. Calabai atau Bencong, atau Kawe-kawe atau Wadam (Lelaki yg berpenampilan seperti Perempuan) 4. Calalai (Perempuan berpenampilan seperti Laki-laki, anak gaul makassar biasa menyebutnya: Balaki) 5. para-gender: Bissu; secara fizikalnya terkategorikan sebagai calabi, tapi secara pengertian antropologi, berbeza.

Tetapi menurut Khairudin, kerana Melayu itu mudah dilukai oleh kata lebih daripada perbuatan atau seperti katanya, “Words hit Malay like bullets.”, perkataan seperti butiran peluru. Apabila orang Melayu dituntut untuk bercakap secara terbuka, berhujah, ia sebenarnya telah mendedahkan sisi yang mudah dilukai itu. Kerana itu banyak orang Melayu protes apabila orang luar ingin membawa isu LGBT secara terang terangan dalam media ini sehingga menggetarkan kesepakatan secara bersembunyi selama berdekad ini.

Mungkin sahaja ada benarnya kata panel itu, mungkin juga ada salahnya. Tetapi kalau melihat sahaja daripada budaya orang Melayu, dalam sedang membuat penderhakaan atau marah, katanya digubah dalam pantun sehingga kalau dibaca sekarang tidak ternampak nada marahnya. Komposisi pantun serta suku katanya menyembunyikan kemarahan orang Melayu. Tetapi orang luar menuntut untuk dengan bertindak secara vokal sama ada melalui kata atau tulisan barulah dikatakan mengambil sikap berbanding hanya protes secara diam iaitu dengan tidak mengambil apa-apa tindakan apatah lagi menyuarakan pandangan.

Ini satu pandangan yang harus kita pandang ke dalam diri kita. Kalau kita bukan orang yang vokal terhadap sesuatu isu bukanlah kerana kita tidak mengambil sikap, kerana dengan mendiamkan diri sebenarnya adakalanya sudah menunjukkan sikap kita. Dan ada waktunya apabila orang yang tidak mahu menunjukkan sikap dipaksa untuk menampakkannya, kesan berantai akibat tindakan itu tidak dapat dibendung dan dikawal sehingga hal-hal remeh temeh yang aneh aneh menjadi bahan perdebatan.

Atau itu sebenarnya yang dimahukan oleh pihak luar kepada peta pemikiran masyarakat Melayu? Supaya mudah untuk bercampur tangan apabila keadaan sudah tak terkawal kelak?
Sejarah sendiri pernah membuktikannya.

Jalan Lain Ke Sana


:Kepada J

Dalam perjalanan ke Holiday Villa Subang untuk bengkel strategi, saya telah tersalah memilih jalan dari lebuh Duke memasuki Lebuh Sprint, termasuk ke jalan Duta kerana tidak masuk ke lorong yang sepatutnya. Saya ketika itu sibuk memikirkan apakah lorong yang sepatutnya saya ambil akan membawa saya ke jalan yang saya bayangkan. Dalam kesibukan berfikir, saya telah terlepas simpang dan di Jalan duta, menuju ke pusat bandar saya bergundah sendiri, dengan segala kemungkinan, akan terlewat sampai ke Subang, atau jalan mana yang seharusnya saya ambil selepas ini, atau saya perlu mengambil jalan jauh?
<</span>
Semasa berkira-kira, simpang Jalan Duta akhirnya membawa saya melalui Damansara lama dan akhirnya masuk ke Lebuh Sprint semula, jalan yang saya hendak pergi pada mulanya saya ingin ambil dari mula dan saya selamat tiba ke destinasi lebih awal dari jangkaan dengan kesesakan yang hampir tiada langsung 🙂

II

Dan dalam perjalanan kita sehari-hari atau semasa kita sering memikirkan pilihan yang ada sebelum membuat keputusan, selalu sahaja kita berdepan dengan beberapa hal seperti perjalanan saya tadi: pertama, berapa jalan dan cara untuk kita sampai ke tempat tujuan, kedua; di persimpangan, Antara pasti dan tidak pasti berdasarkan pengalaman kita menmpuh jalan yang sama tetapi untuk destinasi lain, berapa jauh kita dapat membuat keputusan sebelum terlambat, ketiga; Apakah penyesalan sekiranya kita terlepas jalan tersebut dan bagaimana cara kita mendepaninya. Keempat; apakah perlu meneruskan atau berpatah balik sahaja supaya boleh melalui lorong atau jalan yang sama?

Dan pagi ini saya dengan beberapa hal tersebut. Saya sudah merencana, supaya melalui lebuh DUKE kemudian mengambil simpang ke Lebuh SPRINT dan akhirnya membawa saya laluan di hadapan Universiti Malaya dan seterusnya masuk ke Lebuhraya Persekutuan dan menuju ke Subang. Jalan yang paling mudah, dapat mengelak kesesakan dan dapat menuju ke tempat dengan selamat. tetapi kerana dalam ingat ingat lupa (meski telah menempuh jalan yang sama untuk puluhan kali tetapi tidak pernah menggunakan jalan itu untuk ke Subang) saya terlepas simpang ke Lebuh raya Sprint dan membawa ke Jalan duta ( yang seringkali sesak dengan penjawat awam) dan saya antara menyesal dan memarahi diri sendiri dan bertekad untuk mencari pusingan U tetapi saya terlihat papan tanda tertulis Lebuhraya Persekutuan Di jalan yang saya lalui. antara ragu dan cubaan untuk mengingati jalan ini saya meneruskan perjalanan, akhirnya saya menjumpai jalan yang saya bayangkan, dengan mengambil simpang berbeza dalam jalan yang lain. Dan saya akhirnya mengetahui, simpang dan jalan lain untuk menuju ke Lebuh Raya Persekutuan.

Pagi itu, saya belajar hal yang baru, betapa punya banyak jalan dan juga cabang lain dalam mencapai sesuatu. Sekiranya terlepas cabang yang direncana, walaupun harus mengambil jalan jauh mungkin kita patut meneruskan sahaja dengan berani dan berlapang dada. Daripada sibuk menyalahkan diri dan menyesali tindakan serta takdir, sehingga kita terlepas cabang atau jalan alternatif yang mungkin jauh lebih baik untuk jalan hidup kita. Dan kita harus mengambil jalan yang lebih jauh, lebih menyalahkan diri, akhirnya tidak sampai ke destinasi dan sesat sendiri.

Tidak semua orang, mengikut jejak yang biasa, ada sahaja yang menjadi kambing hitam, mengambil atau terpaksa mengambil laluan yang lain dari kebiasaan, atau yang kadang kala terkeluar daripada sistem sedia ada. Adakah perlu untuk berhenti dan beralah? Atau mendongak muka dan melangkah dengan lebih berani? Kenangan atau masa lalu, meski selalu disebut dan diingati, tetap kekal sebagai masa lalu, tidak dapat direbut kembali, meski kita cuba berpatah balik dan berdepan dengan dua kemungkinan, sama ada berterusan sesat atau tetap tidak menghasilkan keputusan yang sama kita harapkan. Yang ada, hanya masa kini yang sedang dilalui dan masa hadapan yang masih absurd bentuknya.

Kepada yang harus mengambil jalan lain atau jalan lain, sentiasa ada simpang-simpang yang memungkinkan kita menuju destinasi yang sama. Keberanian dan keyakinan kepada keputusan sendiri tidak dibentuk oleh yang lain melainkan diri sendiri kerana perjalanan sering dikenderai secara perseorangan.

III

Mungkin gambaran dari kartun The Muslim Show ini gambaran sipi-sipi untuk apa yang saya lalui tadi 🙂


Bubur, Mcdonalds dan Demam



Dilanda selsema, sakit tekak, seterusnya batuk kering. saya berharap terus demam sahaja daripada menyeksa begini. Antara hendak demam tidak demam. Produktiviti pun jatuh terpuruk. Minum bergelen air tetapi masih tidak berkesan. Setiap kali batuk setiap kali itu juga rasa hendak termuntah. Makanan jadi kurang berperisa di hujung lidah.

Akhirnya, makan malam dan juga makan tengah hari? Bubur ayam McDonalds, jenama yang diboikot dan dikutuk penentang zionis satu Malaysia.

Klinik hanya beberapa meter daripada McDonalds. Dan saya tahu, di situ sau-satunya tempat yang diyakini seratus peratus menawarkan bubur ayam yang hangat dan tentu sahaja sedap. Pengalaman melangkah beberapa kedai makan bertanya sekiranya ada menjual bubur nasi selalu sahaja bertemu kehampaan dan kekecewaan. Bayangkan sahaja kita ini sedang sakit, kalau boleh, nak berguling terus di rumah selepas menunggu rawatan doktor hampir dua jam tetapi demi preskripsi doktor mengatakan mesti makan ubat selepas makan, mahu tidak mahu kena juga beli makanan, dan makanan yang dirasakan ideal pada waktu itu hanya bubur. Apa lagi pilihan yang ada? Terus cari GPS atau memori, mana lokasi McD terdekat. Tamat cerita.

Orang kita hanya tahu berniaga nasi campur nasi campur sahaja, atau nasi kukus ayam dara (tidak tahulah memang beli ayam dara atau ayam janda di pasar raya sahaja) atau idea akhir, kedai makan tom yam dan seafood sedangkan falsafah kedai makan sebegitu, mesti setiap hidangan dilambakkan dengan seafood sebanyak banyaknya, barulah boleh berani hendak letakkan nama kedai di hujung nama sendiri, tom yam dan seafood. Jadi di mana keadilan bubur ayam untuk dijual? Ya, di McD sahaja.


Bukan pemikiran saya sahaja, semasa menunggu rawatan doktor di ruang menunggu, (yang lama Tuhan sahaja tahu, sungguh itu klinik swasta sedangkan pesakit hanya 3 orang dan darjah kelamaan itu boleh main candy crush 10 level, bila masuk doktor minta tunggu sebentar sebab sibuk nak berwhatapps), seorang ibu bertanya kepada anak lelaki remajanya yang sakit, “ibu belikan bubur di Mcd ya. Untuk makan sebelum makan ubat.” Kemudian, seorang perempuan yang ditemani suaminya meminta membelikan bubur di McDonalds sesudah mengambil ubat, nah 3 orang sudah berkongsi pemikiran yang sama. Bermaksud hampir 50% penduduk urban KL bila sakit akan makan bubur McD, kenapa bubur tidak menjadi perniagaan franchise yang berkembang maju seperti sup, mee jawa? Adakah ini satu diskriminasi atau rancangan sulit Zionis supaya umat Islam urban Malaysia bergantung kepada bubur McD ketika sakit?

Saya pernah ke pejabat imigresen, dan dari tempat saya meletakkan kereta, saya sudah diekori dan ditanya oleh beberapa orang tentang keperluan saya mengambil gambar atau mengisi borang. Nah bayangkan mereka sepanjang pejabat imigresen itu sudah tahu peluang perniagaan walaupun hanya penawaran untuk menangkap gambar pasport yang mengikut spesifikasi pejabat imigresen dengan cepat dan cantik. Kerana mereka nampak peluang dan keperluan.

Begitu juga, dengan penjualan bubur ayam sedap berdekatan dengan mana-mana klinik swasta kerana makanan itu sudah sampai tahap peluang dan keperluan. Bayangkan, berapa orang yang jatuh sakit dan pergi klinik setiap hari? Ramai kan? Sudah berapa keuntungan daripada menjual nasi terlebih air itu?

Kalau saya ada resipi turun temurun bubur paling sedap dunia, mesti saya sudah buka franchise “bubur bonda”. Tapi malangnya keluarga saya tidak ada tradisi menjual bubur. Saya rasa orang Melayu alam perniagaan makanan ini harus berganjak dan memikir keperluan lebih daripada kehendak, seperti burger bakar itu kehendak bukan keperluan. Bubur ayam sedap, keperluan bukan kehendak. Bayangkan sahaja dalam keadaan demam begini, jauh dari keluarga, berseorang diri di atas katil tanpa pasangan (sebab tak kahwin lagi), kita dapat menikmati semangkuk bubur sedap sebelum berehat panjang. Aduhhhhh!!! Bahagianya!!!

Demi bubur yang sangat sedap dinikmati ketika demam-demam begini, wahai peniaga makanan Melayu sekalian, juallah bubur di kedai kalian.

Penyair Perlu Ada Karakter


Saya sukakan gambar ini. Penyair Poland Wislawa Szymborska. Saya pernah menulis tentangnya dalam entri ini. Gambar ini memperlihatkan Wislawa dalam emosi “keanak-anaknya”. Saya teringat puisi A Cat In An Empty Apartment. Saya membayangkan Wislawa menulis sajak itu dengan wajah dan emosi “keanak-anakan” seperti gambar ini.

Saya fikir penyair perlu ada karakter. Kerana menulis puisi, sebenarnya menulis diri meski separa fiksi. Karakter penyair tidak semestinya pendiam, sunyi, suka mengasingkan diri, serabut, dipinggirkan. Karakter penyair tidak perlu kelihatan seperti itu di hadapan umum. Tetapi kita boleh melihat karakter penyair (yang tulen) melalui cara dia bercakap, cara dia mengawal pergerakan di hadapan umum, cara dia memperagakan diri di hadapan kamera (seperti Wislawa) dan kita sebagai pembaca secara tanpa sedar, akan menyedari karakter penyair tersebut kerana begitu kuat dan begitu berwibawa tanpa terlalu berlebihan ditonjolkan. Dan kita juga akan tahu siapa penyair palsu, dan penyair tanpa karakter.

Kerana puisi ditulis dari dalam, daripada karakter dalamannya.

II

Saya fikir, dalam majalah sastera yang memperagakan penyair sebagai tetamunya, harus menggambarkan karakter penyair dengan cara pensyotan gambar yang terbaik. Bukan model jual tudung sahaja perlu syot-syot dan penataan cahaya yang baik dan kustom pakaian yang terbaik. Seorang teman saya suka melihat gambar-gambar lama penulis. Dengan gambar itu dia akan menceritakan kepada saya, emosi yang diperoleh serta karakter penulis yang dilihat sama dalam gambar dan apa yang dia baca dalam karyanya. Dengan kenyataan itu saya percaya, gambar menggambarkan seribu kata-kata.

Saya suka kulit Dewan Sastera dalam isu Sasterawan Negara Baha Zain. Cukup, saya letakkan kulit majalahnya di sini.



Ini Bukan Ruang Privasi Lagi


I

Lintas langsung twitter yang penuh amarah, puitis orang muda dan linikala Facebook yang penuh keluh kesah dan adu domba orang berusia. Serta entri entri di blog yang sudah lupus dan dilupakan orang. Siapa yang memilih ruang privasinya dan ruang peribadinya untuk didedahkan dalam ruangan-ruangan ini? Kita boleh melihat sekarang ini, orang menjadi terlalu berani untuk berkata-kata. Sungguh terlalu berani. Malah melanggar apa sahaja ruang privasi untuk mencipta sengketa, atau untuk membina bahagia.

Satu persoalan menarik dari teman saya, mengapa mahu privasikan ruang twitter, facebook kecuali blog ini jika memang tiada apa-apa untuk disembunyikan? Ya, untuk mengurangkan sakit kepala, kerana cukup sahaja kenalan facebook dan twitter yang penuh rusuh itu. Jangan tambah lagi orang asing yang boleh bikin kepala pusing. Saya ingin sekali menjawab persoalan itu dengan jawapan teman saya, ” semakin anonymous seseorang semakin dia tidak dipedulikan, oleh itu jadilah anonymous.”

Juga jawapan seseorang yang berpangkat kepada saya apabila terjadi sebuah kes, yang seseorang tersinggung dengan kenyataan saya sehingga hampir mencetuskan pergolakan profesionalisme sedangkan kenyataan itu tentu sahaja tidak tertuju untuknya, bahkan seseorang yang tidak ada dalam linikala atau lintas langsung laman sosial saya, bahkan hanya kritikan kepada umum. Apabila saya menjawab kembali, mengapa ada yang mahu melanggar ruang peribadi dan privasi saya sedangkan saya tidak langsung mengganggunya serta tidak langsung membuat kenyataan kepadanya, sedangkan dia berleluasa mendedahkan sisi peribadi orang lain di hadapan umum, katanya “persepsi, kita tidak boleh mengubah persepsi orang. Jadi kita yang kena jaga tingkah laku.” Saat itu saya terdiam, apatah lagi setelah terlihat bisik-bisik antaranya di belakang saya. Ya, kita tidak dapat mengubah persepsi orang kepada kita, kenyataan kita, tujuan asal kenyataan itu dibuat. Apatah lagi kepada orang yang pandai memanipulasikan keadaan dan kenyataan. Oleh itu, bersembunyilah dan berkata-kata kepada orang yang sebenar-benar mahu mendengar kita berkata-kata, bukan untuk mencipta spekulasi, pakatan atau sindiran yang menjatuhkan. Tetapi ini tentu sahaja berlainan cara dengan orang yang memang ingin menjadi perhatian dengan kenyataannya.

II

Seorang teman saya yang lain ada berkata, tentang perbezaan antara Twitter dan Facebook (mengambil dua media sosial terbesar ini) yang dihuni oleh dua golongan yang berbeza. Tetapi tidak begitu berbeza cara mengendalikan emosi. Menurutnya, kalau di Facebook, sungguh pun kita (sebagai penulis status atau pemberi komen) merasakan ia hanya sekadar komen, hanya sekadar kata-kata, tetapi ia sudah dianggap sebagai kenyataan rasmi, yang mudah di “printscreen” , mudah diulangsebut, mudah dimanipulasikan. Malah sesuatu yang sepatutnya menjadinya perbualan peribadi, terus sahaja menjadi public apabila ditulis pada dinding, dan lagi mengharukan jika perbualan itu melibatkan profesionalisme . Facebook sudah dianggap bukti. Dan orang mudah, terlalu mudah bereaksi terhadap apa sahaja yang berlaku di Facebook. Cuba duduk sebentar melihat garis masa Facebook dan lihat betapa banyak emosi sedang dilambakkan di sana. Juga betapa banyak yang hanya kekosongan. Mungkin kerana dua hal, golongan yang gemar menghuni Facebook, ini merasa teruja mendapat kebebasan bersuara. Suara mereka tidak mahu tidak, jika kita memilih menjadi rakan, akan melintas di garis masa dan juga melintas dalam fikiran kita. Untuk memudahkan, lihat sahaja bagaimana negara China yang baharu sedikit membuka sekatannya, dan lihat bagaimana ia mula menguasai ekonomi, kerana sudah lama didiamkan, ditidurkan, apabila diberi peluang, mereka menakluk dengan sewenang-wenangnya. Ialah, kalau selama ini mereka tidak boleh bersuara atau bersuara tetapi tidak didengari, bila dapat peluang ini, maka direbut seluas-luasnya.

Aneh juga, Melayu yang disebut dalam sajak Usman Awang, memang hilang di garis masa Facebook itu.

Golongan yang ramai menghuni di Facebook, mereka yang berusia serta jauh berusia.

Di Twitter, kebanyakan anak-anak muda yang berdarah panas, dan twitter, linikala yang sangat pantas, serta sangat sesuai untuk mereka yang berdarah panas bergolak. Kalau di garis masa Facebook, pemiliknya akan berkeluh kesah sepanjang-panjangnya kerana ruang patah perkataan di Facebook sudah tanpa batas. Malah satu status sahaja, boleh jadi entri sebuah blog. Manakala di Twitter, dikawal 140 aksara. Dan segalanya mahu dihumban di situ, kemarahan, kesedihan, promosi, pergaduhan, rusuh. Sampaikan kalau mana-mana bahagian kementerian ingin mengkaji perilaku dan pemikiran anak muda zaman sekarang, tidak perlu mengaji mana-mana syarikat, cukup buka sahaja Twitter dan lihat suara anak muda di situ. Kawan saya berpendapat, dia lebih menyukai zaman blog, di mana sungguhpun bernama, tetapi masih anonymous lagi berbanding dengan pengguna Twitter dan Facebook. Dan zaman ini, tiada lagi boleh dikatakan ruang privasi lagi sungguh kita mahu beranggapan begitu. Kerana persepsi

Saya? Ya ketiga tiganya juga tetapi dengan khalayak berbeza.

III

Percaya atau tidak, sememangnya tiada lagi ruang privasi untuk bersembunyi, bertenang kecuali, anda memang menggunakan nama samaran. Namun, untuk zaman yang banyak orang-orang mengintip ini, tentu sahaja harapan itu hancur punah.

Manusia, sememangnya suka perhatian kan?

Kepada Catatan Perempuan Rumah Tumpangan




(Untuk Faisal Mat Zawi – Catatan Kepada Perempuan Rumah Tumpangan)




Kalau doa itu boleh menulis, dia pasti selalu tertanya, apakah yang akan disebutkan oleh perempuan rumah tumpangan, yang telah mengangkat tangannya dan berfikir bagaimana untuk bercakap dengan tuhannya, tuhan semua manusia. Doa selalu sahaja menjadi alat untuk menunjukkan keadaan tidak paralel dalam diri manusia, selalu sahaja penulis cerpen menggunakan dirinya untuk menunjukkan keadaan itu, bagaimana seorang manusia paling hina (pelacur-watak penulis cerpen ini) yang juga ingin berdoa, walaupun dia tidak tahu bagaimana, dan di dalam diri setiap manusia walaupun sehina mana pun dia, mahu juga rasa bertuhan.



Tetapi doa selalu juga bertanya, kepada penulis cerpen yang menjadikan dirinya watak utama dalam cerpennya, di penghujung, untuk apa, dia diangkat menajdi watak utama, jika dia sendiri tidak tahu besar atau kecil peranannya dalam hidup pelacur itu. Dan kepada penulis cerpen, doa mahu sahaja mengatakan, watak perempuan pelacur selalu sahaja diangkat dan kalau pelacur menjadi watak di dalam sebuah cerita, tentu sahaja dia berlainan daripada pelacur yang lain yang melacur untuk keseronokan dan wang tetapi mungkin tidak dia, seperti Dewi Ayu dalam Cantik Itu Luka yang melacur kerana merasakan tiada apa yang hendak dilakukan di dunia ini, atau Salina yang melacur untuk menghidupkan diri Fakar, atau Pinkie dalam Lantai T. Pinkie. Dan di dalam cerpen ini, doa yang dipilih sebagai hero telah menjadi hero yang tidak kuat, hero yang hanya berdiri di sisi pelacur memikirkan bagaimana pelacur itu mahu belajar menyebut dirinya, tanpa mengetahui apakah kekuatannya untuk pelacur itu berterusan berusaha mengingati dirinya. Sekurang-kurangnya doa mahu diberi kuasa menyelamatkan perempuan itu, kalau tidak imannya tetapi jiwanya.