Tentang Balang Kuih Raya & Hal yang Memaknakan Raya


Menyambut hari raya dengan status berbeza tahun ini buat saya sibuk sekali. Pertama kali akan beraya jauh, pertama kali beraya di rumah sendiri, pertama kali beraya berdua.

Rumah masih berantakan, buku-buku belum punya ruang sendiri, dapur masih bukan dalam komposisi ruang terbaik yang saya mahu. Saya harus selesaikan semua sebelum raya.

Saya bukanlah orang yang mengutamakan hari raya. Raya bagi saya adalah nasi impit dan lauk-pauk untuk dimakan bersama-sama. Saya boleh survival makan nasi impit selama seminggu. Kalau tiada ini, mahu merajuk juga dan akan sirat daun pisang sendiri untuk buat nasi impit ni. Nasi impit resipi ibu saya tentunya bukan resipi orang lain. Tiada baju baru? Tiada masalah. Tiada kasut baru? Tiada masalah. Tiada kuih raya? Tiada masalah. Tiada cuti raya? Tiada masalah. Kampung saya tidak jauh dari tempat bekerja. Kalau saya mahu pulang, sejam sahaja sudah tiba di halaman rumah. Jadi saya jarang berebut cuti, jarang mahu bersesak di Jalan TAR, atau beria membeli kuih raya.

Tetapi situasi sekarang berbeza. Saya sudah punya rumah sendiri untuk dirias dan dikunjungi rakan-rakan serta sanak saudara. Kena merencana cuti dengan rapi. Menu untuk dimasak. Saya harus memaknakan raya saya dengan definasi berbeza. Dan yang paling mengganggu dalam fikiran saya sekarang ini, balang kuih raya!

Saya dan A meski serasi tetapi punya citarasa yang berbeza. Meskipun punya ruang masing-masing, tetapi kami juga ada ruang bersama yang selalu dibincangkan. A ada citarasa dan kesukaan tertentu yang dibayangkan, kebanyakan memori masa kecilnya. Saya, lebih praktikal dengan ruang yang ada, dan tentu sahaja elemen klasik dan tradisional. Kami ada kesukaan tertentu dan harus memastikan kompromi dalam kesukaan kami yang bertindanan. Kalau melibatkan barang yang dibeli, barang itu mestilah berjaya merebut hati kami berdua.

Semasa perbincangan dengan rakan sepejabat mengenai balang kuih raya, mereka menasihati saya membeli apa adanya, sebab kalau setiap tahun melihat balang yang sama, pun boleh bosan juga. Raya baginya musim berganti barang baru. Ada juga yang berkata beli yang paling cantik dan trendy. Ada yang kata, apa-apa pun boleh. Balang kuih raya sahaja pun.

Perbualan ini mengingatkan sahaja tentang dunia hari raya saya. Ibu punya balang kuih raya khas. Bentuknya bulat dan dari kaca. Penutupnya jenis skru dan punya corak bunga-bunga renek. Dua hari atau tiga hari sebelum raya, balang kuih raya ini akan dikeluarkan dari almari (yang mana dikeluarkan setahun sekali semasa hari raya). Saya akan membasuh dan membersihkannya dengan berhati-hati sebelum dimasukkan kuih raya. Kalau pecah ini, ibu akan menangis dan mengungkit perbuatan saya bertahun-tahun (mak cik saya pernah pecahkan dua dan ibu sangat mengingati peristiwa itu). Lagipun bekas itu sudah tiada di pasaran. Maklumlah fesyen 20 tahun lalu.

Begitulah rutin saya daripada kecil sehingga dewasa. Saya telah berhari raya dengan balang yang sama hampir sepanjang usia saya rupanya. Adakah saya jemu? Tidak. Balang kuih raya itu warna hari raya saya, yang saya bawa memorinya bertahun-tahun menjelang hari raya. Tanpa ritual membasuh balang kuih raya dan memasukkan kuih ke dalamnya, saya jadi seperti tidak beraya (selain nasi impit tentunya)

Hari raya bukanlah tentang perayaan ini semata-mata, tetapi bagaimana kita  memaknakannya dengan cara kita. Balang kuih raya bukan semata-mata fesyen raya atau mahukan yang trendy. Atau ia boleh berganti setiap tahun. Tetapi saya tahu setiap kali saya mengeluarkan balang kuih raya ini daripada tempat simpanan, raya bakal menjelang. Baju raya akan berubah fesyen dan saiz. Langsir akan lusuh bersama waktu. Balang kuih raya, ia akan kekal bentuknya dan muncul hanya setiap kali hari raya.

Rupanya, balang kuih raya membuat penyataan penting kepada saya. Ia menjadi lambang kegembiraan hati kita menerima tetamu dan meraikannya dalam balang cantik dan kuih yang sedap. Ia juga akan menjadi tanda memori pertama kali beraya berdua dalam rumah sendiri. Ia juga bekal membawa memori bertahun-tahun lamanya dalam dunia raya saya.

Menjelang hari raya, kita punya banyak sebab untuk bergembira. Kanak-kanak dengan cara mereka, orang bujang dengan cara mereka, pasangan baru berkahwin dengan cara mereka, keluarga dengan cara mereka. Selepas bersalaman, berkunjungan, makan dengan sejahteranya, baju raya/kasut raya/tudung raya akan tergantung, pinggan akan dibasuh dan rumah akan dikemas. Balang-balang kuih raya akan dibersihkan dan dimasukkan ke dalam rak. Dan kita akan menyimpan memori ini. Tentang kegembiraan sebuah perayaan dan ketawa yang penuh di dalamnya atau mungkin kesayuan yang memercik.

p/s: Oh ya, saya dan A sudah bertemu dengan balang kuih raya yang membuatkan kami kata ya. Ia seperti cinta pandang pertama 🙂

Sorotan Pembaca: Hari yang Ditakdirkan untuk Bertukar Sepasang Mata – Adinata Gus


Adinata Gus telah menyorot kumpulan puisi saya, Perempuan Bulan Perempuan Hujan dengan menyandingkan bersama Zurinah Hassan, .

Saya kongsikan petikan eseinya.

Sesuatu kejadian pasti akan mengulangi keajaibannya lagi pada suatu masa akan datang. Begitulah yang saya yakini hari demi hari ( menunggu kelahiran semula Sylvia ?). Tetapi kita selalu tak punya hayat yang abadi. Maka untuk memastikan kitaran keajaiban itu terus berlaku, harus ada seseorang yang menyedarinya dan tidak terlalu beralasan untuk menyandang tugas tersebut. Di sinilah tangan Ainunl Muaiyanah dengan beraninya menerima baton larian daripada Zurinah Hassan untuk mencipta keajaiban lagi.

Kita tidak pasti apakah Ainunl seorang pelari kedua, ketiga atau yang terkahir akan menyempurnakan acara larian di trek sastera ini. Merujuk kepada judul Perempuan Bulan Perempuan Hujan yang saya baca baru-baru ini, sebagai penonton di tempat duduk stadium, saya tidak kekok untuk bersorak kepadanya dan melambai-lambai dari kejauhan sebagai tanda sokongan.

Ainunl Muaiyanah Sulaiman
Perempuan Bulan Perempuan Hujan
ITBM Cetakan Pertama 2015

Setelah kita pinjam bebola mata seorang Zurinah Hassan, sudah tentu rasa bosan atau ingin bertukar selera datang sedikit demi sedikit. Kita tidak mahu perspektif dunia ini tersudut kepada satu cara pandang sahaja. Sepatutnya memang harus bertukar-tukar pun. Maka saya cabut kedua-dua bola mata Zurinah Hassan dan meletakkannya di atas rak semula dengan cermat dan hormat. Sekarang, buat seketika saya tercari-cari bebola mata wanita yang sesuai untuk dipakai ketika malam dan siang, seperjalanan saya meninggalkan mata sendiri sehinggalah saya bertemu dengan bebola mata Ainunl Muaiyanah di acara Kota Kata 2016.

Hasilnya? Aduh enak sekali ! Cuba bayangkan begini, jika anda sedang menunggu giliran untuk mandi, dengan mata yang mengantuk dan penat tubuh yang tersisa, adakah sempat untuk mengarang puisi-puisi romantis dan menyenangkan? situasi yang lain pula, jika anda ingin membela seekor haiwan peliharaan adakah anda akan memilih seekor singa? Untuk seorang Ainunl Muaiyanah mungkin ya.

Cuba perhatikan petikan sajak di bawah :

Penunggu Kamar Mandi
 
Aku menunggu giliran masuk ke dalam kamar mandi
meski tiada nombor untuk kupilih
kerana kamar mandi sekecil itu
telah ditempah sepanjang tahun
untuk penghuninya bermandian dan
membiarkan orang luar mendengar nyanyiannya.
 
Peristiwa di Halaman Rumah
 
Terkemudian hari, setiap pagi tanpa sabar
aku sering bingkas bangkit keluar berharap

seekor singa tertidur di halaman rumahku.

Di dalam sesebuah sajak, bukanlah sesuatu yang ditulis si penyajak itu bersifat langsung terus sampai ke akal fikiran. Kedua-dua sajak di atas boleh jadi menjiwai perkara lain bukanlah tentang kamar mandi semata-mata, tetapi ah! siapa yang punya banyak masa untuk memetaforakan sebuah bilik mandi jika bukan Ainunl!.Jadi, setelah sejauh ini saya mencuba, melihat dan memulangkan semula sepasang mata Zurinah Hassan dan Ainunl Muaiyanah, sebagai seorang-lelaki muda-baru bermula, saya beranggapan sekaligus rasa tercabar, akan keupayaan wanita-wanita masa kini. Perlu diingatkan juga, dunia sastera bukanlah padang bola semata-mata yang menunggu gawanggender untuk dibolosi, sebaliknya sebagai pemain sastera di atas padang tersebut, sudahkah kita mempersiapkan diri dengan latihan yang cukup daripada segi keupayaan berfikir, berstrategi, daya kreatif dan kritis. Semangat juang adalah perkara utama sebenar-benarnya.

Semoga Zurinah Hassan dan Ainunl Muaiyanah terus bersedia mencantikkan kedua-dua bola mata masing-masing lalu sudi meminjamkannya kepada semua orang yang memerlukan. Wanita yang saya yakini adalah adalah wanita yang berterusan bekerja untuk dirinya dan orang lain.

Esei penuhnya boleh dibaca di blog asal: adinatagus.blogspot.com

Sorotan Pembaca: Puisi Jauh dari Halaman Rumah


Saya kongsikan ulasan Abdul Rahman Shah  yang mengulas puisi saya, Jauh dari Halaman Rumah. Puisi ini dimuatkan dalam buku Melompat Keluar dari Mimpi (2015) terbitan Katapilar Books 🙂

* * *
Ulasan ringkas puisi “Jauh dari Halaman Rumah” nukilan Ainunl Muaiyanah.

Puisi ini adalah salah sebuah puisi dalam buku antologi puisi dan cerpen Melompat Keluar dari Mimpi (2015) terbitan Kata Pillar Books. Puisi serta muka depan buku boleh dirujuk pada gambar yang disisipkan bersama ulasan.

Apa yang menarik tentang puisi ini adalah pembaca akan di bawa oleh penulis menyusuri emosi-emosi bersama perlambangan perjalanan atas kapal terbang. Setiap emosi ini adalah berkaitan tentang sebuah proses, proses yang akan diterangkan pada hujung ulasan.

Rangkap pertama puisi ini adalah mengenai perasaan rindu yang hadir apabila berjauhan dengan mereka yang disayangi. Seterusnya penulis mengatakan tentang bagaimana jendela dan lagu adalah penyelamat kerinduannya. Jendela di sini boleh juga dibaca sebagai alat komunikasi atau telefon pintar yang boleh digunakan untuk berhubung dari jauh.

Jika rangkap pertama mengenai bagaimana rindu terjadi, rangkap kedua pula adalah tentang emosi seterusnya dalam proses, iaitu kesedihan. Kesedihan yang dirasai penulis akibat pemisahan ini menggunakan perlambangan air matanya seperti anak-anak yang mencari ibunya.

Rangkap ketiga adalah mengenai perasaan resah/anxiety yang hadir selepas kesedihan. Penulis menggunakan gambaran adakah kapal terbang tidak takut dengan angin-angin yang akan datang menolak mereka keluar dari perjalanan asal, jauh lari dari rumahnya. Di saat ini perasaan panik mula timbul dengan baris yang mengatakan penulis ingin berhenti dan pulang terus ke rumah.

Rangkap keempat adalah sambungan perasaan resah tadi tetapi penulis telah sedikit tenang – iaitu dalam perasaan menerima, dia sudah sedikit sebanyak menerima yang dia perlu mengambil perjalanan ini walaupun perlu berjauhan dengan yang tersayang. Terpaksa meninggalkan segala keselesaan sebelumnya.

Dan akhirnya rangkap kelima adalah perasaan tekad, perasaan keberanian selepas menerima hakikat yang dia perlu ada dalam perjalanan yang menjauhkan dia dari rumah.

Tetapi sekarang, apakah yang ingin disampaikan oleh puisi ini? Adakah sekadar puisi rindukan halaman rumah atau homesick bak kata orang Inggeris? Di mana kapal terbang sedang membawa penulis untuk belajar atau kerja di luar negara? Ataupun ini mengenai perkahwinan di mana penulis kini perlu berjauhan dengan keluarganya?

Semua mempunyai kaitan tetapi masih tidak tepat. Puisi ini untuk aku adalah dalam genre “coming-of-age”. Tentang transisi emosi yang semua akan lalui apabila kita sedar kita bukan kanak-kanak lagi – merindui hidup lama, menangis dalam kerinduan, resah adakah jalan yang dipilih itu benar-benar selamat, risau akan mengikuti orang yang salah, panik apabila tidak yakin dengan diri, dan seterusnya proses penerimaan.

Ianya tentang proses eksistential melalui emosi-emosi yang akan dirasai di ambang menyedari kita sudah dewasa dan perlu mengambil alih tanggungjawab terhadap diri sendiri, merealisasikan impian diri, dan tidak melupakan asal usul kita dalam proses.

img_9720img_9721

Nota Editor: Editor Menangis di Pagi Hari


“Slm.cik ainol moyanh ke? Saya _____.sy nk hntr skrip mcm mana?”

Pagi hari menerima mesej macam ini boleh buat editor menangis tepi bucu meja.

Mesej atau ayat pertama penulis kepada editor sangat penting. Editor boleh imbas sikap, perangai, kedivaan, malah kualiti manuskrip yang diterima melalui ayat pertama mereka melalui mesej/e-mel mahu pun panggilan telefon. Nilai pandang pertama katanya.

Kalau mesej begini sampai, agak-agak apa yang bermain dalam fikiran editor?

Ejaan kontot, tak ada jarak selepas titik, tidak gunakan ejaan penuh, mesej yang ingin ditanya tidak sampai, itu belum campur ejaan nama yang salah lagi. Mujur dia perkenalkan nama. Jadi kita dah boleh bayangkan manuskrip yang bakal kita terima serupa itu jugalah.

“Srry,syew x trima skrip awqq”

Nak sahaja saya balas seperti ayat di atas! Muhahaha.

Nota: Dari status Facebook

Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2015


Senarai Pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2015
Kategori Kajian Sastera
(Tiada Pemenang)
Kategori Rencana Sastera
Wan Nor Azriq – Esei Bukan Rencana – Mingguan Malaysia, 1 Mac 2015  
Abdul Rahim Omar – Kamnishibai Genre Sastera Kanak-kanak, Mingguan Malaysia, 26 Julai 2015

Kategori Cerpen



UTAMA

Wan Nor Azriq – Rumah Doktor Salgari, Mingguan Malaysia, 26 Julai 2015
Siti Jasmina Ibrahim – Rumah Ini Dinding Kacanya Kalis Cahaya, Mingguan Malaysia, 4 Januari 2015
Rebecca Ilham – Rumah, Mingguan Malaysia, 8 Mac 2015

SAGUHATI

Malim Ghozali PK – Cikgu Puisi, Mingguan Malaysia, 11 Januari 2015
Zainal Rashid Ahmad – Dah Naik ke Langit Tak Reti Balik Ke Bumi, Mingguan Malaysia 17 Mei 2015
Amelia Hashim – Ikan Puyu di Dalam Akuarium, Mingguan Malaysia, 17 Mei 2015
Jasni Matlani – Martrioskha, Mingguan Malaysia 5 Julai 2015
Dr. Azman Ismail – Misteri Kehilangan Mulut Ayah, Mingguan Malaysia, 1 November 2015
Saifullizan Yahaya – Tinggal Jawa Demam, Mingguan Malaysia, 9 Ogos 2015

Kategori Puisi

UTAMA

Fahd Razy – Catatan yang Ditemui Dalam Mulut Seorang Pengemis yang Mati Pagi Ini, Mingguan Malaysia, 22 November 2015
Zainol Idris – Di Lengkung Langit Biru, Mingguan Malaysia, 16 Ogos 2015
Zaim Yusof – Setugu Peringatan Melbourne, Mingguan Malaysia 18 Oktober 2015

PENGHARGAAN

Fauzan Zain – Dari Tanah ke Daun, Mingguan Malaysia, 6 Disember 2015
Muzaf Ahmad – Denting Waktu, Mingguan Malaysia, 20 September 2016
Usman Gumati Ibrahim – Naratif Pangkor, Mingguan Malaysia, 15 Mac 2015
Nazri Hussein (Husna Nazri) – Perahu, Mingguan Malaysia, 20 September 2016
Ramlan Abdul Wahab – Lidah Amarah, Mingguan Malaysia, 1 Februari 2916
Ghazali Din (Ihsan Noorzali) – Yang Tercipta Buat Kita, Mingguan Malaysia, 11 Oktober 2015

Kategori Cerpen Remaja

UTAMA

Fudzail Mohd Noor – Suluk, Mingguan Malaysia 31 Mei 2015
Amaruszati Noor Rahim – Sesar Unjur Kampung Belawai, Mingguan Malaysia 24 Mei 2015
Siti Nurzulaikha Adam – Trisomi Dua Puluh Satu, Mingguan Malaysia, 1 Mac 2015

PENGHARGAAN
Nordin Saad -Dunia Kecil Ayah, Mingguan Malaysia, 3 Mei 2015
Nazri Hussein (Husna Nazri) – Kandil Mualim di Langit Musim, Mingguan Malaysia, 10 Mei 2015
Siti Nur Hidayah Abdullah – Pertemuan di Ngilum, Mingguan Malaysia, 13 September 2015
Norsyuhada Salleh – Utusan Riwayat Cinta, Mingguan Malaysia, 28 Jun 2015
Salina Ibrahim – Jalinan Benang Emas, Wanita, November 2015
Faridah Abdul Hamid – Menunggu Malam, Mingguan Malaysia, 15 Mac 2015

Novel Remaja

UTAMA

Pertama (tiada pemenang)

Kedua: Empunya Kalbu – Sri Rahayu Mohd Yusof
Ketiga: Nyanyian Musim Rusuh – Husna Nazri

PENGHARGAAN

Lili Putih Srebrenica – Nor Azida Ishak
Semanis Kyuho – Ghazali Lateh

Kata Pengantar: Sajak Kepada Tuhan


Tulisan ini ditulis sebagai kata pengantar buku debut Faisal Mat Zawi – Sajak Kepada Tuhan terbitan GKLN . Oleh kerana penulisnya yang belajar di India, pulang bercuti di Malaysia, saya kongsikan kata pengantar buku ini, yang mana, inilah pertama kali saya menulis kata pengantar untuk buku seseorang. Banyaknya momen yang pertama untuk buku ini, juga mungkin momen terakhir untuk seseorang.

 

25414378

 

Kepada Penulis Sajak Tuhan

 

“adakah aku

terlahir untuk mati

sekadar nama

yang digores pada nisan

 

atau yang bijaksana

tetap hidup di tengah kita

sebagai kata-kata dan tulisan.”    

 

“Sajak Kelahiran”

 

Saya menyenangi sajak ini, yang saya kira pembuka terbaik kepada banyak pertanyaan yang lain kepada Faisal Mat Zawi, penyair muda yang sering sahaja mesejnya singgah dalam kantung mesej, sekadar bertanya khabar atau menanyakan khabarnya sendiri. Kadangkala berbalas puisi dalam laman sosial kerana Faisal merupakan pencinta puisi Sapardi Djoko Damono (kebetulannya kekasih puisi saya dan kami berkongsi kecintaan yang sama) dan sebahagian jiwanya lagi ditakluki puisi Khalil Gibran. Oleh itu, apabila menatap sajaknya yang ada waktunya dihantar secara peribadi atau ditag secara terbuka dalam laman sosial, saya tidak dapat lari untuk mengesan betapa akrabnya puisi Faisal dengan kedua-dua penyair tersohor yang saya sebutkan namanya sebentar tadi.

Namun, akhirnya apakah yang akan tertinggal mengiring nama seorang penyajak itu? Apakah selamanya menjadi pengekor bayang-bayang nama besar sehingga terhapusnya bayang-bayang sendiri? Persoalan itu juga cuba saya bawa bersama semasa menelusuri keluk lekuk puisi-puisi Faisal Mat Zawi yang banyak sekali terkandung pertanyaan kepada Tuhan serta hal-hal metafizik, tentang pertanyaan kepada hati yang di dalam tubuh manusia.

Seusai membacanya, saya menyedari betapa kekuatan Faisal kepada sajak-sajak pendeknya, yang hadir seperti ada dalam ketiadaan, tetapi menyinggung ingatan pembaca sehingga sajak itu bisa diam di sana. Sajak-sajak pendek nampak sahaja mudah dan ringkas ditulis tetapi semakin pendek sesebuah sajak, ia juga semakin menjerut ruang. Penulis sajak-sajak pendek ini harus pintar merebut ruang dalam memberi kesan kepada pembacaan. Dan ini, jika Faisal menghaluskan dan mendalami gaya begini, saya fikir lama-lama ia akan jadi tanda khas kepada kepengarangan Faisal sendiri.

Kebaikan tak punya wajah / Ia datang kepada Tuhan /bertelanjang.

“Tentang Kebaikan”

 

Ada waktunya, kita tidak boleh banyak lagi bicara tentang kritik yang semakin hari kita lihat, semakin menimbulkan nyilu di dalam dada. Ada banyak kemusnahan sedang berlaku dalam dunia zaman ini, yang miskin semakin miskin, yang kaya semakin kaya, yang sakit bertambah sakit, yang sihat tidak menghargai masa sihatnya, api benci sepertinya sedang diam di dalam sekam, menanti marak nyala dibakar sumbunya. Lalu, salah satu caranya untuk mengharungi hal ini, kita memilih menjadi anak-anak yang polos, yang melihat hidup dengan mata naif dan bertanya banyak persoalan yang entah dipedulikan atau tidak didengarkan. Dalam beberapa buah sajak seperti “Pelajaran Mengira” dan “Pertanyaan dalam Sidang Akhbar” dan “Jam 12 Di Sebuah Kota” ini, Faisal menjadi anak kecil yang polos itu dan pertanyaan itu menggigit dan menggetarkan.

Dalam meneliti beberapa sajaknya yang lain, saya tertanya-tanya, mungkinkah Faisal bertanya banyak kepada Tuhan dan menjadi anak kecil yang polos, selepas patah hati dengan kenangan lama yang suam-suam hangat seperti sesudah hujan? Kerana patah hati selalu sahaja pendorong besar ramai orang memilih menjadi penyajak. Kita boleh sahaja mengintai kehangatan perasaan dalam musim dingin itu dalam beberapa buah sajaknya lain. Cuma mungkin sahaja sajak-sajak kenangan ini belum dapat menandingi sajak pertanyaannya kepada Tuhan dan sajak-sajak lainnya.

Ya, moga-moga sahaja sajak-sajak Faisal menjadi daun gugur yang memberi puisi paling indah kepada penyair seperti anak-anak kepada seorang ibu. Dan saya selalu berharap buku ini akan menjadi pengenalan yang baik kepada sosok Faisal Mat Zawi, kerana buku pertama meskipun bukan dalam kondisi terbaik tetap sejuzuk awal peta perjalanan seorang penyajak yang kadangkala akan dilihat kembali, tapak awalnya bermula.

Kepada Faisal, jangan berhenti mengutuskan pertanyaan-pertanyaan itu kerana Tuhan tidak akan pernah lelah mendengar begitu banyak pertanyaan, meskipun Faisal akan bilang, mengapa begitu banyak telah aku tanyakan, belum juga ku temui jawapan? Dan Faisal, penghujung catatan ini saya kembalikan ucap “Selamat Tinggal” kepada Faisal dan pembaca.

“Apakah yang dinamakan perpisahan/antara dua jasad yang saling mencintai /hanyalah sebuah ucapan selamat tinggal/ yang panjang / bagaimana dua hati dapat menjauh / sedang nabi bersabda kita / laksana sebatang tubuh/”

 

Ainunl Muaiyanah Sulaiman

 

Acara Mini: #Senandung – Hadiah untuk Puisi


Poster (2).png

Kata T. Alias Taib, “Siapakah pernah mengukur berapa dalam sepiku yang riuh”, tetapi di dalam kesepian penyair ada pembaca yang mengukur kesepiannya dalam diam. Penyair gemar bersunyi-sunyi dan pembaca puisi suka bersepi-sepi.

Oleh itu, sempena Hari Puisi Sedunia pada 21 Mac setiap tahun, Ainunl Muaiyanah dan Wan Nor Azriq akan mengkuratorkan satu acara mini apresiasi khusus untuk peminat puisi iaitu, #Senandung – Hadiah untuk Puisi.

Sesiapa yang berminat untuk hadir, digalakkan membawa sekurang-kurangnya sebuah puisi daripada penyair kegemaran anda, kita akan sama-sama mendengar bacaan puisi itu dan mengapa anda menyenangi puisi tersebut. Mana tahu puisi yang anda sukai itu disenangi oleh orang lain juga atau anda akan terjumpa puisi yang bakal anda sukai.

Ada buku puisi percuma yang dipilih khusus untuk acara ini. InsyaAllah, kalau pihak penaja kata OK, ada minuman percuma juga.

Sebelum itu, saya kongsikan puisi Adam Zagajewski:

“Treatise on Emptiness”

In a bookstore I accidentally ended up at the section on Tao, or

more precisely, by the Treatise on Emptiness.

I rejoiced, since that day I was perfectly empty.

What an unexpected meeting — the patient finds the doctor,

the doctor doesn’t speak.

 

Maklumat lanjut acara: https://www.facebook.com/events/963937350352298/?hc_location=ufi