Bersendirian di angkasa – Filem Gravity


Ada waktunya, kita tidak memerlukan jalan cerita yang terlalu kompleks serta plot-plot di luar jangka. Ada waktunya kita masuk ke panggung, kita telah tahu, bayangan penghujung cerita ini akan jadi begini, tapi kita ingin membeli pengalaman lain, bukan kelucuan, komplesiti plot, kuasa 3D tetapi hanya ceritanya.

Begitulah rasa saya apabila menonton Gravity.


I

Bersendirian di lautan angkasa yang tidak berpenghujung dan berdasar serta bergantung hidup kepada alatan mekanikal, teknologi, akhirnya kita akan kembali kepada alamiah, seperti berada di rahim ibu dan kemudian perlahan-lahan keluar mengenal dunia.

Ada satu posisi ketika Dr Ryan (Sandra Bullock) masuk ke dalam kapsul udara selepas bertarung dengan kehabisan tangki oksigen dan menjadi hanya satu-satunya krew yang terselamat dalam nahas, posisi Dr. Ryan seperti seorang bayi yang dalam rahim, ah visual itu benar-benar sangat cantik. Kemudian perlahan-lahan Dr Ryan mula melepaskan kebergantungan kepada mesin dan mekanikal, percaya pada naluri, seperti yang dilakukan selepas bayangan perbualan antaranya dan kapten Matt Kowalski (George Clooney), sewaktu berserah ingin menerima kematiannya. Dan juga apabila dia sudah tiba di bumi dan melepaskan pakaian angkasanya di dalam air kemudian merangkak keluar dalam keadaan separa berpakaian dan mencium bau tanah.

Dan visual angkasa dalam filem ini sememangnya sangat cantik, dengan matahari terbit di tengah-tengah frame filem memisahkan antara kapten Matt Kowalski (yang merupakan pengembaraan angkasanya yang terakhir, dan dia berada di posisi gelap yang memberi bayangan, dia akan mati kemudiannya) serta Dr Ryan (yang berada di posisi atas matahari terbit, yang memberi bayangan jua, dia satu-satunya yang akan terselamat). Dan angkasa digambarkan lautan gelap yang indah sekaligus menyeramkan.

Dua gambaran penyerahan dan penerimaan bulat kepada takdir yang penghujungnya berbeza, iaitu waktu kapten Matt Kowalski melepaskan diri daripada tali yang dipegang Dr. Ryan kerana akan menyebabkan kedua-duanya terlepas daripada Soyuz. Kapten Matt Kowalski menyedari bahawa ini benar-benar misi angkasa terakhirnya dan mementingkan diri akan menyebabkan kematian kedua-dua pihak. Dia melepaskan kerana percaya Dr Ryan akan survival dan selamat di bumi. Dan nada suaranya masih tiada sebarang penyesalan dan kemarahan sewaktu masih membantu Dr Ryan untuk masuk ke dalam Soyuz. Kapten Kowalski benar-benar menyerah dan menerima bulat takdirnya kerana tiada alternatif atau jalan untuk melawannya di angkasa luas di luar kekuasaannya. Dan yang kedua ketika Dr Ryan mahu menerima bulat bahawa dia akan mati, sewaktu mengetahui Soyuz tiada bahan api, dia membiarkan kematian menjemputnya tanpa ada mahu melawan, sedang dalam halusinasinya menghadapi kematian (dalam keadaan kekuarangan oksigen) dia berdepan dengan kapten Matt yang merangsangnya untuk melawan semua itu meski mustahil, kerana sentiasa ada jalan jika bertekad, tentang kebiasaan dan terbalikkan, berlepas juga sama dengan mendarat.

II

Yang menghancurkan dunia ini Rusia (serpihan satelit yang ditembak sendiri kemudian menghancurkan misi angkasa Dr Ryan), walaupun percubaan US (kapal Explore) dan Rusia (ISS) untuk menyelamat dunia tapi tidak berjaya. Akhirnya China (Tiangong) yang dapat menyelamatkan hidup manusia daripada kehancuran yang dilakukan Rusia. Haha. Ini mesej yang saya dapat. Hiks

III

Masih ada lagi manusia bangang yang menonton wayang untuk mengisi waktu lapangnya/terpengaruh dengan pujukan rakan, yang bermain-main telefon untuk menyemak instagram/berbalas mesej di Facebook (bukan kecemasan apa pun) yang cahaya telefon canggihnya mengganggu kenikmatan menonton pemandangan di angkasa lepas.

 

Tentang Penonton:

Ainunl Muaiyanah Sulaiman menonton untuk melihat dunia ciptaan pengarah dan lebih mengenali manusia di sekeliling.

Hiks 🙂

Anonymous, Penulis Bayangan dan Dorongan


“Awak mungkin mengkhianati saya tetapi awak tidak akan mengkhianati karya saya.”



I

Menonton Anonymous, filem yang ingin sekali saya tonton tetapi mengambil masa yang lama menontonnya. Saya ada obsesi menonton filem sejarah, juga filem raja raja England, juga filem tentang penulis. Dan menariknya filem ini, memperlihatkan Teori Oxfordian, yang mengatakan bahawa bukan Shakespeare yang menulis, tetapi orang lain, berdasarkan beberapa bukti dan spekulasi. Filem ini dibuka oleh pementasan teater/filem tentang teori penulis samaran William Shakespeare oleh sarjana moden.

Kemudian dibawa kepada watak Johnson dan flash back 5 tahun terdahulu, berselang flash back 40 tahun kebelakangan tersebut. Selebihnya mohon tonton sendiri. Emosinya seperti menonton Amadeus, tetapi Amadeus, Mozart tidak mengetahui musuhnya sehingga ke akhir hayat. Sedangkan dalam The Anonymous, Edward menentang musuhnya daripada remaja sehingga ke tua dengan kata-kata.

II

Saya sukakan gambaran Edward yang mencintai kata-kata dan percaya dengan kata-kata seseorang boleh menjadi berkuasa. Dengan kata-kata boleh membangkitkan sekian banyak perkara yang terpendam, dengan kata-kata membangkitkan keghairahan hidup, dengan kata-kata boleh memberikan harapan.

Namun, kegilaan kepada kata-kata juga membebankan, lihat bagaimana Cecil khuatir dengan kuasa kata-kata Edward untuk menjatuhkan, lihat bagaimana situasi menghimpit Edward untuk membenamkan kata-kata yang bergantungan dalam fikirannya. Banyaknya orang yang cemburu atau khuatir dengan pengaruh dan kuasa kata-kata sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk menghalang kreativiti. Namun, kerana tekanan dan desakan itu, Edward mengeluarkan dengan harga yang menyakitkan, pengkhianatan, kebenaran, kemiskinan, dan juga tanpa nama dalam karyanya.

III

Berapa ramai penulis yang masih kekal di bawah bayang-bayang penulis hebat. Ketika di Makassar, mereka mengatakan, jikalau seorang penulis muda itu ingin berjaya dalam menulis puisi, beliau harus membunuh Sapardi terlenih dahulu. Begitu juga dengan mesej daripada rakan saya selepas filem Anonymous menutup tirai, kasihan Jonson hidup ketika era kegemilangan Shakespeare, seperti allahyarham Azizi Haji Abdullah di bawah bayangan Shahnon Ahmad. Saya tidak tahu sejauh mana Shahnon Ahmad membayangi Azizi Hj Abdullah. Saya tidak mengikut rapat karya kedua-dua penulis ini, tetapi melihat watak Johson yang kelihatan begitu terdera dengan “kehebatan” penulisan Edward De Vere yang menjadi penulis sebenar William Shakespeare, saya dapat membayangkan apa maksud teman saya itu.

Puncak kesakitan itu dapat dilihat sehingga dia akhirnya mengkhianati Edward yang menaruh kepercayaan sebagai pengutus juga sebagai penulis bayangan (pada mulanya) dengan memberitahu rahsia pementasan Henry VII yang dijangka membawa pemberontakan kepada keluarga Cecil. Johnson benar-benar terdera, melihat Shakespeare yang disanjung kerana kepintarannya mengambil peluang, melihat skrip terbaiknya ditolak teater kerana pertelingkahannya dengan Shakespeare. Di situlah ayat permulaan entri ini dituturkan oleh Edward kepada Jonson semasa menyerahkan manuskrip terakhirnya, King Lear.

Dan di akhir usia Edward, dia mendengar pengakuan Jonson tentang kekagumannya terhadap karyanya dan betapa karya Edward menghantuinya.

IV

Melihat filem ini juga mengingatkan saya tentang hubungan antara penulis dan mentornya. Walaupun Jonson bukanlah anak murid kepada Edward secara langsung tetapi Jonson adalah murid halimunan Edward. Ada satu peristiwa yang saya sedar, kita memang boleh mengasuh, tetapi kita tidak boleh membuat orang untuk mengikut jejak kita. Ada beberapa kali dalam beberapa siri bengkel dan juga pertemuan, saya sebagai peserta atau pendengar diarahkan jangan menulis sebegitu, jangan menulis tema ini, jangan baca karya itu, jangan buat ayat itu, buat begini, buat begitu, buat itu, jangan ini, jangan itu dan segala macam jangan jua arahan.

Sungguh kita tidak sealiran, tidak menyukai sebarang gerakan, sebarang orang, sebarang kelompok, sebarang legasi kita tidak boleh memaksa dan menundukkan pendengar atau murid kita kita untuk menurut citarasa kita. Mentor bertindak membukakan pintu seluas-luasnya sedaya mungkin, mengajak mereka masuk ke dalamnya, dan terpulang kepadanya cara bagaimana untuk melahirkan dan membesarkan diri mereka sendiri. Supaya jiwa mereka lebih original bukan patung, bukan buatan.

Setelah itu, tiada apa yang kita holeh lakukan mendorong, mendoakannnya, mengibar-ngibar semangat untuk dia berterusan menulis tanpa erti putus asa. Dan mengingatkannya tentang keghairahannya sewaktu kali pertama datang menemui kita untuk berkongsi ilmu dan rasa setiap kali dia seperti mahu berehat daripada menulis.

Pasca DOM KHAS Pengakuan Sutradara bersama Dain Said, Pengarah Bunohan



I

Di dalam kereta menuju dada KLCC (untuk pelancaran buku A. Samad Said di Kinokuniya) bersama Fadli Al-Akiti (yang menjadi moderator), perkara pertama yang saya nyatakan betapa memuaskan Dialog Orang Muda kali ini. Seperti di Rumah PENA itu, saya telah pulang dengan sejumlah luka yang telah disembuhkan. Kebetulan, sebelum DOM berlangsung, saya berkesempatan duduk semeja bersama Dain Said, mengucapkan terima kasih kerana memberi saya menonton sebuah filem yang baik (oh, saya jarang terkesan dengan filem kita) bertanya dua buah soalan, salah satunya Dain Said meminta saya bertanya semasa DOM supaya jawapannya dapat didengar dan dikongsi bersama penonton.

Duduk di barisan kedua kerana barisan belakang sudah dipenuhi oleh tetamu yang lain, saya berkongsi sebahagian kata-kata Dain Said di Twitter (telefon saya tidak canggih tapi twitter ada perkhidmatan twitter secara SMS), betapa saya ketika terkesan dengan pemilihan kata-katanya yang saya fikir akan lahir daripada orang yang telah membaca sejumlah buku dan menonton sejumlah filem yang banyak.

Ketika itu, dalam fikiran saya masih teringat jawapannya terhadap soalan pertama saya kepadanya yang saya tanya sebelum DOM berlangsung “Apakah Bunohan dibuat untuk membuka ruang diskusi? Dan apakah tidak kisah jika kutipan tidak memuaskan?”

Dain berkata (yang saya padatkan jawapannya berdasarkan ingatan saya) kawan-kawannya di France ada membuat filem berkonsep art-house dan mendapat dana daripada kerajaan dan bukannya geran peminjaman. Ini ada perbezaan antara mendapat dana dan geran. Dengan menggunakan dana, filem art-house yang mereka buat biasanya kurang popular dan tidak difahami tetapi bagi mereka itu tidak mengapa dan mereka tidak peduli asalkan mereka dapat buat apa yang mereka suka. Apa yang terjadi selepas itu bukan di bawah perhatian mereka. Ini berbeza berbanding dengan kalau kita mendapat geran pinjaman, kita akan membuat filem art house pada masa yang sama boleh dijual dan bertujuan komersial dan business. Saya tidak terfikir bahawa membuat filem ini untuk membuka ruang diskusi tetapi apabila ada ruang diskusi, itu perkara yang lebih baik lagi.

Jadi dalam fikiran saya, saya merasakan Dain Said mahu membuat sebuah filem art-house tetapi pada masa yang sama diterima oleh masyarakat yang akan mengangkat keindahan yang ada di dalamnya. Tapi ini satu hal yang susah, jika fikiran masyarakat telah ditakutkan untuk memikirkan hal-hal yang bersifat seni. Mereka telah memahami seni dari aksesorinya seperti glamour, kacak, romantis tetapi bukan dari tubuh asal seni itu sendiri.

II

Hampir dua jam berjalan dan masa dialog seperti tidak pernah cukup untuk saya mendengar suaranya tentang filem Bunohan. Saya fikir, mungkin saya boleh sengaja datang ke rumah merangkap pejabatnya di Titiwangsa, nanti. Hehe. Kalau dia terima kedatangan saya. Tetapi saya cukup puas hati apabila dia menjawab soalan saya dalam DOM itu (soalan yang sepatutnya dijawab semasa sesi perbualan pendek saya dengannya sebelum DOM)

“Saya sangat menyukai semua watak di dalam Bunohan, walaupun watak sampingannya. Setiap watak di tangan pelakon itu berdiri dengan kuat. Saya tidak fikir kalau di tangan pelakon lain, Ilham akan jadi sedemikian bagus. Saya sendiri sangat menyukai Jolok. Persoalannya, apakah Encik Dain Said telah memikirkan pelakon untuk watak itu atau pelakon itu telah dilatih di bawah pengarahan Encik?”

Dain Said mengatakan bahawa dia memang telah memikirkan Faizal Hussein yang memegang watak Ilham semasa menulis cerita itu. Dan dia telah bertemu dengan R.A.T (Rumah Anak Teater) dan menyukai mereka yang bergiat di dalamnya terutama penaungnya Namron (ramai penggiat R.A.T berlakon dalam Bunohan seperti Amerul Affendi, Zahiril Adzim, Pekin). Ramai antara mereka telah ada sesuatu dalam fikiran tentang bagaimana watak itu mahu digayakan apabila watak itu diberikan kepada mereka. Oleh itu, dia menyatukan apa yang dia mahu dengan pelakonnya.

Saya begitu teruja apabila Dain Said menyatakan dia sangat menyukai Amerul dan sebenarnya mahu memberi Ameerul (nama dalam filem Muski) ruang yang lebih besar di dalam filemnya tetapi itu yang termampu diberikan kepada Ameerul. Saya teruja kerana jujur saya katakan bahawa saya memang menyukai Ameerul lebih daripada Zahiril semenjak saya menonton teater mereka di ASWARA (ketika itu mereka masih lagi belajar). Cuma Ameerul tidaklah kacak berbanding Zahiril (iya kah?) tetapi setiap kali saya terkesan selepas menonton lakonan Amerul (saya sangat suka lakonannya dalam short film, Bandar Jahil) . Saya selalu berharap Amerul akan diberi peluang lebih baik dan besar lagi.

Dain Said mengatakan roh filem ini sememangnya gelap, tersebab itu dia memilih untuk membuat penggambaran ketika musim monsoon kerana mahukan penataan cahaya yang lembut. Malah dia menerangkan juga bahawa dia sengaja tidak mahu mengambil paparan yang terlalu indah kerana apabila terlalu cantik dan indah, ia akan jadi terlalu romantik dan dia tidak mahu filemnya kelihatan begitu. Apa yang dia mahu sesuatu yang dikatakan static, framing and certain amount of beauty.

Oh! Tentu sahaja apabila dia menyebut perihal kesusteraan lisan sebagai elemen penting dalam filemnya, mata saya membulat besar dan makin ingin tahu. Ini sesuatu yang sangat menarik apabila pembuat filem meletakkan elemen seni sastera secara sedar tetapi mengadun baik di dalam filemnya dan tidak dilihat terlalu abstrak dan asing seperti mungkin Wayang. Oleh kerana itu, dia mengangkat Main Puteri, Wayang Kulit ke dalam ceritanya. Menurutnya wayang kulit, main puteri dan makyung sangat berkait rapat dengan sejarah lisan. Di dalam filem ini, Main Puteri bukan sahaja menyembuhkan tanah tetapi menyembuhkan orang, menyembuhkan komuniti dan menyembuhkan filem ini juga. Dia memang sengaja mengambil semangat Main Puteri dan menterjemahkan ke dalam filemnya. Watak budak itu memang sengaja diletakkan begitu, sebagai harapan di dalam filem ini setelah semuanya musnah di dalam filem ini. Semuanya telah terlambat seperti kata Pok Eng dalam Bunohan (seingat saya), Mengapa ini semua boleh terjadi. Tetapi semuanya telah terlambat apabila, Ilham menyuruh melepaskan adiknya Adil daripada dibunuh tetapi Adil terbunuh ketika perlawanan, apabila Adil ingin berjumpa dengan ayahnya selepas perlawanan, apabila Pok Eng ingin menyempurnakan persembahan wayang kulitnya di pantai tetapi tidak berjaya kerana mati dibunuh Bakar. Tetapi selepas semua kemusnahan itu dalam filem, masih ada budak itu yang menjadi lambang sebagai harapan.

Oh, memang benar. Selepas semua kemusnahan di dalam hidupnya kita masih ada jalan ada harapan lagi. Itu fikir saya.

Dalam jenakanya dan luncur katanya yang sedikit pedas dan tajam, Dain Said menyindir Prof. Abu Hassan, produser mana yang bayar you?. Dia tidak kisah kalau mahu mengkritik filemnya tetapi biarlah kritikannya itu berdasarkan analisis yang betul bukan hanya menggunakan perkataan yang bombastic seperti darmatugrafi dan sosiobudaya. Malah menurutnya lagi, saya seorang pencerita bukannya pengkaji sosiobudaya.

III

Ini DOM yang paling memuaskan hati saya. Bukan kerana subjek yang dianggap adalah filem, bukan kerana tetamu yang datang lebih ramai daripada biasa tetapi panelnya, Dain Said telah memberikan sesuatu yang bukan sahaja tentang filem tetapi sesuatu yang lebih besar daripada itu. Dia tahu apa yang ingin katakan dan dia menguasai subjek itu dengan baik sekali. Terima kasih.

IV

Saya fikir pemilihan pelakon yang tepat untuk sebuah filem sangat penting supaya watak itu boleh digayanya dan dizahirkan dengan berkesan. Ini juga saya fikir berkait rapat dengan dunia penulisan. Seorang penulis harus memilih perwatakan yang tepat untuk membawa ceritanya ke tahap yang baik. Kalau watak ceritanya salah dibentuk serta salah pilih, kekuatan cerita itu akan tenggelam. Di tangan pengarah filem, pelakon dibentuk di hadapan kamera menggunakan dialog, ekspresi dan gerak gaya serta mainan kamera tetapi di tangan penulis cerita, wataknya dibentuk menggunakan pemilihan kata, susunan cerita dan struktur cerita itu.

V

Kawan saya, seorang kritikus bertanya kepada saya, “Awak sangat suka membaca komik dan novel detektif seperti penyiasat remaja dan Q, Sherlock, penyiasatan, sains tetapi awak jarang seronok menonton filem fiksyen sains. Mengapa?”

Saya membaca kerana saya mahu menggambarkan dunia imaginasi pengarang yang sering kali liar dan menggoda melalui pemilihan kata, susunan cerita, penyisipan naratif. Saya membaca untuk membaca fikiran pengarang. Ini sangat menyeronokkan membaca komik dan novel detektif, kita bebas membentuk dunia tersebut. Tapi apabila saya menonton filem, saya mahu membaca keindahan cerita itu melalui lakon layarnya, latarnya, angle kameranya. Ini jarang saya dapat daripada filem fiksyen sains yang kebanyakannya superficial.

VI

Dialog Orang Muda (DOM) merupakan acara bulanan kerjasama PENA & ITBM (Institut Terjemahan & Buku Malaysia) yang diadakan setiap hari Ahad minggu ketiga bermula pukul 10.30 pagi. Maklumat lanjut boleh ke laman facebook PENA dan blognya


Abstrak si pembikin filem pendek


Saya suka tonton filem yang kebanyakkan dimuat tirut secara tidak rasmi dari internet. Bukan saya tidak mahu membeli DVD tapi setelah kecewa dengan pembelian DVD The Phantom Of The Opera, saya tekad. Semua cerita harus muat turun sahaja.

Beberapa minggu lepas saya pergi Solaris semasa program Mimpilem. Solaris Dutamas, bukannya Solaris Hartamas. Ya, saya berjaya sampai juga disana biarpun sesat dan berpusing-pusing serta hampir semua orang tidak tahu tempat itu dimana.

Namun ketika saya sampai, saya hanya sempat menonton 3 filem pendek yang terakhir sahaja dan beberapa persembahan muzik. Tanggapan pertama ketika menjejakkan kaki ditempat ini. Wah! atmosfera bonjois (Wahyudi, 2010) sungguh! Sistem audionya ditahap terbaik kalau hendak dibandingkan dengan beberapa tempat yangs aya pernah pergi.

Apabila menonton ketiga-tiga filem pendek yang terakhir, ada dua orang teman saya (yang baru menjinak-jinakkan diri) bertanya, “Apakah makna filem ini?” Saya terdiam sebab saya pun mencari maknanya juga.

Itu filem pendek eksperimental. Jadi apa itu eksperimental? Haruskah dengan dialog-dialog yang sukar untuk dimengertikan atau titik-titik plot yang tidak bersambung atau cuba untuk memetaforakan atau mengabstrakkan kehidupan dari kaca mata seorang pembuat filem yang mana cacar marba sekali?

Jadi tujuan pembuat filem pendek itu apa?

Apabila pengarah dipanggil ke depan dan penerangan pengarah itu pun seakan mengalami kecelaruan identiti, kita yang jadi penonton pun tidak semangat bertanya apa-apa. Rasanya mereka pun tidak tahu apa yang mahu mereka beri kepada kita sebagai penonton.

Atau mungkin mereka terlalu taksub dengan teori sehingga semua pun hendak dihimpun-himpitkan dalam sebuah cerita pendek?

Mungkin saya fikir sesetengah iklan petronas atau iklan raya itu jauh tinggi mutunya daripada sebuah filem pendek yang entah apa-apa misi dan visinya.

Mungkin juga tahap fikiran saya tidak setinggi tahap kekreatifan dan abstraknya fikiran mereka? Mungkin juga kan.

Ah! Yana. Kalau kamu banyak bising, tulis skrip dan arahkan filem pendek sendiri. Mungkin itu yang mereka akan kata pada saya kalau mereka baca tulisan ini.

Aih!

Urm. Menarik juga idea itu kan?

Tulis skrip filem pendek??

Nota kakitangan : Saya kecewa tidak dapat tonton RonaMaya karya salah seorang teman blog Nyanyian HUjan.

Oh, ini entri yang benar-benar tertunda.

Ada Apa Dengan Kita?


Menonton filem Ada Apa Dengan Cinta kembali. Semuanya selepas aku dan kawan aku berkaraoke lagu Ada Apa Dengan Cinta.

Aku tertangkap dengan kata-kata watak Cikgu Taufik Bagastoro ketika mengumumkan pemenang Lumba Puisi.

“Anak-anak, tujuan Lumba Puisi yang setiap tahun kita adakan adalah agar kita tetap sadar bahawa kita memiliki satu kekayaan yang tidak ternilai harganya iaitu bahasa Indonesia.”

Lalu, aku terkesan. Filem ini mengangkat puisi-puisi Chairil Anwar yang membuatkan ada antara penonton filem itu mencari buku Aku karya Sumanjo ketika terbang ke Indonesia atau gerai buku Indonesia ketika Pesta Buku.

Malah filem AADC menggunakan medium puisi sebagai penggerak cerita serta menganggungkan khazanah terbesar mereka iaitu Bahasa Indonesia. Ayat ini dilayangkan di gegendang telinga semua penonton termasuk kita di Malaysia.

Lalu Ada Apa Dengan Kita? Adakah kita ada filem-filem kita menyatakan kekayaan terbesar kita ialah Bahasa Melayu. Malah kalau mahu berbicara bahasa melayu pun kadang-kadang kita malu sebab tidak standard berbanding dengan fasih berbahasa Inggeris. (aku tidak menolak kepentingan BI di sini). Kalau ada pun sekadar selingan sahaja atau anekdot menambah tawa.

Ada Apa Dengan Kita? Bila kita rasa mahu mewah dengan bahasa kita sendiri? Bila ada filem kita benar-benar mengangkat keindahan bahasa dalam acuan moden? Dahulu aku ada tonton filem Kad Cinta yang membacakan puisi JM Aziz, berkolek bersajak tetapi lewat dewasa ini, sangat jarang. Apa yang aku lihat cerita-cerita biasa yang diberi kosmetik dengan indah.

Aku sering lihat, pertandingan deklamasi puisi sekadar menonjolkan pemenang-pemenang atau deklamator sahaja walaupun sebenarnya sayembara tersebut bertujuan untuk mengangkat keindahan bahasa dan makna puisi tersebut. Kalau kita bertanya pada deklamator-deklamator puisi , apakah mereka benar-benar tahu makna implisif dalam puisi itu dan roh dalamnya? Apakah mereka mengenali tampang si penulis puisi itu? Berapa ramai yang boleh menjawab dengan baik? Aku yakin boleh dikira dengan jari. Ramai deklamator yang memilih untuk membacakan puisi kerana sesuai dengan tone suara atau puisi itu mudah digayakan bukan kerana mesej puisi itu. Kita terlalu dikosmetikkan dengan kemenangan dan rasa mahsyur sehingga kita lupa perkara yang penting di situ iaitu bahasa melayu.

Cukup, aku si Fakir Bahasa yang sekadar cinta pada keindahan bahasa kita, Bahasa Melayu.

Kawan-kawan,

Aku tetap suka penamat AADC kerana konflik itu dileraikan dengan puisi yang ditulis oleh Rangga.

 

Perempuan datang atas nama cinta

Bonda pergi kerna cinta

Digenangi racun jingga dalam wajahmu

Seperti bulan telah tidur dalam hatimu

Yang berdiri kelam dan kedinginan

Ada apa dengannya

Meninggalkan hati untuk dicaci

Lalu kali ini aku lihat dari syurga dalam mata seorang hawa

Ada apa dengan cinta

Tapi aku pasti akan kembali dalam satu purnama

Kerna aku ingin kamu

Itu sahaja

 

 

NotaKakiTangan ; Aku masih berhutang resensi Album Dewangga Sakti. Aish~

Filem LOS and FAUN : Filem lawak yang segar


Maaf. Review filem ini agak lewat walaupun aku sudah lama tonton filem ini


Pertamanya aku sangat suka hasil kerja Afdlin Sauki dan aku tonton hampir semua filemnya di panggung dan filem ini antara karya Afdlin yang terbaik. Rasanya tidak perlu tulis sinopsisnya kerana anda boleh perolehi sinopsisnya di sini.

Antara sebab-sebab aku menyukai filem LOS & Faun ialah

1

Setiap pelakon pandai menjiwai watak dan bukan sekadar watak tempelan tanpa karakter. Afdlin pandai merincikan setiap watak dalam ceritanya. Daripada sekecil-kecil watak penyambut tetamu dan pengurus restoren hinggalah watak utamanya LOS & FAUN.

2

Skripnya tidak membosankan. Lawaknya segar dan tidak terlalu kering. Aku bersama satu panggung gelak tanpa henti dari filem itu bermua sampai filem itu berakhir. Aku paling suka lawak Brokeback Mountain itu. Paling tidak tahan sengih Adlin yang pakai topi koboi itu. Bravo.

3

Walaupun jalan ceritanya mudah. Pasal pencarian barang curi dan adik aku yang turut sama menonton sudah dapat teka siapa pencuri sebenar tetapi Afdlin Sauki berjaya menyampaikan ceritanya dengan gayanya tersendiri.

Cukuplah 3 sebab ini dan aku harap penonton Malaysia menyokong filem ini dan sokonglah filem ini menjadi box office. Menurut teman baikku “Tidak rugi kita tonton filem Malaysia di panggung, filem orang putih itu kita download sahaja. Hehehe”

p/s Rasa bosan menonton lakonan Erra yang sedikit sterotaip.

Tag ke 3 dari Hafiizh anak Mukhtaruddin


Hafiizh mesej and beritahu aku telah di tag. Lalu ini jawapan kepada tag. Hafiizh, I sudah jawab tau tag u, u tak komen siaplah. Hehe. Maaf jawab lambat.

Starting time : 9.00

Name : AINUNL MUAIYANAH

Sisters : 1

Brothers :4

Shoe size :7

Height : 163 cm

Where do you live : bukit badong, batang berjuntai!

Have you ever….

Been on a plane : No

Swam in the ocean : Yes.Last masa survival laut universiti.

Fallen asleep at school : Haha. Selalu sangat.

Broken someone’s heart : Urm… Mungkin tapi tidak pasti. Hati seorang siapa yang tahu kan?

Fell off your chair : Yes! Malu sangat tapi buat-buat macam tidak ada apa sahaja.

Sat by the phone all night waiting for someone to call : Hehe. Hendak jujur ke tak nak eh?

Saved e-mails : Hampir setiap kali.

What is your room like : Ungu!

What’s right beside you : Komputer riba CompaQ dan hp

What is the last thing you ate : Anggur yang warna ungu tanpa biji.

Ever had…

Chicken pox : Ada-ada. Masa kecil-kecil dahulu.

Sore throat : Ada.

Stitches : Urm~

Broken nose : Tidak.

Do you Believe in love at first sight : Percaya-percaya (dengan muka yakin)

Like picnics : Suka. Lagi-lagi kalau makanannya sedap.

Who was were the last person..

You danced with : Tidak pernah menari.

Last time u laugh: Baru tadi selepas membaca mesej dari seseorang (En An)

You last yelled at : Kuchai sebab brake kereta tiba-tiba.

Kissed anyone : Nope.

Get sick : Jarang-jarang

Talk to an ex : Oh minta simpang. haha

Miss someone : Mungkin.

Who do you really hate: Ada-ada. Minta maaf ya pada siapa yang berkenaan

Do you like your hand-writing : Ikut musim. Kalau cantik sukalah.

Are your toe nails painted : Sekarang tidak.

Whose bed other than yours would you rather sleep in : Katil teman sebilik sebab selalunya katil mereka lebih sejuk dari katil aku

What color shirt are you wearing now : Merah jambu.

Are you a friendly person : Ya.

Do you have any pets : Tiada. Ibu tidak galakkan bela binatang.

Do you sleep with the TV on : Sesekali kalau letih amat.

What are you doing right now : Mendengar lagu puisi Sapardi Djoko Damono.

Can you handle the truth : Ikut keadaan.

Are you closer to your mother or father : Dua-dua tak.

Do you eat healthy : Tidak. Sebab jarang makan sayur.

Do you still have pictures of you & your ex : Mungkin.

If you’re having a bad day, who are you most likely to go to: Shah

Are you loud or quiet most of the time : Selalunya orang kata aku ini tidak boleh diam seminit.

Are you confident: Yes.

5 things I was doing 5 years ago

1. Duduk di atas kerusi meja di bilik darjah 5D sambil membaca sesuatu.

2. Sedang fikir apa course yang akan diambil masa di uni

3. Makan laksa sedap di café makcik baik hati di maktab atas kayangan

4. Main bola tampar dengan gembira di padang basah depan rumah pengetua

5. Gaduh dan ketawa dengan kawan-kawan pasal benda remeh

5 things I would do if I were a billionaire

1. Kembara 1 dunia

2. Belikan setiap seorang dalam famili, 1 rumah, 1 kereta.

3. Charity.

4. Makan sedap, tidur sedap. Hehe.

5. Beli buku banyak-banyak sampai penuh satu rumah.

People I want to tag

1 Sue

2 Mahfuzah

3 Syahidah

4 Lelucon

5 Hanie Salwah