Sorotan Pembaca: Puisi Jauh dari Halaman Rumah


Saya kongsikan ulasan Abdul Rahman Shah  yang mengulas puisi saya, Jauh dari Halaman Rumah. Puisi ini dimuatkan dalam buku Melompat Keluar dari Mimpi (2015) terbitan Katapilar Books 🙂

* * *
Ulasan ringkas puisi “Jauh dari Halaman Rumah” nukilan Ainunl Muaiyanah.

Puisi ini adalah salah sebuah puisi dalam buku antologi puisi dan cerpen Melompat Keluar dari Mimpi (2015) terbitan Kata Pillar Books. Puisi serta muka depan buku boleh dirujuk pada gambar yang disisipkan bersama ulasan.

Apa yang menarik tentang puisi ini adalah pembaca akan di bawa oleh penulis menyusuri emosi-emosi bersama perlambangan perjalanan atas kapal terbang. Setiap emosi ini adalah berkaitan tentang sebuah proses, proses yang akan diterangkan pada hujung ulasan.

Rangkap pertama puisi ini adalah mengenai perasaan rindu yang hadir apabila berjauhan dengan mereka yang disayangi. Seterusnya penulis mengatakan tentang bagaimana jendela dan lagu adalah penyelamat kerinduannya. Jendela di sini boleh juga dibaca sebagai alat komunikasi atau telefon pintar yang boleh digunakan untuk berhubung dari jauh.

Jika rangkap pertama mengenai bagaimana rindu terjadi, rangkap kedua pula adalah tentang emosi seterusnya dalam proses, iaitu kesedihan. Kesedihan yang dirasai penulis akibat pemisahan ini menggunakan perlambangan air matanya seperti anak-anak yang mencari ibunya.

Rangkap ketiga adalah mengenai perasaan resah/anxiety yang hadir selepas kesedihan. Penulis menggunakan gambaran adakah kapal terbang tidak takut dengan angin-angin yang akan datang menolak mereka keluar dari perjalanan asal, jauh lari dari rumahnya. Di saat ini perasaan panik mula timbul dengan baris yang mengatakan penulis ingin berhenti dan pulang terus ke rumah.

Rangkap keempat adalah sambungan perasaan resah tadi tetapi penulis telah sedikit tenang – iaitu dalam perasaan menerima, dia sudah sedikit sebanyak menerima yang dia perlu mengambil perjalanan ini walaupun perlu berjauhan dengan yang tersayang. Terpaksa meninggalkan segala keselesaan sebelumnya.

Dan akhirnya rangkap kelima adalah perasaan tekad, perasaan keberanian selepas menerima hakikat yang dia perlu ada dalam perjalanan yang menjauhkan dia dari rumah.

Tetapi sekarang, apakah yang ingin disampaikan oleh puisi ini? Adakah sekadar puisi rindukan halaman rumah atau homesick bak kata orang Inggeris? Di mana kapal terbang sedang membawa penulis untuk belajar atau kerja di luar negara? Ataupun ini mengenai perkahwinan di mana penulis kini perlu berjauhan dengan keluarganya?

Semua mempunyai kaitan tetapi masih tidak tepat. Puisi ini untuk aku adalah dalam genre “coming-of-age”. Tentang transisi emosi yang semua akan lalui apabila kita sedar kita bukan kanak-kanak lagi – merindui hidup lama, menangis dalam kerinduan, resah adakah jalan yang dipilih itu benar-benar selamat, risau akan mengikuti orang yang salah, panik apabila tidak yakin dengan diri, dan seterusnya proses penerimaan.

Ianya tentang proses eksistential melalui emosi-emosi yang akan dirasai di ambang menyedari kita sudah dewasa dan perlu mengambil alih tanggungjawab terhadap diri sendiri, merealisasikan impian diri, dan tidak melupakan asal usul kita dalam proses.

img_9720img_9721

Sajak Sepasang Tanda Kurung dan Koma di Berita Minggu


Ehem, sajak saya disiarkan dalam Berita Minggu pada 9 Disember 2012 yang lalu. Sewaktu itu, saya di Melaka mengikut program Perhimpunan Alumni MPR 2. Zulfazlan Jumrah yang memaklumkan kepada saya.

Lama juga sajak tidak disiarkan. Saya masih lagi menulis, Cuma jarang sekali menghantar tulisan ke media. Kadangkala sibuk, kadangkala lupa, kadangkala tiada karya yang sesuai. Tetapi penyiaran sajak ini membuatkan saya sedar sudah lama rupanya saya tidak menghantar tulisan untuk disiarkan.

Sajak ini terinspirasi selepas saya berbual dengan seorang rakan, dan dia mempunyai lesung pipit dan senyuman yang sungguh menawan. Setiap kali senyum, pipinya naik dan menggebu. Serta punya sepasang mata yang tersenyum. Kalau kita sedang buru-buru marah atau sedih, lihat mukanya, tiba-tibanya kita rasa aman tenang. Hehe.

Nah, sebahagian daripada petikan sajak ini yang saya suka. Tulisan penuhnya boleh baca di sini. Dalam Berita Minggu, sajak tersebut dipangkas, mungkin supaya ruang akhbarnya muat atau baris sajak saya yang terlalu panjang 🙂 Tapi tidak apa-apa, boleh rujuk link tersebut untuk lihat versi asal.

Seringnya bila nada suaraku dilanda marah,
sepasang koma pada pipimu membuat aku
jeda tumpu dan menghentikan rusuh kata
daripada berterusan bakal melukakan sesiapa

Notakakitangan: Bulan Disember ini mungkin akan banyak entri menyusul. Salah satu sebab saya suka menulis pada bulan Disember kerana salji turun di blog saya. Betul-betul macam nyanyian hujan kan?

Cerpen saya dalam Kelahiran Lain


Oh, saya terlupa bahawa saya punya sebuah cerpen yang diterbitkan dalam sebuah buku. Judulnya bukunya, Kelahiran Lain.

Ini cerpen yang mengada-ngada pernah saya tulis. Kerana harus menulis sepanjang 20 halaman, jadi saya terfikir, 20 halaman, mahu tulis apa ini? Saya bukan Roslan Jomel yang gagah menyudahkan cerpen lebih 40 halaman seperti di dalam kumpulan cerpen keduanya, Selamat Datang Ke Malaywood

Mulanya saya hantar cerpen yang lain. Tetapi tertolak. Mungkin cerpen itu tiada arah tujuan. Lalu sewaktu tempoh penolakan, saya telah berbual-bual dengan seseorang di laman facebook dan nah hampir separuh inti perbualan itu saya tuangkan ke dalam cerpen yang baharu dan diterima oleh Jargon untuk disandingkan bersama dalam 10 cerpen dalan buku Kelahiran Lain.

Selepas buku ini terbit, hampir setengah tahun, baru saya mendapat naskhah penulis. Ini kerana saya sungguh terlupa untuk mengambilnya. Apabila saya baca kembali cerpen itu, saya jadi tersenyum sendiri kerana alangkah mengada-ngadanya cerpen saya itu.

Judul asal cerpen itu: Perempuan Bulan dan Perempuan Hujan tetapi penerbitan Jargon yang inginkan kelainan telah membuang nama penulis dan judul cerpen supaya cerpen itu dihakimi atas kebolehan cerpen itu bercerita bukan pada nama penulis atau pada judul cerpen. Maka, jadilah cerpen saya itu anonymous. Tetapi menurut kawan saya, gaya penulisan cerpen saya mudah sekali ditebak. Mudah sekali ditemui yang mana satukah cerpen yang ditulis oleh saya.

Katanya, suara kepengarangan saya berkata-kata dalam cerpen itu. Suara saya. Bukan suara cerpen. Itu kata kawan saya.

Nah, ada naskhah di tangan saya untuk dijual. Sesiapa yang berminat untuk membelinya boleh menghantar maklumat lanjut ke ainunl.muaiyanah[at]gmail[dot]com.

Ehem… saya nak berikan intro di dalam cerpen tersebut tapi nanti orang tahulah cerpen saya yang mana satu. Aishhh…

 

3 Catatan Pendek



Catatan Pendek I

Mohon,

bebaskan binatang liar

yang sering kali

mencakar dan menggomoli

dinding kamar kita

dari dadamu

 

Catatan Pendek II

Apa mahu,

Di kamar sempit ini

Jika keliaran ingin mengembang bebas

 

Cacatan Pendek III

Tiada kitab

Arif membaca

Jalan labirin fikiran perempuan

Yang tidak membeza senyum untuk semua rasa

 

 

ainunl.muaiyanah.sulaiman

05042012

 

(setelah kata-kata tidak mencintai saya. Lama sudah tidak menulis puisi)

Sajak Soldadu Bahasa di Dewan Bahasa Oktober 2011


Tidak pernah sajak saya disiarkan dalam Dewan Bahasa. Soldadu Bahasa membuka tiarainya. Saya suka kerana diiringi tulisan jawi. Siapa yang tidak tahu baca jawi, masuk kelas mahir jawi kat TV9 , sekarang! J

Saya menulis sajak ini selepas pulang daripada PPMN (Perhimpunan Penulis Muda Nasional ke II) di Ayer Keroh Melaka. Anehnya selepas 2 tahun, sajak ini digagah untuk dihantar ke media. Kini Perhimpunan Muda Nasional ke III akan berlangsung di Kuala Lumpur. Setepatnya akademi kenegaraan, Jalan Bellamy. Apakah saya akan melalui perasaan yang serupa seperti dua tahun lepas. Rasanya tentu sahaja tidak. Dalam dua tahun ini, banyak sekali peristiwa yang berlaku.

Jadilah kita soldadu-soldadu selepas hujan

Menjalarkan tanah cinta ini dengan sukma bahasa

Menyiram kuntum-kuntumnya dengan jiwa

Sajak penuhnya boleh di baca di sini

Soldadu Bahasa