Pelancaran Buku A. Samad Said menjelang usia 77


I

Semalam ulang tahun A. Samad Said yang ke-77.



II

Selepas Dialog Khas Pengakuan Sutradara Pengarah Bunohan: Dain Said, di Coffee Club Express berlangsungnya Pelancaran Buku Menjelang Ulang Tahun ke 77, A. Samad Said pada pukul 4.00 petang. Pelancaran berlangsung lancar dengan persembahan pembukaan oleh anak A. Samad Said, Az Samad dan penutupnya oleh kumpulan Kopratasa.

Mengapa pelancaran buku menjadi sangat penting, apatah lagi pelancaran buku itu dilakukan di sebuah kedai buku yang tersohor seperti Kinokuniya?

Saya suka sekali melihat pelancaran buku di kedai buku sebagai satu hubungan simbosis yang penting kepada pembaca-buku-penulis. Ini memberi satu lagi nilai tambah kepada kedai buku yang tidak berperanan hanya sebagai kedai jualan sebaliknya satu tanggungjawab sosial untuk mendekatkan jurang antara penulis dan pembaca selain secara tidak langsung memperkenalkan jenama rumah penerbitan tersebut. Apatah lagi, pelancaran buku di kedai buku selalunya dapat meningkat penjualan buku kerana pengunjung pelancaran akan lebih teruja untuk membeli dan bukunya boleh ditandatangan oleh pengarangnya.

III

Ketiga-tiga buah buku yang dilancarkan pada hari itu merupakan produk pertama karya asli terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) selepas namanya dijenamakan semula daripada Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) menjadi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Harga buku seperti berikut dan boleh dibeli sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada hujung bulan ini. Untuk maklumat lanjut bolehlah klik di sini


IV

Saya suka sekali tema Kinokuniya pada bulan ini, Books In Our Lives. Suatu hari nanti, saya akan merealisasikan rumah yang penuh buku di mana-mana.

Pasca DOM KHAS Pengakuan Sutradara bersama Dain Said, Pengarah Bunohan



I

Di dalam kereta menuju dada KLCC (untuk pelancaran buku A. Samad Said di Kinokuniya) bersama Fadli Al-Akiti (yang menjadi moderator), perkara pertama yang saya nyatakan betapa memuaskan Dialog Orang Muda kali ini. Seperti di Rumah PENA itu, saya telah pulang dengan sejumlah luka yang telah disembuhkan. Kebetulan, sebelum DOM berlangsung, saya berkesempatan duduk semeja bersama Dain Said, mengucapkan terima kasih kerana memberi saya menonton sebuah filem yang baik (oh, saya jarang terkesan dengan filem kita) bertanya dua buah soalan, salah satunya Dain Said meminta saya bertanya semasa DOM supaya jawapannya dapat didengar dan dikongsi bersama penonton.

Duduk di barisan kedua kerana barisan belakang sudah dipenuhi oleh tetamu yang lain, saya berkongsi sebahagian kata-kata Dain Said di Twitter (telefon saya tidak canggih tapi twitter ada perkhidmatan twitter secara SMS), betapa saya ketika terkesan dengan pemilihan kata-katanya yang saya fikir akan lahir daripada orang yang telah membaca sejumlah buku dan menonton sejumlah filem yang banyak.

Ketika itu, dalam fikiran saya masih teringat jawapannya terhadap soalan pertama saya kepadanya yang saya tanya sebelum DOM berlangsung “Apakah Bunohan dibuat untuk membuka ruang diskusi? Dan apakah tidak kisah jika kutipan tidak memuaskan?”

Dain berkata (yang saya padatkan jawapannya berdasarkan ingatan saya) kawan-kawannya di France ada membuat filem berkonsep art-house dan mendapat dana daripada kerajaan dan bukannya geran peminjaman. Ini ada perbezaan antara mendapat dana dan geran. Dengan menggunakan dana, filem art-house yang mereka buat biasanya kurang popular dan tidak difahami tetapi bagi mereka itu tidak mengapa dan mereka tidak peduli asalkan mereka dapat buat apa yang mereka suka. Apa yang terjadi selepas itu bukan di bawah perhatian mereka. Ini berbeza berbanding dengan kalau kita mendapat geran pinjaman, kita akan membuat filem art house pada masa yang sama boleh dijual dan bertujuan komersial dan business. Saya tidak terfikir bahawa membuat filem ini untuk membuka ruang diskusi tetapi apabila ada ruang diskusi, itu perkara yang lebih baik lagi.

Jadi dalam fikiran saya, saya merasakan Dain Said mahu membuat sebuah filem art-house tetapi pada masa yang sama diterima oleh masyarakat yang akan mengangkat keindahan yang ada di dalamnya. Tapi ini satu hal yang susah, jika fikiran masyarakat telah ditakutkan untuk memikirkan hal-hal yang bersifat seni. Mereka telah memahami seni dari aksesorinya seperti glamour, kacak, romantis tetapi bukan dari tubuh asal seni itu sendiri.

II

Hampir dua jam berjalan dan masa dialog seperti tidak pernah cukup untuk saya mendengar suaranya tentang filem Bunohan. Saya fikir, mungkin saya boleh sengaja datang ke rumah merangkap pejabatnya di Titiwangsa, nanti. Hehe. Kalau dia terima kedatangan saya. Tetapi saya cukup puas hati apabila dia menjawab soalan saya dalam DOM itu (soalan yang sepatutnya dijawab semasa sesi perbualan pendek saya dengannya sebelum DOM)

“Saya sangat menyukai semua watak di dalam Bunohan, walaupun watak sampingannya. Setiap watak di tangan pelakon itu berdiri dengan kuat. Saya tidak fikir kalau di tangan pelakon lain, Ilham akan jadi sedemikian bagus. Saya sendiri sangat menyukai Jolok. Persoalannya, apakah Encik Dain Said telah memikirkan pelakon untuk watak itu atau pelakon itu telah dilatih di bawah pengarahan Encik?”

Dain Said mengatakan bahawa dia memang telah memikirkan Faizal Hussein yang memegang watak Ilham semasa menulis cerita itu. Dan dia telah bertemu dengan R.A.T (Rumah Anak Teater) dan menyukai mereka yang bergiat di dalamnya terutama penaungnya Namron (ramai penggiat R.A.T berlakon dalam Bunohan seperti Amerul Affendi, Zahiril Adzim, Pekin). Ramai antara mereka telah ada sesuatu dalam fikiran tentang bagaimana watak itu mahu digayakan apabila watak itu diberikan kepada mereka. Oleh itu, dia menyatukan apa yang dia mahu dengan pelakonnya.

Saya begitu teruja apabila Dain Said menyatakan dia sangat menyukai Amerul dan sebenarnya mahu memberi Ameerul (nama dalam filem Muski) ruang yang lebih besar di dalam filemnya tetapi itu yang termampu diberikan kepada Ameerul. Saya teruja kerana jujur saya katakan bahawa saya memang menyukai Ameerul lebih daripada Zahiril semenjak saya menonton teater mereka di ASWARA (ketika itu mereka masih lagi belajar). Cuma Ameerul tidaklah kacak berbanding Zahiril (iya kah?) tetapi setiap kali saya terkesan selepas menonton lakonan Amerul (saya sangat suka lakonannya dalam short film, Bandar Jahil) . Saya selalu berharap Amerul akan diberi peluang lebih baik dan besar lagi.

Dain Said mengatakan roh filem ini sememangnya gelap, tersebab itu dia memilih untuk membuat penggambaran ketika musim monsoon kerana mahukan penataan cahaya yang lembut. Malah dia menerangkan juga bahawa dia sengaja tidak mahu mengambil paparan yang terlalu indah kerana apabila terlalu cantik dan indah, ia akan jadi terlalu romantik dan dia tidak mahu filemnya kelihatan begitu. Apa yang dia mahu sesuatu yang dikatakan static, framing and certain amount of beauty.

Oh! Tentu sahaja apabila dia menyebut perihal kesusteraan lisan sebagai elemen penting dalam filemnya, mata saya membulat besar dan makin ingin tahu. Ini sesuatu yang sangat menarik apabila pembuat filem meletakkan elemen seni sastera secara sedar tetapi mengadun baik di dalam filemnya dan tidak dilihat terlalu abstrak dan asing seperti mungkin Wayang. Oleh kerana itu, dia mengangkat Main Puteri, Wayang Kulit ke dalam ceritanya. Menurutnya wayang kulit, main puteri dan makyung sangat berkait rapat dengan sejarah lisan. Di dalam filem ini, Main Puteri bukan sahaja menyembuhkan tanah tetapi menyembuhkan orang, menyembuhkan komuniti dan menyembuhkan filem ini juga. Dia memang sengaja mengambil semangat Main Puteri dan menterjemahkan ke dalam filemnya. Watak budak itu memang sengaja diletakkan begitu, sebagai harapan di dalam filem ini setelah semuanya musnah di dalam filem ini. Semuanya telah terlambat seperti kata Pok Eng dalam Bunohan (seingat saya), Mengapa ini semua boleh terjadi. Tetapi semuanya telah terlambat apabila, Ilham menyuruh melepaskan adiknya Adil daripada dibunuh tetapi Adil terbunuh ketika perlawanan, apabila Adil ingin berjumpa dengan ayahnya selepas perlawanan, apabila Pok Eng ingin menyempurnakan persembahan wayang kulitnya di pantai tetapi tidak berjaya kerana mati dibunuh Bakar. Tetapi selepas semua kemusnahan itu dalam filem, masih ada budak itu yang menjadi lambang sebagai harapan.

Oh, memang benar. Selepas semua kemusnahan di dalam hidupnya kita masih ada jalan ada harapan lagi. Itu fikir saya.

Dalam jenakanya dan luncur katanya yang sedikit pedas dan tajam, Dain Said menyindir Prof. Abu Hassan, produser mana yang bayar you?. Dia tidak kisah kalau mahu mengkritik filemnya tetapi biarlah kritikannya itu berdasarkan analisis yang betul bukan hanya menggunakan perkataan yang bombastic seperti darmatugrafi dan sosiobudaya. Malah menurutnya lagi, saya seorang pencerita bukannya pengkaji sosiobudaya.

III

Ini DOM yang paling memuaskan hati saya. Bukan kerana subjek yang dianggap adalah filem, bukan kerana tetamu yang datang lebih ramai daripada biasa tetapi panelnya, Dain Said telah memberikan sesuatu yang bukan sahaja tentang filem tetapi sesuatu yang lebih besar daripada itu. Dia tahu apa yang ingin katakan dan dia menguasai subjek itu dengan baik sekali. Terima kasih.

IV

Saya fikir pemilihan pelakon yang tepat untuk sebuah filem sangat penting supaya watak itu boleh digayanya dan dizahirkan dengan berkesan. Ini juga saya fikir berkait rapat dengan dunia penulisan. Seorang penulis harus memilih perwatakan yang tepat untuk membawa ceritanya ke tahap yang baik. Kalau watak ceritanya salah dibentuk serta salah pilih, kekuatan cerita itu akan tenggelam. Di tangan pengarah filem, pelakon dibentuk di hadapan kamera menggunakan dialog, ekspresi dan gerak gaya serta mainan kamera tetapi di tangan penulis cerita, wataknya dibentuk menggunakan pemilihan kata, susunan cerita dan struktur cerita itu.

V

Kawan saya, seorang kritikus bertanya kepada saya, “Awak sangat suka membaca komik dan novel detektif seperti penyiasat remaja dan Q, Sherlock, penyiasatan, sains tetapi awak jarang seronok menonton filem fiksyen sains. Mengapa?”

Saya membaca kerana saya mahu menggambarkan dunia imaginasi pengarang yang sering kali liar dan menggoda melalui pemilihan kata, susunan cerita, penyisipan naratif. Saya membaca untuk membaca fikiran pengarang. Ini sangat menyeronokkan membaca komik dan novel detektif, kita bebas membentuk dunia tersebut. Tapi apabila saya menonton filem, saya mahu membaca keindahan cerita itu melalui lakon layarnya, latarnya, angle kameranya. Ini jarang saya dapat daripada filem fiksyen sains yang kebanyakannya superficial.

VI

Dialog Orang Muda (DOM) merupakan acara bulanan kerjasama PENA & ITBM (Institut Terjemahan & Buku Malaysia) yang diadakan setiap hari Ahad minggu ketiga bermula pukul 10.30 pagi. Maklumat lanjut boleh ke laman facebook PENA dan blognya


3 Catatan Pendek



Catatan Pendek I

Mohon,

bebaskan binatang liar

yang sering kali

mencakar dan menggomoli

dinding kamar kita

dari dadamu

 

Catatan Pendek II

Apa mahu,

Di kamar sempit ini

Jika keliaran ingin mengembang bebas

 

Cacatan Pendek III

Tiada kitab

Arif membaca

Jalan labirin fikiran perempuan

Yang tidak membeza senyum untuk semua rasa

 

 

ainunl.muaiyanah.sulaiman

05042012

 

(setelah kata-kata tidak mencintai saya. Lama sudah tidak menulis puisi)

Syarahan tentang sajak yang mengharukan: Wislawa Szymborska



Saya tertarik untuk membaca sajak-sajak Wislawa Szymborska selepas membaca tulisan Amir Muhammad dalam Yasmin Ahmad’s Film (terima kasih untuk Fadli Al-Akiti kerana memberi buku ini) yang menyatakan bahawa filem Mukhsin dan Rabun itu terinspirasi daripada sajak Wislawa. Walaupun, saya pernah mendengar namanya semasa menonton filem Turn Right Turn Left (Ini saya ucapkan terima kasih kepada Sarah) tetapi masih tidak tergerak untuk membacanya. Dalam filem ini wataknya membaca sajak Love At First Sight. Walaupun buku Wislawa Szymborska – Poems New and Collected sudah lama berdebu dalam rak saya, namun masih belum juga membacanya. Haha. Betapa teruknya saya. Sehingga bertemu tulisan yang mengharukan dalam buku Yasmin Ahmad’s Film


Membaca syarahan Wislawa Szymborska dengan permulaan sederhana yang mengatakan, ketidaksempurnaan lebih mudah dimaafkan jika dilakukan dalam jumlah yang sedikit. Wislawa penyair dari Poland yang memenangi Hadiah Nobel pada tahun 1996 mengatakan tidak ramai orang yang mahu menyebut dirinya penyajak jika dia penulis sajak. Mereka lebih gemar menamakan diri mereka penulis. Seolah-olah segan dengan pekerjaan yang mereka pilih itu. Ini terbukti betul. Di Malaysia, jarang sekali saya mendengar orang menggelarkan diri mereka penyair/penyajak. Mereka senang membahasakan diri mereka penulis sahaja, berlainan dengan penulis novel atau cerpen yang senang sekali membahasakan diri mereka novelis atau cerpenis. Walhal menulis sajak itu bukannya sesuatu yang mudah walaupun kelihatan paling irit dan sedikit berbanding novel dan cerpen.

Wislawa menyatakan bagaimana kekuataan inspirasi daripada kata ‘saya tidak tahu’ yang melorongkannya pelbagai sumber inspirasi untuk menulis. Pertanyaan ‘saya tidak tahu’ membuatkan pencarian untuk menulis dengan lebih baik lagi. Sesiapa yang sudah berhenti mengatakan saya tidak tahu akan menghentikan juga pencarian terhadap tulisan-tulisan yang bagus untuk lahir dari dirinya. Kata-kata ini seperti benar-benar menjemput saya untuk bertanya kepada diri. Untuk apakah saya menulis sajak dan mengapakah saya gigih menulis sajak? Saya sering menulis sajak untuk melahirkan kegelisahan yang kadang kala melintas lalu dalam diri saya. Saya sentiasa merasakan sajak-sajak saya belum cukup bagus. Itu tidak bermakna saya malu dengan sajak sendiri, saya sangat mencintai sajak-sajak saya seperti anak-anak kecil yang tidak tahu berjalan lagi. Saya ingin sekali mengasuh dan berterusan mengasuh sajak-sajak saya supaya dia terlahir menjadi orang dewasa yang gagah.

Tapi kadang kala saya jadi hairan dengan mereka yang menulis sekian jumlah sajak sudah menggelar-gelar diri mereka. Bagi saya keangkuhan tidak melahirkan apa-apa kecuali hal-hal yang palsu. Tulisan yang bagus tidak harus diangkat oleh diri sendiri. Kalau tulisannya bagus, maka orang akan menyedari dan dibelakang tulisan itu akan tercipta pengikutnya sendiri. Dalam syarahannya juga Wistawa menyebut, dekad ini banyak sajak yang hadir untuk tontonan umum berniat untuk mengejutkan dengan dandanan yang ekstravaganza dan berlebihan serta perlakuan yang aneh-aneh. Ya memang orang akan mengambil tahu tetapi sampai satu masa, apabila apa yang dinilai adalah kehalusan di dalam sajak itu. Dan waktu itu semua kepura-puraan akan hilang juga.

Ada beberapa orang telah datang kepada saya untuk belajar menulis sajak. Saya kata saya tidak tahu mengajar dan apa yang lebih tepat lagi menulis sajak tidak boleh diajar. Kita tidak boleh mengatakan kepada orang apa yang boleh dibuat dalam sajak, apa yang tidak boleh dibuat dalam sajak. Saya tidak mahu melahirkan buku manual kepada mereka yang rajin bertanya kepada saya. Saya sendiri mahu mereka melahirkan rasa saya tidak tahu dan menulis sajak yang lahir dari kegelisahan-kegelisahan yang mereka lihat dari kaca mata mereka. Penyajak adalah orang yang sentiasa gelisah dengan persekitaran. Kegelisahan itu boleh lahir dalam bentuk apa apa pun. Lahir dari bentuk sajak mahupun sajak yang berbentuk anti-puisi.

Saya hanya boleh membawa mereka melihat sajak dari jendela yang berbeza dan terserahlah mereka bagaimana untuk memasuki rumah sajak itu. Penyajak yang dibentuk oleh segala buku manual hanya akan melahirkan penyajak yang biasa-biasa dan bukannya luar biasa. Mereka hanya menurut aliran bukan untuk mengubahnya. Jika ingin mengubahnya, mereka sekadar melacurkannya sahaja dengan nilai yang rendah. Akhirnya yang lahir hanyalah yang itu-itu juga. Seharusnya seorang yang ingin menjadi penyajak harus belajar membaca bahasa sajak (bukan mendeklamasikannya) dan kemudian tenggelam di dalamnya untuk mencari suara pengarangnya sendiri.

Saya perturunkan perenggan terakhir dalam syarahan Wislawa Szymborska untuk sama-sama kita fikir.

Granted, in daily speech, where we don’t stop to consider every word, we all use phrases such as the ordinary worls, ordinary life, the ordinary course of event. But in the language of poetry, where every word is weighed, nothing is usual or normal. Not a single day and not a single night after. And above all, not a single existence, not anyone’s existence in this world.

It looks as though poets will always have their work cut out for them

Tokoh-tokoh


Jika saya membaca sesuatu karya, saya selalu sahaja mahu mengetahui siapakah tokoh yang mencetuskan penulis untuk menulis karya itu. Mengenali tokoh seolah-olah membuatkan saya dapat mengenali subjek dalam karya itu.

Kadang-kala kita selalu rasa terkesan jika tokoh di belakangnya adalah seseorang yang dicintai, seseorang yang dihormati. Kita sering sahaja terpesona dengan keindahan dan keromantisan cinta dan kasih sayang. Ya, siapa yang dapat menafikannya.

Apatah lagi, jika kita punya kenalan rapat yang juga seorang penulis dan punya kesempatan menulis karya yang ditujukan kepada kita. Seolah-olah telah diberikan hadiah yang paling terbaik antara hadiah terbaik seluruh dunia. Tetapi akan kecewakah kita apabila mengetahui bahawa tokoh di belakang karya itu mungkin bukan kita, mungkin orang lain?

Saya pernah bertanya kepada salah seorang penulis mengenai sebuah sajak yang saya dengar ditulis untuk isterinya. Saya bertanyakan kepastiannya. Saya sangat sukakan sajak itu. Tetapi balasan yang saya terima sungguh mengejutkan, “Isteri yang mana?” dengan muka yang sedikit sinikal. Semakin lama bergaul dengan penulis, saya mengenal dan belajar bahasa tubuh dan kesinikalan kata. Kalau sesiapa yang tidak faham, memang susah mahu faham humor yang sedang dikatakan.

Lalu saya putuskan begini sahaja, kalau kita berharap mengenali tokoh-tokoh tertentu yang menginspirasikan karya yang sedang kita baca, memang akan menemui kekecewaan. Biarkahlah saja, tokoh-tokoh di belakang karya kekal bersembunyi di balik tabir. Jika suatu hari, kita tertahu, sila ambil pisau tikam sahaja tokoh tersebut supaya kita tidak lagi tahu siapa dia.

Sebab bila kita kecewa dengan kebenaran, kita akan menolak karya dengan sebab yang tidak rasional.

Kekasih Puisi yang Berulang Tahun di Bulan Januari


Untuk kekasih puisi yang jauh di ujung pandang, saya tidak tahu apakah hadiah terbaik semasa ulang tahun kelahirannya pada 14 Januari selain puisi yang saya tulis dengan sepenuh hati. Semoga dia sentiasa menulis sajak-sajak yang memberi inspirasi kepada orang-orang yang membacanya.

Kekasih Puisi yang Berulang Tahun di Bulan Januari

(catatan kepada Aan Mansyur)

 

Pada satu hujan, kekasih puisi terbangun daripada kasur tidurnya

terganggu oleh jendela yang berkibar-kibar kasmaran, entah mengapa

terlihat awan menggebu jingga dan hujan menari-nari di kaca jendela  

 

Benda-benda dalam kamarnya yang sentiasa beku mendingin

mendadak menjadi hangat dan mesra menyambut kantuknya

Kaca mata lebih jernih daripada kebiasaan yang kabur

Buku-buku gigih membuka lembar-lembar kesukaannya

 
 

Dia merasa aneh; mengapa semuanya seolah-olah manis dan hangat?

 
 

Di atas meja bersebelahan jendela: sepasang cawan dan kopi yang diseduhkan

adalah hadiah ulang tahun pada senja untuk dia yang jauh di ujung pandang

 

Ainunl Muaiyanah Sulaiman

14 Januari 2011

 

*Kredit gambar Jamie Baldridge – A Different Engine Contemplates as Ontological Certainty

(Setelah hampir setahun puisi ini ditulis, akhirnya saya berani meletakkan di dalam blog ini. Selamat ulang tahun kekasih puisi saya, Aan Mansyur)