Sejumlah Percakapan Tentang Sesuatu Yang Mereka Tidak Pernah Boleh Mengerti


I

Mereka datang dan bertanya kepada saya:

Mengapa?

Saya tidak mahu memberi jawapan kerana tidak pernah ada jawapan yang akan memuaskan hati semua orang. Lagipun mereka datang kepada saya bukannya untuk mendapatkan jawapan sebaliknya mahu menjatuhkan hukuman.

II

Secara ‘halus’ mereka cuba memujuk saya, katanya. Saya tertawa sahaja. Maaf, saya adalah anak patung yang telah rosak kerana tangan-tangan mereka. Mereka tidak pernah boleh membaikinya lagi. Tidak sama sekali.

III

Mengapa saya sukakan komik Penyiasat Remaja dan mengulang baca tanpa jemu? Saya ada jawapannya tetapi biarlah saya simpan sahaja. Tetapi di dalam satu siri Detektif Q, saya sentiasa mengingati kata-kata Detektif Dan kepada Q semasa dia mendapati Ryu merupakan putera dalam Sindiket Pluto yang diketuai oleh Raja Hades, musuhnya. (Oh, kepada mereka yang tidak pernah baca komik Penyiasat Remaja, Detektif Q mesti tidak boleh tangkap cerita ini. Ki ki ki)

Detektif Dan : Q, saya harap kamu akan mempercayainya sampai sangat akhir

Q: Tentulah

Detektif Dan: Kamu mesti mempercayainya walaupun apa apapun terjadi. Kalau ada orang yang mempercayai Raja Hades sampai saat akhir, dia tidak akan terjebak dalam Sindiket Pluto.

Kerana itulah, jawapan kepada apa yang saya lakukan sekarang. Saya sedang memberi percaya supaya tidak ada orang yang semakin jatuh ke dalam lubang hitam itu. Jika tiada siapa yang mahu percaya, kamu rasa apa yang akan terjadi kepada orang itu?

Cukuplah dahulu, sekali saya membiarkan kawan saya pernah jatuh dan saya hanya melihatnya tanpa mahu melakukan apa-apa untuk menyelamatkannya. Bukan kerana tidak mahu melakukan apa-apa tetapi saya mengambil sikap berkecuali. Tidak sangka suatu hari kawan itu datang kepada saya dan kami mengimbau tentang peristiwa yang terjadi, setelah dia mendengar dari sisi saya, dia memandang tepat ke mata saya dan berkata, kenapa tidak pernah mahu menyelamatkan saya? Saya diam dan tidak tahu mahu berbuat apa. Saya tidak mahu melihat perkara yang sama berulang kali. Walaupun kepada orang yang berbeza. Tidak sama sekali.

IV

Saya jadi hairan kepada mereka yang mengaku mereka sangat bijaksana dan menggolongkan diri mereka orang-orang yang berjiwa ‘halus’. Tapi sayangnya mereka langsung tiada nilai penghargaan kepada sikap kemanusiaan. Sikap mereka kadang-kadang lebih menjelakkan daripada golongan yang kurang bijaksana dan tidak berjiwa halus. Sungguh menghairankan kerana mereka telah membaca sejumlah buku tentang kebijaksanaan dan kemanusian. Malahan mereka menulis tentangnya. Tetapi mereka tidak dapat membentuk perkara itu di dalam jiwa mereka.

Mungkin itulah bezanya antara membaca dengan jiwa atau membaca dengan mata.

V

Mereka memilih untuk menjadi hakim. Ya, terpulang. Tetapi siapa mereka untuk menghakimi manusia? Kerana mereka juga manusia juga bukan?

VI

Profesional. Mereka golongan professional yang maha bijaksana dan sudah keluar dari zaman kejahilan setelah memperolah pencerahan. Tetapi semakin menjadi bijaksana tidak menjadikan mereka semakin kerdil tetapi rupanya semakin angkuh. Sedangkan semakin tahu menjadikan seseorang semakin tidak tahu.

Kita biarkan sahaja si luncai terjun dengan labu-labunya… Biarkan… Biarkan… Biarkan…

Rumah Hati Penyair



 
 

 
 

 
 

Dalam hati penyair, dibangunkan sebuah rumah daripada kata-kata.

 
 

Di kamar utama, disiapkan seorang suri yang sentiasa tersenyum. Kata-kata yang mendindingi biliknya telah rabik dan lusuh ditelan air mata. Kata-kata baru yang dihiasi renda dan bunga sentiasa menjelma untuk menghiasi dan membangunkan dinding-dinding lama yang koyak. Suri itu tidak pernah belajar untuk keluar daripada bilik utama itu. Dia, penunggu paling setia. Di matanya telah kehilangan peta untuk melihat dunia.

 
 

Di kamar tetamu, adalah tempat penyair bermalam dan menuliskan kata-kata baru yang akan ditemuinya. Kata-kata itu akan dikirimkan untuk menghiasi setiap dinding rumahnya. Kamar tetamu menyimpan perempuan yang menghiburkan hati. Di tangan perempuan itu sering dicari permainan-permainan yang baru untuk membangkitkan imaginasi dan mimpi. Di rumah hati penyair, kamar tetamu adalah kamar hiburan yang percuma daripada mana-mana perempuan yang telah direnggut hatinya. Di atas almari, trofi berbentuk hati tersusun seperti tidak pernah akan berakhir.

 
 

Di gobok-gobok rumah, ada sahaja pengunjung yang bersilih ganti bermalam atau sekadar singgah minum secawan kopi. Pengunjung itu akan membawa ole-ole untuk menghiasi almari hiasan rumah itu. Kadang-kala pengunjung itu merelakan dirinya berubah menjadi patung-patung dan bersatu dengan dinding menghiasi walau hanya sekadar di dalam gobok-gobok kecil itu.

Mari kita meraikan cinta seperti pasangan biasa yang melahirkan cinta di gedung-gedung besar pasar raya


Mari, kita keluar seperti pasangan biasa yang melahirkan cintanya di gedung-gedung pasar raya. Sewaktu kau ambil aku dengan keretamu dan mempersilakan aku duduk. Ah, manis sekali. Dengan dayamu, memandu ke gedung besar pasar raya, tempat pasangan bercinta bercanda. Ketika parkir dibayar dan terusan kau bertanya : mau makan atau jalan? aku jadi bingung.

Kau memutuskan mahu makan selepas tiket wayang dibeli. Aku menurut sahaja kerana masih terasa asing berjalan berdua denganmu di gedung besar itu. Semasa dihadapan panggung, kau bertanya filem apa yang mahu ditonton. Memilih dari skrin yang membariskan filem yang bobrok dan tiada satu berkenan di hati, namun kupilih juga cerita melayu untuk menyokong industri filemnya yang tenat. Sesudah itu, kita pergi mengalas perut yang semakin lapar.

Begitu payah memilih kedai di gedung besar kerana gudang besar dalam tempat menghimpun menu-menu dari seluruh dunia. Ada pasta, pizza, subway, agam gorengan, burger, sebut sahaja apa. Aku dan kau saling berpandangan. Di gedung besar, aku kepingin nasi dan restoran melayu kita pilih. Bersama memilih caj perkhidmatan yang mahal serta nasi sejemput yang dihidang secara seni dan profesional. Lalu lagu daripada John Lennon yang romantis menyapa serta seorang lelaki memainkan violin cinta untuk kita. Ah!

Sementara menunggu masa wayang berlangsung, kita pun memilih berjalan dari kotak kedai ke kotak kedai. Seperti pasangan biasa lakukan untuk melahirkan rasa cinta. Aku melihat-lihat baju yang diperagakan di kaca pameran. Kau melihat-lihat kasut yang rapi jahitan. Sehingga kita menjadi bosan walaupun baru sahaja 15 minit berlalu, lalu akhirnya kita terperuk di kedai buku dan hilang dalam sunyi sehingga lupa wayang akan ditayang.

Buru-buru mengejar wayang kerana terlupa masa di kedai buku. Kita sempat masuk panggung dan melihat sekian banyak pasangan sudah memenuhi panggung. Filem berputar, baru 10 minit, kita sudah jadi terlalu jemu dengan apa yang kita tonton serta saling tertanya kenapa filem ini banyak penontonnya. Bila melihat sekeliling rupanya ada wayang di kerusi lebih menarik daripada wayang di layar. Lalu kita berkeluh kesah menunggu satu jam berlalu sambil cuba tertawa atau menakut-nakutkan diri dengan cerita di layar.

Sesudah itu, apa caranya lagi untuk kita melahirkan cinta seperti pasangan biasa di gedung besar? Ya, mungkin melontar bola bowling atau karaoke? atau mungkin apa?

Kita sama-sama kebingungan di tengah-tengah gedung besar pasar raya dan pasangan biasa yang sedang melahirkan rasa cinta.

Nanti nak kahwin macam mana?


Saya dibesarkan dengan ajaran, seorang perempuan harus mahir mengurus hal dapur. Harus pintar menggaul rencah dan rempah untuk masakan. Harus pandai mengatur kerja rumah seperti membasuh, menyapu rumah, mengemas. Harus pandai menyulam dan menjahit serta mengait.

Ya, dirumah tiada orang gaji yang boleh disuruh itu ini dan kalau saya disekolah menengah masih tidak tahu masak apa-apa, maka saya akan dileteri ibu sehingga telinga sudah menjadi tuli. Ayat yang paling sterotaip yang akan digunakan

“Nanti nak kahwin macam mana?”

Secara peribadi, saya rasa kemahiran ilmu rumah tangga bukanlah satu kewajiban atau syarat untuk seseorang bergelar wanita. Saya lebih suka menyatakan kemahiran rumah tangga itu merupakan satu cara penghargaan isteri terhadap suami (jika sudah berkahwin) atau kelebihan. Maka saya cukup tidak suka jika ada orang kata tempat seorang perempuan di dapur. Ayat itu kurang relevan sekarang ini.

Macam satu pokok bunga, biarpun tidak dicantas, dihias, digubah maka tetap dipanggil pokok bunga. Masih boleh menghias rumah. Namun jika digubah, dicantas daunnya jangan berselirat dan berserabut, diletakkan dibekas yang cantik, maka bunga itu akan jadi lebih dari penyeri rumah. Kemahiran-kemahiran yang ada pada seseorang perempuan merupakan gubahan, bekas yang cantik, cantasan bagi sepohon pokok bunga.

Jadi, saya tidak berapa menyenangi kalau-kalau ada lelaki mahu bakal isterinya pandai itu ini tetapi dia tiada apa-apa kelebihan selain mengarah sahaja. Bagi saya, kemahiran rumah tangga harus dimiliki oleh lelaki juga. Kalau perempuan sudah memilih untuk bekerja menampung keluarga juga, lelaki harus begitu. Belajar menolong isteri di dapur walau sekadar hanya membancuhkan air, menggaul gulai semasa isteri sibuk mahu menyiang sayur.


Saya suka belajar kemahiran rumah tangga bukanlah sebagai keperluan atau syarat untuk berumah tangga suatu hari kelak tetapi sebagai penghargaan atau hadiah kepada suami yang menerima saya sebagai teman hidupnya kelak. InsyaAllah. Tidak punya kemahiran rumah tangga bukan bererti tidak layak untuk berkahwin, kemahiran itu boleh diasah dan dilatih sesudah berumah tangga sekalipun.

Saya teringat petua yang diperturunkan oleh emak kawan saya kepada saya.

“Kalau tidak pandai memasak semua jenis hidangan sekalipun, kita kena mahir memasak satu resipi. Contohnya nasi ayam. Belajar buat nasi ayam yang paling sedap sampai semua orang akan ingat nasi ayam kita.”

Nota kakitangan: Untuk teman saya yang sedang memilih itu, moga-moga Allah permudahkan.

Nota lagi : Teringat ayat dalam filem cinta : Isteri bukan hak milik tetapi anugerah.


Interlokal


Selamat tinggal jiwa-jiwa patriotik dan hipokrit!

Aku harus pergi. Siapa suruh tidak menghidangkan tilam empuk buat aku bermimpi. Aku terpaksa mengejar impian itu di tempat lain. Maaf ya. Kalau takdir bersimpang siur dan mengucup aku lagi, kita pasti akan bertemu. Lagi..

Aku telah kembali kepada bau buku yang memabukkan dan aksara yang menggiurkan. Walaupun sedikit lelah dan tiada sambungan dengan dunia luar namun aku masih tersenyum-senyum juga. Ah walaupun aku terpaksa mendepani istilah sains yang menjungkar-balikkan bola mata tetapi aku masih mengensot lagi dalam lapangan ini. Sebenarnya masih bergulir-gulir juga.

 

 

 

P/S : Aku tiba-tiba rasa menjadi genius Sains Tingkatan 2. Siapa mahu minta aku ajar tuisyen?

 


 

Kau patut rasa aneh


Adakah kau patut rasa aneh..?

Bila pejabat yang riuh rendah jadi sunyi-senyap dengan tiba-tiba?-atau jalan ke tempat kerja yang biasanya sesak dengan sekian banyaknya kereta sehingga macet, sesak dan sering membuatkan kau terlewat ke pejabat tiba-tiba jadi lengang seolah-oleh garuda melanda?-atau tempat letak kereta yang selalu sahaja penuh sehingga kau terpaksa meletakkan kereta di pinggir-pinggir jalan tiba-tiba sahaja lenggang walhal waktu masuk pejabat sudah genting benar?


Kau sepatutnya patut lebih-lebih rasa aneh apabila kau masih lagi tidak pulang ke kampung halaman untuk beraya sedangkan orang ramai sudah lama berbuat demikian rupa.


Notakakitangan : Menghadapi kesunyian dengan mendengar lagu raya. Aish. Lagi syahdu

Apa Aku Mahu Tulis?


Sebelum ini, aku sudah memutuskan untuk berhenti menulis entri yang penuh emosi dan melodrama ala-ala filem Hindustan tetapi tidak berjaya. Jadilah tanah birungu bersarang sebulan lamanya. Apabila ada orang sudah merindu dan bertanya kenapa si nyanyian hujan tidak bernyanyi lagi, maka aku kira aku harus (baca : terpaksa) menulis entri. Aku terpaksa lah memenuhi permintaan peminat ini. Aish (harap mereka yang berkenaan rabun semasa membaca ayat ini. Haha. Gelak jahat).

Sebenarnya mahu berkabung kerana pengarah kegemaran aku telah pergi. Tetapi tunggulah aku buat entri khas untuk mereka yang telah pergi.

Sedapnya burger ala-ala bulan sabit ini. Ada rasa mahu berbuka tak?

Oleh itu dengan penuh rasa bersemangat, aku akan mengirimkan entri-entri mengenai puasa ketika zaman muda-muda (sekarang pun muda lagi) setiap hari sehingga hari raya. Hanya entri sahaja dan gambar-gambar yang akan dicuplik dimana-mana. Semasa hari raya, mungkin akan berehat sebentar. Ialah siapalah mahu membaca blog ketika tengah memakan kuih tart atau almond London kan? (Sebenarnya tiada acess internet di kampung, pandai saja kamu bagi alasan ya yana)

Jadi, aku sedang fikir. Kenangan mana yang mahu aku kutip sebagai entri bulan Ramadan ini? Kawan-kawan mahu entri yang bagaimana?

Roti bakar+majerin+gula


Di hadapan aku ada Honey Pickled Twister KFC. Aku beli semasa temankan kawan aku membeli-belah keperluan ke tanah penghujung Asia.

Aku jamah sedikit tetapi aku rasa mual. Mungkin kerana lidah aku tak serasi dengan mayonis atau mungkin kerana twister itu sudah sejuk.

Lalu, aku ambil roti sekeping dan kemudian aku tukar jadi roti bakar+majerin+gula. Sedapnya. Masa itu aku rasa makanan itu lebih lazat dari segala benda yang ada di dunia ini.

Oh ya. Kadang-kadang kita akan lebih suka makanan yang ringkas berbanding makanan yang berat seperti twister itu.


Seperti kita suka sesuatu yang sederhana daripada sesuatu yang hebat.


Kadang-kadang sederhana itu lebih baik kan?


Ada Apa Dengan Kita?


Menonton filem Ada Apa Dengan Cinta kembali. Semuanya selepas aku dan kawan aku berkaraoke lagu Ada Apa Dengan Cinta.

Aku tertangkap dengan kata-kata watak Cikgu Taufik Bagastoro ketika mengumumkan pemenang Lumba Puisi.

“Anak-anak, tujuan Lumba Puisi yang setiap tahun kita adakan adalah agar kita tetap sadar bahawa kita memiliki satu kekayaan yang tidak ternilai harganya iaitu bahasa Indonesia.”

Lalu, aku terkesan. Filem ini mengangkat puisi-puisi Chairil Anwar yang membuatkan ada antara penonton filem itu mencari buku Aku karya Sumanjo ketika terbang ke Indonesia atau gerai buku Indonesia ketika Pesta Buku.

Malah filem AADC menggunakan medium puisi sebagai penggerak cerita serta menganggungkan khazanah terbesar mereka iaitu Bahasa Indonesia. Ayat ini dilayangkan di gegendang telinga semua penonton termasuk kita di Malaysia.

Lalu Ada Apa Dengan Kita? Adakah kita ada filem-filem kita menyatakan kekayaan terbesar kita ialah Bahasa Melayu. Malah kalau mahu berbicara bahasa melayu pun kadang-kadang kita malu sebab tidak standard berbanding dengan fasih berbahasa Inggeris. (aku tidak menolak kepentingan BI di sini). Kalau ada pun sekadar selingan sahaja atau anekdot menambah tawa.

Ada Apa Dengan Kita? Bila kita rasa mahu mewah dengan bahasa kita sendiri? Bila ada filem kita benar-benar mengangkat keindahan bahasa dalam acuan moden? Dahulu aku ada tonton filem Kad Cinta yang membacakan puisi JM Aziz, berkolek bersajak tetapi lewat dewasa ini, sangat jarang. Apa yang aku lihat cerita-cerita biasa yang diberi kosmetik dengan indah.

Aku sering lihat, pertandingan deklamasi puisi sekadar menonjolkan pemenang-pemenang atau deklamator sahaja walaupun sebenarnya sayembara tersebut bertujuan untuk mengangkat keindahan bahasa dan makna puisi tersebut. Kalau kita bertanya pada deklamator-deklamator puisi , apakah mereka benar-benar tahu makna implisif dalam puisi itu dan roh dalamnya? Apakah mereka mengenali tampang si penulis puisi itu? Berapa ramai yang boleh menjawab dengan baik? Aku yakin boleh dikira dengan jari. Ramai deklamator yang memilih untuk membacakan puisi kerana sesuai dengan tone suara atau puisi itu mudah digayakan bukan kerana mesej puisi itu. Kita terlalu dikosmetikkan dengan kemenangan dan rasa mahsyur sehingga kita lupa perkara yang penting di situ iaitu bahasa melayu.

Cukup, aku si Fakir Bahasa yang sekadar cinta pada keindahan bahasa kita, Bahasa Melayu.

Kawan-kawan,

Aku tetap suka penamat AADC kerana konflik itu dileraikan dengan puisi yang ditulis oleh Rangga.

 

Perempuan datang atas nama cinta

Bonda pergi kerna cinta

Digenangi racun jingga dalam wajahmu

Seperti bulan telah tidur dalam hatimu

Yang berdiri kelam dan kedinginan

Ada apa dengannya

Meninggalkan hati untuk dicaci

Lalu kali ini aku lihat dari syurga dalam mata seorang hawa

Ada apa dengan cinta

Tapi aku pasti akan kembali dalam satu purnama

Kerna aku ingin kamu

Itu sahaja

 

 

NotaKakiTangan ; Aku masih berhutang resensi Album Dewangga Sakti. Aish~