Kepada Payung Teduh


Cover-Album-_Dunia-Batas_in

 

Kamu tahu, hujan, antara yang saya cintai di dunia. Tetapi saya selalu sahaja tidak memiliki payung. Kerana payung selalu sahaja jadi jarak untuk saya lebih mencintai hujan dan mencintai kebasahan yang diciptakannya di tubuh saya, serta emosi yang bakal dipeluki hujan.

Saya juga sering selalu ditelagakan oleh lagu-lagu yang mengiringi saya menikmati hujan. Antaranya lagu-lagu daripada album kamu, Payung Teduh baik dari versi EP mahupun versi album penuh.

Antara beberapa lagu, atau mungkin keseluruhan lagu dalam kedua-dua album itu, telah buat malam saya jadi lebih panjang untuk saya menulis kata-kata bersamanya. Nah. saya ambil sahaja lagu kamu “Berdua Saja” dan membayangkan sepasang kekasih sedang menyimpan rasa bergelora daripada diucapkan kerana ada sahaja yang harus disimpan, atau mungkin tiada keberanian untuk mengungkapkan atau rasa segan memperdengarkan kata-kata itu.

“Malam jadi saksi

Kita berdua di antara kata

yang tidak terucap

berharap waktu membawa keberanian

untuk datang membawa jawapan”

Nyata, rangkap ini akrab sekali dengan saya, kerana saya juga pernah terperangkap antara kata, dan tidak pernah ada keberanian mengungkapkan rasa. Tiada keberanian untuk mengungkapkan apa-apa kerana banyak hal, atau mungkin kerana saya seorang perempuan. Lalu persoalan di hujung lagu ini, membuat hati saya langsung sebu, “mungkinkah kita ada kesempatan ucapkan janji takkan terpisah selamanya?”

Bagaimana rasanya sedang dalam pelukan? Sedang lagu “Untuk Perempuan Yang Sedang Dalam Pelukan” pun ada rasa yang masih tersimpan yang takut untuk diungkapkan. Padahal dalam pelukan, seringkali tubuh menjadi akrab namun, hati mungkin masih menjarak? Dan masih memerlukan keberanian yang lain?

“Di malam hari

menuju pagi

sedikit cemas

banyak rindunya”

Suatu hari, akan ada banyak keinginan yang ingin kita jalankan bersama seseorang yang kita cintai. Seperti yang kamu ucapkan dalam lagu “Resah”

“Aku ingin berdua denganmu

di antara daun gugur

aku ingin berdua denganmu

tapi aku hanya melihat keresahanmu”

Langsung saya teringat potongan puisi Sapardi Djoko Damono, “Aku Ingin”. Ada banyak keinginan yang hadir sebaik sahaja kita menjadi pasangan kekasih. Tetapi seperti puisi Sapardi dan juga lagu “Resah”, saya ingin memilih untuk menjadi kekasih yang sederhana. Yang rasa bahagia walau hanya berjalan di bawah daun-daun gugur, atau berjalan di malam sambil memerhatikan lampu jalan satu-satu menutup diri mereka.

Lagu-lagu dalam albummu Payung Teduh, membuatkan saya juga mulai mencintai payung, yang meneduhkan saya sebentar dalam hujan, bukan untuk menjarakkan tetapi lebih untuk mencintai dalam jaraknya, seperti mencintai seseorang yang tidak kita akan miliki kerana banyak hal dan kita masih berbahagia untuknya, selamanya. Dan terima kasih untuk Payung Teduh memberikan saya sedikit teduhan daripada berterusan dibasahi hujan.

Ciptakan ribuan lagu meski pun puisi, untuk menemani malam saya meski tanpa pelukan, supaya saya terus ada di antara kata meski tiada di antara cinta.

Puing-puing di Perkuburan


Hari ini aku datang ke perkuburan berbaju kurung polos kapas berintik bunga ungu kecil-kecil. Ada bunga kemboja sedang menguntum di tanah itu dan ada rebas menitik satu-satu dari dada langit. Ada rumput-rumput yang menjalar dan lumut-lumut hijau yang menumpang kasih di batu nisan dari batu sungai itu.

Tiada apa yang berubah. Tiada. Nisan masih di situ. Pohon kemboja masih mekar mewangi dan hujan merebas juga dan jasad yang mengunjungi tempat itu masih aku. Sendiri.

Aku tidak pernah memaafkan kepergian ini kerana aku tidak dapat memaafkan diri sendiri sekiranya aku membiarkan diriku memaafkannya.

PUING-PUING


Tinggalkan aku dan kedukaan

Aku belajar dari masa lalu

Dibunuh dan dikhianati

Dihambur semahu-mahu hatimu


Asmara sudah dibawa pergi

Tertinggal kenangan luka cuma

Menyusup dalam jiwa aku

Mengalir dalam atma aku


Cinta kita hanyalah puing-puing

Di atas runtuhan kota kasih sayang

Tidak bisa dibina kembali semula

Tanpa setia dan percaya dari hati

Tutupkan mataku dan biarkan


Tangisan tlah membasuh segalanya

Keberanian membalut diriku

Tanpa kamu aku masih berdiri

Tinggalkan aku dan pergilah


Lagu : Mohram

Lirik : Ainunl Muaiyanah Sulaiman


Notakakitangan : Semasa waktu senggang, aku mencuba menulis lirik dari pada lagu PUING-PUING dendangan MOHRAM. Tidak tahulah bagus atau tidak. Sekadar mencuba sahaja.

Terbang Ke Dada Langit sambil berpimpin tangan dengan Dewangga Sakti


Semalam aku terbang ke dada langit selepas puas berlayar ke pulau yang jauh bersama Dewangga Sakti. Cemburu? Aduhai, aku sekadar duduk bersimpuh di Rumah Pena sambil meronggeng bersama Pak Abdul sahaja. Tidak lebih tidak kurang pun. J. Aku berlibur dengan lagu-lagu dari satu zaman ke satu zaman. Dari tahun 70an ke zaman ini. Sekejap aku terbang ke Jepun dan keluar negara sekejap. Sangat santai dan segalanya adalah percuma sahaja. Tidak percaya? Kecewa? Kamu tanya aku pergi kemana dan dimana aku mendapatkannya? Hanya di Rumah Pena dan bersama Dewangga Sakti pada malam tadi pada acara Maskara Showcase.

Si pembaca mantera

Awalnya majlis dimulakan dengan bacaan mantera sehijau lelalang dari Attokz Dikulgai. Dari bait manteranya aku syak dia membaca mantera dari bahasa Jawa halus kerana hanya beberapa perkataan dari bahasa Jawa yang aku faham. Atau mungkin dia menggunakan bahasa lain? Itu aku tidak tahu pula. Pada sesi 1, Dewangga Sakti membawakan lagu Kapal Rimyo, kemudian dengan kata-kata alunan yang santai mereka mendendangkan lagu 4 Dara dan lagu dari album mereka Selembar Kasih dan beberapa lagu lagi. Tetapi aku suka benar pada sesi ke 2. Pemilihan lagu-lagunya antara lagu-lagu kegemaran aku dan lagu yang aku paling sukai ialah lagu Tudung Periuk. Ketika itu aku rasa syahdu dan mahu juga menyapu si ayer mata. Dewangga Sakti juga mengalunkan sebuah lagu Jepun dan Sway. Sebelum mereka menutup persembahan mereka menjemput Sinaganga menyanyi bersama mereka malangnya aku tidak tahu lagunya. Kemudian mereka menutup persembahan mereka yang menghiburkan dengan lagu wajib Johor Sport Club.

En Biola yang menyanyikan lagu Tudung periuk

Aku kehabisan duit untuk membeli 3 buku yang tertulis nama Pramoedya Ananta Toer bertajuk Perburuan, Subuh dan Gulat Di Jakarta sehingga terpaksa meminjam dari Kak Hani. Sempat juga bertegur sapa dengan blogger popular Zamry Mohamad. Mula takut juga nak menegur, maklumlah blogger popular dan orang kuat PTS pula. Ketika berbual dengannya, dia sempat merungut “Macam manalah saya nak buat kawan, kalau orang yang pergi ke blog saya tidak tinggalkan jejak?”. Ialah dia itu blogger terkenal, aku ini blogger ikan bilis dilautan. Masakan enggang berjalan seiring dengan pipit. J. Tidak mengapa, nanti aku tinggalkan jejak di semua blognya. Baru dia tahu. Hahahahaha.

Kak hani dan Ode

Terima kasih kepada Ode dan Kak Hani yang membawa aku pergi ke Rumah Pena. Sudahlah dibawa pergi kemudian dengan muka tidak malu terpaksa meminjam duit sebab mahu membeli buku Pramoedya Ananta Toer. Alahai~ 😉

Oh ya Aku terlupa aku masih berhutang komentar mengenai album Dewangga Sakti – Mabuk Kepayang di blog ini. InsyaAllah aku akan cuba siapkan.

Anekdot: Kata-kata aluan penyanyi Dewangga Sakti sebelum menyanyikan lagu Sway “Disebabkan saya tidak belajar Sains dan MAtematik dalam bahasa Inggeris maka sebutan BI sahaja ada sedikit kureng (suwey) sikit”

Teater : Pengalaman dan Kenangan


Tanpa sengaja aku tertonton persembahan Akim, pelajar Akademi Fantasia 7 yang membawa lagu Titah Sultan dari teater muzikal Puteri Gunung Ledang. Aku tidak ada kecenderungan menyokong mana-mana pelajar tetapi persembahan Akim membuatkan aku menonton persembahan itu berkali-kali. Mungkin disebabkan keberkesanan persembahannya, atau lakonannya atau kerana lagunya. Aku suka konsert AF ke 8 kerana berani tampil dengan idea teater muzikal. Aku cukup suka sekali. Lagu Titah Sultan merupakan playlist wajib aku sekarang.

AF7 konsert ke 8 telah mengingatkan aku pengalaman berlakon teater. Aku tidak pernah terlibat dalam kelab drama di universiti mahupun di sekolah menengah tetapi KOMSAS menemukan aku kepada peluang berlaakon teater. Pertama ketika ditingkatan 1 dan kemudian ketika di tingkatan 4. Hanya dua kali sahaja. Kedua-dua itu seperti bidan terjun sahaja.

Ketika tingkatan 1, aku mendapat watak Tun Fatimah dari teater Bila Roboh Kota Melaka (KOMSAS tingkatan 1). Namun guna suara orang lain iaitu Syazwani (sekarang rasanya dia di UIA). Ialah, ketika itu aku bukan pelakon professional pun mahu ingat dialog berjela-jela. Peanat juga mulut terpaksa kumat-kamit tetapi tidak keluar suara. Pelakonnya semua adalah perempuan, termasuklah yang menjadi Sultan Mahmud itu, kelakar juga bila fikir. Sekolah kami tidak membenarkan percampuran antara lelaki dan perempuan bila buat drama ini.

Ketika itu malunya tuhan sahaja yang tahu sebab aku ini pemalu betul hendak berlakon di depan umum begitu. NAsib baik yang tonton drama itu hanyalah rakan-rakan setingkatan dan drama itu dipentaskan ketika budak lelaki sedang menunaikan solat Jumaat. Untuk mengelakkan budak lelaki mengintai persembahan kami. Sehinggakan kami terpaksa menampal setiap cermin di dalam dewan itu dengan kertas surat khabar untuk mengelakkan lelaki yang tersesat atau ponteng solat Jumaat daripada menonton secara sembunyi semasa pementasan itu diadakan.

Kemudian, semasa tingkatan 4, pihak maktab menyuruh jabatan bahasa mengadakan pementasan teater bagi setiap naskah drama pentas KOMSAS tingkatan 4. Setiap satu pementasan akan menggabungkan dua kelas. Seingat aku, kelas aku bergabung dengan kelas 4B. Ketika undian kami mendapat tugas mementaskan drama Titik-Titik Perjuangan, sejujurnya aku mengharapkan kami mendapat drama Serunai Malam hasil tangan sasterawan negara Usman Awang kerana aku suka skripnya berbanding dengan drama-drama yang lain. 😉

Tanpa sangka Haziq (seteru aku di kelas merangkap Tuan Pengarah) akan datang jumpa aku dan tawarkan aku watak Perempuan Tua. Ketika itu aku fikir aku mahu berada dibelakang tabir sahaja. Mulanya mahu menolak tetapi Haziq meminta dengan nada yang baik dan muluk-muluk , maka aku pun pertimbangkan. Lagipun semasa Haziq sudi terima jawatan pengarah merangkap pelakon juga, dia sudah pesan, dia akan jadi pengarah kalau mendapat kerjasama sahaja. Lalu ketika itu aku fikir, aku harus beri kerjasama bukan dan Haziq memintanya secara peribadi, menemui aku yang kononnya seterunya bukannya melalui orang lain.

Aku tidak sangka kami yang tidak pernah ada pengalaman mementaskan teater akan berjaya menghasilkan teater yang membawa seribu emosi. Marah, takut, sedih dan sebagainya. Kami buat improvasi di dalam skrip unuk memberi kelainan. Ketika itu ramai juga yang memuji produksi kami. Kami harap-harap kami menang juga tetapi anehnya kami dapat tempat kedua. Ada gosip-gosip liar kata, ada seorang guru tidak menyenangi beberapa orang dari produksi kami, ada juga kata kami kalah kerana mengubah skrip dan scene di dalam naskhah tersebut. Ketika itu ramai yang terkejut kami kalah sehingga pemenang teater itu pun terkejut mereka boleh menang kerana mereka sememangnya sangka kami menang.

Kami tidak ambil pusing kerana kami belajar sesuatu, sungguhpun kita tidak boleh menang di hati pengadil tetapi kemenangan di hati penontonlah yang lebih utama. Lantaran apabila kita bertanding bukanlah kemenangan yang perlu dikejar tetapi sejauh mana kita dapat melunaskan tanggungjawab yang diberikan.

Kan?

Kawan sekelas aku yang bernama Azhar di kenali dengan nama MABUK kerana melakonkan watak lelaki mabuk dalam drama tersebut. Lakonannya memang berkesan lah. Seingat aku sekarang dia di UKM. Nasib baik mereka tidak memanggil aku Perempuan Tua, kalau tidak siap lah.. hahaha. Mungkin kerana aku bukan pelakon yang baik barangkali?

Notakakitangan : Terima kasih kepada kawan-kawan yang pernah memberi kenangan manis kepada aku… suatu masa dahulu.

GIE : Puisi Cahaya Bulan


Sebelum aku tonton filem GIE, aku sudah mesra dengan runut bunyi dari filem tersebut dan puisi ini yang pertama menghambat hatiku dan merompak hati aku pergi.

 

Akhirnya semua akan tiba

Pada suatu hari yang biasa

Pada suatu ketika yang telah lama kita ketahui

 

Apakah kau masih berbicara selembut dahulu

Memintaku minum susu dan tidur lelap

Sambil membenarkan letak leher kemejaku

 

Kabut tipis pun turun pelan-pelan

Di lembah kasih, lembah mandalawangi

Kau dan aku tegak berdiri

Melihat hutan-hutan yang menjadi suram

Meresapi belaian angin yang menjadi dingin

 

Apakah kau masih membelaiku semesra dahulu

Ketika kudekap kau

Dekaplah lebih mesra, lebih dekat

 

Apakah kau masih akan berkata

Kudengar derap jantungmu

Kita begitu berbeda dalam semua

Kecuali dalam cinta

Kalau ada yang menjejak blog ini setahun dahulu, pasti akan terperasaan aku meletakkan 2 baris terakhir puisi ini dalam laman DALAM DIRIKU

“Benarkah kita begitu berbeda dalam semua kecuali dalam cinta?”

 

 

Benarkan?

 

 

 

P/S : Suara Nicholas semasa membaca puisi ini telah membawa hati aku pergi sebelum sempat aku menyitanya. Aduh~


Ebiet G. Ade – Seberkas Cinta yang Sirna


Semasa aku berjalan-jalan ke blog kak Rai dan Kak Hanie, aku lihat aku telah di tag oleh keduanya dan mereka menggunakan ayat yang sama untuk menggambarkan siapa aku

Peminat tegar Ebiet G.Ade?

Ya. benar. Aku dan ebiet G. Ade seolah sinonim dan disebabkan itu, aku akan sedaya upaya meletakkan senarai lagu-lagunya yang aku suka.

Semasa menulis entri ini, koklea aku digendangkan dengan lagu seberkas cinta yang sirna. Lagu ini antara lagu-lagu awal yang membuatkan aku jatuh hati.

Seberkas Cinta yang Sirna

Masih sanggup untuk kutahankan

Meski Telah kau lumatkan hati ini

Kau sayat luka baru

Diatas luka lama

Cuba bayangkan betapa sakitnya

Hanya Tuhan yang tahu pasti

Apa gerangan yang bakal terjadi

Begitu buruk kau perlakukan aku

Ibu mennagislah demi anakmu


Sementara aku tengah bangganya

Mampu tetap setia

Meski banyak cubaan

Begitu tulusnya ku buka tanganku

Langit mendung gelap malam untukku

Ternyata mengagungkan cinta

Hanya ditebus dengan duka lara

Tetapi akan tetap ku hayati

Hikmah sakit hati ini

Telah sempurnakan kekejamanmu

Petir menyambar hujan pun turun

Di tengah jalan sempat aku merenung

Masih adakah cinta yang disebutkan cinta

Bila kasih sayang kehilangan makna


Aku paling suka bait terakhir dalam lagu ini. Masihkah adakah cinta yang disebutkan cinta, bila kasih sayang kehilangan makna.


Doa Pengobral Dosa – Iwan Fals


 

Doa Pengobral Dosa

Iwan Fals

 

Disudut dekat gerbong

Yang tak terpakai

Perempuan ber make up tebal

Dengan rokok ditangan

Menunggu tamunya datang

 

Terpisah dari ramai

Berteman nyamuk nakal

Dan segumpal harapan

Kapankah datang

Tuan berkantong tebal

 

Habis berbatang batang

Tuan belum datang

Dalam hati

Resah menjerit bimbang

 

Apakah esok hari

Anak anakku dapat makan

Oh Tuhan beri

Setetes rezeki

 

Dalam hati yang bimbang berdoa

Beri terang jalan anak hamba

Kabulkanlah Tuhan

 

Kalau aku mula mencari dengan sungguhnya, itu bermakna aku sudah bercambah minat. Aku tahu liriknya dari blog Imaen yang terkenal dengan novel thriller-romantis Vandetta, Bohemian. Aku cari liriknya, aku cari lagunya dan ini lagu wajib dalam playlist aku sekarang.

Untuk aku yang die-hard-fan Ebiet G. Ade bukan susah untuk aku suka pada Iwan Fals.

Kenapa aku suka lirik ini? Untuk kali ini tiada satu-dua-tiga sebab lagi tetapi cukuplah aku minta pembaca renungkan liriknya. Itu sahaja.

 

Download : iwan fals : Doa Pengrobral Dosa

Ebiet G. Ade – Nyanyian Kasmaran


Agak lama rasanya aku tidak tulis entri lagu kegemaran aku. Maaflah kalau lagu yang ditulis ini lagu lama dan layaknya menjadi kutub khanah Klasik Nasional FM tetapi aku tetap berpegang dengan prinsip tanpa yang lama tiada yang baru dan lagu-lagu lama dan kurang popular ini lagi berjiwa liriknya berbanding lagu sekarang yang liriknya tanpa erti seperti lagu kutunggu jandamu dan muziknya tiada jati dirinya sendiri dan paksi.

Aku sememangnya peminat Ebiet G. Ade dan segalanya bermula dengan lagu ini. Lagu ini aku temui disisipkan dinovel Keranamu Ain.. karya Noor Suraya a.k.a Kaksu. Penulis yang aku kagum amat dan tidak sangka dapat bersua dengannya. Lagu ini pernah membangkitkan kekuatan yang bukan sedikit. Aku berharap dengan mendengar kembali lagu dan liriknya dan aku akan kembali bersemangat dan meninggalkan kepedihan ini.

EBIET G ADE – Nyanyian Kasmaran

Sejak engkau bertemu lelaki bermata lembut
Ada yang tersentak dari dalam dadamu
Kau menyendiri duduk dalam gelap
Bersenandung nyanyian kasmaran
Dan tersenyum entah untuk siapa

Nampaknya engkau tengah mabuk kepayang
Kau pahat langit dengan angan-angan
Kau ukir malam dengan bayang-bayang

Jangan hanya diam kau simpan dalam duduk termenung
Malam yang kau sapa lewat tanpa jawab

Bersikaplah jujur dan tebuka
Tumpahkanlah perasaan yang sarat dengan cinta
Yang panas bergelora

Barangkali takdir tengah bicara
Ia diperuntukkan buatmu
Dan pandangan matanya memang buatmu

Mengapa harus sembunyi dari kenyataan
Cinta kasih sejati kadang datang tak terduga

Bergegaslah bangun dari mimpi
Atau engkau akan kehilangan
Keindahan yang tengah engkau genggam

Anggap saja takdir tengah bicara
Ia datang dari langit buatmu
Dan pandangan matanya khusus buatmu

 

Aku paling suka ayat kau pahat langit dengan angan-angan, kau ukir malam dengan bayang-bayang . Sangat puitis dan bermakna. Memberi motivasi untuk merebut peluang yang ada dalam hidup. Kepada sesiapa yang ingin download lagu ini, bolehlah klik disini. Ebiet G. Ade – Nyanyian Kasmaran

 Ebiet G. Ade – Nyanyian Kasmaran

 

Notakakitangan : Untuk info peminat lagu Kamelia-Sweet Charity. Sebenarnya lagu itu di tulis oleh Ebiet G. Ade dan berjudul Camellia II. Lagu itu diluncurkan tahun 1979 kalau tidak silap tetapi sayangnya semua ingat itu lagu Sweet Charity.

Lagu tudung periuk : Serangkap pantun yang pilu


Tudung periuk hai pandailah menari,

Menarilah lagu putera mahkota

Kain lah yang buruk hai berikan kami

Buat menyapu si air lah mata

Kecintaan aku pada lagu-lagu klasik ini sudah lama dan pelik sebab tiada satu pun ahli keluarga aku terlibat dalam kes kipas-susah-mati khutub khanah klasik nasional fm ini. Pertama kali menyukai lagu ini apabila terjumpa cebisan kata dalam lagu ini di antara novel Noor Suraya yang kemudiannya membuatkan aku memburu lagu ini di mana-mana kerana aku ingin dengar bagaimana pantun sedih ini dilagukan.

Ada kenangan indah tentang lagu ini. Suatu hari ketika aku belajar di varsiti Lembah Pantai, aku sedang makan dan bunyi seruling bersenandung menyerkup keheningan cafe waktu itu. Aku mencari dan terjumpa seorang yang sedang asyik meniup seruling di salah satu gerai makan di sana. Lantas aku meminta abang itu meniupkan senandung lagu tudung periuk dan saat itu aku benar-benar jatuh cinta. Sungguh! Pada lagu itu, pada indahnya melodi dan kata, bunyi seruling yang mersik, pada kesedihan-pilu yang membalut. Indah!

Kecintaan aku pada lagu ini aku selitkan di salah satu cerpen yang tersiar di Dewan Siswa Mac 2007 ‘Rahsia Hatimu’. Lagu yang sedih dan pilu dimana mendapat komen yang baik daripada Mawar Shafie kerana menyelitkan lagu tersebut.

Lagu Tudung Periuk ini terselit di dalam filem SUMPAHAN SEMERAH PADI lakonan P. Ramlee. Filem yang aku gemar kerana skripnya yang indah. Jatuh cintalah pada lagu klasik ini. Pantun yang serangkap ini merangkum seluruh rasa sedih yang ada.

Birungu : Lagu ini mengingatkan aku tentang seseorang. Kenangan yang pedih tetapi menjadi nostagia yang indah.

Di wajahmu Kulihat Bulan


Diwajahmu Kulihat Bulan

Oleh Sam Saimun

Ditulis : Mochtar Embut

Album : Senandong Tanah Ayer-ku (1962)

 

Di wajahmu ku lihat bulan
bersembunyi di sudut keningan
sadarkah tuan kan ditatap insan
yang haus akan beleian

Di wajahmu ku lihat bulan
menerangi hati gelap rawan
biarlah daku mencari naungan
di wajah damei rupawan

Serasa tiada jauh
dan mudah dicapei tangan
ingin hati menjangkou
kiranya tinggi di awan

Di wajahmu ku lihat bulan
yang mengintei di balik senyuman
jangan biarkan ku tiada berkawan
hamba menantikan tuan

 

Kali pertama mendengar lagu ini sewaktu aku menonton filem Perempuan Melayu Terakhir. Aku terpesona dengan liriknya dan lagunya. Tika itu lagi ini dinyanyikan oleh Teacher’s Pets. Sampaikan aku menunggu sehingga bahagian penghargaan terpapar untuk mencari siapa penyanyi dan tajuk lagunya. Ah hatiku telah tertawan waktu itu.

 

Kemudian aku berusaha mencari lagu itu di layar maya sebab aku tahu lagu lama tidak lagi di rak-rak kedai muzik. Kalau untung nasib bolehlah aku menjumpai lagu ini dimana-mana. Ya aku temuinya di laman Hamlau yang memuatkan info Ebiet G. Ade, salah satu penyanyi puisi pujaanku dari seberangnya. Aku menghubungi Hamlau meminta ehsannya untuk mengirim lagu itu lewat email kepadaku.

Lagu ini sarat dengan pengharapan. Benar, tiap bait lagu adanya pengharapan tetapi disimpan kemas dan dikunci rapat. Hanya dirintih-rintih sahaja.

 

Pertamanya membuatkan aku terpesona adalah pada pada perlambangan bulan yang digunakan dalam lagu ini. Betapa terpesonanya watak si lelaki ini sehingga terlihat bulan yang indah diwajah perempuan itu.

 

Ya bulan secara buktinya tidak indah. Kering seperti padang pasir dan berlompang sana-sini dipermukaannya. Tetapi sebelum bukti itu muncul, bukankah bulan dilihat objek yang paling indah diwaktu malam lantaran cahayanya, bulatnya. (ingat-ingat orang dahulu mana ada elektrik)

 

Malah sehingga kini perumpamaan bulan bagaikan mendominasi dunia jiwa-jiwa biarpun klise.

 

Aku kira si pencipta lagu atau penyanyinya menujukan lagu ini untuk kekasihnya yang berlainan darjat. Ah cinta antara darjat sering sahaja menumpahkan air mata. Berapa orang yang bahagia kalau darjah yang ditujah-tujah untuk dimaknakan dalam kehidupan. Lihatlah watak Hayati- dalam Tengggelamnya kapal Van der Wijck karya Hamka. Kalau tidak suka membaca, tengok sahaja pelbagai cerita Cinta Antara Dua darjat misalnya.

 

Selain daripada lirik aku juga tertawan dengan muziknya. Lagu lama biarpun orang kata ”ah ketinggalan zaman kah” tetapi sarat jiwa. Cuma satu sahaja yang tidak relevan lagi untuk zaman sekarang. Si pemuja dalam lagu ini hanyalah memuja tanpa mahu meluahkan rasa. Ya, tipikal orang Melayu. Sarat kiasan dan sebagainya. Tetapi zaman sekarang ini susah juga kalau mahu pendam-pendam bukan?

 

Download : Sam Saimun – diwajahmu Kulihat Bulan 


Anekdot:

Sampai kini mencari kekuatan untuk berani berkata sudut paling dalam di hati ini