Sorotan Pembaca: Hari yang Ditakdirkan untuk Bertukar Sepasang Mata – Adinata Gus


Adinata Gus telah menyorot kumpulan puisi saya, Perempuan Bulan Perempuan Hujan dengan menyandingkan bersama Zurinah Hassan, .

Saya kongsikan petikan eseinya.

Sesuatu kejadian pasti akan mengulangi keajaibannya lagi pada suatu masa akan datang. Begitulah yang saya yakini hari demi hari ( menunggu kelahiran semula Sylvia ?). Tetapi kita selalu tak punya hayat yang abadi. Maka untuk memastikan kitaran keajaiban itu terus berlaku, harus ada seseorang yang menyedarinya dan tidak terlalu beralasan untuk menyandang tugas tersebut. Di sinilah tangan Ainunl Muaiyanah dengan beraninya menerima baton larian daripada Zurinah Hassan untuk mencipta keajaiban lagi.

Kita tidak pasti apakah Ainunl seorang pelari kedua, ketiga atau yang terkahir akan menyempurnakan acara larian di trek sastera ini. Merujuk kepada judul Perempuan Bulan Perempuan Hujan yang saya baca baru-baru ini, sebagai penonton di tempat duduk stadium, saya tidak kekok untuk bersorak kepadanya dan melambai-lambai dari kejauhan sebagai tanda sokongan.

Ainunl Muaiyanah Sulaiman
Perempuan Bulan Perempuan Hujan
ITBM Cetakan Pertama 2015

Setelah kita pinjam bebola mata seorang Zurinah Hassan, sudah tentu rasa bosan atau ingin bertukar selera datang sedikit demi sedikit. Kita tidak mahu perspektif dunia ini tersudut kepada satu cara pandang sahaja. Sepatutnya memang harus bertukar-tukar pun. Maka saya cabut kedua-dua bola mata Zurinah Hassan dan meletakkannya di atas rak semula dengan cermat dan hormat. Sekarang, buat seketika saya tercari-cari bebola mata wanita yang sesuai untuk dipakai ketika malam dan siang, seperjalanan saya meninggalkan mata sendiri sehinggalah saya bertemu dengan bebola mata Ainunl Muaiyanah di acara Kota Kata 2016.

Hasilnya? Aduh enak sekali ! Cuba bayangkan begini, jika anda sedang menunggu giliran untuk mandi, dengan mata yang mengantuk dan penat tubuh yang tersisa, adakah sempat untuk mengarang puisi-puisi romantis dan menyenangkan? situasi yang lain pula, jika anda ingin membela seekor haiwan peliharaan adakah anda akan memilih seekor singa? Untuk seorang Ainunl Muaiyanah mungkin ya.

Cuba perhatikan petikan sajak di bawah :

Penunggu Kamar Mandi
 
Aku menunggu giliran masuk ke dalam kamar mandi
meski tiada nombor untuk kupilih
kerana kamar mandi sekecil itu
telah ditempah sepanjang tahun
untuk penghuninya bermandian dan
membiarkan orang luar mendengar nyanyiannya.
 
Peristiwa di Halaman Rumah
 
Terkemudian hari, setiap pagi tanpa sabar
aku sering bingkas bangkit keluar berharap

seekor singa tertidur di halaman rumahku.

Di dalam sesebuah sajak, bukanlah sesuatu yang ditulis si penyajak itu bersifat langsung terus sampai ke akal fikiran. Kedua-dua sajak di atas boleh jadi menjiwai perkara lain bukanlah tentang kamar mandi semata-mata, tetapi ah! siapa yang punya banyak masa untuk memetaforakan sebuah bilik mandi jika bukan Ainunl!.Jadi, setelah sejauh ini saya mencuba, melihat dan memulangkan semula sepasang mata Zurinah Hassan dan Ainunl Muaiyanah, sebagai seorang-lelaki muda-baru bermula, saya beranggapan sekaligus rasa tercabar, akan keupayaan wanita-wanita masa kini. Perlu diingatkan juga, dunia sastera bukanlah padang bola semata-mata yang menunggu gawanggender untuk dibolosi, sebaliknya sebagai pemain sastera di atas padang tersebut, sudahkah kita mempersiapkan diri dengan latihan yang cukup daripada segi keupayaan berfikir, berstrategi, daya kreatif dan kritis. Semangat juang adalah perkara utama sebenar-benarnya.

Semoga Zurinah Hassan dan Ainunl Muaiyanah terus bersedia mencantikkan kedua-dua bola mata masing-masing lalu sudi meminjamkannya kepada semua orang yang memerlukan. Wanita yang saya yakini adalah adalah wanita yang berterusan bekerja untuk dirinya dan orang lain.

Esei penuhnya boleh dibaca di blog asal: adinatagus.blogspot.com

Perempuan Bulan Perempuan Hujan di MPH


Ada beberapa orang bertanya, apakah buku ini ada di MPH? Awalnya tidak berapa pasti kerana tidak nampak pula kelibat buku ini, tetapi sewaktu berjalan-jalan di MPH, ternampak anak kecil ini di antara buku-buku ITBM yang lain, malah boleh pula membelinya di laman sesawang MPH seperti di bawah

MPH.jpg

Sesiapa yang punya akaun MPH dan nak bersenang-senang untuk memiliki buku ini, boleh klik terus  di sini: http://www.mphonline.com/books/nsearchdetails.aspx?&pcode=9789670798929

Selamat membeli dan membaca anak kecil ini 🙂

Dari Kaca Jendela Perempuan Bulan Perempuan Hujan


Saya sebenarnya ingin menulis lebih banyak lagi tentang Kumpulan Puisi Perempuan Bulan Perempuan Hujan yang pertama kali diterbitkan pada Mei, 2015 oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia. Tetapi saya kongsikan dahulu prakata dalam buku ini yang diberi judul Dari Kaca Jendela sebagai jendela pertama mengenal “anak kecil” ini.

PBPH

 

Dari Kaca Jendela

Puisi, ialah cinta yang datang lewat. Saya bertemu dengannya usai meladeni dunia cerpen dan novel. Sehingga waktu ini, saya tidak pernah dapat membayangkan bahawa saya akan menyempurnakan kata-kata ke dalam puisi. Malah, saya selalu berfikir, betapa payahnya mengatur seluruh rasa dan fikiran dalam beberapa baris berbanding menulis cerpen yang bermain dalam lapangan imaginasi yang lebih luas. Namun, ternyata puisi merupakan kotak pandora yang penuh misteri, di dalamnya penulis sedang gigih menulis perasaannya, dan pembaca ialah pemain yang sedang menyelesaikan teka-tekinya.

Saya memilih judul kumpulan puisi pertama ini, Perempuan Bulan Perempuan Hujan kerana dua imej ini merupakan imej yang gemar dipetakan ke dalam puisi saya. Bahagian “Perempuan Bulan” merupakan rangkuman hampir kebanyakan puisi awal saya. Puisi dalam bahagian ini, kelihatan seperti anak-anak kecil yang sedang diasuh mengenal dan mengeja kata. Namun, anak-anak kecil yang tampak naif dan polos, merupakan bahagian terpenting dalam proses kedewasaan. Dengan menuliskannya, saya menyimpan memori dan kenangan dalam tulisan saya. Imej-imej bulan sering kali hadir menemani waktu malam gelap pekat, dalam kesunyian dan kesepian.

Manakala bahagian “Perempuan Hujan” pula merupakan gugusan puisi yang lebih kemudian. Hujan merupakan peramal hati yang paling bijaksana dan sering kali hadir pada waktu yang tepat untuk menumbuhkan ilham. Saya menyenangi hal-hal yang kecil dan sederhana seperti bau rumput sesudah hujan, secawan kopi di tepi jendela kafe, daun luruh ditiup angin petang, sekaki payung yang tertinggal di halaman, bunyi peluit dan tren meninggalkan landasan juga renyai halus hujan di luar jendela. Dalam bahagian ini juga, saya menyedari menulis puisi sepertinya mengasuh saya menghaluskan pandangan dan pengalaman yang saya lalui hari demi hari.

Saya fikir setiap puisi adalah rakaman diri penulisnya. Hal ini kerana dengan menulis puisi, sebenarnya menulis diri sendiri meski pun separa fiksi. Hampir kesemua puisi dalam kumpulan puisi Perempuan Bulan Perempuan Hujan merupakan potongan pengalaman dan kenangan yang saya sembunyikan ke dalam kata-kata. Puisi saya tetap masih sejumlah kata-kata sederhana yang kurang sempurna, kepada pembaca, mereka menyempurnakan bahagian yang tertinggal dengan pengalaman pembacaannya. Selamat menikmati kumpulan puisi yang sederhana ini bertemankan secawan kopi atau secangkir teh pada malam langit bulan terang atau hujan menggerimis kecil.

Nota:

Kumpulan Puisi Perempuan Bulan Perempuan Hujan merupakan kumpulan puisi pertama saya terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia. Kepada sesiapa yang berminat untuk membelinya, boleh hubungi saya di ainunl.muaiyanah[at]gmail[dot]com untuk butiran pembayaran. Harganya hanya RM20 sahaja termasuk penghantaran Mohon berikan nama, alamat pengiriman, nombor telefon serta nama untuk diabadikan dalam buku ini.

Pelancaran Buku Perempuan Bulan Perempuan Hujan


12189428_10153633398658903_6052776180731855145_o

Kumpulan puisi pertama saya, Perempuan Bulan Perempuan Hujan akan dilancarkan di Rumah PENA sempena Malam Baca Puisi PENA -ITBM-DBP.

Antara buku-buku yang turut dilancarkan bersama-sama:

Kumpulan Puisi Perempuan Bulan Perempuan Hujan – Ainunl Muaiyanah Sulaiman

Kumpulan Puisi Secangkir Seduhan Hujan – Hani Salwah Yaakup

Kumpulan Puisi Perlabuhan Waktu – Ratna Laila Saadin

Novel Meski Jauh Di Batas Waktu – Sutung Umar RS

Drama Trilogi Opera – Zakaria Ariffin.

Jemput datang ya, sebab saya ada ada merencana nak buat persembahan istimewaaa 🙂