Puisi Perkahwinan – Kekasih


I

Dengar khabar, puisi yang ditulis Usman Awang ini ditujukan untuk isterinya. Saya jatuh cinta pada puisi ini sejak terdengar lagu puisi yang dinyanyikan oleh kumpulan tersohor dalam lapangan ini, iaitu Kopratasa.

Lagu ini pernah saya jadikan ringtone khusus untuk seorang pemanggil. Waktu itu baru sahaja beli telefon canggih (sekarang telefon itu tidak canggih dah, hahaha)

Walaupun, puisi ini sangat indah dan sangat membuai, saya tetap terganggu sedikit di penghujung puisi ini kerana baris terakhirnya. Ini kerana semua susunan rangkap demi rangkap, imejannya sangat dekat dengan alam Melayu tetapi pada rangkap terakhir apabila diselitkan perkataan yang dipinjamkan daripada bahasa asing, menjadikan puisi ini sedikit sahaja janggalnya.

Tetapi lagu puisi ini sering kali diulang-ulang dengar terutamanya sekali waktu hujan. Apabila sampai di bahagian, Akan ku anyam gelombang-gelombang Menjadi hamparan ranjang tidurmu, mesti fikiran saya sudah melayang ke bulan

II

 

Usman Awang – Kekasih

Akan ku pintal buih-buih
Menjadi tali mengikatmu
Akan ku anyam gelombang-gelombang
Menjadi hamparan ranjang tidurmu

Akan ku tenun awan gemawan
Menjadi selendang
Menudungi rambutmu
Akan ku jahit bayu gunung
Menjadi baju pakaian malammu

Akan ku petik bintang timur
Menjadi kerongsang menyinari dadamu
Akan ku jolok bulan gerhana
Menjadi lampu menyuluh rindumu
Akan ku rebahkan matahari
Menjadi laut malammu
Menghirup sakar madumu

Kekasih…
Hitunglah mimpi-mimpi
Yang membunuh realiti
Dari syurga ilusi

III
Versi lagu puisi

Puisi Perkahwinan: Satu Cerita Cinta


I

Rujuk entri terdahulu mengapa judul entri ini Puisi Perkahwinan.

II

Saya sememangnya suka puisi Zurinah Hassan sehingga boleh ‘ter’hafal puisinya dan dibacakan di waktu senggang. Dr. Zurinah Hassan, saya kira antara penyair wanita terbaik Malaysia. Puisi ini pernah saya letakkan untuk salah satu album gambar di facebook yang telah diprivasikan dan yang cuba dihilangkan perlahan-lahan dalam fikiran saya bahawa saya punya album gambar tersebut. Bak dalam sajak Dr. Zurinah yang lain, iaitu Ingatan Pada Satu kasih Tak Jadi yang saya ubah-suai sedikit. “Kesilapannya, aku mengatur gambar-gambar
dalam sebuah album yang indah
sedang kau tidak pernah melihat gambar-gambar itu.”

Untuk puisi ini, saya sangat suka bahagian ini yang saya fikir boleh digunakan semasa sedang dalam keadaan ribut taufan perkahwinan iaitu,

“Perkahwinan kadang-kadang
mengajar kita melupakan cinta
untuk belajar hidup bersama.”

III

Zurinah Hassan – Satu Cerita Cinta

Di hari ia melahirkan cintanya
Ia berkata kepada kekasihnya
“Kita tidak usah berjanji untuk setia
kerana kita tidak mahu setia kerana janji
kita akan setia kerana cinta
hanya kerana cinta…”

Di hari perkahwinannya
Ia berkata kepada isterinya
Perkahwinan ini adalah ikatan
tapi kita tidak usah terikat kerananya
kita terikat kerana cinta
hanya kerana cinta…”

Di hari-hari kemudiannya
Ia berkata kepada dirinya
“Perkahwinan kadang-kadang
mengajar kita melupakan cinta
untuk belajar hidup bersama.”

Puisi Perkahwinan: Resep Sederhana Mengawetkan Cinta


I

Apabila mula masuk cuti sekolah dan bertindihan dengan tarikh-tarikh cantik ini, saya ingin berkongsi puisi-puisi tentang perkahwinan yang saya tahu di blog ini. Saya akan memuat-naik satu puisi setiap hari. Puisi ini boleh sahaja dibacakan oleh pengacara ketika mengacarakan majlis, atau kepada sesiapa yang menulis dalam guest book pengantin, atau di dalam kad yang mengiring hadiah perkahwinan.

Semua puisi perkahwinan ini adalah puisi yang saya suka baca, dan salah satu daripada puisi ini ingin saya abadikan dalam kad perkahwinan saya (impian sejak zaman belasan tahun, hahaha)

II

Puisi ini saya temui dalam salah satu blog Aan Mansyur dan saya terus sahaja jatuh hati kepada puisi ini (ya, saya tahu pembaca blog mungkin dah bosan membaca saya jatuh hati dengan sajak Aan Mansyur. Hahaha) Saya telah menghadiahkan puisi ini di dalam salah satu guest book majlis perkahwinan kawan baik saya dua tahun yang lalu.

Aan Mansyur menuliskan sajak ini untuk temannya yang Aan tidak dapat menghadiri majlis perkahwinannya.(Kalau tidak silap saya)

Saya sukakan resipi mengawetkan cinta di dalam sajak ini dan sungguh saya menunggu untuk mengatakan kepada (bakal) pasangan saya (yang sedang hilang GPS ke hati saya, hahaha)

sungguh, sayang, saya beruntung menemukan
seseorang yang kepadanya mulutku sangat
sangat sangat berat buat mengatakan satu
kalimat-dua-kata: selamat tinggal.

III


Aan Mansyur – Resep Sederhana Mengawetkan Cinta

jika anda mendengar atau membaca
kalimat sederhana entah dari siapapun,
entah di mana, catat atau ingatlah satu
atau dua kata dari kalimat tersebut.

masukkan kata-kata itu
ke dalam sebuah puisi sederhana.
tak perlu memaksa diri menulis puisi
yang, katakanlah, terlalu berbunga-bunga.

di bawah judul, tuliskan nama pasangan anda.
atau jadikanlah namanya sebagai judul puisi
—bisa menambah kata ‘untuk’ atau ‘buat’
di depannya. ingat, panggilan sayangnya saja.

atau sebaiknya saya ceritakan bagaimana
saya menggunakan resep sederhana ini.

saat berbulan madu, kami menonton film,
saya mendengar kalimat diucapkan seorang
dalam satu adegan di tengah-tengah film itu.

sekarang saatnya mengatakan selamat tinggal.

dengan kata-kata sederhana, saya lalu menulis
sebuah puisi pendek di kamar untuk istri saya.

‘selamat tinggal’ judulnya. saya tulis namanya
di bawah kata dari film yang jadi judul puisi itu.

sungguh, sayang, saya beruntung menemukan
seseorang yang kepadanya mulutku sangat
sangat sangat berat buat mengatakan satu
kalimat-dua-kata: selamat tinggal.

puisi itu saya tulis di balik foto pengantin kami

saya membacanya pertama kali di meja makan,
saat sarapan keesokan harinya. selanjutnya dia
selalu meminta saya membacanya ketika saya
sedang ditimpa kemarahan. juga sebaliknya.

kini, setelah lebih setengah abad sejak puisi itu
lahir, tak lama lagi salah seorang di antara kami
mungkin akan segera dimakamkan. sungguh,
masing-masing kami betul-betul sangat berat
mengucap kalimat selamat tinggal, sangat berat
mengembalikan puisi itu ke kalimat awalnya,
kalimat dari film yang kami sudah lupa judulnya:

sekarang saatnya mengatakan selamat tinggal.