Percakapan Singkat


Malaikat telah membawamu pulang ke tanah asal yang kau benci itu. Tanah yang kau ingin lari daripadanya tetapi entah apa tetap mahu pulang kepadanya juga. Lalu di helaian sayap-sayap malaikat itu, kau cuba bersembunyi dan malaikat dengan senang hati menyembunyikanmu.

Lalu kini dan di masa-masa akan datang, simpan sahaja malaikat kamu itu di dalam tas tangan atau beg tarik dan bawalah dia ke mana-mana supaya kamu rasa dilindungi. Bukankah itu yang kamu mahukan, rasa dilindungi kerana kamu itu hanya figura yang lemah. Sangat lemah. Dengan malaikat itu, kamu berasa kuat?

Kerana tiada rumah lain yang mahu menyimpan malaikat kamu itu. Kamu sudah tidak perlu risau atau berusuh hati lagi mahupun bergaduh apakah malaikat kamu mahu singgah di laman rumahmu? Simpan sahaja malaikat kamu itu dekat dengan kamu. Itupun jika kau boleh. Kerana malaikat yang punya sayap telah menyembunyikan banyak benda seperti kamu,telah banyak menghiburkan hati seperti kamu. Yang di helaian sayapnya hanya seakan-akan patung-patung yang digantung untuk hiasan dan hiburan.

Kepada malaikat, selamat berhibur dan menikmati madu di bulan

Hati aku adalah boneka yang dikawal jari-jari akalku


Ada kawan aku bersikap begini. Kalau dia tidak suka seseorang, dia tidak akan bermuka-muka untuk suka. Dia dengan senang hati akan menunjukkan reaksi kurang senangnya. Katanya, aku tahu apa yang aku aku mahu. Kalau tidak suka, tidak sukalah. Buat apa masih mahu bermanis-manis muka pula?

Kau?

Soalnya pada aku. Aku? Aku fikir aku tidak begitu. Aku jarang mahu menarik muka walaupun aku benci orang itu segenap jiwa dan sepenuh hatiku. Aku masih boleh ketawa, aku masih boleh lagi tersenyum dan aku masih ada rasa rasa melayan candanya.

Hipokrit?

Mungkin. Tetapi bukankah lebih baik begitu daripada bermuka kurang senang dan menimbulkan perkara kurang enak. Aku sekadar cuba memupuk suka. Manalah tahu syaitan yang menghasut aku membenci dia kan dan kebencian aku itu bukanlah apa-apa sebenarnya. Siaplah tahu kan?

Tetapi akhir-akhir ini aku sedar, semakin dalam aku membenci orang itu,semakin aku akan cuba menjauhkan diri darinya. Aku khuatir akan menghamburkan perkataan yang kurang molek. Aku risau perkara benci yang tuhan jatuhkan dalam hatiku ini semakin mekar. Aku akan kurang-kurangkan menghadapnya atau menatap mukanya atau berbual dengannya. Aku akan jarak-jarakkan diri aku, mendiamkan diri dan menjadikan diri aku ini orang yang asing. Lantaran fikirku, cara ini sahaja yang boleh buat aku tidak berterusan membenci dan membiarkan hati aku ini masa rehat untuk melupakan kebencian itu sehingga tidak tahu mengejanya pun.


Maafkan aku atas tingkah aku yang kurang menyenangkan. Aku ini hanya manusia. Yang hatinya adalah boneka yang dikawal oleh jari-jari akalku. Mungkin masa itu akalku salah mentafsir dan melukakan hati kamu dan kamu. Maafkan aku.

Tetapi aku juga terluka dengan kelakuan kamu.,

Catatan yang terlewatkan II [PPMN 09, Ayer Keroh Melaka]


Aduhai saudaraku, aku tidak tahu mana angin yang meniupkan perkhabaran ke telinga kamu bahawa aku hadir di perhimpunan mergastua terbesar Malaya ini. Dalam suratmu yang setiap ayatnya adalah pertanyaan mengenai perihal mergatua yang hadir dalam perhimpunan ini membuatkan aku rungsing bermalam-malam memikirkan jawapannya.

Aduh saudaraku, ramai yang hadir sehingga aku pun kurang cerap setiap spesies ada. Adalah molek jika aku perincikan tingkah laku dan tingkah kata yang aku lihat sepanjang perhimpunan ini supaya soalan kamu yang berjurai-jurai panjangnya terjawab jua dan kemusykilan tidak menjadi musykil lagi. Saudaraku,

Di perhimpunan ini, ada naga-naga gagah dan perkasa serta bersisik emas yang berkilauan. Sisik-sisik emas itu pantas menggoda sesiapa yang memandangnya dan ramai yang akan rasa gentar walaupun naga itu menghelakan nafasnya. Kumpulan naga ini siap-sedia memberikan sisik-sisik emas itu kepada sesiapa yang pintar mengolah kata dan ayat atau tidak malu bertanya untuk mendapatkannya tetapi awas siap sedia dengan segala soal yang bijak menduga dari naga-naga bersisik emas ini.

Ada juga singa-singa yang baru terjaga setelah lama tidur dalam gua gelap yang dingin. Apabila matahari berjaya mencuri-curi masuk di antara rekahan batu akibat luluhawa maka singa itu mula terpinga kerana berapa lama banyak telah berjalan mengubah struktur demografi hutan yang dahulunya didiami dan ditakluki. Kini dia cuba berjalan menyusur selok-belok hutan itu untuk memahami struktur demografi dan mencari tanah-tanah baru untuk menebarkan jajah takluknya kembali.

Di sana juga ada burung-burung merak yang cantik dan menawan. Burung-burung merak ini malu-malu untuk menayangkan ekornya yang warna-warni dan sekali-sekala apabila dia mengembangkan ekornya yang seperti kipas yang bersulam cantik pasti ramai yang tertawan, ramai yang terpana dengan gemerlap dan gemilangnya corak ekor burung-burung merak ini. Namun sukar sekali orang mendapatkan peluang melihat bukaan ekor mereka yang cantik dan sesiapa yang beroleh peluang memang beruntung sekali.

Namun awas, tidak lupa pula ular-ular yang berbisa. Bila-bila masa sahaja akan membelit mangsanya dan menyemburkan bisanya merata-rata. Kalau ada yang terkena aduhai malangnya nasib disepanjang perhimpunan ini malah boleh melarat-larat sakitnya sehingga berminggu-minggu lamanya. Ular-ular ini akan menyusup dan menyelinap. Pada mulanya orang fikir ular ini tiada bisa dan tidak berbahaya tetapi awas ya ular yang tenang dan dingin itu tiada bisanya.

Tetapi ada juga burung-burung yang gemar bercericau. Walaupun burung-burung ini kecil sekali tetapi boloknya besar sekali. Mereka terbang dari satu dahan ke satu dahan mendendang bicara. Banyak yang mereka mahu katakan, banyak perkara yang mahu mereka keluarkan namun sayangnya yang berbunyi hanya ketukan tin-tin kosong sahaja. Sudahlah kurang bermanfaat dan menambahkan bingit serta mengganggu harmoni alam sekitar sahaja

 

Saudaraku, oleh kerana ilmu aku yang cetek maka hanya ini sahaja yang aku dapat perincikan. Apalah aku ini untuk menghuraikan berlebih-lebihan pula. Semoga suratku dapat menjawab segala perkara perkara yang menyelubung fikiran kamu itu.    

 

Daripada saudaramu si Penjaga Mergastua

Aku mahu berpacaran


Masa borak-borak dengan kawan dari dunia zarathustha, tiba-tiba keluar idea bernas ini.

Aku rasa aku mahu berpacaran!

atau dalam bahasa moden nan serba ringkas

Aku mahu ada boyfriend

Aku pula merencana jejaka yang bakal jadi lelaki idaman malaya aku ini


1) Pandai main organ bunyi-bunyian seperti gitar, piano, violin, seruling

2) Mempunyai suara yang lemak merdu disukai ramai

3) Berpersonaliti menarik

.

Ala-ala program mentor atau gadis melayu pula kan? Ini rencana menjadi teruna idaman malaya aku. Lalu siapa di luar sana mempunyai ciri-ciri di atas, kalau tidak 3 ciri yang no 1 itu jadilah. Ada?

 

 

 

 

Ada tak?

 

 

 

 

 

 

 

Haha. Aku mengarut sahaja.

 

Sebenarnya aku terasa mahu orang menukar puisi-puisi aku menjadi lagu-laguan. Aku ingin dengar bagaimana roh yang aku hembus semasa menulis puisi itu diinterpretasikan menjadi nyanyian, menjadi lagu puisi. Bagaimana ya?

Lalu aku perlukan khidmat orang yang baik hati dan tahu bermain alat muzik untuk menyitir nota-nota muzik di atas puisi-puisi aku. Lalu siapa yang baik budi mahu menawarkan khidmatnya?

Tidak semestinya lelaki ya, perempuan pun boleh sahaja kerana aku bukan mahu mencari kekasih sebaliknya aku sekadar mahu mencari seorang kawan nan baik hati =). Lalu ada sesiapa yang diluar sana tidak kira berjantina apa yang mahu merealisasikan mimpi tuan tanah birungu ini?

 

Jika ada, bolehlah hubunginya saya di alamat email ainunl.muaiyanah[at]gmail[dot]com

 

 

😉

 

 

 

p/s : Sebagai ganjaran, saya akan dedahkan proses kreatif, rahsia dan peristiwa-peristiwa yang berlaku sehinggalah puisi-puisi itu boleh terhasil. hihi

Sepucuk Surat Ungu I


Suatu hari,aku mengutuskan surat berwarna ungu dan sampulnya juga dari rona ungu lembut. Aku tulis serangkap pantun dengan segala perasaan tertahan. Dadaku membuncah dan perasaan aku terbancuh bersamanya.

Kalau bulan turun melabuh

Mengapa kapal dilambung ombak?

Kalau hujan merenyai jatuh

Mengapa tanah basahnya tidak?

 

Aku tatap surat tersebut dan aku lipat perlahan bagaikan menunggu masa menahan aku daripada mengutusnya. Semasa tukang pos mengambilnya dariku, ada perasaan yang hilang di situ. Aku kejar tukang pos dengan harap aku punya peluang untuk menahannya dari menghantar surat ungu itu. Namun hampa mendakap aku.

Saat itu aku tahu, takdir telah melukisnya untuk aku.

 

 


 

Dr, Apakah lagu terbaik untuk mengubati penyakit saya?


Suatu hari, aku berjumpa dengan pakar kaunseling terbaik dari yang terbaik untuk menyelesaikan masalah aku.

Aku katakan padanya bahawa aku menghadapi masalah untuk menulis tesis tahun akhir. Bukan masalah logistik atau apa-apa. Tetapi setiap kali aku buka komputer riba untuk menulis tesis, aku akan digoda-goda untuk menulis puisi, cerpen dan entri. Menambahkan keparahan apabila lagu-lagu yang sering menemani aku waktu dinihari tidak memberi semangat untuk menulis tesis sebaliknya menyitir idea untuk menaip perkara lain selain daripada tesis.

Lalu doktor menyediakan preskripsi ubat untuk aku. Katanya masalah aku ini berat dan mungkin akan menyebabkan perkara-perkara yang aku akan menyesal seumur hidup. Lalu pakar kaunseling yang bertaraf doktor itu menyenaraikan lagu-lagu yang diharamkan untuk aku dengar semasa aku menulis tesis.

Ini merupakan lagu-lagu yang dikategorikan haram untuk aku dengar semasa menulis tesis tahun akhir

Ebiet G. Ade

Kopratasa

Musikalisasisi Sapardi Djoko Damono

Mohram

Harmoni

Zubir Ali

Bila kategori haram maknanya aku tidak boleh berkompromi langsung. Aku tidak boleh memasang, mendengar atau menyelitkan di dalam senarai lagu-lagu yang boleh didengari semasa menulis tesis pada waktu dinihari. Jikalau aku mendengarnya maka nescayalah tesis aku jadi terbengkalai sehingga menjadi bangkai yang tidak boleh ditutup dengan nyiru lagi. Aku akan jadi sesat dan menyimpang jauh dari tujuan asal.

Lalu, aku bertanya pada doktor itu apakah jenis-jenis lagu yang boleh aku dengari untuk memberi semangat aku menulis tesis yang aku benci segenap jiwaku

Doktor itu tersenyum dan berkata

.

.


“SOUL SAVIOR – Hidup Berantakan”

Aku terkebil-kebil dan mataku membuntang.