Bulan Julai, Kenangan & Cenderawasih


I
Menjelang 11hb setiap bulan atau bulan 7 setiap tahun, saya selalu sahaja mengenang atau perasaan saya berbaur. Kerap kali membaca surat kepada mantan kekasih ketika ulang tahun perpisahan, atau sesekali membelek album. Ha ha. Saya sememangnya seorang yang sentimental, suka mengenang. Apa boleh buat.

II

Dan tidak sangka, saya bertemu dengan kenangan yang sesekali saya fikir hanyalah hantu dalam ingatan. Yang memaksa-maksa saya untuk terus mengenang dan mengingat. Saya selalu membayangkan pertemuan itu mungkin di kedai kopi, ketika saya sedang ralit membaca buku dan kopi hangat buat memanaskan badan saya kerana hujan sedang merebas penuh indah di luar sana. Tetapi begitulah, tidak semua yang kita rencana dan kita mahu akan menjadi nyata, sekurang-kurangnya kepada saya.

Kami bertemu kerana kecintaan kepada kata-kata dan akhirnya ketika bertemu untuk sebegitu lamanya, kata-kata seolah-olah sedang mengkhianati kami. Kami atau saya sahaja sepertinya, kehilangan seluruh perbendaharaan kata yang sering kali saya rangkaikan kalau-kalau bertemu dengannya seperti pertemuan yang saya bayangkan di atas. Ah, begitukah rasanya bertemu dengan kenangan. Kau jadi jatuh cinta kepada kenangan. Tetapi kau tahu kan, kenangan tidak pernah menjadi milik kau, dia milik waktu. Dia tidak pernah akan selalu ada di sisi kau.

Tetapi, selalunya dan selamanya kau masih memang selalu jatuh cinta kan?

III

Buku kesayangan saya, Cenderawasih telah terkoyak di muka surat pertama. Atas kejadian yang tidak disangkakan. Dan saya benar-benar menangis. Udara di luar kereta saya sangat lembap. Saya jadi sesak. Apabila bangun pagi, mata saya pedih.

Tetapi sebelum tidur, saya sempat sahaja mengenang apa yang terjadi hari ini, tentang kenangan yang datang menjenguk saya dan juga masa depan yang sedikit demi sedikit menghilang.

Nyata tangan saya tidak pernah cukup untuk memegang kedua-duanya dan perlahan-lahan kedua-dua itu menghilang di tangan saya.

Mungkin, saya hanya layak memeluk kenangan. Hanya itu.

3 Catatan Pendek



Catatan Pendek I

Mohon,

bebaskan binatang liar

yang sering kali

mencakar dan menggomoli

dinding kamar kita

dari dadamu

 

Catatan Pendek II

Apa mahu,

Di kamar sempit ini

Jika keliaran ingin mengembang bebas

 

Cacatan Pendek III

Tiada kitab

Arif membaca

Jalan labirin fikiran perempuan

Yang tidak membeza senyum untuk semua rasa

 

 

ainunl.muaiyanah.sulaiman

05042012

 

(setelah kata-kata tidak mencintai saya. Lama sudah tidak menulis puisi)