Memo Untuk A X


Rasa ini tidak pernah padam, tidak pernah dilupakan. Sentiasa hangat. Bolehkah kita melupakan salah faham dan waktu yang sia-sia serta perlahan-lahan membina memori baru bahagia yang tidak pernah terisi selama masa lalu?

Let’s forget all can be forget, which is gone by already, forget the time of misunderstandings and the time lost. Finding out how to forget by to forget those hours which sometimes killed by blows “why” the heart of happiness.

Nota:

Lagu Jacques Brel – Ne me quitte pas (Don’t leave Me), 1959

Memo Untuk A IX: Lagu Penghujung November


Pink Martini – Veronique


Penghujung November telah tiba dan lagu ini menghantui saya, setiap hari, berulang kali.

Surat yang saya tulis tidak pernah saya kirim, alamatnya telah hilang pada sampulnya tetapi tidak pernah hilang dalam ingatan saya. Tetapi tiap satu patah perkataan itu saya ingat benar dan apakah surat yang tak terkirim itu isyarat untuk kau kembali?

Bulan Julai, Kenangan & Cenderawasih


I
Menjelang 11hb setiap bulan atau bulan 7 setiap tahun, saya selalu sahaja mengenang atau perasaan saya berbaur. Kerap kali membaca surat kepada mantan kekasih ketika ulang tahun perpisahan, atau sesekali membelek album. Ha ha. Saya sememangnya seorang yang sentimental, suka mengenang. Apa boleh buat.

II

Dan tidak sangka, saya bertemu dengan kenangan yang sesekali saya fikir hanyalah hantu dalam ingatan. Yang memaksa-maksa saya untuk terus mengenang dan mengingat. Saya selalu membayangkan pertemuan itu mungkin di kedai kopi, ketika saya sedang ralit membaca buku dan kopi hangat buat memanaskan badan saya kerana hujan sedang merebas penuh indah di luar sana. Tetapi begitulah, tidak semua yang kita rencana dan kita mahu akan menjadi nyata, sekurang-kurangnya kepada saya.

Kami bertemu kerana kecintaan kepada kata-kata dan akhirnya ketika bertemu untuk sebegitu lamanya, kata-kata seolah-olah sedang mengkhianati kami. Kami atau saya sahaja sepertinya, kehilangan seluruh perbendaharaan kata yang sering kali saya rangkaikan kalau-kalau bertemu dengannya seperti pertemuan yang saya bayangkan di atas. Ah, begitukah rasanya bertemu dengan kenangan. Kau jadi jatuh cinta kepada kenangan. Tetapi kau tahu kan, kenangan tidak pernah menjadi milik kau, dia milik waktu. Dia tidak pernah akan selalu ada di sisi kau.

Tetapi, selalunya dan selamanya kau masih memang selalu jatuh cinta kan?

III

Buku kesayangan saya, Cenderawasih telah terkoyak di muka surat pertama. Atas kejadian yang tidak disangkakan. Dan saya benar-benar menangis. Udara di luar kereta saya sangat lembap. Saya jadi sesak. Apabila bangun pagi, mata saya pedih.

Tetapi sebelum tidur, saya sempat sahaja mengenang apa yang terjadi hari ini, tentang kenangan yang datang menjenguk saya dan juga masa depan yang sedikit demi sedikit menghilang.

Nyata tangan saya tidak pernah cukup untuk memegang kedua-duanya dan perlahan-lahan kedua-dua itu menghilang di tangan saya.

Mungkin, saya hanya layak memeluk kenangan. Hanya itu.

Memo Untuk A VIII


Mengapa harus sembunyi dari kenyataan

Jangan fikir aku mahu memberikan lagu ini dalam konteks yang selalu kita lalui. Lagu Ebiet yang pertama buat aku jatuh cinta, tetapi kali ini aku tidak mahu mengambil keseluruhan roh lagu ini. Aku hanya mahu mengambil sebaris daripada seluruh kata-kata indah daripada lagu ini.

Mengapa harus sembunyi dari kenyataan

Kita sudah terlalu dekat, tetapi anehnya kau masih berterusan memberi alasan, memberi penafian, mengelak berdepan dengan kenyataan. Bertahun-tahun sudah aku dengar. Aku juga akhirnya pintar membaca bahasa diam. Tetapi kadangkala aku tertanya, sudah saat ini, sejauh mana kau mahu berlari dan bersembunyi dari kenyataan?

Aku tahu kau sedang membaca memo ini dan masih mahu bersembunyi?

Sila bersikap jujur dan terbuka.

Memo Untuk A VII


Kita memang tidak pernah dapat membunuh cinta yang telah tumbuh dalam hati. Kalau kita berusaha membunuhnya bererti kita berlaku kejam kepada diri sendiri, kepada perasaan sendiri.

Aku tidak pernah membunuh cinta dalam hati ini sungguh pun kau telah menutup tempat yang seharusnya cinta ini tumbuh merimbun. Lalu, pernahkah kau melihat kembali tempat itu atau sesekali kau tertanya apakah yang terjadi kepadanya?

Pernahkah kau terfikir tentang satu perkara?

Cinta ini tidak pernah sunyi daripada terus mencintaimu?

because of this loneliness it’s hard for me day after day
love seems like it’s a bunch of foam bubbles mounting up

Memo Untuk A VI


 

”Aku temui kamu dalam bau buku yang menerpa tapi masihkah ada kamu lagi, disitu”

Seringnya aku berulang alik di tempat kata-kata itu aku tuliskan. Entah mengapa perasaan yang sama sering kali ada.

Apakah kau pernah sekali merasakan? Atau selama ini perasaan itu berjalan di antara ruangan kosong kerana kau tidak pernah membuka pintu hatimu?

Memo Untuk A V


Kau tahu, ada puluhan lagu yang aku tidak boleh dengar kembali kerana dalam setiap lagu itu telah aku simpan perasaan tersendiri apabila aku mendengarnya.

Dan apabila aku mendengarnya, perasaan itu akan kembali mengakar dalam diriku. Aku tiba-tiba sahaja menjelma menjadi pohon yang merindukan kehadiran hujan di musim kemarau.

Apabila aku melihat kembali lagu-lagu kegemaranku yang boleh aku dengar, terlalu sedikit sekali sehingga hampir tiada. Begitukah erat aku mengikat perasaan? Lalu bagaimana aku boleh semudah itu mengambil kata orang agar belajar melupakan?