Nota : Untuk kawanku, yang telah menghilang


Nota : Untuk kawanku, yang telah menghilang

Dahulu, waktu saya berduka saya ada beberapa orang kawan yang datang menghiburkan hati, menawarkan duka yang makin lama makin membisa dalam dada. Dia, kawan yang sentiasa saya ingat.

Saya benar-benar kenali dia sekejap waktu, namun mungkin dalam sekejap waktu itu, kami adalah orang-orang yang sedang diduga soal hati, maka mudah benar menjadi rapat dan akrab.

Bagaimana ya kawan, untuk saya membalas jasa waktu-waktu saya berduka dahulu. Bagaimana ya untuk saya berterima kasih kerana buat saya ketawa dahulu? Bagaimana ya, untuk saya tidak melupakan kebaikan yang sentiasa diberikan dahulu?


Selain daripada ikhlas berkawan tanpa mengharapkan apa-apa? Sentiasa ada untuk berkongsi kisah sedih dan duka?

Namun, benarlah setiap pilihan yang kita pilih dalam hidup, kadang-kadang memungkinkan kita kehilangan orang-orang yang kita rapat.

Setelah itu, perlahan-lahan saya kehilangan dia. Kehilangan semua rencana yang telah dirancang kalau-kalau saya pulang dari tanah duka itu. Semuanya hanyalah tinggal puing-puing sahaja. Tinggal untuk luluhawa dihakis angin. Selepas pilihan-pilihan itu dibuat.

Kawan, saya hormati setiap keputusan dan pilihan yang telah dibuat. Semoga pilihan yang telah dibuat akan sentiasa membahagiakan hati kawan saya. Semoga, pilihan yang dibuat, tidak pernah dia sesali dalam hidup.


Jika kehilangan adalah lebih baik dan membahagiakan kawan saya, maka saya merelakan kehilangan ini. Insya Allah, dengan hati ikhlas.

Terima kasih kerana pernah menjadi kawan saya, dahulu.

Terima kasih.

Nostalgia mesin taip yang berketik-ketik


Malam menekur bisu. Saya terjaga ditengah malam. Mengesat mata. Bangun dari baringan dan menuju pintu yang ibu biarkan sedikit terbuka supaya mudah terdengar apa-apa kalau saya menjerit atau sewaktu dengannya.

Saya dengar dentingan dan ketukan bersilih ganti. Kemudian bunyi panjang dan terasa seperti hempasan kertas-kertas. Mungkin itu buat saya terganggu. Saya ketika itu gadis kecil yang berbaju T-Shirt geloboh.

Saya menuju bilik kecil dibahagian hadapan berhampiran anjung rumah. Ada lampu yang masih menyala dan cahaya terbias sedikit menerangkan ruang tamu gelap yang menempatkan kerusi panjang rotan dan sofa lunyai.

Saya lihat sosok lelaki dengan kata mata bulat besar seperti John Lennon tetapi dalam versi akademik. Matanya terkesip-kesip melawan kantuk dan secawan teh dari daun teh yang dibeli dikedai cina di kampung menemannya di atas meja. Bau buku menerpa.

“Abah.”

Saya seru perlahan sambil membawa bantal yang saya ‘rompak’ dari tangan adik saya. Saya ambil kerusi kecil disebelahnya dan duduk melihat apa-apa yang dibuatnya.

“Kenapa tidak tidur?” Abah bertanya.

Saya geleng kepala. Abah meneruskan kerjanya. Sekejap-kejap melihat nota cakar ayam yang ditulisnya kemudian diterjemahkan dalam bentuk ketukan-ketukan besi yang menghentam kertas. Bunyinya keras dan bingit tetapi lama-lama menjadi irama yang bisa dirindui oleh sesiapa. Irama itu dirindui oleh saya, anak kecil yang menemankan malam abah.

Mesin taip besi yang mempunyai kekunci huruf akan ditekan kemudian hentaman logam berabjab bagaikan soldadu menerima arahan jeneral akan siap-sedia menghentam jalur berdakwat seterusnya pada kertas. Maka melekatlah huruf-huruf yang seterusnya membentuk ayat yang dikarang abah di atas kertas. Ketika itu betapa kagumnya saya pada abah yang seperti perwira apabila berjaya menaip dengan pantas tanpa kesalahan apa-apa.

Kemudian tangan kecil saya akan mengambil kertas-kertas kosong dan mencoret apa-apa. Sesekali apabila abah berhenti menggunakan mesin taip itu untuk menanda buku latihan anak muridnya, saya pantas sekali menggunakan kaedah cuba-jaya untuk menaip perkataan dan huruf-huruf yang saya tulis sebentar tadi. Mungkin otak dan tangan kerdil saya belum cukup pantas mengatasi wibawa abah yang pantas menaip. Saya terkial-kial mencari huruf dan menekannya kuat-kuat dengan seluruh tenaga seperti mahu mengetuk paku besar ke dalam kayu cengal yang keras.

Ketak.. ketak.. ketak keting…..! ketak ketak keting!

Bunyi itu bertingkah-tingkah disepanjang malam yang entah bila berakhir. Sedar-sedar esok paginya saya di atas tilam dan sepertinya malam tadi saya bermimpi bangun menemani abah. Seperti bermimpi walaupun realitinya saya tertidur polos di bilik kecil berhampiran anjung rumah dan abah dengan tangannya yang kekar itu mendukung saya dan meletakkan saya di dalam bilik tidurku.

Saya, mesin taip manual abah adalah kenangan-kenangan yang kejap-kejap menerpa kotak memori apabila melihat Abah dan jarak yang memisahkan kami.

Itu tahun-tahun ketika saya kecil kemudian saya jadi terasing dan terpisah dari dunia malam abah. Mesin taip manual yang menemankan malam-malam abah disimpan selepas Abah memiliki komputer dari Kakak seperti di dalam seperti kenangan saya yang tersimpan dalam kotaknya. Mesin taip itu masih baik dan sesekali abah keluarkan dan gunakan seperti memori yang ada dalam ingatan aku. Mesin taip manual itu seperti lambang kasih dan cinta abah yang dibungkus dalam caranya yang tersendiri. Biar ada komputer di rumah, sekali-sekala abah akan mengeluarkan mesin taip untuk mengisi surat-surat rasmi atau menaip alamat hatta surat yang dikirim kepada saya.

Mesin taip manual dengan bunyi ketak ketak keting dan kononnya bingit adalah irama yang menjadi saksi kepolosan saya ketika kecil sebelum dunia diluar merejamnya dengan ganas sekali.


Notakakitangan : Wahyudi, kamu telah membuat aku bernostalgia.


Rindu pada sekeping kad raya


Kalau tiba bulan Ramadan dan Hari raya, benda yang membuatkan aku begitu nostalgia sekali tentunya kad raya yang pelbagai warna.

Dahulu ketika aku di sekolah rendah, sanggup naik bas ke pusat Bandar untuk membeli sekeping dua kad raya. Bukan untuk dikirim pada sahabat pena yang jauh pun, sekadar untuk teman-teman sekelas atau yang duduk sebelah menyebelah. Aku dan kawan-kawan akan jadi tertunggu-tunggu siapalah yang mengirimkan kad raya dan ucapkan terima kasih secara depan-depan kerana mengirmkan kad raya.

Kemudian bila aku disekolah menengah, hari raya selalu jatuh ketika cuti sekolah dihujung tahun. Maka, bila aku pulang ke rumah, aku akan siap sedia membeli sekian banyak kad raya untuk dikirim. Kali ini aku sudah ada sahabat yang jauh-jauh dan dekat-dekat. Sebelum pulang bercuti aku akan siap sedia mengambil alamat kawan-kawan. Ketika itu barulah kita tahu dia ni tinggal dimana asal dimana, orang mana. Rasa seronok apabila kita memilih kad yang beraneka warna dan kartun yang menciut hati. Aku akan suai-padankan cerita kartun itu dengan karektor si penerimanya. Biar berpadanan dan bersesuaian. Biasanya aku akan siap sedia menghantar kad raya diawal-awal bulan Ramadan dan minggu seterusnya aku akan menanti posmen datang ke rumah dan menghulurkan surat-surat beserta kad raya yang bertinta nama aku dengan banyaknya. Sangat mengujakan. Seolah menunggu surat cinta dari pengirim misteri.

Sebelum membuka kad raya yang dikirim oleh kawan-kawan aku akan meneliti setemnya, kemudian daripada mana kad itu dilayangkan. Kemudian aku akan meneliti tulisan tangannya dan mula menebak siapakah pengirim kad tersebut. Kalau betul sangkaan aku, memang menyeronokkan. Kalau tersilap atau pengirim itu misteri sekali dan tidak disangka lagilah menggembirakan. Tidak sangka orang itu akan mengingati kita dan mengirimkan kad raya. Tentulah aku sudah siap sedia kad raya untuk dibalas kembali Itulah aktiviti sepanjang bulan puasa. Tercatuk menunggu posmen di depan rumah.

Menulis ucapan di kad raya merupakan perkara yang mencabar. Apa ya yang mahu kita ucapkan untuk rakan-rakan kita? Tidak semua ucapan sama dan ucapan haruslah tidak membosankan seperti baju raya warna apa? Kuih raya sudah siap? Walaupun klise tetapi itu-itu jugalah pertanyaan yang akan dipilih. Kalau orang itu istimewa mesti ada ucapan tambahan. Haha. Ops. Menulis ucapan biarpun yang asas tiada berpantun-pantun atau kata pujangga ataupun rangkaian kata-kata nan indah tetapi sememangnya amat bermakna kerna betapa si pengirim bersusah payah menumpahkan tinta di atas kad raya kemudian memasukkan kad, dan menulis alamat kita di atasnya, menampal setem dan kemudian mengirimnya. Ditambah dengan apabila dia memilih kad yang sesuai untuk kita, ke pejabat pos membeli setem dan mengirimkan kad raya. Jajaran perbuatan itu yang membuatkan hati lebih menghargai di atas segala susah payah.


Ada waktu itu ada rakan yang cuba membuat onar dengan mengirimkan duit raya sebanyak 1 sen atau 5 sen di dalam kad raya. Sekadar mahu bergurau-gurau. Namun sepanjang penglibatan aku dalam urusan menerima dan menghantar kad raya tidak pernah aku mendapat kad raya yang besar dan siap ada muzik-muzik itu. Teringin juga hendak mendapatkannya tetapi ialah siapa mahu beri kad yang besar dan mahal itu. Kalau benar pun bagaimana ya posmen mahu menghantar kad yang besar itu dengan menaiki motosikal? Aku

rasa kad yang besar-besar itu hanya boleh dibawa ke rumah si penerima dan berkata ” Ini Kad raya untuk awak.” Hehe. Rasanyalah.

Tahun-tahun dewasa ini aku jarang sekali mengirimkan kad raya dan jarang sekali menerima kad raya daripada orang. Orang semakin tidak tahu kawasan tempat tinggal aku. Rasanya kalau aku tipu aku ini orang Sarawak pun mereka percaya kot. Sesekali apabila pulang ke kampung diwaktu-waktu begini aku akan meneliti surat-surat yang bertimbun dan melihat mungkin ada kad raya untuk aku dikirimkan daripada sesiapa di penghujung benua? Sering sahaja menghampakan.

Kini ramai suka mengirimkan ucapan melalui sms. Panjang dan berangkai-rangkai pula. Segala pantun dan ucapan nan indah. Benar. Kiriman sms ringkas mudah. Pilih sahaja mana-mana sms yang berkenan kemudian forward sahaja ke nombor yang kita mahu. Kadang-kadang malam raya kita menerima berpuluh-puluh kiriman ucapan raya. Paling banyak yang pernah aku dapat dalam seratus lebih kiriman ucapan. Ada juga yang menjadikan sms ucapan raya sebagai koleksi. Contohnya dia mahu koleksi ucapan sms ucapan raya mencecah seratus maka sibuklah dia mengirim kepada semua orang. Aish. aku lebih senang jika ada orang yang sekadar mengirimkan begini sahaja ” yana, selamat hari raya ya.” daripada dia menghantar juntaian kata-kata indah tanpa tertulis biarpun segaris nama aku. Haha. (demand nya kamu yana!)

Percaya atau tidak, tiada satu pun kad raya kiriman kawan-kawan itu yang aku buang dan kad itu masih tersimpan elok dan rapi dalam kotak di rumah. Sesekali bila punya masa aku akan menyelongkar kad-kad raya itu dan membaca kembali kiriman kawan-kawan dan tertawa sendirian.


Ah kenangan.


Pulang Ke Tanah Duka


Selamat kembali ke tanah luka.

Terimalah bunga-bunga yang kami karang dari 7 lautan. Hapuslah air matamu yang pernah turun bersama nyanyian ombak. Terbangkan duka lalu bersama deru semilir yang dingin dari timur. Tenggelamkan cerita sedih dengan hamburan ombak.

Datanglah ke tanah yang pernah menggiris hatimu suatu ketika dahulu tanpa keruh di hati.

Apakah tiada kenangan indah yang mengikat hatimu disini? Apakah tiada tawa pernah tercipta?Apakah kamu tiada pernah mengaris senyum di tanah ini? Apakah semua hanyalah duka dan luka sahaja? Tidak bukan?

Bukankah katamu, tanah duka ini juga tempat kamu membawa hati yang lara ketika kamu dibunuh oleh cerita luka dari tanah di seberang barat sana? Bukankah tanah ini tempat kamu berlirih juga?

Telah kami tenun kurung songket bunga tabur idamanmu. Telah kami renjis dengan warna ungu, warna cintamu. Pulanglah ke tanah ini. Debu-debu jalanan yang pernah melekat dikakimu telah kami hapuskan. Marilah kita basuh segalanya dengan nyanyian hujan yang jernih.

Kami menanti hadirmu dengan senyuman.

Puing-puing di Perkuburan


Hari ini aku datang ke perkuburan berbaju kurung polos kapas berintik bunga ungu kecil-kecil. Ada bunga kemboja sedang menguntum di tanah itu dan ada rebas menitik satu-satu dari dada langit. Ada rumput-rumput yang menjalar dan lumut-lumut hijau yang menumpang kasih di batu nisan dari batu sungai itu.

Tiada apa yang berubah. Tiada. Nisan masih di situ. Pohon kemboja masih mekar mewangi dan hujan merebas juga dan jasad yang mengunjungi tempat itu masih aku. Sendiri.

Aku tidak pernah memaafkan kepergian ini kerana aku tidak dapat memaafkan diri sendiri sekiranya aku membiarkan diriku memaafkannya.

PUING-PUING


Tinggalkan aku dan kedukaan

Aku belajar dari masa lalu

Dibunuh dan dikhianati

Dihambur semahu-mahu hatimu


Asmara sudah dibawa pergi

Tertinggal kenangan luka cuma

Menyusup dalam jiwa aku

Mengalir dalam atma aku


Cinta kita hanyalah puing-puing

Di atas runtuhan kota kasih sayang

Tidak bisa dibina kembali semula

Tanpa setia dan percaya dari hati

Tutupkan mataku dan biarkan


Tangisan tlah membasuh segalanya

Keberanian membalut diriku

Tanpa kamu aku masih berdiri

Tinggalkan aku dan pergilah


Lagu : Mohram

Lirik : Ainunl Muaiyanah Sulaiman


Notakakitangan : Semasa waktu senggang, aku mencuba menulis lirik dari pada lagu PUING-PUING dendangan MOHRAM. Tidak tahulah bagus atau tidak. Sekadar mencuba sahaja.

Teater : Pengalaman dan Kenangan


Tanpa sengaja aku tertonton persembahan Akim, pelajar Akademi Fantasia 7 yang membawa lagu Titah Sultan dari teater muzikal Puteri Gunung Ledang. Aku tidak ada kecenderungan menyokong mana-mana pelajar tetapi persembahan Akim membuatkan aku menonton persembahan itu berkali-kali. Mungkin disebabkan keberkesanan persembahannya, atau lakonannya atau kerana lagunya. Aku suka konsert AF ke 8 kerana berani tampil dengan idea teater muzikal. Aku cukup suka sekali. Lagu Titah Sultan merupakan playlist wajib aku sekarang.

AF7 konsert ke 8 telah mengingatkan aku pengalaman berlakon teater. Aku tidak pernah terlibat dalam kelab drama di universiti mahupun di sekolah menengah tetapi KOMSAS menemukan aku kepada peluang berlaakon teater. Pertama ketika ditingkatan 1 dan kemudian ketika di tingkatan 4. Hanya dua kali sahaja. Kedua-dua itu seperti bidan terjun sahaja.

Ketika tingkatan 1, aku mendapat watak Tun Fatimah dari teater Bila Roboh Kota Melaka (KOMSAS tingkatan 1). Namun guna suara orang lain iaitu Syazwani (sekarang rasanya dia di UIA). Ialah, ketika itu aku bukan pelakon professional pun mahu ingat dialog berjela-jela. Peanat juga mulut terpaksa kumat-kamit tetapi tidak keluar suara. Pelakonnya semua adalah perempuan, termasuklah yang menjadi Sultan Mahmud itu, kelakar juga bila fikir. Sekolah kami tidak membenarkan percampuran antara lelaki dan perempuan bila buat drama ini.

Ketika itu malunya tuhan sahaja yang tahu sebab aku ini pemalu betul hendak berlakon di depan umum begitu. NAsib baik yang tonton drama itu hanyalah rakan-rakan setingkatan dan drama itu dipentaskan ketika budak lelaki sedang menunaikan solat Jumaat. Untuk mengelakkan budak lelaki mengintai persembahan kami. Sehinggakan kami terpaksa menampal setiap cermin di dalam dewan itu dengan kertas surat khabar untuk mengelakkan lelaki yang tersesat atau ponteng solat Jumaat daripada menonton secara sembunyi semasa pementasan itu diadakan.

Kemudian, semasa tingkatan 4, pihak maktab menyuruh jabatan bahasa mengadakan pementasan teater bagi setiap naskah drama pentas KOMSAS tingkatan 4. Setiap satu pementasan akan menggabungkan dua kelas. Seingat aku, kelas aku bergabung dengan kelas 4B. Ketika undian kami mendapat tugas mementaskan drama Titik-Titik Perjuangan, sejujurnya aku mengharapkan kami mendapat drama Serunai Malam hasil tangan sasterawan negara Usman Awang kerana aku suka skripnya berbanding dengan drama-drama yang lain. 😉

Tanpa sangka Haziq (seteru aku di kelas merangkap Tuan Pengarah) akan datang jumpa aku dan tawarkan aku watak Perempuan Tua. Ketika itu aku fikir aku mahu berada dibelakang tabir sahaja. Mulanya mahu menolak tetapi Haziq meminta dengan nada yang baik dan muluk-muluk , maka aku pun pertimbangkan. Lagipun semasa Haziq sudi terima jawatan pengarah merangkap pelakon juga, dia sudah pesan, dia akan jadi pengarah kalau mendapat kerjasama sahaja. Lalu ketika itu aku fikir, aku harus beri kerjasama bukan dan Haziq memintanya secara peribadi, menemui aku yang kononnya seterunya bukannya melalui orang lain.

Aku tidak sangka kami yang tidak pernah ada pengalaman mementaskan teater akan berjaya menghasilkan teater yang membawa seribu emosi. Marah, takut, sedih dan sebagainya. Kami buat improvasi di dalam skrip unuk memberi kelainan. Ketika itu ramai juga yang memuji produksi kami. Kami harap-harap kami menang juga tetapi anehnya kami dapat tempat kedua. Ada gosip-gosip liar kata, ada seorang guru tidak menyenangi beberapa orang dari produksi kami, ada juga kata kami kalah kerana mengubah skrip dan scene di dalam naskhah tersebut. Ketika itu ramai yang terkejut kami kalah sehingga pemenang teater itu pun terkejut mereka boleh menang kerana mereka sememangnya sangka kami menang.

Kami tidak ambil pusing kerana kami belajar sesuatu, sungguhpun kita tidak boleh menang di hati pengadil tetapi kemenangan di hati penontonlah yang lebih utama. Lantaran apabila kita bertanding bukanlah kemenangan yang perlu dikejar tetapi sejauh mana kita dapat melunaskan tanggungjawab yang diberikan.

Kan?

Kawan sekelas aku yang bernama Azhar di kenali dengan nama MABUK kerana melakonkan watak lelaki mabuk dalam drama tersebut. Lakonannya memang berkesan lah. Seingat aku sekarang dia di UKM. Nasib baik mereka tidak memanggil aku Perempuan Tua, kalau tidak siap lah.. hahaha. Mungkin kerana aku bukan pelakon yang baik barangkali?

Notakakitangan : Terima kasih kepada kawan-kawan yang pernah memberi kenangan manis kepada aku… suatu masa dahulu.

Tolong aku cari ADI – MASKARA 5


Maskara 5

Maskara 5

Ini poster MASKARA 5. Aku pergi ke acara ini satu tahun setengah yang lalu. Ketika itu cuti semester dan aku rasa musim itu musim yang menggembirakan. Menghadiri malam penutup MPR07,esoknya ke Maskara 5 (Malam untuk Perempuan) dan seterusnya ke majlis seorang kawan yang aku sudah lupa namanya.

Sekarang acara ini sudah sampai MASKARA 13. Aku cuma mampu hadir ke MASKARA 5 sahaja tetapi sampai sekarang aku paling ingat satu perkara.

Aku disihir oleh satu puisi yang dibacakan oleh ADI. Aku tidak tahu siapa dia. Aku sekadar tahu dia kawan kepada salah seorang pembaca puisi pada malam itu juga namanya MAWK. Info yang aku dapat, dia sekarang sudah terbang ke Berlin untuk menyambung pengajian dalam kesusateraan Inggeris

Puisinya ringkas tetapi pemilihan katanya membuatkan maknanya sangat dalam. Pertama kali bila ADI meluncurkan suaranya, aku sudah disihir sehingga aku terlupa untuk merakam persembahannya. Aku terdiam sehingga bait kata terakhirnya. Bagaimana dia boleh menukangi puisi yang sederhana tetapi maknanya besar itu. Tajuk puisi itu ialah SYUKUR.

Aku cari puisinya itu di mana-mana blog yang menulis ulasan MASKARA 5 tetapi hampa. Oleh itu sesiapa yang membaca entri ini, dan tahu siapa ADI yang aku maksudkan dan tahu puisinya atau menyimpan rakaman video pada malam MASKARA 5, silalah hubungi aku ya. Minta tolong sungguh-sungguh ini.

Aish~ adakah aku perlu menunggu 7 tahun lagi untuk membaca kembali puisinya atau bertemu dengannya?

Ini ADI


P/S : tiba-tiba blog aku menjadi blog menjejak kasih pula. Hehe.

Kredit gambar : Blog Lanraga