Selamat Ulang Tahun, Aan Mansyur


Januari,

Langitnya adalah hamparan ramalan yang tidak terduga, kerana ia penghujung musim dingin hujan menghampiri tenang dan berimbang. Sebentar, malam boleh sahaja menjadi terlalu hangat, atau petang akan sahaja dikunjungi hujan. Langit Januari, langit yang jarang dapat ditebak isi hatinya.

Beberapa bulan sebelum ini, tepatnya 20 Oktober adalah ulang tahun ketiga jatuh cinta kepada puisi-puisi Aan atau saya lebih gemar memanggilnya Ulang Tahun Cinta. Saya gemar sekali mengingatinya dalam cara begitu, menghitung berapa lama saya mengenal puisi kamu dan berapa lama saya memilih jalan ini untuk terus menulis. Kerana saya selalu bercita-cita menjadi penulis cerpen, dan puisi jelasnya hanya tempat mengadu resah gelisah sesudah hati saya itu dipatahkan dan sebetulnya saya tidak pandai menulis puisi, atau merangkai hanya sejumlah kata untuk menebarkan jutaan emosi dan perasaan yang sedang bergelombang dalam fikiran. Tetapi saya lupa, seperti cinta, kita tidak pernah tahu betapa dalam perasaannya, kecuali selepas kita bertemu dengan orang yang betul, atau layak, begitulah, puisi atau kata-kata juga begitu, rangkaian kalimat yang tepat sedang menunggu kita di mana-mana untuk kita menemuinya, hanya perlu sahaja kita mencarinya. Jatuh cinta, ia seperti langit Januari, yang sukar sekali ditebak, bilakah akan jatuh dibasahi hujan atau terbakar oleh hangat matahari?

Saya sebetulnya, tidak tahu benar berapa umur atau nama sebenar Aan, meski pernah melihat kartu KPI, yang benar tertulis M. Aan Mansyur, yang dikatakan bukan nama sebenar. Bertemu dua kali di Makassar sebetulnya adalah mimpi-mimpi yang tak terduga. Ia menuntut keberanian yang bukan sedikit untuk meninggalkan Malaysia dan berjalan bersendirian, tetapi saya menemui diri sendiri, juga jalan mana yang seharusnya saya tempuh di sana. Dan saya juga percaya berjalan dan mengembara membuatkan kita menemui diri kita di mana-mana.

Sebuah buku sederhana saya sudah selamat ditulis dan diterbitkan tahun lalu, “Sepetang di Kafe Biblioholic”. Aan tentu sahaja begitu akrab dengan nama ini, yang saya ambil sempena kafe baca biblioholic, sebuah kafe yang diusahakan bersama Aan dan mantan pacar, Alifiah. Proses menulis novel ini bermula sangat sederhana, ingin berbagi rasa, seperti mana Aan membagi rasa dan berkongsi dengan komuniti buku di sana. Saya percaya menulis, adalah cara saya berbagi rasa juga, dan betapa menyedihkan apabila sebuah projek kecil tetapi besar maknanya itu sudah ditutup kerana beberapa hal. Lalu, saya memilih untuk mengawetkan kafe kecil jauh di Makassar, ke dalam buku sederhana ini supaya akan tumbuh juga sebuah kafe baca di sini yang mendukung semangat yang sama seperti di sana.

Sewaktu ulang tahun Aan yang entah ke berapa pada hari ini, yang sengaja tidak mahu saya tahu kerana saya ingin mengawet “kemudaan” usia dalam surat ini, supaya ia masih relevan untuk dibaca, atau masih juga suka dibaca sekurang-kurangnya kepada saya, saya membaca kembali sajak yang saya tulis sempena ulang tahun kelahiran Aan beberapa tahun yang lalu. Ia ritual yang saya selalu lakukan, kerana ia mengingatkan “keanak-anakan” puisi saya, dan kembali menjadi anak-anak membuatkan kita akan kembali bermain-main. Dan saya percaya dengan sentiasa menjadi anak-anak, kita tidak pernah terlambat untuk menulis dan terus menulis tentang apa-apa pun kerana masa hadapan masih terlalu jauh.

Januari, meski langitnya sering menggundahkan peramal kaji cuaca, tetapi saya mencintai bulan ini kerana di dalamnya terkandung ulang tahun kelahiran Aan Mansyur. Selamat menyambut ulang tahun. Dan terus menulislah, kerana tulisan Aan, sering kali buat saya jatuh cinta dan menyelamatkan saya daripada kesedihan.

Surat Kepada Mantan Kekasih Ketika Ulang Tahun Perpisahan


Setahun yang lalu, tulisan Surat Kepada Mantan Kekasih Ketika Ulang Tahun Perpisahan terpilih dalam buku Antologi Surat Cinta Kita. Rasanya buku itu sudah tidak ada lagi.

Kerana buku itu juga, saya mengetahui satu kebenaran terhadap apa yang saya percaya bertahun-tahun lamanya. Kebenaran itu meruntuhkan satu-satunya tembok yang menghalang saya dari jatuh ke jurang dalam.

Kini, saya telah terjatuh, dalam dan melayang. Seperti dalam Inception, mungkin saya dalam lapisan minda yang keempat.

Untuk meraikan sesuatu yang hilang pada hari ini, saya dengan senang hati berkongsi tulisan Surat Kepada Mantan Kekasih Ketika Ulang Tahun Perpisahan seperti yang tercetak dalam Antologi Surat Cinta Kita terbitan Binfilem.

Mantan kekasih,

Semalam aku datang ke perkuburan cinta kita. Berbaju kurung polos kapas berintik bunga ungu kecil-kecil. Warna kegemaran aku serta sesekali pernah kau bisikkan satu ketika dahulu, warna cinta kita.

Aku lihat, pohon kemboja yang aku tanam setahun dahulu sedang menguntum harum dan rebas hujan yang menitis halus-halus dari dada langit.

Ah, hujan. Mengapa merebas saat ini. Hujan yang sering kita cintai bersama. Hujan yang membuatkan kita sentiasa jatuh cinta antara satu sama lain. Hujan yang seringkali membuatkan kita saling merindu semasa berjauhan. Hujan yang juga turun ketika kau memilih untuk pergi menguburkan cinta di sini.

Versi penuhnya, boleh di baca di sini.

Panduan mendapatkan Antologi Surat Cinta Kita


Catatan kepada sesiapa yang merasakan surat cinta penting untuk dibaca, sila teruskan pembacaan. Kepada yang merasakan subjek itu sia-sia, berhentilah membaca kerana masa anda akan sia-sia.

dirompak dari blog binfilem.com

Langkah pertama :

Sila datang ke majlis KISS short-film screening & ROJAK (Versi BM) launch, Black Box, Solaris, Jalan Dutamas pada 22 Februari, 8.30 malam. Kemudian, sila jumpa Ridhwan Saidi dan tanyakan buku Antologi Surat Cinta Kita itu. Keluarkan RM20 dan bayar. Selepas itu, kamu boleh sahaja membaca surat-surat cinta yang mungkin pelbagai rupa dan warna. Surat yang saya tulis ada di muka surat 91 (kalau tak silap). Judulnya : Surat Kepada Mantan Kekasih Ketika Ulang Tahun Perpisahan.

Langkah kedua :

Boleh pesan melalui saya. Saya akan tolong kamu ke majlis itu dan tolong beli untuk kamu. Pesan dengan bayaran sekali ya. E-mel saya melalui ainunl.muaiyanah[at]gmail[dot]com yang kamu mahukan buku itu dan saya akan balas dengan nombor akaun untuk urusan pembayaran. Jika kamu beli dari saya, mungkin ada cenderamata dan hadiah dari saya semasa saya kirim atau beri buku itu kepada kamu.

Langkah ketiga :

Langkah ini hanya boleh dilakukan selepas 22 Februari, iaitu memesan melalui Ridhwan Saidi sendiri.

 

 


Untuk maklumat lanjut sila ke sini

Blog Bin Filem

Maklumat Acara

KISS short-film screening & ROJAK (Versi BM) launch

Numerikal (Untuk Kawanku Yang Telah Pergi)


Mari duduk kawanku. Untuk seketika ataupun sesaat.

 

Mari, kita membilang cerita yang pernah terjalin kerana masa akan datang tiada lagi cerita.

 

Kawanku,

Hitungkan buku-buku yang kita bicarakan dan lagu-lagu yang kita nyanyikan. Kirakan filem-filem yang kita diskusikan serta bakul-sampahkan. Karangkan falsafah yang kita pernah luncurkan atau pertanyaan-pertanyaan yang pernah kita jungkarbalikkan. Semua itu untuk aku menghitung nilai persahabatan kita secara numerikal.

 

Kawanku,

Kembalilah kita kepada keterasingan dan jarak yang memisahkan kita tidak terhapus dan bertambah jauhnya.

 

Kawanku,

Sekarang, pergilah, membilang pelangi.

 

Puisi Surat Doa Untuk Tuhan : Berita Minggu 27 September 2009


Puisi Surat Doa Untuk Tuhan disiarkan di Berita Minggu!

Surat Doa Untuk Tuhan ini merupakan puisi yang sudah lama aku tulis dan puisi ini selalu aku bisikkan di dalam hati sebelum aku bertemu dengan seseorang. Aku sering sahaja berkata dalam hati, semoga aku memaafkan dia, semoga makna maaf yang polos itu meresap jiwa aku, ke hati aku.

Dibawah langit Syawal ini, aku berharap kita boleh belajar kata maaf, sepolos maknanya.

IMG_5107

Kalau kawan-kawan mahu mengkritik, sila klik disini ya atau di pautan sebelah kanan tanah nyanyian hujan ini

Notakakitangan : Ini karya ke 6 yang disiarkan pada tahun ini. Alhamdulilah.

Kepada kawanku yang bernama wanita~


Aku ini wanita yang dilahirkan dengan perasaan yang halus. Bukanlah yang mampu menjahit luka-luka semudah dan sekejap cuma. Mungkin luka di hati aku ini memakan waktu bertahun-tahun atau selamanya aku diberi nafas oleh tuhan.

Lalu bila kau ajukan kepada aku tentang soal hati dan perasaan. Tentang ketegaran yang aku tegakkan. Tentang senyum aku yang manis bergula di dalam pahitnya kopi yang aku hirup. Apakah yang kamu mahu aku katakan?

Sedang dalam hidup ini pilihan bukannya semua diatur ditangan kita.

Betapa sinikalnya hidup kita ada kalanya apa yang kita lakukan dan kita gerakkan bukanlah atas kemahuan kita tetapi atas kesedaran akal budi kita.

Lalu aku dan kau juga adalah wanita. Mengapa kita harus mencipta sengketa yang akan membuahkan senyum pada dia yang tidak punya hati serta perasaan? Yang akan tertawa pada rendahnya tingkah kita?

Bukankah kita wanita, walaupun lahir dari rahim yang berbeza tetapi kromosom yang mengikat kita tetap sama. Naluri kita dekat dan hampir serupa. Bgaimana kamu sanggup bertindak kejam denganku dan bagaimana aku sanggup menyiat hatimu? Tentu tidak bukan?

Hapuskan semuanya. Hapuskan senyum dia yang menjelekkan. Manusia seperti itu bukankah harus diajar bagaimana untuk menghormati wanita seperti kita. Harus diajar bagaimana untuk menghargai hati perempuan seperti kita.

Mari kawanku,raih tanganku dan buangkan segala yang menyesakkan di dadamu. Marilah.

Surat Kepada Kamu (Yang Tidak Sepadan)


Kamu, aku ingin berhenti berkata dan bersuara. Aku ingin memutus semuanya. Aku ingin pergi dan sendiri. Cukup apa yang telah kau tahan cukup dengan apa yang kita bicarakan. Aku senang kita tiada apa-apa. Seperti telah putusnya api pada kayu yang menjadi abu dan debu.

TIDAK SEPADAN


Aku kira:

Beginilah nanti jadinya.

Kau kawin, beranak dan berbahgia


Sedang aku mengembara serupa Ahasveros.

Dikutuk-sumpahi Eros

Aku merangkaki dinding buta

Tak satu jua pintu terbuka.


Jadi baik juga kita padami

Unggunan api ini

Karena kau tidak ‘kan apa-apa

Aku terpanggang tinggal rangka.


Chairil Anwar

Februari 1943


Sumber :

Chairil Anwar – Aku Ini Binatang Jalang (Penerbit Gramedia Pustaka Utama, Jakarta)

Surat Kepada Dia (Yang telah kuhapuskan namanya)


Aneh. Kamu datang menjalinkan hubungan yang entah mulanya dari mana. Kemudian kamu menyemai benih-benih menjadi pohonan bunga yang indah dan cantik. Jajaran bunga yang kau tanam menjadi mekar dan mewangi dan entah mengapa aku tidak menghalang untuk kamu menceroboh tanah yang bukan sesiapa mudah untuk menjejakkan kakinya. Kemudian perlahan-lahan kau terbangkan wanginya bunga-bunga itu dan kita saling menjalin rasa pada diri dan kepercayaan. Namun percayakah kamu bahawa tiada apa pun yang perkara yang berlaku dalam dunia ini tanpa tahu Nya. Tiada apa-apa pun bisa kita sembunyikan kerana dunia ini sebenarnya hanya bebola yang kecil dan kita berdiri bersama-sama di atasnya.

Sungguh. Kebenaran sudah terbongkar dan terbongkang!


Aku selama ini berani meneguk racun yang akan kau tawari. Begitulah aku sepanjang waktu ini. Lalu kali ini aku akan meneguk racun yang penghabisan dan mengendahkan kau datang untuk menawarkan penawar seperti yang selalu kau lakukan. Biar racun ini mencengkam ulu hati dan menjerut leher aku sehingga mati. Biar aku lebih rela begitu daripada membiarkan perasaan kasihan kamu yang kamu tukarkan menjadi penawar menyusur ruang tekakku dan tubuhku untuk menyingkirkan racun itu. Biar.

Aku dengan rasminya mengutuskan perisytiharan perang yang tiada akhirnya. Perang yang tiada jalan damai. Aku randai kegalauan ini diantara kita. Ini jurang yang apinya menyala dibawah. Meski kau angkat bendera damai sekalipun, meski kau tawarkan seluruh kerajaan hati kau sekalipun, meski kau sanggup meredah jurang ini dengan tubuh kamu tanpa kebal sekalipun tetap tidak akan aku berpaling dan memaafkan kamu. Tidak. Aku tidak akan belajar untuk memaafkan kamu. Aku akan mengendah untuk mengeja perkataan maaf sekalipun diwaktu apa-apa pun. Perkataan maaf tiada wujud dalam perang kita. Tidak sekali. Perang ini tanpa hujung dan berakhirnya mungkin selepas kita tiada ditanah ini lain. Hanya selepas itu.

Lalu kamu mahu bertanya kepada aku mengapa kamu aku musuhi sepenuh jiwaku melebihkan kebencian Qabil kepada Habil yang merampas adiknya sendiri. Lalu kamu mempamerkan wajah minta kasihan itu lagi nescaya aku tanpa agak-agak akan membakar wajah kau dengan api yang kamu ciptakan. Aku akan menyimbahnya dengan darah aku yang kamu tumpahkan. Cukuplah kamu membunuh aku dengan tingkah kamu. Cukuplah dengan mendengar perkhabaran yang angin lalu titipkan. Cukup. Cukup aku berdepan dengan kebenaran. Cukup.

Aku tidak perlukan helaian simpati dan belas kasihan kamu menjadi jalinan kain yang membalut aku bila kelukaan. Aku tidak perlukan rasa simpati. Aku tidak mahukan kasihan. Tidak mahu.

Jangan kau sebut aku dibakar cemburu. Jangan kamu kata perkataan itu . Tidak! Bukan itu. Aku kecewa dengan sikap talam dua muka kamu. Bukankah telah aku katakan jikalau musuh meski pernah minum secawan, makan sepinggan mahupun tidur setilam tetap namanya musuh dan bukan harus dicampuri. Mana ikrar dan perjanjian kita. Mana? Lalu kini kau mahu tanyalah lagi apa punca perang ini bermula? Sungguh. Perasaan dikhianati oleh seseorang yang kita percaya adalah lebih dahsyat daripada perbuatan orang luar . Seperti dibakar api yang diam-diam duduk di dalam sekam. Pijar hangat.


 

Telah aku isytiharkan perang antara kamu dan aku.