Interlokal


Selamat tinggal jiwa-jiwa patriotik dan hipokrit!

Aku harus pergi. Siapa suruh tidak menghidangkan tilam empuk buat aku bermimpi. Aku terpaksa mengejar impian itu di tempat lain. Maaf ya. Kalau takdir bersimpang siur dan mengucup aku lagi, kita pasti akan bertemu. Lagi..

Aku telah kembali kepada bau buku yang memabukkan dan aksara yang menggiurkan. Walaupun sedikit lelah dan tiada sambungan dengan dunia luar namun aku masih tersenyum-senyum juga. Ah walaupun aku terpaksa mendepani istilah sains yang menjungkar-balikkan bola mata tetapi aku masih mengensot lagi dalam lapangan ini. Sebenarnya masih bergulir-gulir juga.

 

 

 

P/S : Aku tiba-tiba rasa menjadi genius Sains Tingkatan 2. Siapa mahu minta aku ajar tuisyen?

 


 

Numerikal (Untuk Kawanku Yang Telah Pergi)


Mari duduk kawanku. Untuk seketika ataupun sesaat.

 

Mari, kita membilang cerita yang pernah terjalin kerana masa akan datang tiada lagi cerita.

 

Kawanku,

Hitungkan buku-buku yang kita bicarakan dan lagu-lagu yang kita nyanyikan. Kirakan filem-filem yang kita diskusikan serta bakul-sampahkan. Karangkan falsafah yang kita pernah luncurkan atau pertanyaan-pertanyaan yang pernah kita jungkarbalikkan. Semua itu untuk aku menghitung nilai persahabatan kita secara numerikal.

 

Kawanku,

Kembalilah kita kepada keterasingan dan jarak yang memisahkan kita tidak terhapus dan bertambah jauhnya.

 

Kawanku,

Sekarang, pergilah, membilang pelangi.

 

Pulang Ke Tanah Duka


Selamat kembali ke tanah luka.

Terimalah bunga-bunga yang kami karang dari 7 lautan. Hapuslah air matamu yang pernah turun bersama nyanyian ombak. Terbangkan duka lalu bersama deru semilir yang dingin dari timur. Tenggelamkan cerita sedih dengan hamburan ombak.

Datanglah ke tanah yang pernah menggiris hatimu suatu ketika dahulu tanpa keruh di hati.

Apakah tiada kenangan indah yang mengikat hatimu disini? Apakah tiada tawa pernah tercipta?Apakah kamu tiada pernah mengaris senyum di tanah ini? Apakah semua hanyalah duka dan luka sahaja? Tidak bukan?

Bukankah katamu, tanah duka ini juga tempat kamu membawa hati yang lara ketika kamu dibunuh oleh cerita luka dari tanah di seberang barat sana? Bukankah tanah ini tempat kamu berlirih juga?

Telah kami tenun kurung songket bunga tabur idamanmu. Telah kami renjis dengan warna ungu, warna cintamu. Pulanglah ke tanah ini. Debu-debu jalanan yang pernah melekat dikakimu telah kami hapuskan. Marilah kita basuh segalanya dengan nyanyian hujan yang jernih.

Kami menanti hadirmu dengan senyuman.

Surat Kepada Dia (Yang telah kuhapuskan namanya)


Aneh. Kamu datang menjalinkan hubungan yang entah mulanya dari mana. Kemudian kamu menyemai benih-benih menjadi pohonan bunga yang indah dan cantik. Jajaran bunga yang kau tanam menjadi mekar dan mewangi dan entah mengapa aku tidak menghalang untuk kamu menceroboh tanah yang bukan sesiapa mudah untuk menjejakkan kakinya. Kemudian perlahan-lahan kau terbangkan wanginya bunga-bunga itu dan kita saling menjalin rasa pada diri dan kepercayaan. Namun percayakah kamu bahawa tiada apa pun yang perkara yang berlaku dalam dunia ini tanpa tahu Nya. Tiada apa-apa pun bisa kita sembunyikan kerana dunia ini sebenarnya hanya bebola yang kecil dan kita berdiri bersama-sama di atasnya.

Sungguh. Kebenaran sudah terbongkar dan terbongkang!


Aku selama ini berani meneguk racun yang akan kau tawari. Begitulah aku sepanjang waktu ini. Lalu kali ini aku akan meneguk racun yang penghabisan dan mengendahkan kau datang untuk menawarkan penawar seperti yang selalu kau lakukan. Biar racun ini mencengkam ulu hati dan menjerut leher aku sehingga mati. Biar aku lebih rela begitu daripada membiarkan perasaan kasihan kamu yang kamu tukarkan menjadi penawar menyusur ruang tekakku dan tubuhku untuk menyingkirkan racun itu. Biar.

Aku dengan rasminya mengutuskan perisytiharan perang yang tiada akhirnya. Perang yang tiada jalan damai. Aku randai kegalauan ini diantara kita. Ini jurang yang apinya menyala dibawah. Meski kau angkat bendera damai sekalipun, meski kau tawarkan seluruh kerajaan hati kau sekalipun, meski kau sanggup meredah jurang ini dengan tubuh kamu tanpa kebal sekalipun tetap tidak akan aku berpaling dan memaafkan kamu. Tidak. Aku tidak akan belajar untuk memaafkan kamu. Aku akan mengendah untuk mengeja perkataan maaf sekalipun diwaktu apa-apa pun. Perkataan maaf tiada wujud dalam perang kita. Tidak sekali. Perang ini tanpa hujung dan berakhirnya mungkin selepas kita tiada ditanah ini lain. Hanya selepas itu.

Lalu kamu mahu bertanya kepada aku mengapa kamu aku musuhi sepenuh jiwaku melebihkan kebencian Qabil kepada Habil yang merampas adiknya sendiri. Lalu kamu mempamerkan wajah minta kasihan itu lagi nescaya aku tanpa agak-agak akan membakar wajah kau dengan api yang kamu ciptakan. Aku akan menyimbahnya dengan darah aku yang kamu tumpahkan. Cukuplah kamu membunuh aku dengan tingkah kamu. Cukuplah dengan mendengar perkhabaran yang angin lalu titipkan. Cukup. Cukup aku berdepan dengan kebenaran. Cukup.

Aku tidak perlukan helaian simpati dan belas kasihan kamu menjadi jalinan kain yang membalut aku bila kelukaan. Aku tidak perlukan rasa simpati. Aku tidak mahukan kasihan. Tidak mahu.

Jangan kau sebut aku dibakar cemburu. Jangan kamu kata perkataan itu . Tidak! Bukan itu. Aku kecewa dengan sikap talam dua muka kamu. Bukankah telah aku katakan jikalau musuh meski pernah minum secawan, makan sepinggan mahupun tidur setilam tetap namanya musuh dan bukan harus dicampuri. Mana ikrar dan perjanjian kita. Mana? Lalu kini kau mahu tanyalah lagi apa punca perang ini bermula? Sungguh. Perasaan dikhianati oleh seseorang yang kita percaya adalah lebih dahsyat daripada perbuatan orang luar . Seperti dibakar api yang diam-diam duduk di dalam sekam. Pijar hangat.


 

Telah aku isytiharkan perang antara kamu dan aku.

Ucapan yang terlewatkan


Aku telah buat dua entri. Satu tajuknya : Surat kepada ibu dan satu lagi :guru bukan dewa dan murid bukan lembu.

 

Kemudian aku tarik kembali entri tersebut dan aku simpan dalam folder untuk bacaan aku sahaja.

 

Maaf, aku tiada kekuatan untuk siarkan entri yang bagiku begitu peribadi sifatnya.

 

Maaf, selamat hari ibu kepada ibu aku dan selamat hari guru kepada sesiapa sahaja yang pernah berikan aku ilmu.

 

Hanya ini sahaja yang berani aku tulis.

 

Terima kasih.