Hari Ini Dalam Parlimen


Unidentified-artist-xx-Quaker-Meeting.jpg

1. Pertama kali saya masuk parlimen. Saya diarahkan menjual buku di lobi kafe. Selalu nampak parlimen ini di belakang duit syiling 50 sen sahaja. Sebelum masuk, pandu lalu di pondok pengawal dan tinggalkan pengenalan diri untuk kad pelawat. Bagus cara ini, tak perlu keluar kereta.

2. Saya bersiap sedia bawa duit banyak. Takut harga makanan di parlimen mahal. Kafe tersebut merupakan cawangan Riverside, PWTC. Sesiapa yang selalu pergi PBAKL dan PWTC, mesti tahu betapa mahalnya harga makanan di sana. Tapi, saya terkejut dengan harga makanan yang teramat murah. Tidak dapat harga itu di Kuala Lumpur ini. Nasi putih, ayam masak kicap, sayur dan jus oren baru RM5. Harga sudah dikawal oleh Parlimen. Kalaulah boleh kawal harga begitu di seluruh negara kan bagus. Saya sempat bergurau dengan rakan sekerja. “Yelah kalau harga mahal, parking berbayar, tandas kotor ke di parlimen, bolehlah YB berbahas seperti ini: sedangkan harga di kafe parlimen pun mahal dan tidak dikawal, bagaimana kita nak mengawal harga satu negara.”

3. Ada satu waktu loceng berdering lama. Saya ingat ada latihan kebakaran dalam parlimen. Tapi kenapa semua tampak tenang berjalan cuma beberapa orang macam tergesa masuk ke dewan. Rupanya loceng dibunyikan tanda memanggil YB masuk dewan. Satu pada waktu pagi, satu pada waktu petang, dan semalam pada waktu malam. Kata seorang pegawai, macam sekolah sikitlah. Sambil kami tertawa.

4. Ada beberapa kelakuan menarik tentang pembeli buku di Parlimen. Kalau jenis membaca, dari jauh sudah usha buku kami. Ada yang lalu sahaja, jeling pun tak. Ada yang berjalan sambil berbincang sambil mata menyorot judul buku. Ada yang datang berkali-kali kemudian membeli bila keadaan sudah tenang. Ada YB yang tengok buku tanya pembantunya, ha kamu nak buku apa, ambillah. Ada yang memang pembeli tegar buku ITBM dan dah beli banyak judul kami. Ada yang cakap, saya tak suka baca buku.

5. Saya bukannya kenal semua YB pun. Tapi ramai yang bila melintas di depan kami, senyum kepada saya (ada juga yang sombong), menyapa bertanya, macam mana jualan buku. Atau sihat ke. Bila tanya pada pegawai-pegawai, itu Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri, Dato’ Sri. Haha. Sedangkan berbual mesra sama rata sahaja. Kadangkala pangkat, birokrasi buat dunia sama rata ini banyak tinggi dan rendahnya.

6. Sebab saya selalu menyapa dan ‘memaksa’ mesra ramai orang membeli, ramailah sudah cam muka saya. Haha. Ada satu ketika itu lepas tutup meja, saya masuk ke dalam dewan. Masa itu ramai YB berdiri, berbincang. Ada seseorang sapa saya, “sudah habis jual buku?”. Saya kata ya dan ini pertama kali saya ke parlimen dan masuk dewan. Saya bertanya, apa yang berlaku sekarang? Dia menerangkan sekarang sedang undi belah bagi untuk SOSMA. Rupa-rupanya dia itu YB Alor Setar. Saya ingatkan pegawai bertugas mana. Haha. Semasa undian kalah, 93 berbalas 77, dia keluar dewan, sempat tersenyum kalah kepada saya. Sempat terserempak di luar dewan, saya ucapkan tahniah dan suruh usaha lagi.

7. Kedudukan meja kami jauh sedikit daripada speaker yang menyiar secara langsung perbahasan di dalam dewan. Tapi sempatlah dengar sedikit perbahasan perkahwinan bawah umur, SOSMA semasa ke tandas atau ke surau.

8. Rasa kasihan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang terpaksa mententeramkan belah kiri dan kanan beliau. Beberapa kali beliau meminta, YB YB sila duduk. YB sila hormati dewan. YB sila ikut peraturan. Sempat mendengar Yang Dipertua Dewan Rakyat meminta Kuala Terengganu menarik balik perkataan bodoh yang ditujukan kepada beliau. Tak kisahlah belah kiri atau belah kanan, kedua-duanya ada yang menunjukkan kelakuan kurang matang. Bila perlu berbahas, berbahaslah, kalau asyik melayan perlian dan gurauan sahaja bila nak selesai bahas usul kan?

Sebahagian sahaja catatan awal, hari ini saya tidak bertugas. Hari Khamis kembali bertugas menjual buku di Parlimen. Tiada gambar di parlimen, bateri habis awal

Berbual dengan memori Kazuo Ishiguro


4693749706_7271c5a688-1

Salvador Dali – The Persistence of Memory

 

 

Jam 3.15 pagi, saya masih belum tidur. Saya sedang bermain permainan virtual yang tidak berkesudahan selama beberapa tahun ini. A pernah bertanya, “Bila game ini akan habis?”. Merujuk obsesi saya bermain permainan mencari barang tersembunyi selama bertahun-tahun ini. Mungkin kerana permainan ini mudah untuk mengisi sela waktu tegang saya bekerja dan berkompromi dengan dunia luar, permainan yang tidak terjangkau garisan penamatnya tetapi sebagai pemain, kita tahu kita sedang mengikuti jalan cerita yang kompleks di dalam sebuah rumah agam yang misteri.

Saya membiarkan TV terbuka tanpa bunyi, sengaja untuk menemani saya bersama lampu yang temaram. Kami tidak memilih Astro, sekadar ada HyppTV yang datang percuma bersama langganan Unifi (sedikit menyesal tidak memilih pakej jumbo). Preview semua saluran selama sebulan telah tamat, saya membuka apa-apa sahaja saluran yang ada dan ada satu rancangan rakaman perbualan Kazuo Ishiguro bersama-sama dengan pelajar Jepun yang mempelajari sastera Inggeris. Acara itu dibuat secara intim di kedai buku, kalau tidak silap saya.

Kazuo Ishiguro ditanyakan tentang intimasi dunia negara Jepun dalam karyanya, tentang nasihat kepada dirinya yang berusia 20-an, tentang memori.

Walaupun Kazuo telah meninggalkan negara Jepun sejak berusia 5 tahun serta mempunyai tradisi sastera Inggeris yang kuat dalam pengajiannya, dua novel awalnya memetakan tentang negara Jepun, A Pale View of Hills (1982) dan An Artist of the Floating World (1986) dan ia merupakan negara Jepun yang diimaginasikan. Untuk novel-novel seterusnya, dia cuba untuk lari daripada ‘intimasi’ itu.

Saya tertarik dengan jawapannya untuk soalan tentang memori dan nasihat kepada Kazuo Ishiguro yang berusia 20-an. Betapa memori ketika kita berusia 20-an lebih dekat dengan memori zaman kanak-kanak kita, ia seperti realiti meskipun sebahagiannya fiksi dan imaginasi tentang apa yang kita lalui. Pada usia muda, kita lebih berani bertindak, meneroka dan bereksperimen tanpa terlalu perlu memikirkan sebab dan akibat. Berlainan apabila kita sudah mempunyai nama dan reputasi.

Ketika mendengar jawapan Kazuo Ishiguro, ia seperti memberikan ruang untuk saya bertanya kepada diri saya yang berusia awal 20-an. Ya, ketika saya tiada karya, tiada buku, tidak pernah menang hadiah, tidak menjawat jawatan editor. Lebih vokal, lebih bebas mengekspresikan apa yang saya lihat sama ada di media sosial atau di blog. Saya mencemburui masa muda saya dalam merekod memori saya tanpa prejudis. Sedangkan lima tahun kebelakangan ini, saya lebih menyimpan untuk diri sendiri, di meja makan, di dalam senyum, dan perbualan intim bersama A. Sehinggakan lima tahun berlalu seperti satu iklan di sela-sela menonton filem di televisyen.

Memori, ia seperti fiksyen yang ditulis oleh diri kita kepada diri kita di masa lalu. Ia membisikkan apa yang perlu kita ingat dengan cara kita mahu diingati, dan memadamkan gangguan yang tidak mahu ada di dalam hard disk  memori itu.

Tentang Merayakan Hari Wanita


a4c2db241a5325209d84108c7f1cd315
Datuk Mohd Hoessein Enas “Teguran”
1. Saya jarang meraikan hari wanita, atau saya kadangkala terlupa kita punya hari wanita peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Dan saya sudah jarang mahu memperkatakan tentang hal hati mahupun cinta depan orang umum. Bila mahu berkahwin pun masih sembunyi-sembunyi begitu 🙂 Tetapi hari ini dalam sejarah, saya memperkatakan tentang dunia wanita dan cinta sekaligus sempena Hari Wanita Kebangsaan di dalam rancangan Assalamualaikum, TV Al-Hijrah. Begitulah, kadangkala semakin kita cuba mengelak, ia makin dekat dan memaut, macam cinta, contohnya. Eh? 🙂
2. Sebagai perempuan yang memilih bersendiri agak lama (daripada rakan-rakan yang lain) dan merdeka dan bebas mengatur hidup sehari, bukanlah kita tidak memerlukan keberadaan lelaki di dalam hidup. Tetapi kita sudah biasa jadi berdikari, untuk tidak menyusahkan orang lain dan pasangan di kemudian hari. Jadi, lelaki yang hadir dalam hidup perempuan seperti itu, harus bersedia memberi ruang dalam keadaan tertentu dan berada di sisi menyokong, tetapi siap siaga membantu dan tegas dalam menentukan beberapa keputusan. Bijak bila perlu mengekor atau menyongsong angin. Lama-lama perempuan jiwa merdeka ini akan jatuh percaya untuk mengatur hidup bersama-sama.

3. Saya fikir, perkahwinan bukanlah titik akhir dalam perjalanan hidup. Seperti kata orang, “settle down”. Banyak orang merencana majlis perkahwinan lebih daripada sebuah perkahwinan. Seperti dalam babak terakhir filem “The Graduate”, masing-masing merenung jauh dan bingung dengan tindakan seterusnya. Sedangkan selepas perkahwinan, kita saling mengenal watak yang berbeza. Memetik puisi Zurinah Hassan,

Seorang lelaki membebaskan diri

untuk membataskan pilihan.

Seorang perempuan membataskan pilihan

untuk membebaskan diri.

 

Setiap daripada kita sebenarnya perlu ruang masing-masing dalam perkahwinan. Semakin hari ruang peribadi kita semakin terhad. Ruang ini selalu diceroboh dan dikecilkan melalui media sosial, pasangan, keluarga dan kawan-kawan. Seharusnya dengan perkahwinan, kita lebih memperkayakan ruang dalam diri kita sama ada peribadi atau berkongsi bersama pasangan kita.

4. Dari dahulu ramai menakutkan saya dengan kata-kata ini, “Selepas kahwin, Ainunl akan kurang menulis dan lebih mengemas kini status bersama suami.” Benar, banyak sudah penulis wanita membenarkan kenyataan ini. Mengapa ya, tidak memberi galakan, selepas kahwin akan lebih aktif menulis? Tetapi saya ingat kata-kata Kak Wani Ardy, lebih kurang begini “Kalau kau passion pada sesuatu, kau akan akan memilih pasangan tanpa perlu mengorbankan passion itu.”

5. Saya sempat mempromosikan novel Sepetang di Kafe Biblioholic dan Kumpulan Puisi Perempuan Bulan Perempuan Hujan semasa di rancangan ini. Apabila sinopsis novel itu dibacakan oleh Irma Hasmie, saya tersenyum sendiri. Saya tidak sedar sebenarnya, kedua-dua kulit buku ini mempamerkan sosok perempuan di kulit depannya. Kedua-duanya dilukis oleh 2 orang perempuan, seorang Kak Dila dan seorang lagi Rasyidah Othman. Dan saya menulis tentang dunia perempuan dalam kedua-dua buku ini. Kamellia yang membesar bersama ibunya  yang positif, kuat mengenang masa lalu dan kuat memegang masa depan. Dan Perempuan Bulan pula dari dunia remaja saya yang penuh berontak dan Perempuan Hujan adalah sisi perempuan yang semakin dewasa dan tahu memilih apa yang perlu.

6. Setiap kali bergema soal mempertegakkan hak-hak wanita, atau perjuangan-perjuangan yang bertaut tentangnya, saya selalu bertanya, apakah tidak cukup sikap feminisme dalam diri saya kerana saya tidak begitu tertarik untuk memperkatakan lebih lanjut tentangnya? Sedikit menyalahkan diri, tetapi akhirnya saya sedar. Sebagai perempuan yang dibesarkan dalam keluarga yang perempuan adalah minoriti tetapi punya vokal yang besar dalam keluarga, saya tidak terhimpit dengan hal ini. Saya pernah berkata kepada kawan saya yang mempersoalkan hal yang sama, ingat-ingat lupa kenyataan penuhnya, “Seorang perempuan yang kuat, dia akan menang dalam kelembutan, dalam sembunyi, dalam rahsia, sebab itulah kelebihannya, tanpa perlu berteriak lantak dan menganyang lelaki. Kerana apabila kita mula melakukan gertakan-gertakan itu, kita mula mendedahkan kelemahan kita.”

Selamat Hari Wanita Kebangsaan 🙂

 

Beberapa Percakapan Lewat Menjelang Bulan Jun


I

Sudah lama saya tidak menulis puisi. Saya disibukkan dengan meneliti puisi penyair lain, menyusunnya menjadikannya molek, membaca suara-suara hati penyair, mengendalikan bukunya.

Banyak puisi-puisi saya tidak sempurna, semenjak penerbitan Kumpulan Puisi Perempuan Bulan Perempuan Hujan. Setiap kali saya menulis, saya akan melihat kembali buku itu dan merasakan saya hanya mengungkapkan pengulangan. Mungkin benar anggapan awal saya, saya bukanlah bagus dalam menulis puisi, saya lebih cenderung kepada fiksyen, kepada cerpen, cinta pertama saya.

Tetapi saya juga tidak lama tidak menghabiskan idea-idea cerpen saya yang bergentanyangan, yang diceritakan di meja-meja kopi bersama rakan-rakan, yang melintas sewaktu menghadiri sekian banyak acara, yang respons kepada apa yang sedang berlaku di sekeliling saya. Saya banyak mengulas tentang karya orang lain, saya tidak sempat melihat karya sendiri.

II

Saya suka menulis di meja pejabat, tetapi saya diserang rasa bersalah mencuri waktu menulis di pejabat. Saya selalu sahaja ingin menulis sesuai habis waktu kerja, di meja di rumah. Tetapi saya tidak menyukai meja rumah saya, atau menulis di laptop berbanding desktop. Saya tidak serasi menulis di bilik baru itu berbanding bilik lama yang lebih sejuk. Saya rindukan rumah sewa lama saya tetapi saya tahu saya bukan pemiliknya, saya hanya menyewa dan saya harus berangkat pergi bila-bila tuannya menuntut kembali.

Saya rindu menulis dari tingkat 3 pejabat saya, pandangan mata saya tidak dihalang oleh pintu, oleh kubikel atau hos bomba. Dari meja itu, saya boleh melihat KLCC yang kadangkala disembunyi jerebu, KLCC yang megah. Pejabat saya jauh dari KLCC tetapi dengan beberapa kelebihan saya boleh menikmati pemandangan tersebut. Tetapi, kawasan tempat saya pekerja mula diintai pemaju. Kuala Lumpur sudah terlalu mahal untuk pemaju muda miliki. Segenap tanah Kuala Lumpur sudah dibida. Bukit, sungai, selokan tidak terlepas daripada pemaju. Kini, pemaju muda mula mengintai potensi luar Kuala Lumpur yang dekat. Kawasan yang selalu didiami golongan kelas menengah dan bawah. Golongan yang dipaksa untuk bekerja banyak pekerjaan. Kawasan ini sudah diasak untuk menjadi elit dengan sekian banyak kondominium mewah berharga RM400,000 ke atas. Betapa aneh, namanya pemaju, untuk memajukan. Dan memajukan dalam erti kata mereka hanya bermaksud menakluk, memusnahkan, membina dari mula. Kondominium yang tinggi itu menutup pandangan KLCC saya. Saya melihatnya hilang dengan pantas.

Tetapi saya memang sudah lebih awal lagi berpindah tingkat dan tidak lagi bekerja dari tingkat 3 pejabat saya. Saya lebih dahulu bersedih tidak dapat melihat KLCC dan melihat hanya pintu dan hos bomba.

Saya lebih dahulu murung kerana kondominium itu bukanlah satu-satunya alasan  kehilangan pemandangan itu, saya kehilangan lebih awal daripada itu kerana saya diminta berpindah ke pejabat yang baru tanpa perlu menumpang kawasan pejabat orang lain.

III

Kita sering menyalahkan orang lain, keadaan, peristiwa untuk segala-gala yang berlaku. Kita mengatakan kita tidak boleh melakukan itu kerana pelbagai alasan. Kita boleh kalau semua itu alasan dan halangan itu tidak ada.

Tetapi kita lupa, kadangkala semuanya bermula dari kesilapan kita juga.

Jun, bulan romantis untuk penyair kesayangan saya, Sapardi Djoko Damono. Akhirnya saya sedar, semua orang mudah untuk menyukai puisinya, akhirnya saya sedar, tidak semua yang kita sukai hanya milik kita seorang diri. Kerana mungkin apabila dia sudah dikongsi ramai orang, kesannya lebih baik lagi daripada dimiliki hanya seorang.

Tentang Memulakan Perjalanan dan Jauh dari Halaman Rumah


10258722_1682252052021849_3814880133864526032_o

I

Pertama kali menaiki kapal terbang merentas negara, dalam empat tahun lalu. Seorang diri ke Makassar International Writers Festival 2012. Sebelum itu beberapa kali merancang dengan rakan-rakan yang lain tetapi tidak pun berpenghujung membeli tiket kapal terbang. Nah, ketika itu saya tekad sahaja. Satu-satunya tempat saya merujuk, ialah kepada kenalan melalui blog ini, Firdaus Amyar.

Sebenarnya salah satu sebab saya berkeras hendak mengikuti MIWF2012 kerana ingin mengenal Aan Mansyur, kerana beliau salah seorang kurator MIWF. Nampak tak kegigihan seorang fan girl? Hahaha.

Dalam kapal terbang, di atas ribuan kilometer dari paras bumi, bermacam-macam perasaan bergelora dalam hati, saya teringat tanah yang saya tinggalkan, saya membayangkan tanah yang bakal saya jejak, saya memikirkan kemungkinan yang menakutkan, kesunyian, kesendirian dalam perut kapal terbang bersama mereka yang punya destinasi yang sama tetapi tujuan dan keinginan berbeza.

Saya fikirkan, mungkin ini penerbangan pertama merentas negara, jadi perasaannya memang begitu, rupa-rupanya tidak. Saya memikirkan hal yang sama setiap kali menaiki kapal terbang.

Tetapi satu yang selalu saya lakukan bila gemuruh begitu, saya akan memandang ke luar jendela, memerhatikan awan, yang kalau di darat begitu jauh dari jangkauan, dan di langit begitu dekat tetapi tidak pula boleh saya memegangkan. Awan juga bersendiri seperti saya, tetapi untuk bersendiri diterbangkan angin harus sahaja dia belajar menjadi berani terlebih dahulu.

Dan saya selalu belajar untuk berani dalam perjalanan daripada awan-awan yang bersendirian di langit.

II

Puisi saya, “Jauh dari Halaman Rumah” dimuatkan dalam antologi Melompat Keluar dari Mimpi terbitan Grup Karyawan Luar Negara (GKLN)/Kata-Pilar. Boleh hubungi mereka untuk membeli buku ini, juga boleh hubungi saya, jika berminat ya 🙂

MELOMPAT KELUAR DARI MIMPI

Kompilasi puisi, cerpen, dan lakaran 71 orang penulis dari pelbagai latar termasuk aktivis kemanusiaan, pensyarah, doktor, jurutera, penulis, pemuzik, budayawan, karyawan, selebriti, pendakwah, pelajar, blogger, dj radio, wartawan, dan banyak lagi.

Menyentuh pelbagai isu dan kemelut sosial, politik, dan ekonomi setempat dan global dengan semangat kemanusiaan dan persaudaraan.

12363092_1676349075945480_4908885532974421164_o.jpg

Abah, Perang dan Kemaafan


I
Ini bahagian cerita yang paling disukai Abah untuk diceritakan kepada anak- anaknya apabila malas belajar ( saya tak pernah kena) atau untuk sambung belajar master dan PhD (ini memang selalu kena). Cerita yang dihafal benar tetapi tidak begitu disukai ibu, tetapi sesekali saya juga suka membiarkan Abah bercerita lagi dan lagi, untuk memberi peluangnya mengenang, untuk memberi peluangnya merasa sungguh bangga, untuk apa sahaja rasa yang saya tidak pernah tahu.

Tentang nasibnya menyambung pelajaran ke luar negara dan terumbang ambing ke sana sini akibat perang.

II
Kerana Abah, merupakan adik yang selalu didengkikan oleh abang- abangnya, Abah tekad untuk menyambung pengajiannya sehingga ke peringkat tertinggi, kemuncaknya dia mendapat tawaran ke Mesir. Tapi waktu itu, Mesir sedang bergolak besar, perang di sana sini. Abah dinasihatkan pulang tetapi enggan, lalu dihantarkan ke Libya, kemudian perang sekali lagi, tertangguh pengajian, kemudian apabila sudah tamat pengajian, pulang ke Malaysia, ijazah dari Universiti Libya tidak diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.

Ini hanya ringkasannya.

III
Tetapi Abah berasa dia sudah berjuang yang sedaya mungkin di sana, memenuhkan sebahagian cita citanya. Walaupun dia berkata begitu, tetapi saya tahu, jauh dalam hatinya, ada rasa terkilan, kerana peperangan dan kesan daripadanya mengubah dan memesongkan perancangan dan impiannya.

Dalam pergolakan yang tempat sama Abah tertangguh impian sebenar, yang kini turut berperang atas tujuan yang berbeza dari waktu dahulu, saya melihat lebih kepada kesan selepas peperangan. Peperangan tidak akan pernah berakhir apabila ia bermula, akan sentiasa bermula kembali, berlanjutan, tersimpan, membakar di mana mana.

IV
Tentu sahaja saya tidak boleh untuk menulis kutukan atau hinaan kepada sesiapa dalam peperangan yang saya dengar lewat kebelakangan ini. kerana sebelum memilih berpendapat, kita harus tahu dengan jelas, letak duduk perkara, sejarahnya. dan tentu sahaja, saya masih kurang arif, dengan negara yang jauh itu, dari dalamannya atau luarannya, atau sejarahnya. Saya cuma berharap, sungguh supaya keamanan meskipun tidak sempurna menemui mereka, segera tiba.

V

Dua tiga hal yang berlaku kepada saya kebelakangan ini, membuat saya percaya, ada kalanya kita mencipta musuh kita sendiri tanpa kita sedari. Dan kita memarahi mereka kerana memusuhi kita. Tetapi kita kurang bercermin diri kerana terlalu banyak berkeluh kesah pada dinding pengakuan.

Dan ada kalanya kita terasa mahu memusuhi seseorang kerana hal hal yang tidak disangka- sangka. walaupun kita telah bersangka dan berbuat baik dengan semua orang. Peperangan besar kadang kala bermula dengan hal hal yang kecil yang kita abaikan, seperti percikan percikan api kecil, kalau digiat-giatkan, lama lama pasti menyalakan sesuatu.

Katanya, bermulalah memadamkan kesemuanya dengan kemaafan, tetapi, kemaafan seperti segayung air, mampukan memadamkan kebakaran sebuah rumah?

VI
Membaca kembali sajak “Sepasang Tanda Kurung dan Koma” membuat saya terfikir, impian dalam sajak ini, tidak mudah dicapai, meski kelihatan sangat sederhana.

Tentang Komen Kepada Masalah


I

Antara siri TV yang saya suka selain SHERLOCK dan CSI ialah THE BIG BANG THEORY. Ulang banyak kali pun mesti akan gelak. Sesiapa yang nerd dan baca komik, mesti akan suka sitcom ini 🙂

II

Ada orang datang bertanya kepada saya, bertanya komen terhadap beberapa masalah yang ditimbulkan di sekeliling saya. Juga hal-hal isu semasa yang membakar di timeline Facebook saya.

Saat ini, saya teringat jawapan Howard (salah satu watak dalam The Big Bang Theory) semasa dia berada di angkasa kepada isterinya, Bernadette. Ketika itu Bernadette menyuruh Howard menjelaskan kepada ibunya, bahawa mereka tidak akan tinggal bersama ibunya selepas Howard balik dari angkasa.

“Let me share something, I’ve learned since i got here, You realize, how small your problem are, when you’re looking down on them from space”