Cerpen – Mencari Qudwah : Dewan Siswa Jun 2006

MENCARI QUDWAH

Oleh : AINUNL MUAIYANAH MUHAMMAD SULAIMAN

DEWAN SISWA JUN 06

“Engkau ialah Qudwah An-Nawairah contoh yang bercahaya. Nama yang mencerminkan keunggulan pemiliknya. Termazkur dalam lipatan sejarah kau pernah merafakkan nama baik maktab ini apabila terpilih sebagai salah seorang pelajar cemerlang PMR kebangsaan lewat tahun lalu.”

Dia terjeda seketika.

“Agaknya bila selalu terbang tinggi di awan biru , bila sesekali terjatuh , tidak mampu untuk berdiri kembali.”

Sejuring kata dari Ariff memang benar-benar menghiris atmanya yang sedia rawan. Di awal pertemuan ini, bicara Ariff manis bergula. Senyumnya tampak ikhlas. Hatinya terus menyimpul konklusi. Biarlah kekusutan hatinya terlerai di sini. Namun telahannya jauh tersasar. Lain yang diharap lain pula yang diperoleh.

“Cik Qudwah An-Nawairah, rasanya biarlah kisah layang-layang di awan menjadi tauladan. Apa gunanya megah menongkah deras angin dan dijulang tinggi tetapi bila tali penyambung nyawa terputus, diri terlayah-layah di langit biru tanpa tujuan. Akhirnya jatuh menyembam bumi dan tak mampu terbang lagi.”

Bahasa lelaki itu kembali indah tersusun. Sedangkan dirinya sudah kehilangan seluruh perbendaharaan kata sedari tadi walhal dia ialah pembahas terbaik maktab. Lidahnya kelu kerana sembilu kata yang terluah dari bibir jejaka di hadapannya ini ibarat bidik mengenai sasaran. Tepat dan jitu.

Qudwah menekur bisu. Pawaka amarahnya benar-benar terpendam di lubuk hati.

Mata Ariff masih setia mencerlung gadis di hadapannya. Di awal pertemuan, dia memang bersorak riang di dalam hati. Inilah masanya untuknya mengajar Qudwah yang sentiasa pongah dengan nikmat kurniaan Tuhan yang sementara.

Namun, lama kelamaan timbul pula rasa kasihan apabila melihat Qudwah diam seribu bahasa. Serta air mata yang hampir bergenang di hujung mata bundarnya. Hatinya terus cacar-marba. Dia tahu dia sudah melangkaui sempadan. Dia telah menyalahgunakan amanah yang tergalas. Seharusnya dia menyelami permasalahan Qudwah dan membimbingnya melerai kekusutan bukannya makin diracun hati yang kian lemah. Akhirnya suaranya yang tegang menjadi kendur.

Pintu bilik dikuak seseorang. Udara panas dari luar menerjah masuk ke dalam bilik.

“Eh, Ariff ada di sini! Oh! ada sesi kaunseling rupanya.”

Suara gemersik Cik Batrisyah Wafa menerobos gegendang telinga Qudwah. Guru kaunseling maktab yang masih muda jelita tetapi kaya dengan pengalaman melangkah masuk ke biliknya yang baru sebentar tadi menjadi medan kaunseling Ariff-Qudwah.

“Saya sekadar memberi beberapa tips dan nasihat sahaja. Tidak molek rasanya saya membelakangkan Cik Wafa.”

“Tidak mengapa Ariff. Lagipun awak kan proksi saya. Oh ya apa masalah kamu Qudwah?”

Cik Batrisya Wafa mula meneliti borang yang diisi oleh Qudwah sebentar tadi.

“Masalah berkaitan dengan pelajaran Cik Wafa.”

Ariff akas menjawab bagi pihak Qudwah sebelum sempat Qudwah melontar kata. Cik Batrisya Wafa mengangkat kening dan merenung Qudwah wajah yang penuh kehairanan.

“Qudwah pun ada masalah dengan pelajaran. Saya kira pelajar cemerlang seperti Qudwah….”

“Semua pelajar pasti tidak lari dari masalah ini selagi nafas dan usia masih ada dan saya tidak terkecuali Cik Wafa. Namun saya sudah menemui peleraiannya.”

Qudwah cepat-cepat memancung kata Cik Wafa sebelum menambahkan luka hatinya lagi. Sebelum meminta diri Qudwah sempat menghadiahkan senyuman yang pahit kepada Ariff.

“Nasihat itu akan dirafakkan ke langit agar bisa menaungi masalah dan mendatangkan kemaslahatan.”

Sekembalinya dari bilik kaunseling, Qudwah menangis metah. Hatinya keliru fikirannya buntu. Teman-teman sebiliknya diam tidak berkutik. Qudwah jika sudah menangis ertinya dia menangis bersungguh-sungguh.

Jika malam sebelumnya, punca tangisan lantaran hati berasa kecewa, malam ini menyaksikan hatinya diamuk marah.

Memang dia adalah Qudwah An-Nawairah yang memandu maksud contoh yang bercahaya. Namanya yang tersusun indah itu pilihan istimewa umi dan abi. Umi dan abi mahu dirinya menjadi contoh, tauladan dan ikutan masyarakat. Lantaran itu dia terasuh dan terdidik menjadi insan yang lengkap serba-serbi.

Sedari dahulu dia sentiasa menjulang nama. Kejayaan dan kecemerlangan sahaja yang mencumbu dirinya. Dia tidak pernah mengenal erti kekalahan dan kegagalan kerana dia tidak pernah mengecapnya walau seketika cuma.

Setiap semester dia meraih purata nilai gred (PNG) 4.0. Malah namanya sering mendahului penerima anugerah penghormatan pengetua pada hari kecemerlangan pada awal semester. Namun rasa takut menghambat diri apabila ujian selaras yang lepas dia memperoleh gred B. Sejarah baru yang terlakar dalam hidupnya. Dia khuatir akan menjejaskan keputusan semesternya. Atas alasan itu dia mengunjungi bilik kaunseling untuk mendapatkan sedikit nasihat bagi menenangkan hatinya.

Malangnya hatinya walang tidak usak malah kini berbaur sakit hati yang teramat.

“Kak Qudwah, ada pesanan daripada Cikgu Sarina.” Raudah, juniornya yang muda setahun langsung pergi selepas memberi sepucuk surat kepada Qudwah. Muka Qudwah yang cemberut itu meruntun rasa takut berbaur hormat.

Sepucuk surat bisa melingsirkan rasa sakit hati Qudwah. Inilah yang dikata kerna pulut santan binasa kerana mulut badan binasa. Ariff adalah bakal penolong pengarah yang menggantikan Hilmi kerana Hilmi terpaksa berkampung di hospital selepas terjatuh dari bukit curam di maktab mereka. Qudwah tidak mahu memikirkan alasan Ariff terpilih walhal Ariff adalah pelajar yang baru berpindah ke maktab mereka tetapi hati perempuannya mula berdendam untuk mengenakan Ariff yang tidak sayang mulut membasuhnya di bilik kaunseling tadi.

Sepanjang tempoh kerjasama Ariff-Qudwah di dalam sidang produksi drama maktab, dia memanfaatkan setiap inci ruang dan masa untuk menyakitkan hati Ariff. Membalas dendam atas kata-kata yang pernah dihamburkan kepada Qudwah.

Jika putih pendapat Ariff, maka hitamlah keputusan Qudwah. Sekiranya ke kanan langkah Ariff, maka ke kiri pula aturan Qudwah. Jika Ariff memilih pawana sudah tentu Qudwah memilih pawaka.

Sesekali Qudwah dapat mencuri pandang riak marah pada wajah Ariff yang selalu tenang. Ketika itu hatinya bergenderang ria. Kerjasama yang diharapkan tidak seindah mana dan sememangnya Qudwah tidak mengharapkan setitis idea serta peranan Ariff.

Menjelang hari pertandingan, Cikgu Syarifah Halimah memantau raptai latihan drama di bawah pimpinan Qudwah. Usai latihan tersebut Cikgu Syarifah memanggil mereka berkumpul.

“Siapa pengarah drama ini?” Suara Cikgu Syarifah yang lemak merdu itu menguja Qudwah untuk mendabik dada. Cikgu yang berusia awal 30-an itu ditugaskan memantau mereka setelah Cikgu Sarina cuti bersalin minggu lalu. Cikgu yang baru dipindahkan ke maktab mereka itu sangat murah dengan senyuman.

“Saya.” Qudwah mengangkat tangan memperkenalkan diri. Guru Syarifah tersenyum.

“Oh! Qudwah rupanya. Begini sajalah. Sejujurnya cikgu hanya boleh memberi markah 5/10 kepada kumpulan kamu. Gaya persembahan kamu cukup hambar dan klise. Seharusnya kamu tidak perlu terlalu terikat kepada skrip. Tiada langsung unsur yang boleh memberi kejutan. Kalau sekadar di sini kamu meraih kemenangan tetapi kalau menjadi wakil maktab, cikgu mahukan sesuatu yang lebih hebat dan bagus daripada ini.”

Qudwah tunduk membisu. Sangkanya Cikgu Syarifah akan menjerlaikan kata pujian. Namun lain yang dinanti lain pula yang gugur.

“Ariff, kamu kan pernah menjadi pengarah dahulu. Tidak boleh fikirkan idea yang lebih baik seperti drama Wacana Budi dahulu. ”

Qudwah tersentak. Drama Wacana Budi yang telah meraih johan pertandingan Drama peringkat kebangsaan tahun lalu. Ariffkah pengarahnya?. Lantas dirinya diserbu malu.

“Saya hanyalah penolong pengarah sahaja Cikgu…..”

“Jangan jadikan itu alasan. Kamu di sini bukan untuk mengejar pangkat tetapi menjulang nama baik maktab. Kerjasama lebih baik dari bergerak sendiri. Seberkas lidi bukankah lebih kukuh daripada sebatang lidi. Fikirkan ya. Kamu sudah dewasa dan bijak pula.”

Bicara Cikgu Syarifah mengisar lumat hati Qudwah. Kata-kata itu seakan menumpu tepat kepada dirinya. Yang berbeza hanyalah kata ganti nama sahaja. Bertambah parah apabila sejuring senyum terukir di bibir Ariff. Qudwah rasa benar-benar terhina.

Selepas Cikgu Syarifah beredar, masing-masing berbisik sesama sendiri. Qudwah membisu dan hatinya culang-caling kini.

“Qudwah…” Ariff menghampiri Qudwah selepas melihat awan mendung yang tidak sirna daripada wajah Qudwah sejak tadi.

“Batang selasih akarnya mati,

Jangan di bawa ke dalam perahu,

Mencurah jasa tempat tak sudi,

Orang benci kita tak tahu.”

Selepas Qudwah menghabiskan pantunnya, dia berlalu pergi membawa bersama jutaan kekecewaan. Dia tidak pernah kalah mengatur catur kehidupannya. Tetapi kini dia tewas walaupun tanpa pertandingan yang sengit. Tewas kepada Ariff, insan yang sederhana tetapi hebat di dalam diam.

Bermula saat itu Qudwah menyepi diri. Jika ada ahli yang bertanya mengenai latihan drama yang perlu dirombak semula, Qudwah akan menyuruh mereka merujuk kepada Ariff. Segalanya diserahkan kepada Ariff. Bukankah Ariff lebih hebat daripadanya?. Bukankah Ariff yang berjaya menguntumkan pujian daripada bibir Cikgu Syarifah selepas rombakan itu?. Qudwah merasakan dia hanya melukut di tepi gantang sahaja apabila berada di sisi Ariff. Dunia seakan melupakannya sedangkan dahulu dialah insan yang pertama dicari tetapi kini segalanya sirna. Dia seakan bukanlah Qudwah An-Nawairah (contoh yang terpuji) lagi.

Malam ini mereka akan bertolak ke maktab tuan rumah. Perjalanan ke utara itu akan memakan masa berjam-jam lamanya namun hati Qudwah tawar dan hambar. Dia tidak layak untuk pergi kerana tiada langsung sumbangan untuk drama itu. Kehadirannya sekadar menambahkan berat bas sahaja. Semua peserta sedang sibuk mengemas barang dan keperluan sedangkan Qudwah hanya mampu memandang kosong begnya yang masih tidak terisi.

“Qudwah tidak mahu pergi….” tiba-tiba ayat itu terlantun dari bibirnya. Napisah dan Farkhana serentak memandangnya.

“Mengapa Qudwah. Kau kan pengarah drama. Mana boleh tidak pergi.” Lembut sahaja nada Napisah memujuknya.

“Aku tak layak. Ariff yang disanjung semua. Aku pula tidak berperanan langsung. Ibarat muka orang tak tahu malu sahaja jika aku pergi. Aku tahu erti harga diri”

“Janganlah begitu Qudwah. Bukankah kau juga berlakon sama….”

“Sudahlah. Aku nekad. Sebelum kamu semua bertolak aku beritahu keputusanku kepada cikgu. Noktah ya.”

Napisah dan Farkhana keputusan kata. Qudwah tegas dan degil. Anak tunggal yang tersimbah darah keturunan Bugis memang keras hati orangnya. Jika frasa noktah d iakhir kata Qudwah bermaksud segalanya keputusannya muktamad.

Napisah membisikkan sesuatu dan Farkhana terus berlalu pergi selepas menerima mesejnya. Qudwah langsung tidak sedar tindakan mereka.

Selepas beberapa minit, Farkhana muncul di muka pintu sambil tersenyum simpul.

“Ada orang nak jumpa di bawah.”

“Siapa?” Qudwah kehairanan.

“Entah aku pun terima pesanan ini dari orang.” Farkhana berpura-pura hairan walhal ini semua rancangannya bersama Napisah.

Qudwah bangun dari katilnya dengan perasaan culas. Dia mencapai tudungnya dan memakainya serapi mungkin. Manalah tahu ada guru yang ingin berjumpa. Malu metah jika penampilannya kurang kemas.

“Qudwah….” sebaik sahaja dia turun wajah Ariff yang pertama dilihat.

“Ariff? Kau yang ingin berjumpa dengan aku?” Melihat Arif mengangguk, terus sahaja Qudwah dapat mengesan komplot antara rakannya dengan Ariff.

“Aku rasa tindakan kau menarik diri begini kurang rasional. Jangan kerana sakit hati dengan aku, kau membawa diri begini rupa.”

Ariff ini kalau bercakap memang tiada unsur implisit langsung. Kalau begini cara untuk memujuk yang dipraktikkan, sampai akhir hayat pun tiada siapa yang termakan kata-katanya. Bentak Qudwah di dalam diam. Matanya berkalih arah. Menunggu ayat seterusnya daripada Ariff, musuh ketatnya kini. Tetapi Ariff diam sahaja.

“Ada lagi Encik Ariff? Daripada kau membazirkan masa di sini hanya untuk menyatakan dua ayat itu sahaja, bukankah lebih baik kau memikirkan persediaan untuk bertolak malam ini.”

Pagi-pagi pergi ke ladang,

Hendak menyemai benih padi,

Betapa tinggi Gunung Ledang,

Tinggi lagi hajat di hati.

Kedegilan tidak menjanjikan apa-apa. Aku tidak boleh mengarahkan drama itu tanpa bantuan kau. Idea kau hebat sekali. Mengapakah kita tidak boleh bekerjasama walaupun seketika cuma?.”

“Hebat?. Bukankah kau pengarah drama Wacana Budi?. Bukankah kau anak emas Cikgu Syarifah? Aku ini bukanlah sesiapa. Cikgu Syarifah sendiri mengutuk kerja aku.” Lirih sekali suara Qudwah.

“Bukan mengutuk tetapi mengkritik. Jangan sempitkan perbendaharaan kata ya. Untuk mencapai kejayaan itu,bukankanlah satu perjalanan yang mudah. Aku yang ego dan bongkak ini hampir menyebabkan kekalahan maktab kami. Nasib baik aku sedar di saat akhir. Cikgu Syarifah yang menyedarkan aku. Aku malu hingga membawa diri ke maktab ini. Aku tidak mahu perkara yang sama berulang kepada diri kau.”

Qudwah terpana seribu bahasa. Cuba merangkaikan kata-kata Ariff menjadi mutiara azimat.

“Keistimewaan kita bukanlah untuk dibanggakan. Nikmat tuhan ini hanyalah pinjaman sahaja. Ada kalanya kita akan berjaya dengannya tetapi kadang-kadang kita kecundang juga. Qudwah, kau sering berada di puncak, sesekali bila kau gagal kekecewaan yang kau alami adalah seratus kali lebih perit dari orang biasa. Aku pernah mengalaminya. Aku tahu.”

“Bolehkah kau turut serta dalam rombongan ini?. Satu rahsia yang aku tidak patut rahsiakan daripada kau, kebanyakan idea untuk drama ini adalah idea kau yang kau lontarkan secara spontan apabila kau memarahi aku. Aku mengutipnya dan menjadikannya hebat. Terima kasih. Lalu kau tidak mahu menyaksikan idea kau yang aku patenkan untuk drama ini?.” Usik Ariff.

Tiba-tiba mereka menangkap deruman enjin bas bagaikan isyarat bahawa masa untuk mereka bertolak semakin hampir.

“ Pergi ya.” Ariff tersenyum mengharap sebelum berlalu pergi.

Qudwah merenung bas tersebut dan rakan-rakanya yang mula memenuhi tempat kosong di dalam bas tersebut.

‘Aku yang sombong dan tidak sedar diri. Bukankah nikmat Allah itu pinjaman sementara untuk di kongsi bersama. Perbandingan ilmu Allah dan ilmu manusia itu ibarat setitis air di lautan. Syukur padaMu aku diberi peluang kembali menjadi manusia yang bersyukur.’ Qudwah berbisik di dalam hati.

Hon bas mengejutkannya daripada lamunan. Qudwah tersenyum sambil menyeka air matanya yang berlinang dan merenung bas tersebut dengan niat yang baharu.

31 thoughts on “Cerpen – Mencari Qudwah : Dewan Siswa Jun 2006”

  1. hmmmm…
    x sangka rupanya kau ni penulis ya…
    syabas…
    hendak komen,tapi sekadar di dasar sahaja lah, kerana aku bukanlah orang sastera,tidak berani hendak pergi lebih dalam…
    komen dari seorang pembaca yang biasa:
    aku suka dengan nama watak dalam cerpen ini terutamnya perempuan,indah belaka…
    juga,suka dengan bahasa yang digunakan, tidak terlalu canggih dan tidak terlalu biasa…
    cerita yang disampaikan juga menarik dan macam cerita realiti sahaja, atau ada ditokok dengan fantasi???
    cerpen lain x de ke, kongsilah sekali ya…

    Like

  2. terima kasih atas omen membina. cerpen ini ditulis usai sahaja SPM dan yang pertama tersiar di media cetak..

    Tentang nama, biasanya aku memilih nama yang serasi dengan jalan cerita. kan cerita ini tentang contoh jadi aku jadi nama yang membawa maksud itu.

    pasal cerita realiti atau fantasi ini ehem~ biarlah rahsia.. hahaha

    ada sahaja cerpen lagi tetapi nanti dahulu..
    biarkan dia menanti-nanti.. huhu

    Like

  3. dulu pernah berangan2 nak jadi penulis.
    ada juga la 2,3 karya zaman muda2 terperap kat dalam komputer ni.
    tak pernah publish ke mana2. heheh. jadi bacaan syok sendiri saja. =p

    usahakan dakwah dalam sastera. agama memerlukan karyawan macam anda. =)

    Like

  4. sebelum itu , saya ucapkan terima kasih sebab sudi komen cerpen ini. latar belakang salah satu MRSM di malayisa.. teng teng teng…

    moga-moga punya banyak kesempatan untuk menulis dan menyampaikan buah fikiran..
    saya bukanlah seorg pendakwah yang baik malah tak da bakat pun.. =)

    Like

  5. bahasa cerpennya bagus. tersusun lembut.
    cuma klimaksnya terlalu pendek. seperti tiba-tiba. kalau boleh dramtik kan lagi.
    apapun kalau dilihat usia si penulis menulis cerpen ini
    cerpen ini sangat matang
    err.. ada cerpen-cerpen lain? bila mau publish? hehe..

    anyway tahniah ainun!🙂

    Like

  6. salam,

    saya suka susunan dialognya. gaya olahan dan bahasanya matang.

    cuma orang yg kurang sastera (spt saya) tak berapa dapat hayati. terlalu byk istilah sastera. bagus untuk didikan tapi kurang utk hiburan. mujur cerpen, kalau novel, setahun agaknya baru saya habis huhuhu dan lagi, betullah klimaksnya kurang.

    apapun saya suka baca. tahniah & trima kasih le pd penulis. harap dapat perbanyakkan lagi karya. boleh saya belajar sama.

    -luc

    Like

  7. Lelucon : terima kasih ya untuk komentar ini.

    setelah bertahun tak tersiar karya baru, saya rasa bersemangat kembali untuk menulis.

    Untuk komen terlalu banyak penggunaan istilah sastera itu : sebenarnya merupakan bahasa arkaik iaitu bahasa kuno yang biasanya digunakan didalam penulisan persuratan melayu. Keterlaluan banyak penggunaan bahasa arkaik telah dikomen oleh Rohman Shaari didalam ulasan cerpen tersebut tetapi ketika pembinaan cerpen ini, saya sengaja memilih menggunakan perkataan arkaik untuk menambahkan rasa adventure kepada pembaca serta menambahkan pembendaharaan kata dan ada kalanya perkataan arkaik itu lebih mencerminkan apa yang mahu saya pamerkan. InsyaAllah dimasa akan datang, saya akan cuba kurangkan ya.

    untuk klimaks pula : sebenarnya agak sukar untuk saya menemukan klimaks yang tidak klise dan mirip realiti sedekat mungkin. maka saya putuskan begitu. Mahu ringkas dan padat klimaksnya biarpun seakan tergesa-gesa.

    apa-apa pun terima kasih kerana sedi menjenguk dan menghabiskan sedikit masa untuk membaca karya kerdil ini. ini betul2 karya zaman saya sekolah-sekolah. banyak yang kurang lagi.
    🙂

    Like

  8. ainunl.. baru aku dapat baca cerpen yg ko maksudkan satu ketika dahulu. eceh! thanks, and aku rasa terharu nama aku ada diselitkan sbg watak sampinga..aku suka line ini “Lembut sahaja nada Napisah memujuknya”…hihi..congrats, jalan cerita menarik walaupun byk istilah yg aku tak faham sbb aku kurang membaca.. ainunl, aku doakan ko terus berjaya dlm bidang penulisan ni..🙂

    hugs and kisses;
    napisah

    Like

  9. salam. cerpen yang menarik dan pengolahan ayat yang bisa menggetarkan jiwa. moga diri inii mampu mengikut jejak anda. syukran jazilan atas ilmu yang dikongsi..

    Like

  10. Salam ukhwah dan salam ramadhan. Betapa indahnya bahasa saudari. Tersentuh hati tika meniti tiap bait kata-kata. Dan perbendaharaan kata saudari cukup meluas. Teruja saya menyelongkar isi maksud perkataan yang tidak pernah saya baca sebelum ini. Terima kasih kerana menghasilkan cerpen yang berjaya memuaskan atma ini.

    Like

  11. Bezz…saya suka cerpen kamu.kenapa tk nk karang novel..?suma cerpen kamu saya sudah baca n cerpen ini saya paling suka n paham apa yg kamu ingin sampaikan kpd pembaca..

    gud luc 4 u

    Like

  12. Salam, saya kagum dengan kebolehan saudari. Jika karya hebat begini hanyalah karya budak-budak bagi diri saudari, saya tidak dapat bayangkan bagaimana karya terkini dengan usia yang tentunya bukan lagi budak-budak. Tahniah dan saya terinspirasi!

    Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s