Cerpen – Ciuman Pada Buku – Tunas Cipta Oktober 2011

CIUMAN PADA BUKU

OLEH : AINUNL MUAIYANAH SULAIMAN

Semasa dia melangkah keluar dari Kinokuniya, terasa badannya mengapung terbang. Dia terlebih ramah dengan penjaga pintu yang mungkin daripada negara Bangladesh yang dibenci cukup lama kerana mata yang terlalu awas kepada pengunjung yang berpotensi untuk mencuri buku. Semasa membayar di kaunter, pertama kalinya dia mengucapkan terima kasih kepada pekerja kedai buku yang selalu dipandang rendah jika irit pengetahuan tentang buku.

Ini kisah penantiannya setahun. Semenjak dia tahu penulis kegemarannya telah menerbitkan buku baru, dia terus gesit menuju Kinokuniya kerana itulah satu-satunya kedai buku yang mungkin akan menjual buku-buku jenis itu. Buku sastera yang tidak akan dipandang orang lantaran kelompok pembacanya yang sedikit. Tawaran diskaun di Amazon.com sangat menggiurkan tetapi dia pembeli yang konvensional. Sebelum membeli harus melalui semacam ritual yang aneh dan diamalkan bertahun-tahun.

Pegang-buka-hirup bau buku-beli

Setahun lepas semasa dia bertanya judul buku terbabit, penjaga kaunter menggeleng kepala dan mengatakan tiada dalam stok. Mungkin bosan dengan pertanyaan yang sama hampir setiap hari selama 3 bulan, akhirnya penjaga kaunter pertanyaan itu menjawab separuh sebal “Stok akan tiba lagi 8 bulan.”

Titik.

Dia menyisih dan tidak muncul di kaunter pertanyaan kerana percaya lagi 8 bulan, buku idamannya itu akan tiba. Nafsu baca disabarkan dengan jawapan buku itu akan tiba lagi 8 bulan.

Dia tidak pernah melupakan penantian 8 bulan yang tanpa lelah membuatkan dia berkunjung ke Kinokuniya lagi.

Kinokuniya itu selalu berdiri angkuh berhadapan Pusat Petrosains seperti mulut gua yang siap menelan pengunjungnya supaya lemas tenggelam. Bagi yang sentiasa punya wang, pengalaman masuk ke gua itu seolah menyaksikan ribuan batu kapur yang mempunyai bentuk dan formasi stalaktit dan stalagmit berbentuk buku yang unik, indah dan dingin. Bisa dibeli, dimiliki dan dibawa pulang. Pelancongan itu sungguh menghiburkan sekaligus menyenangkan.

Tapi untuk golongan seperti dia, gua itu menjadi godaan yang terkutuk. Membuatkannya yang nanar, gila dan mabuk buku. Dia bisa sahaja melihat, menyentuh, membelek tulang buku hingga ke kulitnya tetapi tidak bisa memiliki. Sungguh menyeksakan. Tetapi untuk pecandu buku yang tegar sepertinya, gua yang menakutkan itu tetap sahaja bisa menggodanya dan membuatkan hari yang lelah kesurupan walaupun selepas itu dia harus menanggung derita tidak dapat memiliki buku-buku itu.

Selalu dia menganggap buku-buku itu seperti kekasihnya. Harus setiap hari dibelai, diberi perhatian dan seterusnya dilamar untuk disandingkan dalam rak buku rumahnya.

Ah, tetapi cinta itu sifatnya tidak semestinya memiliki, sayang. Bisiknya pada buku-buku itu sekiranya dia tidak punya wang untuk membelinya.

Tersebab itu, jika dia punya masa, dia akan datang ke Kinokuniya dan bersantai seperti kebiasaan seolah-olah kedai buku itu rumah keduanya. Biasanya seusai tamat waktu kerjanya sehingga pengumuman tutup kedai didengarkan.

Dia melalui rak-rak buku yang tertulis Literature dengan penuh hormat seolah penyambut tetamu yang dilatih meladeni pengunjungnya secara profesional. Judul-judul buku telah disusun penuh cermat. Semasa dia melarik jemarinya pada tulang-tulang buku yang sungguh seksi itu, dia akan membaca satu persatu judul sehingga bagaikan sudah terhafal dalam ruangan mindanya reka letak setiap judul buku itu. Kemudian memilih satu buku dan membacanya di satu sudut dalam kedai buku itu. Jika tidak punya tempat duduk, dia tanpa segan silu bersila di lantai walaupun sedang menyarung baju kerjanya.

Hari itu, dia mengulang tabiatnya di kedai itu, namun hari ini berlainan daripada kebiasaan, semasa melarik jarinya pada setiap tulang buku, matanya terbuntang. Dia ternampak buku yang ditunggu hampir setahun itu. Ah! Kekasihnya telah tiba.

Dia menarik buku itu penuh berhati-hati seolah-olah tidak mahu menjatuhkan walau sezarah debu yang mungkin sedang bergeming di buku itu. Dia mengira bilangan buku tersebut di rak. Ya judul buku itu cuma ada 3 sahaja. Dan dia pasti 3 judul itu satu-satunya yang sampai di tanah airnya. Tidak memiliki bererti mati.

Dia melakukan ritual kebiasaannya. Plastik yang membungkus badan gebu kekasihnya ditanggalkan perlahan-lahan supaya tidak meninggalkan walau segaris pada badan kekasihnya. Dibuka setiap helaian, aroma kertas itu mula bergentayangan menusuk jantungnya. Aduh! Dia kasmaran!

Dia merasakan kata-kata di dalam buku itu membentuk setiap kelopak bunga dalam taman bunga. Di situ dia sedang berteduh dari matahri yang hangat dan angin sedang menari-nari bersama ribuan kembang. Burung-burung yang sedang berkasihan di dahan pohon. Sungguh mempesonakan.

Hampir sahaja dia mahu ke kaunter sebelum dia sedar berapakah hitungan wang yang tinggal di kantung. Gaji bulanan masih bersisa lagi seminggu. Dia punya wang secukupnya sahaja. Dibalikan buku itu untuk melihat berapakah harga yang harus dibayar untuk dia memiliki kekasihnya? Nyata, kekasihnya bernilai sama mahal dengan wang yang tersisa untuk seminggu sebelum menjelang wang gaji.

Kekasih, bersabarlah untuk seminggu sebelum aku melamarmu. Dia berbisik perlahan pada buku itu sebelum meletakkan kembali di raknya. Sedikit tersorok supaya tiada mata-mata yang akan merampas kekasihnya pergi.

Setiap hari sebelum tarikh keramat, dia akan mengunjung kekasihnya dan temannya yang berdua itu. Hari kedua kunjungannya, dia mendapati salah satu teman kekasihnya telah hilang. Dia mencari segenap rak. Siapakah yang durjana membawa teman kekasihnya pergi. Hatinya sungguh gusar.

Berselaan dua hari, satu-satunya teman kekasihnya yang tinggal juga dibawa pergi. Menambahkan keberangan hatinya, siapakah yang memilih buku-buku tersebut? Pengarangnya tidak tersohor langsung disini. Hanya mereka yang memiliki selera yang eksotik dan aneh sepertinya akan mengenali pengarang itu dan bukunya. Kini kekasihnya hanya tinggal tunggal di rak buku. Anggun sekaligus menggoda.

Nyaris sekali dia menurut sikap Chairil Anwar untuk menculik kekasihnya dalam begnya  menjadi tempat penyembunyian sempurna. Nyata pengawal dan garisan merah di muka pintu gua Kinokuniya ini tidak memungkinkan keinginnnya.

Kekasih bersabarlah. Hanya tinggal tiga hari. Akan aku sorokkan kau di seksyen yang lain supaya tiada mata-mata jalang menemuimu sekaligus menghalang kita berkasihan.

Ya, rencananya berjaya. Dan itulah yang terjadi pada hari ini, hatinya menggebu bangga. Lihat, aku telah melamar kekasihku penuh terhormat. Tiada siapa yang boleh menghalang aku dan dia. Tidak kau, pengawal atau lintasan sinar merah yang berbunyi bingit bila-bila sesuatu yang bukan milik melintas di hadapannya.

Dia memilih untuk bersenang-senang di The Apartment. Kerusi berupa katil rumah membuatkan duduknya begitu menyenangkan untuk berdua dengan kekasihnya. Dia membuka kekasihnya perlahan-lahan. Satu helai ke satu helai. Buku itu benarnya seperti kekasih yang malu-malu separa mahu membiarkannya masuk ke dalam kamar kata-kata.

Semasa enak menerima kalimat-kalimat itu, dia terganggu oleh sebentuk bibir berona merah yang tercetak di muka 77, buku miliknya. Ada ciuman di bukunya.

Ah! Begitu kurang ajar sesiapa yang meninggalkan ciuman pada bukunya itu. Dia lantas mengemas dan meninggalkan The Apartment tanpa sempat pelayan itu menghidangkan pesanannya. Dia menuju Kinokuniya, gua yang menggoda itu.

Di kaunter, dia menghamburkan marah dan menyatakan mengapa bukunya boleh ada ciuman merah? Sungguh tidak adil. Ribut sekali di kaunter waktu itu. Petugas meminta maaf berkali-kali dan berjanji akan mencari buku ganti. Dia bergeming. Buku ganti? Dia pasti tiada dan itu jawapannya yang diterima. Hanya buku itu satu-satunya stok yang terakhir dan yang terakhir. Kalau ditunggu stok yang baru entah tahun bila baru diterima.

Hatinya sungguh sebal. Dia meraup kembali buku itu dan meninggalkan kaunter yang masih tersentak dengan keributan tadi.

Ya, pengecup buku, aku akan cari kamu.

Dia kembali ke rak Literature. Dia meraih buku-buku yang ada untuk merawat luka di hatinya yang masih berdarah. Moga ada kalimat yang bisa menjadi pembalut lukanya.

Perlahan-lahan kalimat itu menjelma menjadi gulungan yang mengubat kelukaan. Namun dia merasakan betapa anehnya, dia menemui ciuman yang serupa di muka surat 77. Diraihnya buku yang lain, ya dia menemui kecupan yang sama. Dia kenal benar ciuman itu serta warna pengoles bibir itu. Mirip benar. Ini bukan kebetulan.Iini kegiatan petualangan yang mencabul buku-buku di sini.

Siasat! Dia harus menyiasat dan membawa ke muka pengadilan. Kepada pengawal. Biar dihadap dengan tuduhan yang berat bukan main.

Lalu cutinya pada hari ini dihabiskan dengan mengawasi rak itu. Matanya meliar di sebalik rak, melihat mana-mana perempuan yang mempunyai bibir yang beroles merah dan mencurigakan. Hari ini perempuan itu masih belum menjelma.

Keesokan harinya, Dia menelefon pejabat mengatakan dia harus mengambil cuti tergempar! Dia kembali ke situ dan masuk sebaik sahaja kedai buku itu dibuka dan siap siaga duduk di tempat yang paling sempurna untuk mengawas setiap pengunjung yang datang ke rak yang hampir banyak bukunya dikecup. Tepatnya pada muka surat 77.

Hampir setengah hari, dia tercatuk membeku di situ. Sambil membaca buku-buku yang ada, matanya tetap awas memerhati.

Di saat kantuk meraja matanya dan perutnya yang bergenderang ria, dia terlihat seorang perempuan menghampiri rak buku, bergerak perlahan, memerhati setiap judul buku penuh minat. Matanya berguli kaca apabila menemukan judul-judul yang menarik minatnya. Semua tingkah laku perempuan itu diperhatikan dengan segala syak wasangka.

Yang paling penting, olesan pada bibir perempuan itu benar-benar padan dengan warna ciuman pada muka 77 di bukunya dan buku-bukunya lain juga. Dia sungguh pasti inilah pengecup buku yang menggugah kehormatan buku-buku di sini.

Perempuan itu setelah memilih beberapa judul buku, memilih untuk menyisih sambil senyumannya mekar seperti payung yang mengembang. Senyumannya yang dia tafsirkan sebagai petualangan.

Dia memicingkan matanya memerhatikan tingkah perempuan itu dan perinciannya begini rupa:

Perempuan itu memilih satu sudut yang tersorok. Buku-buku yang dirampas daripada rak pameran disusun bertingkat disisi kirinya. Beg bersilang bahu diletakkan di sebelah kanan. Buku pertama diambil, pembalutnya dikoyakkan penuh seni dan berhati-hati bukan seperti kaum gasar menemui arak dan perempuan. Halaman pertama dibuka dan perempuan itu menghirup bau buku seolah-olah sedang mencandu sesuatu. Senyuman seperti tidak pernah mahu meninggalkan bibir perempuan yang teroles warna merah, warna yang telah mencemar muka surat 77, buku miliknya.

Kemudian, perempuan itu membuka buku yang pertama, tersenyum menuju ke setiap helaian. Dia melihat perempuan itu sedang tenggelaman dalam kemabukan bau kertas. Kemudian membaca setiap helaian, entah apa yang dikumat-kamitkan ke dalam dada buku itu. Setelah itu dia nampak jelas perlakuan perempuan itu : mengecup buku tersebut.

Pencabulan!

Dia mula melangkah lebih perlahan sehingga lantai pun tidak mendengar injakan kakinya. Dia benar-benar di belakang perempuan itu yang kini sudah mengambil buku kedua pula dan begitulah ritual yang dilakukan seperti buku pertama.

Bacaan perempuan itu hampir menuju muka surat 77. Dia pasti perempuan itu akan mengucupnya disana. Dia pasti. Dadanya sebu dan bergumpal. Sesak. Dia harus menghalang. Buku-buku itu juga pasti tidak rela dicabul oleh bibir yang bukan pemilik berhak.

Semasa tangannya mahu merentap buku itu, dia terdengar bisikan perempuan itu kepada bukunya.

“Kekasih, aku tidak mungkin bisa memilikimu kerana wangku tak pernah cukup. Izinkan aku mengecupmu tanda ingatan dan kenang-kenangan sebelum kau dimiliki oleh tangan yang lain.”

Dia terkaku, kata-kata itu mirip dengan suara hatinya pada buku. Tangannya yang pantas mahu merentap perempuan itu pun terpana tapi tidak cukup sempat berhenti. Buku itu terjatuh di hadapan mereka. Perempuan itu meneriak kecil tanda tertangkap. Orang-orang di sekeliling memalingkan diri ke arah mereka, mencari titik punca teriakan tadi.

Dia dan perempuan itu sama-sama berhujat dalam diam.

15 thoughts on “Cerpen – Ciuman Pada Buku – Tunas Cipta Oktober 2011

  1. tetapi cinta itu sifatnya tidak semestinya memiliki,

    =)

    tiada komen, aku tersenyum membaca seluruh cerpen, terasa seperti aku sendiri berada dalam gua tu, huhu

    Like

    1. Syida : Ehem! Anehnya, bila dewasa begini, kau membaca karya aku. Hahaha. Padahal masa zaman sekolah, tak adalah sebegini. Agaknya bila aku jumpa kau, macam mana ya 🙂
      Ya, cinta itu tidak semestinya memiliki. Huwa!!! selalu rasa sakit hati di kedai buku 😦

      Like

  2. jumpa aku? entahlah aku pun tak tahu, Insyaallah suatu hari nanti panjang umur kita jumpalah di mana-mana, bila bila masa, kalau memang lagi 10 tahun pun 10 tahunlah, hehehehehehe, alah, kau tak perlulah malu malu dengan aku, hahahha

    aku mula minta baca karya karya tempatan ni di universiti agaknya, kau tahu aku pernah menghabiskan masa yang lama di perpustakaan kampus semata-mata nak cari karya Fatimah Busu dan Faisal Tehrani, tak jadi aku nak baca buku kimia, disebabkan terjumpa di rak sebuah buku, langsung pinjam sampai 7 buah buku

    Like

  3. aku nak tambah lagi, hehe, aku tak menyesal bila aku sedar agak lewat yang bidang yang kau ceburi ni sebenarnya penting, jadi perlu ada yang meneruskannya, dan aku menyokong mereka mereka yang terlibat jauh jauh…=)

    Like

    1. Syahidah : ini pendapat aku, yang paling penting dalam dunia seni dan sastera adalah kecintaan. Sama ada kau menjadi penulis atau sekadar pembaca, kedua-duanya sama penting. Penulis juga memerlukan pembaca untuk membaca karyanya. Pembaca memerlukan penulis untuk membaca karya yang ditulisnya.
      Kecintaan dan sokongan sangat penting. kadang-kala mereka yang menyokong ini aku rasakan lebih tulen semangatnya daripada penulis sendiri 🙂 Pembaca akan menyokong tanpa ada apa-apa kepentingan, tetapi penulis? Ehem 🙂

      Like

      1. Oh, ada ya penulis begitu? kau pasti lebih memahami lebih daripada aku.

        Aku bukan apa, membaca satu terapi untuk melupakan hal-hal yang mengusutkan kepala, sebab dengan membaca aku diberi peluang untuk meneroka lebih jauh.

        selamat berjaya Ainunl!

        Like

  4. Saya suka membaca karya saudari. Ayatnya puitis. Tidak jemu diulang baca. Saya juga gemar dengan karya – karya sastera kalau dibandingkan dengan karya – karya moden sekarang ini. (Walaupun saya langsung tidak pernah memiliki karya sastera sbg koleksi peribadi). Ianya puitis. Saya juga meminati bidang penulisan namun tidak pernah lagi menghantar karya ke mana2 penerbitan. Mungkin saudari Ainunl mempunyai sedikit tips utk dikongsikan, bagaimana boleh saya menulis dgn baik 🙂

    Like

  5. Karya anda buat saya rasa semakin kecil diri. Haha. Mencik ah camni! Rasa macam tak nak hantar je mss kita ke publisher.Huhu… Kita tak setanding ainulmuaiyanah. Tapi… betul la, menulis itu adalah kecintaan. Bila kita menulis dengan rasa cinta pada apa yang kita buat tu, kita happy dengan apa yang kita tulis sebab kita tahu kita dah jujur dengan apa yang kita tulis dan bukan tiru jadi orang lain, kan? Menulis itu cinta. Setuju. =)

    Oh. Btw, sis… jemputlah singgah blog kita jengah e-novel kita. Teringin nak tahu komen dan pandangan dari sis terhadap penulisan kita. Ikhlas. =)

    Like

    1. Violet Sofia : Ala, jangan begini 🙂 Jangan kecil diri ya. Semua penulis ada keistimewaan masing-masing 🙂 Jadi yang pertama kena percaya kepada diri sendiri dahulu, barulah orang akan percaya kepada kita, sayang 🙂

      Dah jenguk jenguk, nanti kita datang jenguk lagi sambil tinggalkan jejak 🙂

      Jangan berhenti untuk menulis ya 🙂

      Like

Tinggalkan komen