Cerpen – Hati Milik Nur : Mingguan Wanita 10-14 Mac 2009

HATI MILIK NUR

Hati Milik Nur

Mingguan Wanita 10 -14 Mac 2009

OLEH : AINUNL MUAIYANAH SULAIMAN

Sejujurnya dia mencintai lelaki itu sepenuh jiwa. Sejujurnya dia merindui lelaki itu sepenuh hati.

Lelaki itu pilihan keluarganya. Walau begitu, dia reda dengan ketentuan Ilahi. Berdikit-dikit dia belajar mencintai lelaki itu. Bermula dari sifar, kasih sayangnya kian hari kian mekar mewangi harum setaman.

Mengapa agaknya jika kita sudah jatuh cinta segalanya sanggup di redah dengan tabah?. Yang benci menjadi suka. Yang tidak berkenan di hati kini menjadi kesuma jiwa.

Jika ditanya apakah dia benar-benar mencintai lelaki itu. Pasti jawapan YA bertamu tanpa ragu dan segan silu. Yang membezakan lafaz itu tidak pernah terluah. Bukankah dia wanita Melayu yang terdidik dengan sopan santun dan adatnya?.

Tetapi tegakah lelaki itu memilihnya?. Redakah lelaki itu melayari hidup dengannya?.

“Nur, saya sudah ada pilihan hati.” Luah lelaki itu sejurus selepas Aisya, adiknya meminta izin untuk ke tandas. Aisya suka benar jika di minta menjadi temannya. Abang Fahrin Fattullah itu kacak betul, suka benar Aisya tengok. Aisya… Aisya yang indah itu bukanlah semuanya mutiara. Malangnya Aisya senyum sahaja. Entah mengerti atau tidak.

Lihatlah kini, Abang Fahrin Fattullah idaman kalbu Aisya sedang menyiat atma kakakmu ini. Aduhai mengapa dia harus mendengar kata-kata itu daripada bakal suaminya?. Bakal suaminya yang telah dia cintai sepenuh jiwa. Seperti minyak yang penuh, jika terisi semakin melimpah ruah kasihnya..

“Jika Fahrin sudah ada pilihan hati, mengapa bersetuju dengan perkahwinan ini?.” Berbata-bata suaranya menyusun kata.

“Nur, maafkan saya”.

Maaf ? Alangkah mudahnya. Siapakah yang dapat memaafkan pencuri yang telah mencuri hatinya. Hampir menitis air matanya saat itu.

“ Jika begitu mengapa tidak teruskan sahaja niat Fahrin. Nur akan doakan yang baik-baik sahaja untuk Fahrin dan gadis yang bertuah itu”. Ikhlaskah kata-katanya sebentar tadi?.

“Jangan begini Nur, diluah mati emak, ditelah mati ayah. Sayang-sayang buah kepayang dimakan tidak boleh dibuang sayang. Jangan buat Fahrin serba salah.”

Serba salah?. Diakah yang membuat lelaki ini serba-salah?. Dia yang bersedia melepaskan status tunangan orang agar sang arjuna jiwanya bersama perempuan yang lain langsung dituduh menyebabkan hati lelaki ini gundah?. Aduh … indahnya sungguh susunan bahasa lelaki itu. Makin berdarah luka hatinya diracuni kata-kata itu.

*      *      *      *

“ Sungguh Nur mencintainya.”

“ Siapakah yang dapat menyangkalnya Nur. Wirda tahu Nur tidak pernah menyerahkan hati Nur pada sesiapa.. “

“Apa kurangnya Nur?.”

“ Jangan kita persoalkan kekurangan diri, manusia tidak pernah sempurna bukan?. Bukankah kelebihan itu nikmat pinjaman Allah semata-mata?”

Dia terjeda sebentar. Wirda , kawan terakrabnya. Bila gundah Wirda insan pertama berkongsi duka. Apabila gembira cebisan ria itu pasti meronai Wirda jua.

“Setiap kejadian ada hikmahnya. Setiap dugaan tersirat makna. Bila begini tetapkan hati Nur dan mohonlah petunjuk pada Allah jalan mana pilihan yang tepat. Gunakan akal yang waras bila bertindak.”

“Sekiranya Wirda di tempat Nur?”

“Amboi.. Wirda manalah tahu. Tapi Wirda sudah biasa tanpa kasih sayang. Wirda tahu betapa peritnya bila kita kehilangannya. Lalu Wirda tidak kisah jika terpaksa berkorban. Memberi peluang untuk kebahagiaan orang lain kerana cinta tidak semestinya bersatu dan memiliki. Itu hanya pendapat Wirda sahaja tau. Sekarang Nur harus yakin. Bahagia pasti kan tiba.”

Aduhai Wirda.. enak sungguh mendengar kata-katamu itu. Wirda anak yatim piatu yang dikenali semasa menuntut di universiti dahulu. Wirda memang tiada sesiapa di dunia ini kerana tempatnya membesar adalah di rumah anak yatim. Ibu dan ayahnya meninggal dalam kemalangan kapal terbang semasa Wirda masih kecil lagi. Ketabahannya itu mengagumkan Nur. Malah Wirda telah dianggap sebahagian daripada keluarga Nur sendiri

Usai berbual panjang bersama Wirda, dia akas mengambil wuduk dan bersedia untuk tunduk pada kekuasaan Yang Maha Esa memohon sinar harapan baru.

Majlis pernikahan akan berlangsung sebulan lagi. Terkilan hatinya di sebalik ria melihat wajah hening nan mendung Fahrin. Laksana majlis pernikahan mereka itu majlis berkabung. Ada kalanya dia merasakan wajah itu menagih simpatinya untuk membatalkan majlis ini. Ada ketikanya wajah itu menguja tekadnya untuk berkeras meneruskan majlis ini.

Wajah itu yang silih berganti mengisi malam-malamnya. Betulkah tindakannya merampas arjuna hatinya dari cenderawasihnya?. Kadang-kadang dia sendiri keliru dengan pilihannya. Memang segalanya terletak di tangannya.

Dalam hatinya turut tertanya, siapakah cenderawasih yang benar-benar dapat menawan hati lelaki itu sehingga tega menolak cintanya?.

“Nur, sudikah Nur menjadi isteri saya sedangkan kasih sayang dan cinta saya bukan untuk Nur lagi?,”

Soalan itu ditanya lagi ketika Fahrin bertandang ke rumah untuk mengambil dia ke butik pengantin. Apakah perlunya Fahrin bertanya soalan yang melukakan hatinya lagi? Dia memang sudi menjadi isteri Fahrin sejak dilamar oleh keluarga Fahrin lagi. Kesudiannya itulah yang meneguhkan tekadnya sehingga kini untuk meneruskan majlis pernikahan itu.

“Nur sentiasa sahaja sudi. Tetapi Nur rasa selayaknya soalan itu ditujukan untuk Fahrin. Sudikah Fahrin menjadi suami Nur?. Yang akan mengetuai hati ini melayari hidup. Sedangkan kasih dan cinta Fahrin tiada setitis pun  untuk Nur.”

Fahrin terkulat-kulat dan terdiam apabila dia membalas kata-kata Fahrin. Wajahnya berkerut menahan malu. Mungkin Fahrin tidak menyangka dalam diam dia mampu menyusun kata yang begitu ‘indah’.

Waktu itu, Aisya pula muncul dengan senyum manis mematikan persoalan Fahrin. Bukan main suka Aisya apabila diminta turut serta.

Semasa di dalam kereta, mulut Aisya sahaja yang sibuk berceloteh dan Fahrin dengan senang hati melayan Aisya. Dia pula sekadar membuang pandangan di luar kereta.

Semasa mereka di butik,  dia memandang baju lace ungu muda itu dengan pandangan yang sayu. Baju yang khas ditempah untuk upacara membatalkan air sembahyang itu mengundang rawan sahaja.

Sewaktu Fahrin membayar harga baju pengantin yang mahal itu, Nur dapat mencuri pandang sesuatu. Dan sesuatu itu yang telah mencacarmarbakan hatinya. Menambahkan racun di dalam kolam hatinya yang setiap hari bertambah kuat gelombang dan geloranya.

Lalu hatinya yang dahulu tekad mulai kendur. Dia tidak setekad itu untuk menghancurlumatkan mana-mana hati demi kebahagian sendiri.

“Umi, Nur mahu batalkan pernikahan ini.” Akhirnya ayat itu terluah juga kepada Umi selepas dia sampai di rumah. Ayat yang tidak ternilai harganya.

Mata Umi terbelalak besar.

“Nur demamkah?. Agaknya takut nak bernikah dengan Fahrin ya. Biasalah tu….”

“Tidak umi..” Nur memotong kata umi dan saat itu air matanya mengucur turun. Mutiara jernih itu mengiringi ceritanya. Cerita duka hatinya.

Tarikh itu menjelma jua. Petang jumaat yang membawa rahmat dan rahmah. Hari Jumaat yang pernah menjadi saksi penyatuan Nabi Adam dan Hawa.

Talkala kompang menyambut ketibaan pengantin lelaki, hati Nur turut luruh tenggelam dalam keriuhan. Ketika Fahrin melafazkan lafaz kabul dalam sehela nafas dan disahkan oleh saksi, jiwa Nur bergoncang hebat. Saat Fahrin memasuki bilik pengantin yang berseri dalam rona ungu, jantung Nur berdegup tanpa rentak lagi.

Tika Fahrin mengucup dahi Wirda yang sah menjadi isterinya, air mata Nur mengucur laju tanpa segan silu. Gembira berbaur hiba yang ditahan-tahan sejak berminggu lamanya. Gembira untuk sahabatnya. Hiba untuk arjunanya yang sedang bahagia dengan sahabatnya.

Umi menggenggam erat tangannya dan mengesat air matanya yang mengalir.

“Hapuskanlah air mata ini Nur. Nanti Wirda fikir yang bukan-bukan pula.”

Umi akur dengan keputusan ini. Penat juga umi menjelaskan pada tetamu kerana jemputan menyatakan Nur yang akan bernikah. Alih-alih pengantin perempuannya adalah Wirda yang entah siapa-siapa.

Umi kata Wirda adalah ahli keluarga ini juga. Nur mendakap Umi selepas Umi berkata begitu.

Nur cepat-cepat menyapu air matanya. Dia harus reda dengan keputusannya. Keputusan yang telah bermain di benaknya saat melihat gambar Wirda di dalam dompet Fahrin.

Nur yang tidak sedar-sedar sebenarnya bahawa cenderawasih jiwa Fahrin adalah Wirda. Kisah cinta mereka telah bermula lama. Yang bezanya Nur sahaja yang tidak tahu. Itulah Wirda yang tidak gemar mencanang rahsia hatinya.

Betapa Wirda marah benar apabila Nur memintanya menjadi pengantin bukannya dia

“Nur, itu kisah lama. Kami tiada apa-apa. Jangan fikir yang bukan-bukan dan buat tindakan gila ini.” Tegas Wirda.

Tiada apa-apa Wirda?. Dia tahu bukan mudah Wirda membuka pintu hatinya untuk sesiapa. Fahrin sendiri telah mengaku ‘si puteri lindungan bulannya’ adalah Wirda dan tentu bukannya dia. Jadi penafian itu untuk apa?.

Nur bertegas dengan Wirda. Soal malu dan maruah dirinya ditolak lantaran hidup ini bukannya boneka atau sandiwara. Jika bahagia itu milik Wirda, mengapa dia mesti menjadi perampasnya?.

Wirda sudah lama hilang kasih sayang sedangkan dia sentiasa dalam lingkaran kasih sayang. Apalah guna perkahwinan jika tanpa cinta yang mengikatnya?.

Saat Nur mengucup pipi Wirda, hati dia memang ikhlas untuk pengorbanan ini. Ikhlas untuk Wirda, sahabatnya. Mata Wirda berkaca tetapi bahagia.

“Terima kasih Nur. Wirda tak kan lupa pengorbanan Nur sampai bila-bila”

Bukankah cinta itu tak semestinya bersatu?

17 thoughts on “Cerpen – Hati Milik Nur : Mingguan Wanita 10-14 Mac 2009

  1. Oh, rupanya akak pernah baca cerpen ni. Sebab akak tak pernah miss beli mingguan wanita. Tapi akak tak pernah perasan pulak yang penulisnya siapa.Maklumlah main baca aje. Tapi masa akak baca cerpen ni, memang akak puji. Macam tu lah tabiat akak, lepas baca cerpen, kalau best akak puji,” best gak cerpen ni”..:)
    TAhniah atas kejayaan adik.

    Like

    1. Ann : Kak Ann, saya berbesar hati apabila kak ann menyukai cerpen yang sederhana itu. Saya akan berusaha memperbaiki lagi apabila menulis cerpen kelak. DIharapkan akak akan terus membaca dan membacanya.

      Like

  2. bru berpeluang bace cerpen nih..best sangat..!! kte respect kat awk..
    nk tanye,camner nk antar cerpen kat mingguan wanita ye?
    em..slmt berkarya ye awk..karya awk mmg bagus…
    slmt maju jaya…=)

    Like

    1. Rasyidah : Benar? Kalau karya saya tersiar, dijemputlah membacanya. Mengenai penghantaran cerpen itu bolehlah email kepada editornya. InsyaAllah saya akan terus dan terus berkarya lagi

      Like

  3. Bukankah cinta itu tak semestinya bersatu?
    meruntun kalbu…sy pernah bce cerpen ni dulu.best sgt
    tahniah yana.

    Like

  4. mula2 sekali nak mintak ampun maaf sebab baru baca. huhu. teruknya aku.
    sebab karya kau byk sgt di media. aku jadi terkejar2. lalu tidaklah aku mahu membaca dalam keadaan yang terkejar2. maka, pada malam yang hening ini, aku telah baca Hati Milik Nur.

    Oh, watak utama kita sama. Dalam cerpen aku – Nur KasihMu. Tetapi nama Nuur ku ada dua ‘u’. hihi.

    Saat aku baca ‘Tika Fahrin mengucup dahi Wirda’, hati aku direntap. mulutku laju menyebut nama Allah. aku terkejut! klimaks di situ. Aku tak dapat nak tangkap cenderawasih Fahrin ialah Wirda yang sebetulnya. Aduhai.

    Betullah, cinta itu tak semestinya memiliki. Itu aku belajar dari Tanah Andriyana =)

    Terima kasih ainunl, untuk cerpen yang sangat manis ini. Aku suka!

    Like

    1. Filzah : ceh ceh dah sangat sangat lama baru nak sedar cerpen aku ni. merajuk baru tahu. ala bukan banyak pun. sikit saja. kalau betul-betul produktif barulah kau tak larat nak baca 😛

      Haha.. aku dah bagi hint sikit-sikit. Memang itu klimaksnya. barulah ada rasa debar-debar sikit :p hahaha

      Ya, aku belajar cinta tak semestinya bersatu dari lagu ebiet :p

      Like

  5. salam..
    thniah tau wt penulis..truskan usaha..sy mmg minat membaca cerpen ni..harp wt y lbih byk ag pd mase akn dtg..gud luck!

    Like

  6. cerpen ini mengisahkan pengorbanan seorang kawan….n satu zaman moden sekarang ni xde lagi kot pasangan yang di satukan ibu bapa…melainkan orang kampung,,hehe,..tapi saya suka jalan cerita ini…

    Like

Tinggalkan komen