Cerpen – Ini Rahsia Saya : Berita Minggu 2 Januari 2011

INI RAHSIA SAYA
Oleh : AINUNL MUAIYANAH SULAIMAN

Dia sudah tidak tahan menanggung rahsia. Ke mana-mana sahaja dia pergi dirasakan rahsia seolah-olah menggelembung di bawah kerongkongnya. Membulat dan membesar serta siap sedia menerima isyarat untuk meletup.

Dia sudah berjanji, Malah pemberi amanat yang memberinya rahsia itu sudah berkata,“Ingat pepatah melayu. Biar pecah diperut, bukannya dimulut,” dengan nada mengancam dan benar-benar mengugut.

Apabila rahsia yang ditahan di kerongkong itu cuba dialih ke perut, maka rahsia seolah-olah membusung. Sudah berulang kali dia berjumpa doktor tapi doktor pun sudah pening kepala kerana bukan busung punca penyakit, bukan juga apa-apa. Maka ditanya kalau kalau dia mengetahui puncanya, dia hanya mendiamkan diri, menggeleng perlahan. Hatinya sudah syak, punca penyakitnya adalah kerana rahsia yang diketahuinya itu.
Ketika itu dia rasakan dia mesti lakukan sesuatu. Jika tidak kecelakaan pasti menimpa tubuhnya. Dia harus memberitahu, sekurang-kurangnya seseorang tetapi siapa? Kata itu kota, janji itu panji.

Seharian dia di hadapan komputer. Masih lagi memikirkan penyakit busung akibat menanggung rahsia menjadikan dia sudah tidak khusyuk bekerja. Dibulatkan hatinya, dicipta satu laman menggunakan kepakarannya sebagai pakar IT. Laman itu membolehkannya memberitahu dan menaipkan semua rahsia. Hanya dia sahaja yang mempunyai akses ke laman itu.

Setiap hari, dia akan menaipkan sebaris ayat mengenai rahsia yang ditanggungnya. Sungguh hairan hatinya, apabila busungnya semakin hari semakin merosot bulatnya. Semua rahsia yang ditanggungnya telah terbebas di dalam laman yang direka olehnya. Mujur sekali. Laman itu membolehkannya membocorkan rahsia tetapi tidak dianggap membocorkan rahsia. Dia mengurut-urut kepalanya yang dirasakan sungguh bijak.

Suatu pagi selepas penyakit busungnya benar-benar sembuh dan dia sudah menaip semua rahsia yang diketahuinya, dia membuka laman ‘Ini Rahsia Saya’ dan matanya benar-benar terbuntang. Seluruh perisian laman webnya telah dimasuki virus, komputernya juga begitu. Segala kepakarannya dalam IT digunakan untuk menyelamatkan data komputernya sehingga dipanggil kawannya yang genius dan hasilnya tetap nihil. Gagal.
Lalu atas nasihat temannya, dia memformatkan kembali komputernya dan berharap penyakit busungnya tidak kembali lagi selepas laman web itu terhapus bersama komputernya. Seminggu dia terputus daripada dunia luar selepas komputernya dihantar untuk dibaiki. Dalam masa seminggu, dia masih boleh tidur dengan lena dan penyakit busungnya tidak menyerang.

Kemudian entah bagaimana, selang beberapa hari kawan si pemberi rahsia datang ke rumah dengan muka merah padam, pantas mencekik lehernya sehingga hampir keputusan nafas dan berteriak garang.

“Kenapa kau bocorkan rahsia? Kenapa?”

Sukar untuk menerangkan pada naga ganas, seperti kawannya itu. Berkali-kali dia berkata, dia tidak pernah membocorkan rahsia dalam desah nafas yang sukar.

Kemudian kawannya terus sahaja membuka komputer bimbitnya dan ditunjalnya komputer itu di mukanya. Matanya membulat membeliak melihat perisian laman web yang difikirkan telah terkubur bersama komputer yang diformat. Malah terang-terangan boleh diakses dengan mudah oleh sesiapa sahaja. Ada yang mencipta akaun di lamannya dan menggunakan laman Ini Rahsia Saya secara besar-besaran. Rupa-rupanya selama seminggu dia terputus daripada hubungan luar akibat kerosakan pada komputer membuatkan dia tidak tahu bahawa cacing virus dengan kejamnya telah menyebarkan laman sosial ciptaannya melalui email itu dan menjadikan akaunnya tidak lagi privasi. Apabila diselidik laman web tersebut, sudah lebih daripada 20 ribu pembuka akaun dan berderet komen telah ditulis kepada rahsia-rahsianya itu.

Kawannya mahu sahaja berterusan mencekiknya dan dia pantas mengelak. Dia terus mengaku membangunkan laman sosial itu, tetapi tidak bermaksud menjadikannya umum kepada orang awam. Diadukan punca laman web itu dibuka, perihal penyakit busung yang menyerang akibat rahsia yang disimpannya. Dipohon simpati dan ehsan daripada temannya tetapi kawannya tidak endah malah bertambah gelisah.

“Ini rahsia pemimpin tertinggi kerajaan. Sekarang rahsia itu telah diketahui. Kita dalam bahaya. Ketua kerajaan telah dimalukan secara habis-habisan. Nyawa kita dalam bahaya.”

Sesudah perkataan bahaya disebut, dilihat kereta polis memasuki laman rumahnya, dan beberapa orang polis telah menemui dia dan kawannya. Mereka dikehendaki menemui ketua kerajaan dan didakwa membangunkan laman sosial yang menggugat keselamatan negara.

Kawannya benar-benar terkejut dan dia bermati-matian tidak mengaku bersalah. Terusan kawannya menuduh dirinya yang membangunkan laman web tersebut. Tetapi polis-polis itu seolah-olah tidak endahkan mereka berdua. Malah polis menuduh rakannya turut bersubahat kerana nama rakannya terang-terang disebut sebagai sumber rahsia tersebut.

Lalu di dalam kereta polis dan siren bersahut-sahutan, jiran-jirannya mula menjenguk melihat dia dan rakannya dibawa oleh kereta putih biru itu. Ah! malunya bukan kepalang.
Namun, dia berasa sungguh hairan apabila tidak dimasukkan ke dalam lokap sebaliknya dibawa ke sebuah pusat pentadbiran. Dia dimasukkan ke dalam sebuah bilik yang lengkap seperti kamar tidur yang cantik seolah-olah mereka tetamu kehormat di pusat pentadbiran itu.

Dia pasti rakannya sudah biasa dengan pusat pentadbiran itu. Malah kerana rakannya yang bekerja sebagai janitor di sinilah maka semua dia mendengar semua rahsia-rahsia itu dan berakhir di laman web Ini Rahsia Saya. Rakannya kesal bukan kepalang. Asyik-asyik berzikir perkataan kalaulah aku.. kalaulah aku…

Lama mereka berdua dibilik yang indah itu. Oleh kerana kebosanan yang teramat, dia pantas membuka televisyen dan jam menunjukkan pukul 130 dan siaran yang ada hanyalah berita. Waktu itu, dia terdengar namanya disebut oleh pembaca berita berkali-kali sebagai pereka laman web Ini Rahsia Saya yang menjadi kegilaan umum. Ada yang membuat rusuhan kerana laman web itu membenarkan sesiapa sahaja membuka rahsia dan tidak akan dikenakan tindakan undang-undang. Hanya seminggu sahaja membuatkan beribu-ribu rahsia telah terbongkar. Pemimpin mula hidup dalam ketakutan. Rakyat mula memberontak melalui laman web Ini Rahsia Saya.
Dia sudah berpeluh dingin. Berita jam 130 itu hanya memuatkan cerita mengenai laman web Ini Rahsia Saya. Sudah ada dua laporan polis dikeluarkan kepada dirinya kerana memfitnah, mengadu domba dan membangunkan laman sosial yang bersifat melanggar tata susila negara ini. Nampaknya mereka tidak boleh menerima keterbukaan dalam laman sosial itu kerana membuka aib serta rahsia bukan pegangan dan budaya rakyat negara ini.

Dia menepuk dahinya berkali-kali. Hal yang berlaku lebih dahsyat daripada penyakit busung yang menimpanya. Terasa pisau benar-benar di bawah lehernya. Kawannya sudah menyeranah dirinya. Mengutuk nasib yang bakal menimpa mereka sebentar lagi.

Sudah 7 jam mereka dikurung di dalam bilik indah itu. Tiada satu pun orang datang menjenguk mereka. Apa yang boleh dia lakukan hanyalah memasang televisen dan mengikuti setiap perkembangan mengenai laman web sosial Ini Rahsia Saya. Dia yang paling malas membaca surat khabar, paling culas mengikuti perkembangan berita terkini bertukar menjadi pendengar berita paling setia. Malah saluran khusus untuk berita ditonton tanpa ditukar barang sekejap. Dia benar-benar mahu tahu apakah malapetaka yang menimpa negaranya sekarang berpunca dari laman sosial yang dibangunkan?
Tiba-tiba pintu bilik mereka dibuka dan beberapa orang pegawai polis menjemput mereka keluar. Kata salah seorang daripada mereka, dia akan dibawa berjumpa dengan ketua pentadbir negara. Kawannya tidak dibawa bersama membuatkan perutnya terasa benar-benar kecut.

Pertama kali dia berhadapan dengan Ketua Pentadbir Negara. Ketika masuk ke pejabatnya, dilihat seseorang yang seringkali menghias peti televisen, papan iklan wujud di hadapannya. Malah, Ketua Pentadbir Negara inilah yang rahsianya telah disebarkan melalui laman sosial Ini Rahsia Saya kerana menghidap penyakit kutu di kepalanya sehingga harus membotakkan kepalanya dan memakai rambut palsu. Ketua Pentadbir ini juga yang ditelanjangkan sebagai penghidap kurap di kakinya dalam Ini Rahsia Saya itu dan bukan itu sahaja yang ditulis olehnya.

Kakinya benar-benar menggeletar. Sudah tentu dia akan dikenakan hukuman berat. Penjara seumur hidup? Oh, dia benar-benar tidak berniat,

“Jadi, kamulah yang membuat laman Ini Rahsia Saya?.”

Dia menelan air liur pahit.

“Ya, saya.”

“Kamu tahu rahsia apa yang kamu bongkarkan?’ tajam mata Ketua Pentadbir Negara menikamnya

“Tuan, tolonglah! Saya tidak sengaja nak kata kurap di kaki tuan, kepala tuan yang botak atau apa sahaja yang saya tulis di dalam itu. Saya sudah simpan rahsia di perut tapi jadi penyakit busung, kalau di mulut, jadi gelombang macam gelembung macam katak panggil hujan. Tuan, saya tidak sengaja.”
Dia terus menerkam kaki Ketua Pentadbir Negara walaupun dia tahu dikakinya ada kurap. Dia sudah tidak peduli. Janganlah dia dihukum. Seumur hidup, tidak pernah menjejak balai polis sekalipun. Dia tidak sanggup dipenjara atau didenda.

Polis yang mengiringinya terus sahaja menariknya daripada menyembah-sembah kaki Ketua Pentadbir Negara. Dia berkali-kali merayu.

“Duduk, duduk sebentar. Bertenang. Saya tidak mahu marah anda sebaliknya saya mahu berterima kasih.”

Berterima kasih? Dia jadi hairan, bukankah dia yang salah? Runsing fikirannya. Dia mengerutkan dahinya.

“Sudah lama saya berpura-pura di depan umum bahawa saya manusia yang sihat. Padahal saya ada kurap dan penyakit kutu yang tidak dapat diubati. Sekarang rakyat sudah menerima saya seadanya sebagai manusia seperti mereka juga. Saya juga harus berterima kasih kepada anda kerana laman sosial itu menyebabkan rakyat semakin percaya pada kerajaan kepimpinan saya kerana keterbukaan dalam rahsia. Terima kasih.”

“Tetapi tuan….”

“Ya, ini zamannya kebenaran menjadikan rakyat percaya bahawa saya dan barisan kepimpinan juga manusia biasa. Rahsia dalam laman menjadikan barisan kepimpinan saya semakin berjaga-jaga dan mengambil langkah yang betul. Malah punca kemenangan besar pilihan raya kecil baru-baru ini kerana laman itu.”
Dia terpinga-pinga dan cuba mengorek telinganya kalau-kalau dia tersalah dengar tetapi Ketua Pentadbir Negara menyambung kata.

“Pihak kerajaan akan memperuntukkan sejumlah dana untuk pihak anda membangunkan laman sosial itu.”

Dia masih kurang percaya apa yang didengarnya. Tapi itulah kebenarannya. Selepas menerima amanat daripada Ketua Pentadbir Negara, dia dibenarkan keluar dan melaksanakan misinya.
Ketua Pentadbir Negara tersenyum mengiringinya keluar bilik dan berkata

“Ini rahsia saya, rahsia anda?”

6 thoughts on “Cerpen – Ini Rahsia Saya : Berita Minggu 2 Januari 2011”

  1. saya ada banyak rahsia!!
    “raja kita botak!!” jerit si tukang gunting itu ke dalam lubang di tengah batang pokok besar itu

    kan? saya tak ingat tajuk buku itu, tapi pernah baca masa zaman kanak-kanak dulu..last cerita ni? agak kelakar, bila kayu pokok ini dibuat gong,bunyi gong itu ialah “raja kita botak!”

    apa pun cerpen ni, sangat dalam maksudnya..

    Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s