Cerpen – Kerana Aku Seorang Wanita.. – Mingguan Wanita 29 Mac-4 April 2010

Kerana Aku Seorang Wanita…

Oleh : Ainunl Muaiyanah Sulaiman

ainunl.muaiyanah@gmail.com

…maka dia berani menjungkarbalikkan hati aku.

Aku sebenarnya rasa terhina dan maruahku dicabar. 30 tahun kami menyemai kasih, memupuk persefahaman dan bertolak ansur di atas sebuah janji. Janji yang di akad didepan saksi bahawa dia akan menerima aku sebagai muhrimnya dan seterusnya menjadi raja dalam wilayah cinta kami

Setelah berpuluh tahun dengan 3 orang anak dan 3 orang cucu, sepatutnya kami mengecapi usia emas tanpa perlu risaukan apa-apa. Apa yang kami perlu menokok tambah amalan yang kurang akibat terkadang alpa di usia muda. Di usia ini, kami sepatutnya di tikar sejadah daripada berperang dengan isu yang tidak ada sudahnya

Namun, setelah waktu itu, dia memilih untuk menongkah arus dan angin. Dia mencipta ribut. Kalau anak-anak aku yang kata mereka dalam amarahnya ayah sudah hilang akal apatah lagi aku? Aku yang bergelar isterinya selama 30 tahun ini? Berkongsi segalanya dengan rasa yang sama. Membina hidup dan menempuh zaman-zaman perit dan derita. Tersenyum saat manis tercipta

Aduh, dia yang menjabat tangan ayahku 30 tahun dahulu. Dia yang katanya hatinya terketar tak keruan kerana mahu mengambil aku sebagai isterinya. Dia yang kemudiannya bergelar suamiku hampir 30 tahun memilih untuk bercerai dengan aku tanpa sebab yang jelas. Tanpa orang ketiga. Tanpa gaduh. Tanpa perselisihan faham.

Lalu, bagaimana aku mahu rangkumkan perasaan ini menjadi kata-kata melainkan air mata yang menjadi pengganti bicara. Bicara kepada anak-anak aku yang diamuk marah. Bicara kepada cucu aku yang tidak mengerti apa-apa. Bicara kepada kawan-kawan aku yang cuba berkongsi rasa. Oh aku kehilangan seluruh kata.

“Min, abang ingin melepaskan Min. Min tidak salah apa-apa. Abang yang salah.”

Dia yang aku junjung dalam doaku. Dia yang aku harap menjadi pasanganku kalau aku dikurniakan syurga oleh Tuhan tiba-tiba berkata begitu padaku. Waktu itu petang temaram,saat kami sedang menikmati kuih seri muka kegemarannya dan air kopi pekat buatanku sendiri. Dia menggengam tanganku. Erat dan hangat. Kemudian melepaskannya dan berlalu pergi.

Dia dengan maruah lelakinya menghubungi kesemua anak-anak kami dan mengkhabarkan berita itu. Kemudian langsung ke bilik mengemaskan sedikit barangnya dan mengatakan dia akan tidur di resort kegemaran.

Aku tidak berganjak walaupun sedikit. Aku tidak tahu reaksi mana yang harus aku tunjuk padanya yang tiba-tiba menjadi orang asing yang aku tidak pernah kenal. Dia bukan lagi menjadi lelakinya yang aku tatap setiap pagi. Dia bukan lagi lelaki yang aku pohon maaf sebelum aku tidur dan dengan rasa mesra mengucup dahiku. Bukan.

Kata anakku yang mengambil kursus psikologi di universiti, ayahnya menghadapi krisis pertengahan umur. Anakku membuat spekulasi abah terjumpa perempuan lain dan terkeliru dengan dirinya. Anakku memujukku dengan nada lembut dan berkata dia akan sedaya upaya menasihati ayah supaya berfikir lagi keputusannya. Ah, anakku terpengaruh cerita-cerita barat barangkali. Benarkah lelaki ada krisis pertengahan umur sehingga dia melupakan tanggungjawabnya sebegitu rupa?

Ketika kawan-kawan aku terdengar khabar perceraian aku, mereka sepakat membuat sidang meja bulat. Mereka dengan baik hati mahu menjadi mata-mata mengintip suamiku dan seterusnya menangkap suamiku yang konon-kononnya akan bertemu dengan perempuan lain.

Namun, setelah seminggu, hasilnya nihil. Dia menjalankan rutin hariannya seperti biasa. Tiada pun mereka lihat dia bercanda mesra dengan perempuan lain ataupun dia dilihat mengunjungi kelab dangdut yang diminati oleh suami jiran-jiranku. Tiada.

Lalu apa yang menyebabkan dia memilih keputusan gila setelah umur kami setengah abad. Tanpa sebab? Aku tidak dapat merasionalkan diri untuk menerima ketiadaan sebab. Mesti ada. Mungkin layananku yang terkurang atau mungkin ada tingkahku yang dia kurang senang. Namun bila aku teliti kembali, tidak ada pula dia bersungut atau mengomen tingkah. Ya Tuhan, apakah sebabnya aku diduga begini?

Beberapa minggu selepas berita yang menghempap kepalaku itu, seorang peguam datang ke rumah dan membawa perkhabaran yang aneh. Dia menyerahkan semua harta atas nama aku. Dia cuma ingin memiliki rumah yang menjadi miliknya sebelum mengahwini aku. Rumah itu kami sewakan setelah berpindah ke rumah baru ini. Kemudian dia mohon sejumlah wang untuk membeli kenderaan baru. Tambah peguam itu lagi, dia cuba mencari semula kereta yang kami jual ketika musim gawat dahulu. Jikalau tidak berolah dia mohon sejumlah wang dari simpanan kami untuk membeli kereta terpakai.

Selepas peguam itu berlalu, aku terdiam. Mengapa begitu rencananya. Mengapa diberikan semua harta-harta itu atas namaku? Mengapa tidak dia tinggalkan aku dan anak-anak sehelai-sepinggang dan membawa segalanya pergi bersama? Mengapa begini permainannya pula?

Aduh! Kepalaku sudah berat menanggung soal yang aku timpa sendiri. Anehnya aku ini. Diberi harta pun mahu ditanya-tanya lagi.

Tidak! Aku harus berjumpa dengannya. Sekurangnya menimbulkan sengketa supaya apa yang terbedung dalam fikiran dia itu dapat aku baca juga. Sekurang-kurangnya aku mahu tahu punca dia memilih kata menceraikan aku. Perkataan yang tidak sepatutnya ditulis dalam perbendaharaan kata hidup kami.

Aku menemuinya rumah sewa barunya. Saat mata kami bersahutan, hati aku terasa mahu luruh. Aku genggam kuat tekad hati dan terus menghambur tanya diatas semua perilakunya yang aku kira ku waras lewat kebelakangan ini. Aku bangkitkan segala raguku diatas

Namun, begitulah dia. Memilih untuk diam. Memilih menyalahkan dirinya. Memilih untuk menyimpulkan bahawa itu tindakan yang paling wajar dan paling rasional. Seenaknya dia menjatuhkan hukum tindakan mana yang paling wajar untuk kami? Itu yang aku jerkahkan.

“Min, nanti Min akan faham dan mengerti. Abang yang salah. Cukuplah sekali abang berbuat kejam dengan Min. Selepas ini abang akan tenang.”

Ketika aku menjuraikan air mata dihadapan matanya. Jarang sekali aku terluka begini. Sepanjang hidup aku dengannya hanya bunga-bunga tawa. Mana pernah aku menangis begini rupa.

Aku cekatan keluar dan tidak sanggup mahu mendengar kata-katanya lagi. Segaris perkataannya lahir lagi, seribu luka menarah hatiku.

Sewaktu aku menyapu air mata melintasi jalan yang sesak dengan kenderaan yang bagaikan tiada akhirnya, aku terdengar namaku diseru. Aku berharap benar dia yang menyeru begitu dan mengatakan semua yang dilakukan adalah kejutan olok-olok. Tolonglah.

Sepintas aku menolah, aku terlihat sosok lelaki sebaya umurku. Aku cuba menangkap wajah lelaki itu dalam memori namun hampa. Siapakah dia yang menyeru namaku semesra begitu bagaikan kami telah berkenalan bertahun-tahun lamanya.

“Min, aku ini. Imran. Kau tidak ingat aku lagi?”

Imran? Lelaki yang pernah menjadi kekasihku sebelum aku berkahwin dengan bekas suamiku. Lelaki yang berjanji akan mengahwini aku tetapi tiba menghilang tanpa jejak dan berita. Anehnya dia tiba-tiba muncul didepanku ini.

“Bertahun-tahun kau menghilang dan tiba-tiba sahaja muncul dihadapan aku. Masakan aku boleh kenal kau sepintas lalu.” Itu kataku padanya selepas kami memilih untuk minum bersama digerai berhampiran.

“Haha. Aku tidak pernah meninggalkan kau, Min. Dari dulu hinggalah sekarang. Kau yang meninggalkan aku.”

Aku mencengilkan mata. Mempersoalkan tuduhannya.

“Ya, Min. Aku pernah pergi. Pergi dengan pesanan pada Ahmad untuk kau agar kau menunggu aku setahun dua ini. Aku mahu cari wang untuk meminangkan kau Min. tetapi padi yang aku harap rebah yang aku dapat. Dia mengahwini kau kemudian membawa kau pergi dari kampung. Ahmad, suami kau yang mengkhianati janji kita bukan aku.”

Aku terdiam. Dahulu ya dia suamiku sekarang bukan lagi. Dia menjadi orang yang aku tidak kenal.

“Kemudian aku bertemu dengan dia. Setelah berpuluh tahun ini dan dia terkejut sekali kemudian bila aku cakap mengenai amanah yang aku beri padanya dahulu. Muka dia pucat membiru. Jelas Min, dia yang rancang semuanya. Sekarang katanya dia mahu menebus dosa. Min, kita boleh bina apa yang kita hilang dan janjikan dahulu. Kan?”

“Mana kau tahu aku dan dia sudah tiada apa-apa?”

“Ahmad kata dia akan lepaskan kau untuk aku. Untuk apa yang dia telah lakukan pada aku , pada kita. Aku tidak pernah lupakan kau sehingga aku tidak pernah memilih sesiapa.”

Aku terdiam. Rupanya inilah yang menyebabkan dia memilih tindakan itu. Tuntutan janji lama yang bertahun-tahun dahulu. Aku pandang wajah Imran dan membulatkan hati untuk berkata

“Imran, aku bukanlah perempuan yang hidup bertahun-tahun dengan kenangan lalu dan masih mahu mengambilnya kembali. Aku wanita yang diikat oleh taat dan janji setia. Taat aku pada Abang Ahmad dan janji setia aku pada perkahwinan kami bukannya kenangan kita dan janji yang kita lafazkan bertahun dahulu yang tidak sempat kau tunaikan. Maaf, sekalipun aku dan dia sudah tidak ada apa-apa, aku tetap tidak akan memilih kau”

“Tapi Min, ini semua bukan salah aku.”

“Imran, soalnya bukan salah siapa-siapa. Aku telah memilih jalanku dan kau juga harus memilih jalan kau juga. Kisah kita bertahun dahulu, kau buang sahaja dan anggaplah seperti tidak ada apa-apa.”

Imran tunduk dan tidak memandangku lagi dan diseberang jalan aku terlihat dia yang aku rindui.

Waktu itu, aku benar-benar mahu berkata pada dia yang bergelar suamiku bertahun-tahun lamanya bahawa kerana aku wanita, masakan mungkin aku mengingkari lafaz yang kita ikrar bersama dahulu?

5 thoughts on “Cerpen – Kerana Aku Seorang Wanita.. – Mingguan Wanita 29 Mac-4 April 2010

Tinggalkan komen