Cerpen – Tanyalah Pada Jiwa : Fokus SPM Mac 2009

TANYALAH PADA JIWA

Fokus SPM Mac 2009

OLEH AINUNL MUAIYANAH SULAIMAN

           Umaira resah metah. Berulang kali pula membetulkan blaus sifon ungu bertali halus yang dipadankan dengan kardigan untuk menutup sebahagian dadanya yang terdedah itu. Dia merasakan segalanya menyesakkan.

Apabila kereta yang dipandu mama memasuki laman sekolah, peluh dingin merebas. Dia merasakan inilah perjalanan ke sekolah yang paling panjang dalam hidupnya. Fikiran dan emosinya berperang hebat laksana peperangan Troy yang usai ditonton di saluran HBO tempoh hari. Rambut yang selalu di tutup kerudung ketika ke sekolah di suak ke belakang telinganya yang dihiasi anting-anting berjurai. Rimas!

Umaira tidak mahu terserempak dengan sesiapa pun saat ini. Sebab itu dia meminta mama menghantarnya ke sekolah lewat petang. Namun mama berkeras jua mahu menghantarkan waktu pagi. Umaira diam tidak berani membantah.

Ketika Umaira tiba di pejabat sekolah, ramai rakannya menayangkan kertas bertebuk halus di tepi. Umaira senak perut. Gus gastrik terasa merembes ke ruang perutnya. Umaira terasa lemas dalam dunianya.

Umaira terus menyusup masuk tanpa hirau panggilan daripada teman-temannya. Sejuta warna emosi sedang berpual-pual mengapung di ruang pejabat yang kecil itu. Ajnas ekspresi wajah terpamer ketika itu. Umaira mara ke kaunter, memberitahu namanya kepada kerani pejabat itu dengan nada suara yang ditahan-tahan.

Saat kerani pejabat menyerahkan kertas bertebuk halus di tepinya kepada Umaira, dia menjerit riang.

“Mama!!!”

Umaira meluru ke luar. Masih tidak hirau kawan-kawan yang lain yang ingin bertanya. Umaira menayang slip itu, yang berderet aksara A pada Mama. Mama peluk dan kucup pipi Umaira. Ada titis jernih. Saat itu ucapan tahniah menerpa bagai deras hujan pagi.

Sepanjang hari itu, Umaira tidak usai menerima hujan ucapan tahniah dari kemenakannya dan teman-teman. Umaira tersenyum tanpa henti.

Sudah sebulan selepas peristiwa indah itu berlalu. Umaira ditempatkan di kelas 4 Sains 1, kelas yang paling elit di sekolahnya. Pada hari pertama Umaira mendaftar, dia berasa bangga sekali. Umaira tahu kelas sains tulen adalah kelas yang paling sukar lantaran dia telah belajar beberapa subjek membunuh semasa cuti panjang tempoh hari. Mama telah menghantarnya ke pusat tuisyen supaya dia lebih ke hadapan berbanding pelajar lain.

“Saya mahu gugurkan subjek biologi dan diganti dengan prinsip akaun.” Kata Tim semasa mereka minum di kafe sekolah. Umaira mengangguk faham. Dia masih mengelamun sambil mengunyah sandwic yang masih bersisa. Tim sememangnya lebih gemar bermain aksara daripada menekuni nota berjela seperti biologi.

“Kalau minat akaun, ambil sahaja kelas sastera ikhtisas.” Umaira membalas. Sekadar memberi cadangan.

Tim mencemik

“Tak mahulah masuk kelas tak ada standard piawaian SIRIM itu.”

Umaira tergelak kecil. Tim kalau berkata memang tiada tapisan langsung. Tentu golongan itu akan berkecil hati mendengar bilah bicara Tim.

“Kamu pula? Ingin terus ambil pakej subjek itu tanpa pindaan?”

Umaira menjungkitkan bahu dia pun masih keliru sebenarnya.

“Kamu ini sejak dari dahulu tak pernah tetap hati. Jangan ikut arus sangat. Sesekali perlu menongkahnya juga.”

Umaira terdiam. Kata-kata Tim ada benarnya. Umaira berbelah bagi lagi sebenarnya. Dia minat benar nak ambil subjek akaun. Umaira minat juga. Kalau dalam kelas Kemahiran Hidup, dia dan Tim paling handal dalam bab akaun. Namun Umaira berasa sayang hendak menggugurkan mana-mana subjek dalam pakejnya sekarang.

Umaira tidak teguh hati. Dia bukan seperti Tim yang tegar ambil keputusan berani mati. Kalau Tim kata ya, dia tidak akan berubah paksi pendiriannya. Itulah Tim.

Umaira berkira-kira mahu mengambil lebih subjek elektif tanpa menggugurkan mana-mana subjek yang ada di dalam pakej kelasnya. Kalau begitu, Umaira boleh pecah rekod di sekolah itu. Manalah tahu angan Umaira menjadi kenyataan pasti membanggakan.

Apabila Umaira mengkhabarkan rencananya kepada mama, mama senyum riang.

“Bagus betul. Inilah anak mama. Jangan turut perangai Kak Balqis kamu. Degil dan keras kepala!”

Di rumah ini, nama Kak Balqis yang paling irit sekali didengari dari mulut mama. Semenjak kes mama bergaduh besar dengan Kak Balqis, perang dingin tercetus antara mama dan Kak Balqis.

Umaira tahu, antara adik-beradik mereka, Kak Balqis yang paling keras hati. Ketika Kak Balqis bertukar kursus veterinar kepada pengajian sastera tanpa berbincang dengan mama, mama berleter panjang dan marah benar. Mama yang bercanang Kak Balqis anaknya yang mendapat kursus veterinar itu mengelatkan muka berminggu-minggu selepas mendapat tahu perkara sebenar.

Ketika Umaira pulang ke rumah petang itu, dia mendapati Kak Balqis sedang menunggunya. Umaira menjerit riang. Kak Balqis pulang untuk mengucapkan tahniah di atas kejayaannya langsung berkira-kira membawa Umaira makan di Nando’s.

Selepas memesan makanan, Umaira mendedahkan perancangannya untuk SPM. Kak Balqis tergelak kecil apabila mendengarnya.

“Wah, bolah pecah rekod ya.” Kak Balqis berkata dengan ketawa sinisnya yang masih bersisa.

Umaira kecil hati benar. Gelak Kak Balqis seolah-olah memperkecilkan impian dan perancangannya. Selalunya Kak Balqis yang paling kuat menyokong segala usahanya. Dahulu semasa Umaira rasa rendah diri lantaran mendapat keputusan percubaan yang kurang memuaskan, Kak Balqis banyak merafakkan semangatnya sedangkan hari ini sokongan Kak Balqis berubah sama sekali.

“Umaira jangan kecil hati. Kak Balqis bukannya hendak memperlekehkan keupayaan Umaira tetapi tanyalah pada jiwa, apakah benar Umaira mampu memikul beban subjek sebanyak itu? Jangan turutkan nafsu. Impian dan kenyataan biarpun sehaluan tetapi tetap dari hala yang berbeza. Kita boleh mempunyai impian tetapi kalau kenyataan itu menidakkan, mengapa mesti turutkan juga? Apa yang sebenar Umaira cari dan mahukan dalam hidup ini. Berapa banyak A yang kita dapat bukan kayu ukur sebenar kejayaan dalam hidup. Tanyalah benar-benar pada jiwa Umaira.”

Umaira terdiam lagi. Mata jernih Kak Balas yang penuh polos itu menjunam ke lubuk hatinya. Sudu dan garpunya bertingkah kuat. Kak Balqis masih senyum manis.

Dalam perjalanan ke rumah, Umaira masih diam. Hanya lagu-lagu puisi mengisi sepanjang perjalanan itu. Kak Balqis memang cenderung mendengar lagu-lagu puisi yang bersifat meneduhkan jiwa. Tiba-tiba sahaja Umaira terkesan dengan bait lagu Ebiet G Ade, Dengarlah Kata-kataku

Dengarkanlah dengan hatimu

Jangan engkau dengar

Dengan jiwa buta

Dengarkanlah kata-kataku

Jangan engkau melihat

Siapa aku.

Bait puisi itu seperti pantulan kata-kata Kak Balqis. Betulkah dia mampu mengalas subjek-subjek tersebut? Apakah niatnya tulus dan lurus? Belajar untuk memenuhi ilmu dan menjadi manusia yang sebenar manusia? Atau sekadar mahu mencari nama tetapi keupayaannya tidak seteguh itu.

Selama ini, Umaira hanya belajar untuk peperiksaan sahaja. Dia mengendahkan prioriti yang lain. Kalau dia lemah dalam sesuatu subjek, cepat-cepat mama mengupah guru tuisyen peribadi untuknya. Hidup Umaira memang diatur begitu. Sejak dahulu lagi.

“Umaira, jangan diturut mentari condong nanti terturut jalan tak terintis.” Itu kata-kata terakhir Kak Balqis sebelum dia turun dari kereta.

“Kak Balqis, terima kasih.” Umaira mengucapkannya tulus dari hati. Hatinya kini sudah bulat untuk memilih haluan hidupnya.

Pada hari terakhir pertukaran kelas, Umaira tidak ragu-ragu lagi. Dia ingin memberi peluang dan kebebasan untuk dirinya memilih tanpa terpengaruh dengan orang lain.

Saat dia meninggalkan pejabat sekolah pada rembang hari itu, Umaira tidak menoleh lagi. Walaupun sekali.

Fokus SPM, Mac 2009

Advertisements

2 thoughts on “Cerpen – Tanyalah Pada Jiwa : Fokus SPM Mac 2009”

  1. “Jangan diturut mentari condong, nanti terturut jalan terintis “.

    Apakah makna ‘terintis’? Saya payah mencarinya di kamus, namun mantuknya tidak dapat saya temukan. atau pun ada silap menaip?

    Saya harap kamu membalas soalan saya ini 😀
    terima kasih ya !

    Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s