Cerpen – Tiada Kota di Dasar Cawan – Berita Minggu 9 Mac 2014

Tiada Kota di Dasar Cawan

Oleh: Ainunl Muaiyanah Sulaiman

1979971_10152064423403515_1009361177_o

“Di kota ini, penduduknya tidak pernah melihat dasar cawan.”

Begitulah ungkapan yang selalu didengarkan kepada setiap pengunjung dan tetamu kota ini. Dipamerkan di pamplet pelancongan, papan iklan, ruangan surat khabar serta majalah juga di hadapan skrin terbesar berhadapan pancur air semulajadi, paling indah, paling sekata irama dan paling besar di kota itu bernama Pancur Air Agung. Kota yang mempunyai ribuan telaga juga puluhan kafe memperlihatkan kesenangan penduduk kota. Di jalanan, di tengah rumah, di dalam bangunan, di mana-mana sahaja, air sentiasa ada dan sentiasa percuma. Tidak pernah air didagangkan dan diniagakan semenjak kota itu dibuka oleh Mayor Pertamanya yang kini tugunya dibangunkan bersebelahan Pancur Air Agung.

Malah, entah bila pesanan ini diturunkan daripada satu keturunan ke satu keturunan kota ini, bahawa tidak pernah sekalipun dibenarkan, pelanggan, pengunjung serta penduduk kota menghabiskan air dalam cawan sehingga ternampak dasar cawan, jika tidak nasib buruk akan menimpa orang tersebut serta menjangkit ke seluruh penduduk kota. Di kota yang punya larangan khas serta rahsia yang bersarang dalam fikiran setiap penduduk kota ini, bertahun-tahun mereka patuh kepada pesanan khas itu.

Apa yang menghairankan sekalian pengunjung jua tetamu ke kota itu ialah air yang diminum terasa manis dan enak, meski tanpa ditambah apa-apa pewarna atau pemanis. Pada asalnya penduduk kota berasa hairan dengan soalan daripada pengunjung mengenai air di kota itu kerana mereka tidak merasa apa-apa keistimewaan tetapi selepas ramai mencuba air daripada sumber di luar kota, barulah mereka menyedari betapa istimewanya dan enaknya air di dalam kota mereka. Tidak dapat digambarkan rasa gembira penduduk kota itu sehingga membuat keraian selama tujuh hari tujuh malam lamanya. Selain airnya yang istimewa, kota itu juga berbangga dengan geografi dan landskapnya yang unik.

Dari ruang udara, beberapa puluh tahun lampau, sekumpulan juru gambar telah tanpa sengaja merakam gambar kota itu. Kota itu dirakamkan seolah-olah seperti sedang dipeluk oleh sepasang tangan air dan jalan keluar ke tanah besar adalah sepasang jalan berkelok seperti leher angsa. Selepas gambar itu dipamerkan, satu-satunya jalan keluar masuk yang menghubungkan kota itu dengan tanah besar, diberikan julukan Jalan Seleher Angsa.

Apatah lagi, Mayor Kota yang baru dilantik mengumumkan akan mengadakan Pesta Air Agung bagi meraikan keunikan dan keistimewaan kota yang terletak di hujung Jalan Seleher Angsa itu. Maka, berpestalah sekalian penduduk dan pengunjung selama berhari-hari lamanya. Beratus-ratus cawan bergelimpangan di sepanjang jalan, di sekeliling telaga, di setiap penjuru kafe di kota itu.

Beberapa minggu sesudah pesta itu, muncullah satu pemandangan yang jarang sekali terlihat di kota itu, apabila terlalu ramai penduduk kota mengunjungi klinik dan hospital sehingga tidak tertampung tangan doktor. Mayor Kota menjadi gempar dan dipanggilnya ahli bijak pandai sehingga ke penduduk kota bijaksana untuk membicarakan perihal tersebut. Mayor Kota segera menubuhkan skuad penyiasat untuk menyelidik apakah yang menyebabkan hampir seluruh penduduk kota diserang penyakit misteri itu.

Akhirnya, keluarlah kenyataan rasmi daripada Doktor Kota, menurutnya punca segala penyakit yang melanda penduduk kota ini kerana berpunca meminum air yang sudah tercemar. Mayor Kota segera mengarahkan seluruh skuadnya menyelidik dan mencari sumber air bersih di setiap telaga, perigi, kolam atau mana-mana sumber air yang tidak tercemar lagi. Malah, mereka juga turut menggali sumber air yang baru. Nyata semua sumber air telah tercemar termasuklah Pancur Air Agung sehingga bingunglah Mayor Kota dan segala Ahli Dewan Bijak Pandai.

Mayor Kota terus mengeluarkan larangan darurat menyekat penduduk kota menggali sebarang lubang untuk sumber air baru untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Malah, penduduk kota dinasihatkan untuk tidak meminum dan menggunakan sumber air tersebut. Pertama kali dalam sejarah, semua telaga, perigi dan sumber air dijauhi oleh sekalian penduduk. Jalan-jalan di hadapan kafe lengang dan sunyi daripada derap kaki pengunjung dan keriuhan perbualan-perbualan panjang penduduk serta pengunjungnya. Pengunjung dari luar atas tujuan liburan di kota itu untuk digalakkan pulang sahaja kerana dikhuatiri akan jatuh sakit.  Dari manakah air untuk mereka gunakan bagi menjalankan kegiatan harian?

Perbendaharaan Kota segera mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli sumber air dari luar bagi menampung keperluan penduduk. Untuk pertama kalinya, penggunaan air dicatu dengan rapi dan kafe-kafe menjadi wilayah yang paling sepi. Yang meriahnya Jalan Seleher Angsa, pemandangan luar biasa mula menghiasi landskapnya apabila perarakan kenderaan pembawa air masuk penuh muatan, balik kering tak bersisa tiada berputus arus.

Untuk minggu pertama, penduduk kota dapat bertahan, tetapi minggu kedua, keriuhan mula ternampak di mana-mana. Selain daripada sumber air yang terhad, soal ketirisan perbelanjaan Perbendaharaan Kota mula dipertimbangkan. Perbualan ini mula meriuh di kafe-kafe meski pun tanpa dentingan cawan berlawanan.

Penduduk kota mula merusuh dan kicau marah mula kedengaran dari lorong paling sempit kota ke jalanan lebar dan utama, wajah mereka penuh bingung dan kecewa. Siapa yang dapat bertahan dengan mencatu penggunaan air sedangkan bertahun-tahun hidup dengan sumber air yang manis dan menyegarkan tanpa had. Pembelian air dari luar kota tidak dapat menampung kemarahan dan kekecewaan penduduk kota. Bagi mereka, itu bukan penyelesaian mutlak. Mereka mahu kembali menikmati air sepuas-puasnya. Tanpa had. Tanpa kawalan.

Mayor Kota cekatan mengadakan persidangan dengan Ahli Dewan Bijak Pandai dan juga panel jemputan dari luar. Berminggu-minggu memperdebatkan usul, akhirnya mereka menemui solusi: rawatan air perlu digerakkan segera. Mayor Kota segera mengumumkan penubuhan Badan Perawat Air dengan kerjasama khidmat kepakaran luar. Namun, dalam ucapannya yang penuh getar itu, dia menyebut betapa kos pembinaan, rawatan dan penyelenggaraan dijangka mengikis Perbendaharaan Kota, sedangkan Perbendaharaan Kota telah susut wang kerana peruntukan wang membeli stok air dari kota luar, pelaksanaan sedikit terbejat. Penduduk kota yang tidak dapat menunggu lagi, bersetuju memotong sebahagian kecil daripada gaji mereka dan juga menyumbang tanda sokongan pembinaan Badan Perawat Air pertama di kota ini. Apa yang penduduk kota mahukan hanyalah air yang manis dan enak. Hanya air yang manis dan enak.

Bulan-bulan ke hadapan, penduduk kota didendangkan pembinaan Badan Perawat Air dalam di pamplet pelancongan, papan iklan, ruangan surat khabar serta majalah juga di hadapan skrin terbesar berhadapan Pancur Air Agung. Semua penduduk menyandarkan seluruh harapan dan masa depan kota ini pada Badan itu.

Harapan itu makin mencerah apabila pembinaan paip-paip air berekaan canggih mula menyusup di setiap bangunan, rumah, kafe serta rumah tumpangan di kota itu. Dalam acara perasmian Badan Perawat Air sebelum air boleh digunakan secara rasmi, Mayor Kota telah kehadapan  pentas sambil memegang segelas air jernih dan berkata,

“Inilah masa depan kota ini.” Dan sesudah itu meneguk gelas itu.

Ucapan itu disambut dengan teriak penuh meriah dan buat pertama kalinya, penduduk kota merasa sungguh merdeka menikmati air yang manis dan enak selepas beberapa lama dikekang dan dikongkong. Namun, kemeriahan itu tiba-tiba sahaja menjadi sepi, apabila pengumuman kedua sebelum Mayor Kota menutup kata dan kesepian itu berlarutan sehingga mereka berpulangan ke kediaman masing-masing.

Di hadapan paip air berekaan canggih itu, mereka menatap digit-digit digital yang menunggu peluang untuk bergerak dan menunjukkan kehebatannya. Digit-digit itulah yang disebut Mayor Kota sebagai kredit air, sesiapa yang ingin menggunakan air haruslah mengikut tatacara yang disarankan, beli kredit, masukkan digit kredit dan mula menggunakan air.

Kemarahan penduduk kota mula meledak, seperti bermula retak halus pada permukaan cawan yang kemudian apabila berulang kali disiram air panas, akhirnya ia memecah dan merebakkan kepanasan itu ke setiap denyut nadi kota. Mereka cuba berhemat tetapi air merupakan keperluan asas, sama ada keperluan peribadi, domestik atau perniagaan.

Penduduk kota yang merasakan kebebasan menggunakan air terenggut, mula memikirkan alternatif untuk menyelesaikan masalah itu. Mereka kembali menggali sumber air baru seperti tahun-tahun terdahulu dengan harapan tinggi. Tetapi air yang keluar warnanya coklat dan ternyata sumber air di kota ini sudah benar-benar tercemar dan harus dirawat. Kafe-kafe tetap melenggang sunyi. Tiada siapa yang sudi membayar air yang selama ini percuma. Penduduk juga lebih merunsingkan kesukaran menggunakan kredit air yang rumit dan menyekat kebebasan. Kebanggaan mereka sewaktu mengungkapkan, “Di kota ini, penduduknya tidak pernah melihat dasar cawan.” dirasakan semakin menjauh daripada percakapan sosial mereka. Perlahan-lahan, penduduk kota merasakan pentadbiran Mayor Kota dan Badan Perawat Air mahu merampas satu-satunya makna kebebasan kepada mereka, iaitu sumber air tanpa had, tanpa kawalan dan tentunya tanpa bayaran.

 

Gerakan mula menyusup dari pintu belakang ke pintu belakang. Kafe yang dahulunya cuba dihindari oleh penduduk kota mulai sesak dan penuh. Kepada yang berwang, mereka membiayai air minum. Penduduk harus menyusun strategi sendiri. Jika kepimpinan Mayor Kota tidak dapat bertindak mengatasi hal ini, mereka, sebagai penduduk kota harus memikir jalan solusi.

Khabar-khabar angin mula menyusup antara kelelahan penduduknya. Ada khabar angin mengatakan idea menggunakan kredit air itu idea Mayor Kota kerana kos rawatan air saban hari semakin meninggi. Menurut penasihat Badan Perawat Air, bahan untuk menjernihkan air harus dibeli dan diimport daripada sumber luar kota sahaja. Dan pentadbiran hanya bersetuju dengan penasihat itu atas alasan tiada kepakaran menangani situasi itu. Penduduk kota boleh memaafkan kesilapan dalam perundingan kontrak pembelian air yang berakhir mengosongkan kantung Perbendaharaan Kota. Tetapi mengapa di bahu mereka juga yang harus menanggung beban rawatan air juga?

Khabar angin itu juga berlarutan sehingga ada yang membangkitkan satu hal, mungkinkah ada sesiapa yang melanggar larangan dan pesanan khas itu? Sehingga demikian dahsyat nasib buruk mereka. Penduduk kota meneka lagi mungkinkah semuanya berpunca daripada Pesta Air Agung itu yang dianjurkan oleh pentadbiran Mayor Kota kerana beratus-ratus cawan bergelimpangan dan mungkin antara mereka menghabiskan minuman sehingga melihat dasar cawan?

Apabila mereka menyedari hal tersebut, pecahlah kemarahan yang ditahan dalam bulat hati mereka. Penduduk mula sepakat mengangkat sepanduk memprotes Mayor Kota dan seluruh jatahnya. Mereka mahu pentadbiran Mayor Kota diambil alih oleh pentadbiran lain yang boleh menyelesaikan isu air ini. Pada Hari Kebangkitan Air Kota, demi perjuangan mengembalikan ungkapan, “Di kota ini, penduduknya tidak pernah melihat dasar cawan.” Rusuhan jalanan selama berhari-hari mula menghampiri pintu pejabat Mayor Kota. Dalam masa sehari sahaja, pemerintahan Mayor Kota yang sepatutnya diganti melalui Majlis Pemilih Berhemat, jatuh begitu sahaja.

Seminggu lamanya selepas kejadian, penduduk kota dan pasukan pemberontak berpesta air. Kafe yang meriah dengan kumpulan pemberontak sentiasa penuh tanpa mengenal erti surut. Semua air disalurkan kembali secara percuma. Pasukan pemberontak mula membentuk kepimpinan baru untuk membanteras masalah tersebut. Selepas sebulan, pasukan pemberontak menyepikan diri dalam pejabat Mayor Kota, penduduk kota menjalankan kehidupan seperti biasa, yang jauh aman di dalam hati mereka. Namun edaran akhbar pada pagi itu yang lebih banyak daripada kebiasaan itu benar-benar membuat keseluruhan penduduk kota melopong semasa menatap isi berita dalam akhbar itu:

“Penduduk Kota tidak perlu menggunakan kredit untuk membeli air seperti pentadbiran Mayor Kota sebelum ini. Sebaliknya. nikmatilah air sebanyaknya, kemudian, bil akan dihantar pada setiap hujung bulan.”  Dan di atas judul utama akhbar itu:

“PIMPINAN BARU TELAH MENEMUI PENYELESAIAN ALTERNATIF TERBAIK MASALAH AIR KOTA INI.”

 

 

Advertisements

2 thoughts on “Cerpen – Tiada Kota di Dasar Cawan – Berita Minggu 9 Mac 2014”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s