Cerpen Mabuk Buku – Mutiara Minda Mei-Julai 2010

MABUK BUKU

AINUNL MUAIYANAH SULAIMAN

Langit kelabu.

Hati kau penuh sebu

Tayar motor kau pancit di bawah langit yang sarat awan hitam. Kau cuba mengusung motor kau dengan harapan kau sempat sampai ke rumah sebelum hujan mengucapkan selamat tinggal kepada awan. Namun rebas mula menyapu wajah kau membuatkan niat kau menjadi terkubur.

Pada petang temaran diiringi nyanyian hujan, kau terlihat bangunan papan separa batu dihadapan kau. Kau cekatan mengusung motor dan berteduh di bawah bumbung bangunan yang tertulis di hadapannya Perpustakaan Desa.

Kau mahu menyeranah hujan dan motor yang tidak mahu bekerjasama tetapi tiba-tiba pancaindera kau menangkap bau yang memabukkan. Bau buku!

Kau pantas masuk ke dalam perpustakaan desa yang pernah menjadi tempat bermain-main semasa kecil. Bertahun-tahun kau tinggalkan desa untuk mengejar ilmu sehingga kau tidak punya waktu mengunjungi tempat pertama yang mencambahkan cinta kau pada buku dan ilmu.

Kau senyum pada Cik Pustakawati. Cik Pustakawati itu membalas senyum kau dengan manis bergula. Matanya seolah mempersilakan kau hadir meratah seluruh sudut dan pojok perpustakaan ini.

Kau kelintar tiap rak. Kau sentuh hujung buku-buku yang ada dengan jemari tangan kau. Ah, ini impian kau. Memiliki kutub khanah seluas perpustakaan ini untuk menempatkan setiap koleksi buku yang kau beli dan miliki. Bilik kecil kau sudah tidak serupa tempat tidur kerana di setiap sudut ada buku. Mak kau pernah berleter, baik tukarkan sahaja bilik kau jadi perpustakaan desa.

Bau buku berpual-pual menarikan tarian gipsi yang mengasikkan fikiran kau. Kau ambil buku-buku itu sudah kau ulang baca dirumah sampai lunyai.

Perpustakaan desa ini masih menampilkan koleksi buku lama dan tiada yang terbaru. Kau masih ingat lagi untuk menunggu buku baru tiba di perpustakaan ini mengambil masa yang lama juga sehingga kau jadi geram melihat buku-buku tersebut dipamerkan di kedai buku di pekan. Kau tidak boleh sewenang-wenangnya membaca kerana awal-awal lagi di muka pintu kedai sudah tertulis ‘DILARANG MEMBACA DI KEDAI INI’.

Kau selalu makan hati dengan perpustakaan ini yang tidak faham kau anak miskin tidak punya banyak wang untuk memiliki banyak bahan bacaan yang baru selain memilih untuk meminjam di perpustakaan ini sedangkan bahan bacaan yang baru jarang sekali datang memenuhi rak disini.

Kau masuk ke bahagian buku sastera. Ini bahagian yang paling kau gemari. Kau tilik satu-satu judul buku yang ada. Kau berbisik dalam hati dengan megah bahawa semua judul buku dalam rak itu telah kau miliki.

Kau beralih rak tetapi masih di bawah kod yang sama. Tiba-tiba mata kau menangkap sesuatu. Kau dipagut pesona. Dada kau seakan sesak.

Buku nadir dan langka itu!

Buku itu sedang elok ada ditangan kau. Buku ini telah kau cari bertahun-tahun setelah kau baca resensinya dalam sebuah blog.  Buku tersebut telah menjadikan kau kelintar Pasar Chowrasta berkali-kali untuk mencarinya. Buku itu membuatkan kau menjadi mabuk untuk memilikinya.

Buku itu tiada di kedai buku semasa kerana tidak lagi diterbitkan. Kau cuba melambung untung nasib mencarinya di kedai-kedai terpakai kalau-kalau terjumpa buku itu. Kau telah dipagut pesona dengan tajuk buku tersebut dan sinopsisnya.  Kau buka buku itu dengan berhati-hati. Ah bau buku lama yang berwarna kecoklatan telah membuatkan kau mabuk buku. Tulisannya sedikit kabur masih tidak menghalang kau membaca buku tersebut. Walaupun ada bahagian yang dimakan anai-anai dan bubuk masih tidak menghalang pesona kau menelan setiap huruf yang dicetak.

Kau tidak sangka, buku yang kau cari ini tersesat di perpustakaan desa ini.

Kau lihat rekod peminjaman. Aneh! Tiada siapa pun yang pernah meminjamnya. Buku kusam itu seperti tiada orang mahu mengambil tahu. Entah-entah kalau kau bertanya pada Cik Pustakawati itu pun belum tentu dia boleh menjawab lokasi buku itu dengan baik atau menambahkan haru mungkin dia tidak tahu pun kewujudan buku tersebut.

Buku itu terdapat sedikit conteng. Nyata, buku itu hasil wakaf seseorang yang tidak kau kenal namanya. Coret-coret dalam buku itu sepertinya cerita yang merakam hikayat hidup pemiliknya.

Bukan buku itu sahaja yang kau lihat, buku yang dalam kau tulis dalam senarai wajib cari-nadir-langka pun ada. Kau sudah naik zouk. Kau bagaikan mahu memiliki kesemua buku ada dirak itu.

Ada suara halus membisikkan kemahuan itu di telinga kau. Kau sudah mendapat idea paling cemerlang. Mabuk pada buku membuatkan kau dirasuk syaitan barangkali. Kau genggam erat buku itu dan kau pergi ke kaunter pinjaman.

“Cik, saya mahu pinjam buku ini.”

Cik Pustakawati itu masih senyum dan terus mengulurkan borang keahlian perpustakaan desa. Barangkali dia sedar muka kau tidak pernah terpacul di perpustakaan ini

Kau cekatan isi borang tersebut dan menghulurkan wang pendaftaran.

“Masa untuk pemprosesan keahlian akan memakan masa seminggu.”

Seminggu? Seminggu kau akan mabuk buku. Kau membeliak mata dan wajah kau sudah direnjis cemberut marah.

Tiba-tiba kau mahu menyeranah kerenah birokrasi. Apa mahu pinjam buku pun susah begini? Patutlah kadar rakyat Malaysia yang membaca buku 2 helai setahun sahaja. Kau membentak marah dalam hati sahaja.

“Tidak bolehkah hari ini juga? Tak kan Cik tak boleh bertoleransi? Saya jarang ada masa untuk datang ke sini.”

Kau mula melontarkan suara lunak. Kau berharap wajah kacak kau dapat melunturkan hati wanitanya. Lebih baik kau menggunakan cara diplomasi dari peperangan.

Cik Pustakawati itu tersenyum lagi. Dalam hati kau berkata marah, “Aku bukan mahu pinjam senyum kau, aku mahu pinjam buku ini lah.”

Saat-saat berlalu. Cik Pustakawati itu bersuara.

“Baiklah, saya proseskan hari ini juga.”

Ya, kau menang di situ. Siapa dapat menolak wajah kacak dan  gaya diplomatik kau itu? Kalau ada, mesti kau sangka dia buta dan pekak barangkali.

Langit sudah hilang mendungnya seperti hati kau yang bersinar-sinar. Kau usung motor itu dengan hati yang berbunga. Indah. Motor yang rosak tidak kau seranah lagi

Pulang sahaja kau senyum-senyum dan langsung ke bilik. Mak kau sudah syak kau dirasuk hantu senja ataupun perawan cinta. Dia sekadar mengeleng-geleng kepala.

Kau bergulir-gulir diatas katil. Kau buka buku itu perlahan-lahan dan kau cekatan capai pembalut buku. Kau balut berhati-hati sehingga buku itu nampak baharu. Kau puas. Sepanjang malam itu, kau ditemani buku tersebut dan dalam beberapa jam sahaja kau usai membacanya.

Seminggu berlalu, kau datang ke perpustakaan dan berjumpa dengan cik pustakawati itu.

Kau buat wajah paling rawan seolah kau sedang berkabung atas kematian apa-apa. Kau telah praktikkan wajah kau tanpa senyum semalam di depan cermin. Malah sempat kau lakonkan bait-bait kata yang kau akan katakan padanya. Kau ingatkan diri, jangan tersenyum walaupun Cik Pustakawati itu manis rupawan.

“Cik, saya terhilangkan buku yang saya pinjam minggu lepas. Puas saya cari tetapi tak jumpa. Saya benar-benar rasa kesal. Saya hendak bayar ganti rugi ini.”

Cik Pustakawati itu tenung kau sesaat kemudian mengambil borang ganti rugi. Dia mengambil rekod pinjaman kau dan mengatakan harga ganti rugi. Kau masih dengan wajah sedih dan menghulurkan wang ganti rugi. Sesudah meminta maa, kau cepat-cepat beredar untuk menunjukkan kau rasa bersalah amat.

Beratus-ratus meter dari perpustakaan itu, kau menjerit keriangan.  Kau menggunakan teknik enteng untuk memiliki buku tersebut. Cik Pustakawati itu memang mudah ditipu dan kau menepuk-nepuk beg yang menyimpan buku kesayanganmu itu.

Kau laksanakan perbuatan yang kau sifatkan nakal itu berkali-kali sehingga cukup buku-buku nadir-langka yang lama kau idamkan. Kau selalu berdiri di depan rak itu dan tersenyum bangga.

Cik Pustakawati itu seolah tidak pernah syak apa-apa. Paling-paling pun memberi nasihat separa manja

“Lain kali jangan buat lagi tau.”

Itu sahaja kemudian dia berterusan menekur bisu dan senyum.

Suatu petang, abah memanggil kau. Katanya dia mahu kau memasuki pertandingan sudut perpustakaan di rumah. Anak saudara kau dari keluarga abah yang mencadangkan supaya masuk pertandingan itu. Lagipun buku kau di rumah ini banyak sekali.

Kau sebenarnya separuh mahu. Kau mengumpul buku bukan untuk pertandingan tetapi mengumpul ilmu. Namun, kau tidak bersedia untuk menghampakan hati abah. Selama menjadi anak, kau tidak pernah belajar mengatakan tidak.

Sedang hati kau berbolak-balik, tiba-tiba kau terdengar suara gemersik memberi salam. Darah mula menyerbu muka kau bila kau melihat Cik Pustakawati merangkap anak saudara abah kau tersenyum di kaki tangga minta dijemput naik.

Untuk pertama kalinya kau terasa senyum Cik Pustakawati sarat senyum menyindir

Cik Pustakawati yang baru diketahui namanya Rosmah itu meminta kebenaran dari abah untuk ke ruang khutub khanahnya. Abah beria menunjukkab jalan ke arah bilik kau. Kemudian abah meninggalkan kau bersama Cik Pustakawati yang manis senyum itu.

Kau cuba berlagak biasa. Kau tunjuk buku-buku kau sambil melindung-lindung khazanah maha penting di belakang tubuh kau yang kurus itu. Kau berharap petang ini mata Cik Pustakawati itu rabun ditikam cahaya temaram.

Cik Pustakawati memberi nasihat sedikit sebanyak dan tips untuk memenangi pertandingan itu. Kau menjadi tuli dengan keresahan. Kau mendengar mulut Cik Pustakawati berkumat-kamit tetapi butir katanya tidak meluncur masuk ke dalam telinga kau.

Kemudian Cik Pustakawati meminta diri untuk pulang. Kau cuba menyitir rasa lega.

Sesaat Cik rosmah menukar senyumnya. Kau terasa aneh. Kau dapat rasa senyuman itu penuh unsur sinikal dan maknanya ambiguiti untuk kau.

Cik Pustakawati melangkah setapak.

Kau berundur bertapak-tapak.

Tiba-tiba kaki kau tidak mahu bekerjasama dan bertingkah sesama sendiri menyebabkan kau tersandung ke belakang menghentam almari dengan momentum yang kuat. Buku-buku nadir-langka yang kau sembunyikan jatuh menghempap kepala kau satu persatu.

Cik Pustakawati tersenyum puas bagaikan memenangi peperangan. Dia terus mengambil kesemua buku-buku itu tanpa menghirau sama ada kau cedera atau tidak. Kau sudah siap sedia mahu menerkam tetapi tiba-tiba suara abah halus menyapa.

“Eh, kenapa balik bawa buku pula?”

Kau terasa langit ketujuh menghempap kau. Kau kepal sahaja rasa geram kau dalam hati. Kau mencerlung muka Cik Pustakawati dengan mata yang sengaja disepetkan, tanda marah.

“Oh, Abang Ann minta saya tolong pulangkan buku yang dipinjam di perpustakaan kelmarin.”

Senyum.

Abah mengangguk. Setelah Abah mengirimkan salam kepada ibunya, Cik Pustakawati meminta diri. Kau jadi kaku. Nyata saat itu wajah tampan dan suara kau yang diplomasi belum tentu dapat melunakkan hati Cik Pustakawati hatta senyumannya.

Kau iringi Cik Pustakawati berlenggang petang itu membawa kekasih-kekasih hati kau. Hati kau disagat-sagat rasa sakit. Kau berharap Cik Pustakwati akan berpaling dan memulangkan buku-buku tersebut dan tiba-tiba bertoleransi dan bersikap lunak dengan kau.

Sesaat kau berkata begitu dalam hati, Cik Rosmah berpaling. Hati kau berbunga, doa kau seolah dikabulkan.

Cik Rosmah melayangkan senyum manisnya dan mengoyangkan jari telunjuknya kemudian meneruskan lenggangnya.

Petang itu hati kau penuh sebu dan kau terasa langit tiba-tiba menjadi kelabu.

Advertisements

21 thoughts on “Cerpen Mabuk Buku – Mutiara Minda Mei-Julai 2010”

  1. berkarya lagi.
    sy sgt suka (err mungkin sy terlebih suka)
    sy doakan akak terus sukses dan sy akan jd pengikut dr belakang
    Menyokong dari jauh (kwn sy ckp kalau ikhlas xyah ckp , tp sy nak ckp jugak.ikhlas.Tuhan tahu) wlupun sy hanya jd watak yg kurang penting di cni.hehe
    Sy blogwalking kak.jenguk belog akak.hehe 🙂
    Akak nampak x sy sdg angkat ibu jari bg double thumbs up ?

    Like

    1. Bun: semua pengunjung blog saya adalah watak-watak penting dan insyaAllah akan selalu saya ingat kalau berjumpa. Sebutkan sahaja nama kamu, kalau terserempak dengan saya dimana-mana.
      Ha, part angkat jari itu, tak nampak tapi sebab saya rasa awak ikhlas, maka saya nampak 😛
      Terima kasih kerana sudi membaca tulisan saya. Terharu sangat (aish, mana tisu ni 🙂 )

      Like

  2. Salam perkenalan. Baru sahaja selesai kesemua cerpen akak. Seronok dan cukup asyik membaca selama hampir satu jam (wah, cukup lama untuk menghabiskan pembacaan 7 buah cerpen sekaligus!) Sekejap lagi kamus dewan bahasa bakal dicari untuk mengetahui maksud ‘cekatan’ yang akak banyak kali gunakan sepanjang pengkaryaan.

    Moga-moga akak dapat terus berkarya. Semoga bertemu kembali! 😉

    Like

    1. Faiz : Huyo! awak ini buat saya jadi kagum dengan ketabahan awak membaca ketujuh-tujuh cerpen saya. Secara berturut-turut pula itu :). Boleh buat saya senyum sepanjang malam ni 🙂 Apa-apa pun terima kasih juga yang mampu saya berikan. Berharap akan terhibur dengan karya-karya yang lain juga 🙂
      p/s : dapat jumpa makna cekatan tak ? 🙂

      Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s