Puisi – 5 Jam Mengenang Perjalanan Ke Utara – Pentas, April-Jun 2013

5 Jam Mengenang Perjalanan Ke Utara

 

Pagi ini aku membelah jantung semenanjung, di sini

di tengah-tengah jalanan, aku terkenang perbualan

dan peringatan kecil kau, tadi malam selepas hujan.

 
Kau lebih mencintai perjalanan ke utara,

perhentiannya banyak, jalannya beralun

sedang perjalanan ke selatan penuh

hal-hal yang membosankan kepada kau,

yang juga punya terlalu banyak perhentian

di fikiranmu, kau mencintai setiap satunya

yang ingin kau kunjungi tanpa lelah

dan bersikap enggan mahu berhenti

dan kau bercita-cita membawa aku

ke setiap perhentian tanpa mengerti

kelelahan menyesak dalam fikiranku ini.

 
Aku berhenti di awal perjalanan membelah

jantung semenanjung menuju ke fikiranmu

Kopi kuminum di perhentian, mungkin kau sukai,

rasanya tidak sama, mungkin tiada kau membaurnya

sungguh telah kuletakkan sukatan rasmi,

tiga paket krimer dan tiga paket gula,

sukatan yang kau ingat benar

tetapi kadangkala kau terlupa

kerana kau tidak pasti apakah

tiga paket krimer dan tiga paket gula

mengadun enak kopi di lidahku,

sedang selera kau juga jauh berbeza

kau gemar memahitkan kopimu

dan kau juga selalu mahu kopiku begitu.
 

Aku singgah di setiap perhentian yang kau cintai, menikmati nasi goreng enak

sekurangnya kepada tekak kau yang sering sahaja cerewet dan buah jambu air,

hanya satu buah yang kau boleh nikmati di antara buah yang terjual di situ

kerana kau membenci negara ini serta seluruh isi di dalamnya, mungkin juga aku

sambil mengenang apakah kau boleh mencintai satu-satu sahaja hal di dunia

sedang perjalanan ke fikiranmu sungguh panjang, sungguh banyak perhentian yang kau sukai

yang selalu mahu kau kunjungi, sendirian dan membina kenangan tanpa ada aku di dalamnya.

 
Melintas bukit batu kapur yang putih

seperti warna langit di bandar kecil ini,

aku terfikir, mungkin kau di dalam sana

gigih membina guamu sendiri

kau menjadikan aku meja dan kerusi

serta fikiranku dakwat hitam buat kau menulis

Gua mengurung diri sendiri dan menentang hingar

dunia luar yang sering menyoal hal-hal aneh:

mengapa aku dijadikan meja dan kerusi untukmu

atau mengapa kau menjadi gua untukku.

 
Soalan mereka mahu menggugah, selalu mempedulikan

hal-hal yang sama sekali tidak aku pedulikan.

kerana aku lebih mengetahui sangat nyata

tentang apa yang aku mahukan dan endahkan, namun

apakah kau selamanya juga setia menjadi gua untukku?
 

Jalanan ini menelan suara radio, berasak-asak mengakui

frekuensi di radio kereta, cuba memenangi ruang telingaku

seperti kata-kata yang saling melawan mencari kebenaran

dan melukakan hati masing-masing, tadi malam

apakah kita telah menjadi siaran radio yang merebut ruang ke udara?

 
Di pertengahan perjalanan sepanjang lima jam ini

membelah jantung semenanjung menuju ke fikiranmu

terowong panjang menyembunyi keretaku sebentar,

aku khuatir terowong ini berterusan menelanku,

tetapi kau selalu memberi pesan yang menenangkan

di setiap penghujung terowong, punya cahaya

tetapi terowong telah menusuk tanpa rela

kaki bukit yang entah antara benar dan tidak

membenarkan manusia seperti aku melaluinya?

 
Terowong ini makin memanjang dan menjauh

cahaya lampu satu persatu melintas keretaku

apakah cahaya lampu ini cahaya kau sebutkan?

Dan kau mahu aku terus sembunyi di dalamnya

kerana kau tidak mahu berubah menjadi terowong

yang memendekkan waktu perjalananku?

 
Langit di jalanan ini mendedahkan seluruh fikirannya

aku juga ingin melihat kau dan seluruh fikiranmu

tetapi nyata, kau senang jadi langit yang penuh awan

dan membiarkan aku menebak arakan tak menentu

akhirnya aku tidak bersedia jalanan menjadi basah

dengan awan hujan yang penuh resah dan marah

membuat mataku semakin mengabur membaca

setiap papan tanda di jalan yang kau cintai ini.

 
Sepanjang lima jam mengenang perjalanan ke utara, di sini

di tengah-tengah jalanan, aku terkenang perbualan

dan peringatan kecil kau, tadi malam selepas hujan

 

Ainunl Muaiyanah Sulaiman

Kuala Lumpur-Pulau Pinang-Kuala Lumpur

13-15 Julai 2012

One thought on “Puisi – 5 Jam Mengenang Perjalanan Ke Utara – Pentas, April-Jun 2013”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s