Puisi – Sejumlah Percakapan di Tebing Sungai Sarawak – Mingguan Malaysia 6 Oktober 2013

Sejumlah Percakapan Di Tebing Sungai Sarawak

I

Tebing Waterfront berdendang irama Juwita Malam

mempesonakan telinga asing, memandang tali lampu

berganti warna dari satu tiang ke tiang lain

dan api membunga di langit bulan biru.


Sungai Sarawak airnya keruh tetapi menangkap

bayangan setiap bangunan membangun di sisinya.

Di dasarnya, pernah kau lemaskan ribuan puisi

tak bernama yang tak sempat singgah kepadaku.


Sampan beroleng memujuk aku menyeberang

tapi aku khuatir jika puisimu punya kaki dan tangan,

apakah mereka akan menarikku, meminta aku

menamakan mereka supaya bersemadi tenang

kerana sepanjang berhidup, berteriak memohon

mereka tidak dibezakan walaupun satu huruf?


II

Kau selalu percaya, hati kita tak berbeza warna,

merah nyala, meski di dalam tubuh berlainan

tetapi seperti ini, di meja restoran seberang sungai,

kita menikmati mi sama dengan resipi sup berbeza

kau menyenangi mi sapi, aku menyukai mi kolok,

mi membezakan kita dengan jenis supnya,

di hujung hidangan makan malam ini aku percaya

rasa asing dan beza tidak dapat dimerdekakan

oleh sesiapa meski kau kecuali untuk belajar menghormatinya.


III

Dalam hening kocakan air, kita menyeberang

dalam perahu, kau resah menunjukkan bagaimana

sungai Sarawak melebar setiap tahun menjarakkan

antara tebing beberapa meter ke puluhan meter,

benteng cuba memeluk ranah, akhirnya beralah

kepada kesepakatan air melebarkan jalannya.


Sungguh, sukar untuk aku mengatakan keresahan itu

penuh kesia-siaan, dan begitu ingin mengasuhnya untuk

menjadi berani dan berlapang dada meraikan kelebihan

perbezaan dan keasingan namun aku memilih diam

dan membiarkan percakapanku melenyap ke dalam sungai

menemani puisi tak bernama milik kau, daripada kesunyian.

 

Ainunl Muaiyanah Sulaiman

Kuching-Wangsa Maju

Mingguan Malaysa, 6 Oktober 2013

1 thought on “Puisi – Sejumlah Percakapan di Tebing Sungai Sarawak – Mingguan Malaysia 6 Oktober 2013”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s