Sorotan Pembaca: Hari yang Ditakdirkan untuk Bertukar Sepasang Mata – Adinata Gus


Adinata Gus telah menyorot kumpulan puisi saya, Perempuan Bulan Perempuan Hujan dengan menyandingkan bersama Zurinah Hassan, .

Saya kongsikan petikan eseinya.

Sesuatu kejadian pasti akan mengulangi keajaibannya lagi pada suatu masa akan datang. Begitulah yang saya yakini hari demi hari ( menunggu kelahiran semula Sylvia ?). Tetapi kita selalu tak punya hayat yang abadi. Maka untuk memastikan kitaran keajaiban itu terus berlaku, harus ada seseorang yang menyedarinya dan tidak terlalu beralasan untuk menyandang tugas tersebut. Di sinilah tangan Ainunl Muaiyanah dengan beraninya menerima baton larian daripada Zurinah Hassan untuk mencipta keajaiban lagi.

Kita tidak pasti apakah Ainunl seorang pelari kedua, ketiga atau yang terkahir akan menyempurnakan acara larian di trek sastera ini. Merujuk kepada judul Perempuan Bulan Perempuan Hujan yang saya baca baru-baru ini, sebagai penonton di tempat duduk stadium, saya tidak kekok untuk bersorak kepadanya dan melambai-lambai dari kejauhan sebagai tanda sokongan.

Ainunl Muaiyanah Sulaiman
Perempuan Bulan Perempuan Hujan
ITBM Cetakan Pertama 2015

Setelah kita pinjam bebola mata seorang Zurinah Hassan, sudah tentu rasa bosan atau ingin bertukar selera datang sedikit demi sedikit. Kita tidak mahu perspektif dunia ini tersudut kepada satu cara pandang sahaja. Sepatutnya memang harus bertukar-tukar pun. Maka saya cabut kedua-dua bola mata Zurinah Hassan dan meletakkannya di atas rak semula dengan cermat dan hormat. Sekarang, buat seketika saya tercari-cari bebola mata wanita yang sesuai untuk dipakai ketika malam dan siang, seperjalanan saya meninggalkan mata sendiri sehinggalah saya bertemu dengan bebola mata Ainunl Muaiyanah di acara Kota Kata 2016.

Hasilnya? Aduh enak sekali ! Cuba bayangkan begini, jika anda sedang menunggu giliran untuk mandi, dengan mata yang mengantuk dan penat tubuh yang tersisa, adakah sempat untuk mengarang puisi-puisi romantis dan menyenangkan? situasi yang lain pula, jika anda ingin membela seekor haiwan peliharaan adakah anda akan memilih seekor singa? Untuk seorang Ainunl Muaiyanah mungkin ya.

Cuba perhatikan petikan sajak di bawah :

Penunggu Kamar Mandi
 
Aku menunggu giliran masuk ke dalam kamar mandi
meski tiada nombor untuk kupilih
kerana kamar mandi sekecil itu
telah ditempah sepanjang tahun
untuk penghuninya bermandian dan
membiarkan orang luar mendengar nyanyiannya.
 
Peristiwa di Halaman Rumah
 
Terkemudian hari, setiap pagi tanpa sabar
aku sering bingkas bangkit keluar berharap

seekor singa tertidur di halaman rumahku.

Di dalam sesebuah sajak, bukanlah sesuatu yang ditulis si penyajak itu bersifat langsung terus sampai ke akal fikiran. Kedua-dua sajak di atas boleh jadi menjiwai perkara lain bukanlah tentang kamar mandi semata-mata, tetapi ah! siapa yang punya banyak masa untuk memetaforakan sebuah bilik mandi jika bukan Ainunl!.Jadi, setelah sejauh ini saya mencuba, melihat dan memulangkan semula sepasang mata Zurinah Hassan dan Ainunl Muaiyanah, sebagai seorang-lelaki muda-baru bermula, saya beranggapan sekaligus rasa tercabar, akan keupayaan wanita-wanita masa kini. Perlu diingatkan juga, dunia sastera bukanlah padang bola semata-mata yang menunggu gawanggender untuk dibolosi, sebaliknya sebagai pemain sastera di atas padang tersebut, sudahkah kita mempersiapkan diri dengan latihan yang cukup daripada segi keupayaan berfikir, berstrategi, daya kreatif dan kritis. Semangat juang adalah perkara utama sebenar-benarnya.

Semoga Zurinah Hassan dan Ainunl Muaiyanah terus bersedia mencantikkan kedua-dua bola mata masing-masing lalu sudi meminjamkannya kepada semua orang yang memerlukan. Wanita yang saya yakini adalah adalah wanita yang berterusan bekerja untuk dirinya dan orang lain.

Esei penuhnya boleh dibaca di blog asal: adinatagus.blogspot.com