Memo Untuk A VIII


Mengapa harus sembunyi dari kenyataan

Jangan fikir aku mahu memberikan lagu ini dalam konteks yang selalu kita lalui. Lagu Ebiet yang pertama buat aku jatuh cinta, tetapi kali ini aku tidak mahu mengambil keseluruhan roh lagu ini. Aku hanya mahu mengambil sebaris daripada seluruh kata-kata indah daripada lagu ini.

Mengapa harus sembunyi dari kenyataan

Kita sudah terlalu dekat, tetapi anehnya kau masih berterusan memberi alasan, memberi penafian, mengelak berdepan dengan kenyataan. Bertahun-tahun sudah aku dengar. Aku juga akhirnya pintar membaca bahasa diam. Tetapi kadangkala aku tertanya, sudah saat ini, sejauh mana kau mahu berlari dan bersembunyi dari kenyataan?

Aku tahu kau sedang membaca memo ini dan masih mahu bersembunyi?

Sila bersikap jujur dan terbuka.

Memo Untuk A V


Kau tahu, ada puluhan lagu yang aku tidak boleh dengar kembali kerana dalam setiap lagu itu telah aku simpan perasaan tersendiri apabila aku mendengarnya.

Dan apabila aku mendengarnya, perasaan itu akan kembali mengakar dalam diriku. Aku tiba-tiba sahaja menjelma menjadi pohon yang merindukan kehadiran hujan di musim kemarau.

Apabila aku melihat kembali lagu-lagu kegemaranku yang boleh aku dengar, terlalu sedikit sekali sehingga hampir tiada. Begitukah erat aku mengikat perasaan? Lalu bagaimana aku boleh semudah itu mengambil kata orang agar belajar melupakan?

Seikat Kembang Merah – review


Mendengar Imaen menyatakan judul bakal buku barunya di Pesta Buku PWTC, hati saya sudah berdetak. Ah, apakah judul lagu Ebiet G. Ade? Elegi Esok Pagi?

Berbulan menanti, nah muncullah cover buku dan blurp-nya. Masa itu saya sudah syak wasangka, wah ini pengaruh lagu Camelia 3. Dan imagi covernya jatuh meleset daripada apa yang saya bayangkan. Saya bayangkan covernya akan jadi begini.


Rupanya begini.


Dengarnya cover ini merupakan Lukisan gaya Monet ‘dikahwinkan’ dengan van Gogh ini cuba diterapkan oleh Saudara Oly dalam lukisan asalnya, dan sampul kulit cerita ini sentuhan Abang Grafik JS – Saudara Helmino.(merujuk surat cinta daripada Jemari Seni)

Seikat Kembang Merah menyerlahkan kematangan Imaen dalam berkarya. Walaupun secara peribadi saya masih meletakkan Vandetta di tempat pertama, karya Imaen yang saya suka, Seikat Kembang Merah menjatuhkan Bohemian dan Singaraning, meletakkan Labyrinth ditempat ketiga. Jikalau dalam Singaraning, pembaca harus membaca membaca ‘bebelan atau ‘syarahan’ Imaen dalam karyanya. Namun di dalam Seikat Kembang Merah, Imaen berjaya menyeimbangkan penceritaannya dan kita tidak mendapati Seikat Kembang Merah tidak bersyarah kepada kita berbanding dengan Singaraning sebaliknya bercerita dengan nada tersendiri. Namun Singaraning itu sarat ilmu ekonomi.

Berbalik kepada Seikat Kembang Merah. sengaja tidak saya singkatkan menjadi SKM kerana saya suka sekali tajuknya. Sebab dalam penghasilan puisi, saya suka sekali meletakkan kembang merah berbanding penggunaan nama mawar merah. Kembang merah kedengaran unik, rahsia, tersendiri dalam kelasnya.

Ops. ops. Baru judul dan cover, saya sudah komentar hampir satu muka setengah (kalau ikut ukuran A4 la). Kembali kepada komentar novel. Seikat Kembang Merah membawa kita menyusuri watak Gary yang tiba-tiba jatuh cinta pandang pertama pada Nur Tahani, cik farmasi semasa mahu membeli ubat. Nur Tahani yang disebutnya sebagai bidadari benar-benar membuatkan dia mahu menjadi lelaki yang disukai oleh Nur Tahani walaupun terpaksa berlakon. Pada masa yang sama Gary dicintai separuh mati oleh Nina (mungkin inilah yang ditunjukkan dalam cover buku ini, Nina mengejar Gary dengan seikat kembang merah, hehe) yang sudi berbuat apa sahaja.

Ini kisah cinta yang biasa, A suka pada B, B suka pada C, Namun apa yang membezakan dengan novel-novel yang lain, gaya penceritaan Imaen. itulah kekuatan Imaen. Sungguhpun dikatakan Imaen menulis dengan nada berbeza, namun saya rasakan hanya di bahagian akhir dan bukan dibahagian pemulaan dan pertengahan. Ini kisah cinta yang realistik. Biarpun Gary menyukai Nur Tahani dan gila bayang, penceritaan Imaen bukannya membuai rasa tetapi seakan-akan penegasan dan mirip dengan realiti bagaimana kita jatuh cinta.

Agaknya kalau sudah jatuh cinta, kita sudi berbuat apa sahaja yang menyenangkan orang yang dicintai itu. Berbuat apa sahaja bukan berenang lautan api atau terjun lombong tetapi membuatkan dia juga jatuh cinta dan menyenangi kita walaupun semua yang dia tahu tentang kita adalah pura-pura. Gary dan Nina mewakili watak-watak ini. Watak-watak yang sudi berbuat apa sahaja kerana cinta.

Ya, jika anda mencari, akhirnya Gary dan Nur Tahani dapat bersama walaupun perbezaan sikap dan fahaman mereka berbeza bagai langit dan ala-ala filem Kiamat Sudah Dekat, anda jangan baca novel ini. Itu nasihat saya. Namun itulah yang paling saya suka apabila Imaen memilih untuk menyatukan Gary dan Nina, bukannya Nur Tahani dan bagaimana watak-watak itu kembali kepada fitrah bukan kerana cinta buta semata-mata tetapi kerana naluri dan kehendak sebenar-benar hati. Berubah bukan kerana cinta, apabila cinta hilang, maka perubahan itu hilang bersama cinta. Namun berubah kerana kehendak diri yang mahu berubah, InsyaAllah akan berkekalan selamanya. Itu yang saya dapat daripada Seikat Kembang Merah.

Katalah Seikat Kembang Merah ini anti-klimaks sekalipun apabila Imaen memilih menulis ending-nya begitu tetapi saya tetap suka sekali. Seolah-olah selepas babak di farmasi itu, Imaen menghentikan wataknya untuk bercerita sebaliknya memilih, dia sebagai pengarang untuk bercerita kepada pembaca apakah pengakhiran novelnya.

Saya menutup novel Seikat Kembang Merah yang saya baca seusai Isyak sehingga tengah malam dengan senyum yang manis seperti saya mengucup seikat kembang merah yang harum.

Oh ya, saya tinggalkan dua buah lagu yang turut mengiringnya saya semasa membaca novel ini. Selamat membaca.

Notakakitangan : sedikit kecewa tak dapat sekuntum kembang merah semasa membeli novel ini dari tangan penulisnya sendiri.

Ebiet G. Ade – Seberkas Cinta yang Sirna


Semasa aku berjalan-jalan ke blog kak Rai dan Kak Hanie, aku lihat aku telah di tag oleh keduanya dan mereka menggunakan ayat yang sama untuk menggambarkan siapa aku

Peminat tegar Ebiet G.Ade?

Ya. benar. Aku dan ebiet G. Ade seolah sinonim dan disebabkan itu, aku akan sedaya upaya meletakkan senarai lagu-lagunya yang aku suka.

Semasa menulis entri ini, koklea aku digendangkan dengan lagu seberkas cinta yang sirna. Lagu ini antara lagu-lagu awal yang membuatkan aku jatuh hati.

Seberkas Cinta yang Sirna

Masih sanggup untuk kutahankan

Meski Telah kau lumatkan hati ini

Kau sayat luka baru

Diatas luka lama

Cuba bayangkan betapa sakitnya

Hanya Tuhan yang tahu pasti

Apa gerangan yang bakal terjadi

Begitu buruk kau perlakukan aku

Ibu mennagislah demi anakmu


Sementara aku tengah bangganya

Mampu tetap setia

Meski banyak cubaan

Begitu tulusnya ku buka tanganku

Langit mendung gelap malam untukku

Ternyata mengagungkan cinta

Hanya ditebus dengan duka lara

Tetapi akan tetap ku hayati

Hikmah sakit hati ini

Telah sempurnakan kekejamanmu

Petir menyambar hujan pun turun

Di tengah jalan sempat aku merenung

Masih adakah cinta yang disebutkan cinta

Bila kasih sayang kehilangan makna


Aku paling suka bait terakhir dalam lagu ini. Masihkah adakah cinta yang disebutkan cinta, bila kasih sayang kehilangan makna.