Resensi Novel Maryamah Karpov


Atas budi baik Firdaus Amyar, kenalan aku di blog, aku beroleh naskah Maryamah Karpov sebelum naskah itu tiba di Malaysia. Terima kasih saudara Firdaus.

Aku membaca novel ini dengan harapan yang tinggi kerana ketiga-tiga novel buah tangan Andrea Hirata tidak menghampakan aku. Lebih-lebih lagi apabila novel ini dikatakan menulis mengenai perempuan dari sisi berbeza yang tidak pernah diteroka oleh penulis Indonesia yang lain. Salah satu kelebihan Andrea ialah Andrea bisa menjadikan sesuatu yang kecil itu menjadi besar dan manis.

Plot novel bermula dengan Ikal di tahun akhir pengajian di Perancis dan kemudian dia kembali ke Pulau Belitong, Indonesia. Kemudian Ikal masih diburu dengan keinginan bertemu A Ling seperti di novel-novelnya sebelum ini. Keinginan untuk berjumpa dengan A Ling yang menurut info terdampar di antara Pulau Batuan membuatkan Ikal melakukan kerja-kerja diluar batas logika dan kekuatan fizikalnya. Dia mula melakukan kerja-kerja kuli untuk menampung perbelanjaannya membeli perahu untuk menemui A Ling. Apabila duitnya tidak cukup, maka Ikal mula membuat idea gila dengan membina perahu seterusnya membawanya ke Pulau Batuan menemui A Ling. Idea-idea gila Ikal inilah yang sering membuatkan dia dipersendakan orang kampungnya dan mereka sering membuat taruhan ke atas Ikal. Namun berkat daripada mimpi dan keinginan Ikal, dia Berjaya membawa A Ling pulang ke Pulau Belitung.

Secara jujurnya, aku sedikit kecewa dengan Maryamah Karpov kerana jalan cerita tidaklah seperti yang digembar-gemburkan. Andrea tidak memperkembangkan watak mak cik Maryamah yang pintar bermain catur karpov. Bahagian itu disentuh sedikit sahaja oleh Andrea di dalam novel ini. Malah kisah Nurmi, iaitu anak Mak Cik Maryamah yang pintar bermain biola hanya mendapat perhatian yang sedikit sahaja walhal aku tertunggu-tunggu watak itu dikembangkan (disebabkan pengaruh promosi novel ini)

Selain daripada itu plot novel ini dikembangkan sedikit lambat, novel ini hanya berlegar-legar pembuatan kapal sahaja. Aku rasakan 35 bab awal novel ini menarik sekali tetapi apabila memasuki bab 36 dan seterusnya, novel ini berjalan lambat dan mellow. Kisah pembuatan kapal dan pelayaran Ikal ke Pulau Batuan ditulis terlalu banyak sehingga membuatkan mood pembaca menjadi resah, tidak seperti ketika aku membaca Laskar Pelangi dahulu.

Walaupun novel ini sedikit mengecewakan aku sebagai pembaca kerana jalur ceritanya tidakla seperti yang aku harapkan tetapi gaya Andrea menulis masih tidak hilang. Di dalam novel ini, Andrea seakan-akan menulis sosio-budaya Pulau belitong merangkumi sikap-sikap kebiasaan Melayu Belitung yang gemar bertaruh, suka minum kopi di warung. Membaca novel Maryamah Karpov seakan-akan membuat kita membaca tesis mengenai demografi penduduk Pulau Belitung dalam bentuk penceritaan yang menarik. Kekuatan novel ini ialah Andrea Hirata bisa menjadikan hal-hal yang kecil menjadi sebegitu besar dan indah. Gaya penulisan Andrea itulah yang membuatkan aku tidak jemu untuk terus membacanya.

Maryamah Karpov telah melengkapkan tetralogi Laskar Pelangi. Aku berharap novel ini cepat-cepat datang ke Malaysia. Menanti itu satu penyiksaan dan lagi menyiksakan kalau-kalau yang dinanti itu tidak seperti yang diharap (sambil mengenyit mata pada kaksu)