Pasca PPMN III: Catatan Pendek


I

Sungguh berbeza sekali menempuh PPMN kali ini dengan PPMN II pada dua tahun sudah. Dahulu saya datang sebagai peserta dan AJK bidan terjun. Dibuat di Melaka dan tiada makan malam besar pun. Ketika itu saya baru pulang dari varsiti tepi laut. Baru melalui zaman narcasis. Dan kepulangan ke Selangor sesuatu yang saya amat nantikan dan aktiviti sastera pertama saya ialah PPMN di Melaka.

PPMN II, saya adalah seorang yang naif. Yang memandang semuanya dengan polos. Saya sempat membuat lintas langsung kertas kerja melalui blog MPR. Walaupun begitu, saya telah menulis catatan sedikit panjang seusai pulang dari PPMN II dan mendapat komen-komen yang berapi juga.

Saya datang PPMN III sebagai AJK. Dan kerana itu, ada waktunya saya tidak dapat menumpukan perhatian untuk mendengar perbentangan dan membaca kertas kerja. Menjadi AJK untuk bahagian penginapan kadang kala memerlukan untuk keluar masuk dewan, lagipun saya dilanda demam dan batuk. Saya tidak boleh berlama-lama di dewan seminar kerana akan batuk secara berterusan dan mengganggu tumpuan yang lain.

Lagipun tidak banyak kertas kerja yang mengghairahkan saya untuk dibahaskan atau memberi prespektif yang baru. Mungkin apa yang saya mahu dengar, bukan dibentangkan di sini.

II

Di Hotel Intercontinental, saya tidak dapat menikmati jamuan secara keseluruhannnya. Ucapan PM pun saya tidak sempat dengar kerana saya masih menunggu peserta lain yang lewat tiba. Saya terlewat mendengar pengumuman 5 juta untuk ITNM dan 1 juta untuk PENA. Kesalnya tidak dapat mendengar persembahan Dewangga Sakti dengan berenak-enak. Tidak mengapa, kadang kala kita perlu belajar berseronok dalam caranya.

Saya tetap suka cenderahati ITNM, sebuah kotak Hikayat Hang Tuah dan di dalamnya buku terbitan ITNM. Saya mendapat buku terjemahan Sungai Mekong karya Latiff Mohidden dalam bahasa Sepanyol. Sangat mengujakan. Kebetulan saya sedang dalam mood menelaah buku puisi. Masih belajar membaca puisi. Sedang mengumpul koleksi penyajak kegemaran saya.

III

Menjadi AJK sukarela untuk sebuah aktiviti, banyak perkara yang saya belajar. Belajar untuk bertoleransi, belajar mengendalikan sesuatu yang serius dalam cara yang tidak serius, belajar berkomunikasi.

Saya percaya mereka yang menjadi AJK sukarela harus merelakan beberapa perkara iaitu tenaga yang dicurah tanpa balasan. AJK aktiviti bukanlah sesuatu yang glamour sebaliknya banyak tekanan yang dihadapi. Di situ skill public relation kita teruji dan barulah kita nampak siapa yang ikhlas, siapa yang bermuka-muka, siapa yang mahu batu loncatan, siapa yang palsu, siapa yang benar.

Kadang kala saya kasihan, melihat orang yang terpaksa try hard to be the one kerana mahu dilihat dan diterima dalam kelompok sehingga sanggup melakukan apa sahaja biarpun melanggar pegangan yang dikendong bertahun-tahun.

IV

Suatu hari nanti, saya berharap sebuah perhimpunan yang tidak hanya membentangkan kertas kerja, tidak hanya bergenta sebaliknya ada sesuatu yang lebih mendasar dan lebih mesra peserta. Bukankah sebuah perhimpunan harus mendekatkan penulis dengan seorang penulis yang lain. Bukan hanya duduk di dalam kelompoknya sahaja. Apakah dunia penulis selalu dipenuhi dengan kata-kata yang susah dan terlalu elit? Apakah sesuatu yang intelektual itu harus dijelmakan dengan hiasan yang membosankan?

Apakah sebuah perhimpunan tidak boleh dirias dengan diskusi buku, bedah karya, tayangan filem, lagu-laguan? Suatu hari nanti saya berharap saya akan terlibat dalam sebuah festival sastera yang sungguh mengujakan.

Tetapi saya tidak mengatakan usaha yang telah dilakukan ini satu usaha yang gagal. Tentu sahaja tidak sama sekali.Ini satu usaha yang besar sekali dan berharap akan menjadi lebih besar di kemudian hari.

Takah Lima Puluh & Antologi Karya Sasterawan 2011


I

Ada dua buah sajak dimuatkan dalam buku Takah Lima Puluh yang dibangunkan sempena ulang tahun ke-50 penubuhan PENA (Persatuan Penulis Nasional). Saya menghantar dua buah sajak dan terkemudian hari selepas menerima buku ini barulah saya menyedari bahawa judul sajak saya antara yang paling panjang sekali. Dua buah sajak itu

  • Penyair Yang Membuatkan Aku Jatuh Cinta Pada Puisi
  • Kata-kata Yang Tidak Pernah Bermimpi Menjadi Puisi

Panjang bukan? Rasanya ketika kedua-dua sajak ini ditulis, saya gemar sekali memberi judul yang panjang dan menulis sajak tentang sajak. Sajak ‘Penyair Yang Membuatkan Aku Jatuh Cinta Pada Puisi’, saya tujukan kepada kedua-dua kekasih puisi saya yang mengajar saya menulis puisi dan menyedari sisi hidup saya yang lain lewat puisi-puisi mereka iaitu Sapardi Djoko Samono & Aan Mansyur. Apakah saya terlalu berlebihan menyukai mereka dan apakah tidak ada penyair dari Malaysia yang membuatkan saya jatuh cinta? Saya fikir tidak. Apabila kita mencintai sastera, mengajar kita mencintai semua kalimat indah tanpa perlu memikirkan sempadan negara.

II


Dalam buku Antologi Karya Sasterawan 2011 yang menghimpunkan sejumlah karya penulis muda yang dinilai melalui 5 kriteria utama. Saya tidak pasti saya tergolong dalam kriteria yang mana kerana saya tetap bukan sesiapa dalam sastera Malaysia. Kalau ada pemetaan sastera Malaysia, nama saya tidak langsung menjelma, itu fikir saya. Lalu apabila dipilih bergandingan dengan sejumlah nama-nama mahsyur, saya jadi rasa kerdil dan kecil.

Semasa pemilihan karya, saya diminta menghantar 5 buah sajak yang saya fikir terbaik pernah disiarkan dalam media cetak. Saya kecewa kerana awalnya saya ingin masuk ke dalam peta sastera Malaysia sebagai seorang cerpenis yang manis. Ahem! Tetapi nyata kerana produksi sajak saya lebih terlihat berbanding cerpen (nyata, daya penceritaan saya belum cukup kuat untuk menulis cerpen. Hehe…)

Ya, saya menghantar sejumlah sajak dan apa yang menghairankan, mereka memilih sajak terawal saya iaitu Baju Kurung Merah Darah yang disiarkan dalam Berita Minggu, 31 Januari 2009 dan sajak Kaca Jendela Tren yang disiarkan dalam majalah PENTAS Mei-Julai 2011. Seolah-olah saya melihat kembali masa yang merentas dua tahun saya aktif menulis sajak. Sungguh ironi.

….