Hal-hal yang tidak patut ditanya kepada orang bujang sewaktu hari raya.


Ini panduan ringkas kepada mereka yang baru berkahwin, sudah lama berkahwin, kaum kerabat, bakal pak cik dan mak cik dan sesiapa sahaja yang bukan tergolong sebagai orang bujang atau belum berkahwin tetapi sudah masuk fasa patut berkahwin. Boleh dijadikan panduan dan pedoman untuk menjamin keharmonian dan ketenteraman jiwa kelab bujang sedunia. Percayalah.

1. “Bila hendak berkahwin ni?”
Soalan yang sama golongan, sama nada, sama maksud, sama arah tujuan seperti soalan di atas seharusnya disimpan dalam hati, dibenamkan di sudut hati paling dalam daripada diluahkan daripada ditanya kepada golongan orang bujang walaupun soalan itu untuk berbasa basi sahaja, untuk pembuka bicara sebab berjumpa setahun sekali itu pun tak ingat muka. Apatah lagi soalan tidak masuk akal itu, ditujukan kepada orang yang memiliki akaun berstatus single, gambar-gambar yang dikongsi di Instagram, Facebook atau Twitter adalah gambar makanan dan haiwan kesayangan, bukan gambar pasangan mereka. Mohon fikirkan soalan lain.

Menurut kajian di timeline Twitter dan juga Facebook, di mana pemiliknya adalah ahli kelab bujang sedunia, ini merupakan soalan yang paling panas, paling tidak disenangi, paling menyakitkan jiwa, yang boleh membuatkan tidak mahu balik raya atau emosi raya terbunuh! Bukan sebab cemburu dengan kebahagiaan rumah tangga anda semua, ataupun mereka tidak mahu berkahwin. Ada banyak hal-hal dalam hati atau luar hati yang mungkin tidak semua anda tahu atau tidak perlu tahu.

Cuba bayangkan, sebagai contoh, anda yang baru berkahwin dan beranak pinak ini, sebenarnya belum berkahwin lagi? Apa anda rasa? Jadi sesekali cuba letakkan diri dalam situasi mereka ini.

Lagipun kalau mereka ini mahu berkahwin, tentu sahaja akan buat jemputan melalui facebook, twitter, emel, surat menyurat 3 bulan lagi awal. Masa itu anda, tak reti-reti nak datang majlis kahwin. Masa belum nak kahwin, sibuk beria-ia bertanya. Kan?

Jadi sesekali atau lebih baik tidak bertanya adalah lebih baik.

2. “Eh, badan kau dah naik lah. Dulu kurus sahaja, sekarang dah tembam. Belum kahwin lagi ini.”

Selalunya soalan ini ditanya oleh mak cik & pak cik kepada anak keponakan yang sudah lama tak jumpa selama 10 tahun. Kalau sudah 10 tahun tidak berjumpa, tentu sahaja badan sudah membesar. Walaupun memanglah mereka sudah naik badan, tetapi rasanya tidak perlu hendak bertanya atau menyatakan secara verbal perkara yang sedia maklum. Rasa-rasanya bukan tuan punya badan tidak tahu badannya sudah naik apabila banyak baju sudah tidak muat kan? Jadi tidak perlulah kita menyedarkan medula oblogata mereka dengan soalan yang menyentap jiwa dan raya eh raga. Dengan siap buat perbandingan belum kahwin dan sudah berkahwin, seolah-olah kegemukan adalah punca mereka belum berkahwin.

Sesekali, berilah mereka peluang menikmati lontong, lemang, nasi impit, ketupat tanpa perlu terserdak, dan memandang sepi makanan itu dari jauh kerana tidak mahu dilabel gemuk oleh kaum tetangga.

3. “Kerja apa sekarang, bagus ke kerja tu?”

Masalah utama pengangguran di Malaysia adalah selain susah dapat kerja, memilih kerja. Iyelah, kalau nak setiap kali raya hendak menjawab, soalan seperti itu. Rasa rendah diri dan rendah hati bila kaum keluarga dan kawan-kawan semua bertanya seperti Jabatan Audit Negara. Lebih baik doakan murah rezeki dan dapat yang lebih baik daripada hari ini.

 

Seperti mana orang bujang tidak suka mendengar perkara-perkara yang di luar kuasa mereka mengawalnya dan malas menjawab, seperti itu jugalah orang yang sudah berkahwin, tidak mahu mendengar perkara-perkara di luar kuasa mereka, seperti 

1. Eh, bila lagi nak bertiga, berempat, berlima ini?

2. Kerja sekarang, boleh tanggung anak bini ke?

3. Bila lagi nak beli rumah sendiri? Sudah berkahwin pun menyewa lagi ke?

4. Kamu ini tidak ada anak, siapa yang mandul? Kau ke dia?

Haaaa….. Kan boleh terguris itu.

Kerana pertanyaan daripada orang bujang kepada orang yang berkahwin ini sebenarnya lagi banyak yang menyentap jiwa dan boleh merosakkan keharmonian rumah tangga anda semua serta menghancur lumatkan kemeriahan musim perayaan anda. Sebelum kelab orang bujang mengumpulkan soalan-soalan seperti di atas, lebih baik beri mereka ketenangan menyambut hari raya sambil makan dan melawat jiran tetangga serta sanak saudara.

Ehem, akhir kata, Selamat Hari Raya. Kalau makan nasi impit, tolong tolong tolongggg ingat pada saya. 

8 thoughts on “Hal-hal yang tidak patut ditanya kepada orang bujang sewaktu hari raya.

  1. Memandangkan saya masih bujang, soalan-soalan di atas pastinya pernah dan selalu diajukan kepada saya.

    Alhamdulillah, tahun ini, tiada orang bertanyakan soalan itu, memandangkan saya memilih untuk berada di dapur sepanjang tetamu berada di ruang tamu dan menjadi orang dapur tahun ini.

    Ok, ini tips untuk anda untuk lari daripada ditanya.

    Selamat Hari Raya!

    Like

    1. hai kawan satu kelab. Heeee heeee. tapi saya duduk di dapur pun, masa bersalam kena juga tanya soalan yang sama. 😦 dah cuba bermacam-macam strategi tapi tidak berjaya. Huwaaaaa!!!

      Like

  2. Terbaik 🙂
    Raya kali ni belum ada yang bertanya soalan begini. Kalau bertanya pun bahasanya bertapis, tak macam sebelum-sebelum ni. Direct, terus menusuk ke hati. Agaknya, depa sudah belajar memahami kot. kikikikih

    Like

  3. spot on. mungkin perlu print kupon hari raya dari blog saharil.
    satu pertanyaan bersamaan dgn 50 ringgit. 🙂
    sebenarnya, saya juga senasib dgn kamu. malas betul kalau asyik ditanya begitu.
    kalau dah kahwin, ditanya pulak, bila nak bertiga? berempat? berlima?
    sampai kiamat tak habis rasanya. huhu.

    Like

      1. tak apa cik ainun. semua itu rahsia Allah. Sabar dan berdoa ya?
        memang, jika diizin Tuhan, akan menamatkan zaman bujang, akan tatapi, tetap tidak terlepas dari soalan pasal anak pula. kemudian menantu dan kemudian cucu.
        the cycle will never ends – sampai mati. huhu!

        Like

        1. Sue : Ya ya, betul tu. Dalam bahagian lain , mungkin persoalan itu tanda mereka mengambill berat taoi untuk sesetengah orang merasakan soalan itu telah memasuki wilayah rahsia mereka. Yang kena jawab berkali kali dengan orang yang berbeza 🙂

          Like

Tinggalkan komen