3 Budak dan Seruling


cf2410732b74641d250fa2107b68eeb0

Di Ruai, Melaka (sebuah rumah inap berkonsepkan B&B), semasa perbualan larut malam setelah ‘mabuk’ ayam BBQ. Johan Radzi bertanya soalan ini kepada saya.

“Ada tiga orang budak, datang kepada kau membawa sebuah seruling dan menuntut hak mereka kepada seruling itu. Budak pertama mengatakan dia berhak mendapatkan seruling itu kerana dalam kampung itu hanya dia seorang yang pandai bermain seruling, beri kepada dia, dia akan mainkan dan semua orang boleh mendengar nyanyian serulingnya dan berasa gembira. Budak kedua mengatakan dia lebih layak terhadap seruling itu kerana dia orang miskin, dengan seruling ini, dia boleh belajar memainkannya perlahan-lahan dengan pertolongan semua orang dan keluar daripada kemiskinan itu. Budak ketiga mengatakan, dialah yang paling berhak kerana dia tuan punya seruling itu, dia yang membuatnya, walaupun dia tidak pandai memainkannya, seruling itu telah hilang pada suatu hari dan dia menemuinya semula dan seruling itu wajib menjadi miliknya.”*

Johan meminta saya memilih, kepada siapakah seruling itu patut diserahkan.

Pada mulanya saya enggan menyerahkan kepada sesiapa kerana semua kelihatan layak, tetapi seruling itu tetap harus diserahkan kepada seseorang.

Saya memilih, mengapa tidak budak pertama yang pandai memainkan seruling itu menggunakan kepandaiannya untuk menghiburkan orang ramai, seruling harus dimainkan fungsinya. Kemudian, dengan kepandaiannya dia akan mengajarkan budak kedua untuk memainkan seruling tersebut sehingga boleh menjana pendapatannya sendiri. Kemudian, seruling itu diserahkan kepada budak ketiga yang sememangnya  pemilik asal seruling itu.

Johan tersenyum selesai saya menawarkan penyelesaian. Dia menerangkan maksud di sebalik soalan itu dan simbol yang mewakilinya. Ketiga-tiga budak itu mewakili budak pertama mewakili utilitarianism, budak kedua mewakili sosialisme dan ketiga mewakili liberalisme. Saya terfikir tentang beberapa perkara.

Berbalik kepada persoalan awalnya, pokok persoalannya ialah kepada siapakah seruling itu harus diserahkan, jadi saya harus bertindak untuk menyerahkan seruling itu kepada seseorang berdasarkan hujah-hujahnya dan pendirian saya dan bukannya memberi penyelesaian dalam bentuk berbeza yang adil kepada semua.

Dalam dunia yang ideal, saya mahukan penyelesaian seperti itu, yang mana semua boleh menikmati seruling itu dalam skala keperluan mereka. Budak pertama berhujah, dia pandai bermain seruling, ya mainkan seruling itu, setelah semua gembira, ajarkan kepada budak kedua agar boleh menggunakan kemahiran bermain seruling dan keluar daripada kemiskinan, tetapi budak pertama dan budak kedua tetap bukan pemilik hak seruling itu, di mana akhirnya harus dikembalikan kepada budak ketiga.

Tetapi tidak semua boleh berfikiran begitu. Ia terlalu idealis, Johan membalas. Tapi zaman berubah dan kita tidak boleh totok kepada satu budaya atau jajaran sahaja, saya tidak puas hati. Saya merasakan kita harus berubah dan bertindak mengikut keadaan. mengambil sifat terbaik daripada satu fahaman  dan mengaplikasikannya.

Azriq membalas, ia akan berbalik kepada idea multiculturalism (multi budaya). Tapi ia porak peranda pasca Obama mengatakan, Change tetapi menghantar bom ke negara lain.

Pasca mabuk ayam BBQ, sosej, jagung dan keledek bakar dan asap dari arang yang tersisa, kami menyimpulkan dunia tidak pernah bersedia untuk globalisasi. Mereka tidak bersedia merentas dunia dan saling mengambil dan diambil. Akhirnya mereka menjadi konservatif, kembali mempertahankan hak dan mengatakan, make our country great again.

Nota:

*soalan ini diubahsuai daripada persoalan yang diajukan oleh Amartya Sen dalam buku The Idea of Justice

Sorotan Pembaca: Hari yang Ditakdirkan untuk Bertukar Sepasang Mata – Adinata Gus


Adinata Gus telah menyorot kumpulan puisi saya, Perempuan Bulan Perempuan Hujan dengan menyandingkan bersama Zurinah Hassan, .

Saya kongsikan petikan eseinya.

Sesuatu kejadian pasti akan mengulangi keajaibannya lagi pada suatu masa akan datang. Begitulah yang saya yakini hari demi hari ( menunggu kelahiran semula Sylvia ?). Tetapi kita selalu tak punya hayat yang abadi. Maka untuk memastikan kitaran keajaiban itu terus berlaku, harus ada seseorang yang menyedarinya dan tidak terlalu beralasan untuk menyandang tugas tersebut. Di sinilah tangan Ainunl Muaiyanah dengan beraninya menerima baton larian daripada Zurinah Hassan untuk mencipta keajaiban lagi.

Kita tidak pasti apakah Ainunl seorang pelari kedua, ketiga atau yang terkahir akan menyempurnakan acara larian di trek sastera ini. Merujuk kepada judul Perempuan Bulan Perempuan Hujan yang saya baca baru-baru ini, sebagai penonton di tempat duduk stadium, saya tidak kekok untuk bersorak kepadanya dan melambai-lambai dari kejauhan sebagai tanda sokongan.

Ainunl Muaiyanah Sulaiman
Perempuan Bulan Perempuan Hujan
ITBM Cetakan Pertama 2015

Setelah kita pinjam bebola mata seorang Zurinah Hassan, sudah tentu rasa bosan atau ingin bertukar selera datang sedikit demi sedikit. Kita tidak mahu perspektif dunia ini tersudut kepada satu cara pandang sahaja. Sepatutnya memang harus bertukar-tukar pun. Maka saya cabut kedua-dua bola mata Zurinah Hassan dan meletakkannya di atas rak semula dengan cermat dan hormat. Sekarang, buat seketika saya tercari-cari bebola mata wanita yang sesuai untuk dipakai ketika malam dan siang, seperjalanan saya meninggalkan mata sendiri sehinggalah saya bertemu dengan bebola mata Ainunl Muaiyanah di acara Kota Kata 2016.

Hasilnya? Aduh enak sekali ! Cuba bayangkan begini, jika anda sedang menunggu giliran untuk mandi, dengan mata yang mengantuk dan penat tubuh yang tersisa, adakah sempat untuk mengarang puisi-puisi romantis dan menyenangkan? situasi yang lain pula, jika anda ingin membela seekor haiwan peliharaan adakah anda akan memilih seekor singa? Untuk seorang Ainunl Muaiyanah mungkin ya.

Cuba perhatikan petikan sajak di bawah :

Penunggu Kamar Mandi
 
Aku menunggu giliran masuk ke dalam kamar mandi
meski tiada nombor untuk kupilih
kerana kamar mandi sekecil itu
telah ditempah sepanjang tahun
untuk penghuninya bermandian dan
membiarkan orang luar mendengar nyanyiannya.
 
Peristiwa di Halaman Rumah
 
Terkemudian hari, setiap pagi tanpa sabar
aku sering bingkas bangkit keluar berharap

seekor singa tertidur di halaman rumahku.

Di dalam sesebuah sajak, bukanlah sesuatu yang ditulis si penyajak itu bersifat langsung terus sampai ke akal fikiran. Kedua-dua sajak di atas boleh jadi menjiwai perkara lain bukanlah tentang kamar mandi semata-mata, tetapi ah! siapa yang punya banyak masa untuk memetaforakan sebuah bilik mandi jika bukan Ainunl!.Jadi, setelah sejauh ini saya mencuba, melihat dan memulangkan semula sepasang mata Zurinah Hassan dan Ainunl Muaiyanah, sebagai seorang-lelaki muda-baru bermula, saya beranggapan sekaligus rasa tercabar, akan keupayaan wanita-wanita masa kini. Perlu diingatkan juga, dunia sastera bukanlah padang bola semata-mata yang menunggu gawanggender untuk dibolosi, sebaliknya sebagai pemain sastera di atas padang tersebut, sudahkah kita mempersiapkan diri dengan latihan yang cukup daripada segi keupayaan berfikir, berstrategi, daya kreatif dan kritis. Semangat juang adalah perkara utama sebenar-benarnya.

Semoga Zurinah Hassan dan Ainunl Muaiyanah terus bersedia mencantikkan kedua-dua bola mata masing-masing lalu sudi meminjamkannya kepada semua orang yang memerlukan. Wanita yang saya yakini adalah adalah wanita yang berterusan bekerja untuk dirinya dan orang lain.

Esei penuhnya boleh dibaca di blog asal: adinatagus.blogspot.com

Sorotan Pembaca: Puisi Jauh dari Halaman Rumah


Saya kongsikan ulasan Abdul Rahman Shah  yang mengulas puisi saya, Jauh dari Halaman Rumah. Puisi ini dimuatkan dalam buku Melompat Keluar dari Mimpi (2015) terbitan Katapilar Books 🙂

* * *
Ulasan ringkas puisi “Jauh dari Halaman Rumah” nukilan Ainunl Muaiyanah.

Puisi ini adalah salah sebuah puisi dalam buku antologi puisi dan cerpen Melompat Keluar dari Mimpi (2015) terbitan Kata Pillar Books. Puisi serta muka depan buku boleh dirujuk pada gambar yang disisipkan bersama ulasan.

Apa yang menarik tentang puisi ini adalah pembaca akan di bawa oleh penulis menyusuri emosi-emosi bersama perlambangan perjalanan atas kapal terbang. Setiap emosi ini adalah berkaitan tentang sebuah proses, proses yang akan diterangkan pada hujung ulasan.

Rangkap pertama puisi ini adalah mengenai perasaan rindu yang hadir apabila berjauhan dengan mereka yang disayangi. Seterusnya penulis mengatakan tentang bagaimana jendela dan lagu adalah penyelamat kerinduannya. Jendela di sini boleh juga dibaca sebagai alat komunikasi atau telefon pintar yang boleh digunakan untuk berhubung dari jauh.

Jika rangkap pertama mengenai bagaimana rindu terjadi, rangkap kedua pula adalah tentang emosi seterusnya dalam proses, iaitu kesedihan. Kesedihan yang dirasai penulis akibat pemisahan ini menggunakan perlambangan air matanya seperti anak-anak yang mencari ibunya.

Rangkap ketiga adalah mengenai perasaan resah/anxiety yang hadir selepas kesedihan. Penulis menggunakan gambaran adakah kapal terbang tidak takut dengan angin-angin yang akan datang menolak mereka keluar dari perjalanan asal, jauh lari dari rumahnya. Di saat ini perasaan panik mula timbul dengan baris yang mengatakan penulis ingin berhenti dan pulang terus ke rumah.

Rangkap keempat adalah sambungan perasaan resah tadi tetapi penulis telah sedikit tenang – iaitu dalam perasaan menerima, dia sudah sedikit sebanyak menerima yang dia perlu mengambil perjalanan ini walaupun perlu berjauhan dengan yang tersayang. Terpaksa meninggalkan segala keselesaan sebelumnya.

Dan akhirnya rangkap kelima adalah perasaan tekad, perasaan keberanian selepas menerima hakikat yang dia perlu ada dalam perjalanan yang menjauhkan dia dari rumah.

Tetapi sekarang, apakah yang ingin disampaikan oleh puisi ini? Adakah sekadar puisi rindukan halaman rumah atau homesick bak kata orang Inggeris? Di mana kapal terbang sedang membawa penulis untuk belajar atau kerja di luar negara? Ataupun ini mengenai perkahwinan di mana penulis kini perlu berjauhan dengan keluarganya?

Semua mempunyai kaitan tetapi masih tidak tepat. Puisi ini untuk aku adalah dalam genre “coming-of-age”. Tentang transisi emosi yang semua akan lalui apabila kita sedar kita bukan kanak-kanak lagi – merindui hidup lama, menangis dalam kerinduan, resah adakah jalan yang dipilih itu benar-benar selamat, risau akan mengikuti orang yang salah, panik apabila tidak yakin dengan diri, dan seterusnya proses penerimaan.

Ianya tentang proses eksistential melalui emosi-emosi yang akan dirasai di ambang menyedari kita sudah dewasa dan perlu mengambil alih tanggungjawab terhadap diri sendiri, merealisasikan impian diri, dan tidak melupakan asal usul kita dalam proses.

img_9720img_9721

Nota Editor: Editor Menangis di Pagi Hari


“Slm.cik ainol moyanh ke? Saya _____.sy nk hntr skrip mcm mana?”

Pagi hari menerima mesej macam ini boleh buat editor menangis tepi bucu meja.

Mesej atau ayat pertama penulis kepada editor sangat penting. Editor boleh imbas sikap, perangai, kedivaan, malah kualiti manuskrip yang diterima melalui ayat pertama mereka melalui mesej/e-mel mahu pun panggilan telefon. Nilai pandang pertama katanya.

Kalau mesej begini sampai, agak-agak apa yang bermain dalam fikiran editor?

Ejaan kontot, tak ada jarak selepas titik, tidak gunakan ejaan penuh, mesej yang ingin ditanya tidak sampai, itu belum campur ejaan nama yang salah lagi. Mujur dia perkenalkan nama. Jadi kita dah boleh bayangkan manuskrip yang bakal kita terima serupa itu jugalah.

“Srry,syew x trima skrip awqq”

Nak sahaja saya balas seperti ayat di atas! Muhahaha.

Nota: Dari status Facebook

Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2015


Senarai Pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2015
Kategori Kajian Sastera
(Tiada Pemenang)
Kategori Rencana Sastera
Wan Nor Azriq – Esei Bukan Rencana – Mingguan Malaysia, 1 Mac 2015  
Abdul Rahim Omar – Kamnishibai Genre Sastera Kanak-kanak, Mingguan Malaysia, 26 Julai 2015

Kategori Cerpen



UTAMA

Wan Nor Azriq – Rumah Doktor Salgari, Mingguan Malaysia, 26 Julai 2015
Siti Jasmina Ibrahim – Rumah Ini Dinding Kacanya Kalis Cahaya, Mingguan Malaysia, 4 Januari 2015
Rebecca Ilham – Rumah, Mingguan Malaysia, 8 Mac 2015

SAGUHATI

Malim Ghozali PK – Cikgu Puisi, Mingguan Malaysia, 11 Januari 2015
Zainal Rashid Ahmad – Dah Naik ke Langit Tak Reti Balik Ke Bumi, Mingguan Malaysia 17 Mei 2015
Amelia Hashim – Ikan Puyu di Dalam Akuarium, Mingguan Malaysia, 17 Mei 2015
Jasni Matlani – Martrioskha, Mingguan Malaysia 5 Julai 2015
Dr. Azman Ismail – Misteri Kehilangan Mulut Ayah, Mingguan Malaysia, 1 November 2015
Saifullizan Yahaya – Tinggal Jawa Demam, Mingguan Malaysia, 9 Ogos 2015

Kategori Puisi

UTAMA

Fahd Razy – Catatan yang Ditemui Dalam Mulut Seorang Pengemis yang Mati Pagi Ini, Mingguan Malaysia, 22 November 2015
Zainol Idris – Di Lengkung Langit Biru, Mingguan Malaysia, 16 Ogos 2015
Zaim Yusof – Setugu Peringatan Melbourne, Mingguan Malaysia 18 Oktober 2015

PENGHARGAAN

Fauzan Zain – Dari Tanah ke Daun, Mingguan Malaysia, 6 Disember 2015
Muzaf Ahmad – Denting Waktu, Mingguan Malaysia, 20 September 2016
Usman Gumati Ibrahim – Naratif Pangkor, Mingguan Malaysia, 15 Mac 2015
Nazri Hussein (Husna Nazri) – Perahu, Mingguan Malaysia, 20 September 2016
Ramlan Abdul Wahab – Lidah Amarah, Mingguan Malaysia, 1 Februari 2916
Ghazali Din (Ihsan Noorzali) – Yang Tercipta Buat Kita, Mingguan Malaysia, 11 Oktober 2015

Kategori Cerpen Remaja

UTAMA

Fudzail Mohd Noor – Suluk, Mingguan Malaysia 31 Mei 2015
Amaruszati Noor Rahim – Sesar Unjur Kampung Belawai, Mingguan Malaysia 24 Mei 2015
Siti Nurzulaikha Adam – Trisomi Dua Puluh Satu, Mingguan Malaysia, 1 Mac 2015

PENGHARGAAN
Nordin Saad -Dunia Kecil Ayah, Mingguan Malaysia, 3 Mei 2015
Nazri Hussein (Husna Nazri) – Kandil Mualim di Langit Musim, Mingguan Malaysia, 10 Mei 2015
Siti Nur Hidayah Abdullah – Pertemuan di Ngilum, Mingguan Malaysia, 13 September 2015
Norsyuhada Salleh – Utusan Riwayat Cinta, Mingguan Malaysia, 28 Jun 2015
Salina Ibrahim – Jalinan Benang Emas, Wanita, November 2015
Faridah Abdul Hamid – Menunggu Malam, Mingguan Malaysia, 15 Mac 2015

Novel Remaja

UTAMA

Pertama (tiada pemenang)

Kedua: Empunya Kalbu – Sri Rahayu Mohd Yusof
Ketiga: Nyanyian Musim Rusuh – Husna Nazri

PENGHARGAAN

Lili Putih Srebrenica – Nor Azida Ishak
Semanis Kyuho – Ghazali Lateh

Berbual dengan memori Kazuo Ishiguro


4693749706_7271c5a688-1

Salvador Dali – The Persistence of Memory

 

 

Jam 3.15 pagi, saya masih belum tidur. Saya sedang bermain permainan virtual yang tidak berkesudahan selama beberapa tahun ini. A pernah bertanya, “Bila game ini akan habis?”. Merujuk obsesi saya bermain permainan mencari barang tersembunyi selama bertahun-tahun ini. Mungkin kerana permainan ini mudah untuk mengisi sela waktu tegang saya bekerja dan berkompromi dengan dunia luar, permainan yang tidak terjangkau garisan penamatnya tetapi sebagai pemain, kita tahu kita sedang mengikuti jalan cerita yang kompleks di dalam sebuah rumah agam yang misteri.

Saya membiarkan TV terbuka tanpa bunyi, sengaja untuk menemani saya bersama lampu yang temaram. Kami tidak memilih Astro, sekadar ada HyppTV yang datang percuma bersama langganan Unifi (sedikit menyesal tidak memilih pakej jumbo). Preview semua saluran selama sebulan telah tamat, saya membuka apa-apa sahaja saluran yang ada dan ada satu rancangan rakaman perbualan Kazuo Ishiguro bersama-sama dengan pelajar Jepun yang mempelajari sastera Inggeris. Acara itu dibuat secara intim di kedai buku, kalau tidak silap saya.

Kazuo Ishiguro ditanyakan tentang intimasi dunia negara Jepun dalam karyanya, tentang nasihat kepada dirinya yang berusia 20-an, tentang memori.

Walaupun Kazuo telah meninggalkan negara Jepun sejak berusia 5 tahun serta mempunyai tradisi sastera Inggeris yang kuat dalam pengajiannya, dua novel awalnya memetakan tentang negara Jepun, A Pale View of Hills (1982) dan An Artist of the Floating World (1986) dan ia merupakan negara Jepun yang diimaginasikan. Untuk novel-novel seterusnya, dia cuba untuk lari daripada ‘intimasi’ itu.

Saya tertarik dengan jawapannya untuk soalan tentang memori dan nasihat kepada Kazuo Ishiguro yang berusia 20-an. Betapa memori ketika kita berusia 20-an lebih dekat dengan memori zaman kanak-kanak kita, ia seperti realiti meskipun sebahagiannya fiksi dan imaginasi tentang apa yang kita lalui. Pada usia muda, kita lebih berani bertindak, meneroka dan bereksperimen tanpa terlalu perlu memikirkan sebab dan akibat. Berlainan apabila kita sudah mempunyai nama dan reputasi.

Ketika mendengar jawapan Kazuo Ishiguro, ia seperti memberikan ruang untuk saya bertanya kepada diri saya yang berusia awal 20-an. Ya, ketika saya tiada karya, tiada buku, tidak pernah menang hadiah, tidak menjawat jawatan editor. Lebih vokal, lebih bebas mengekspresikan apa yang saya lihat sama ada di media sosial atau di blog. Saya mencemburui masa muda saya dalam merekod memori saya tanpa prejudis. Sedangkan lima tahun kebelakangan ini, saya lebih menyimpan untuk diri sendiri, di meja makan, di dalam senyum, dan perbualan intim bersama A. Sehinggakan lima tahun berlalu seperti satu iklan di sela-sela menonton filem di televisyen.

Memori, ia seperti fiksyen yang ditulis oleh diri kita kepada diri kita di masa lalu. Ia membisikkan apa yang perlu kita ingat dengan cara kita mahu diingati, dan memadamkan gangguan yang tidak mahu ada di dalam hard disk  memori itu.

Tentang Merayakan Hari Wanita


a4c2db241a5325209d84108c7f1cd315
Datuk Mohd Hoessein Enas “Teguran”
1. Saya jarang meraikan hari wanita, atau saya kadangkala terlupa kita punya hari wanita peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Dan saya sudah jarang mahu memperkatakan tentang hal hati mahupun cinta depan orang umum. Bila mahu berkahwin pun masih sembunyi-sembunyi begitu 🙂 Tetapi hari ini dalam sejarah, saya memperkatakan tentang dunia wanita dan cinta sekaligus sempena Hari Wanita Kebangsaan di dalam rancangan Assalamualaikum, TV Al-Hijrah. Begitulah, kadangkala semakin kita cuba mengelak, ia makin dekat dan memaut, macam cinta, contohnya. Eh? 🙂
2. Sebagai perempuan yang memilih bersendiri agak lama (daripada rakan-rakan yang lain) dan merdeka dan bebas mengatur hidup sehari, bukanlah kita tidak memerlukan keberadaan lelaki di dalam hidup. Tetapi kita sudah biasa jadi berdikari, untuk tidak menyusahkan orang lain dan pasangan di kemudian hari. Jadi, lelaki yang hadir dalam hidup perempuan seperti itu, harus bersedia memberi ruang dalam keadaan tertentu dan berada di sisi menyokong, tetapi siap siaga membantu dan tegas dalam menentukan beberapa keputusan. Bijak bila perlu mengekor atau menyongsong angin. Lama-lama perempuan jiwa merdeka ini akan jatuh percaya untuk mengatur hidup bersama-sama.

3. Saya fikir, perkahwinan bukanlah titik akhir dalam perjalanan hidup. Seperti kata orang, “settle down”. Banyak orang merencana majlis perkahwinan lebih daripada sebuah perkahwinan. Seperti dalam babak terakhir filem “The Graduate”, masing-masing merenung jauh dan bingung dengan tindakan seterusnya. Sedangkan selepas perkahwinan, kita saling mengenal watak yang berbeza. Memetik puisi Zurinah Hassan,

Seorang lelaki membebaskan diri

untuk membataskan pilihan.

Seorang perempuan membataskan pilihan

untuk membebaskan diri.

 

Setiap daripada kita sebenarnya perlu ruang masing-masing dalam perkahwinan. Semakin hari ruang peribadi kita semakin terhad. Ruang ini selalu diceroboh dan dikecilkan melalui media sosial, pasangan, keluarga dan kawan-kawan. Seharusnya dengan perkahwinan, kita lebih memperkayakan ruang dalam diri kita sama ada peribadi atau berkongsi bersama pasangan kita.

4. Dari dahulu ramai menakutkan saya dengan kata-kata ini, “Selepas kahwin, Ainunl akan kurang menulis dan lebih mengemas kini status bersama suami.” Benar, banyak sudah penulis wanita membenarkan kenyataan ini. Mengapa ya, tidak memberi galakan, selepas kahwin akan lebih aktif menulis? Tetapi saya ingat kata-kata Kak Wani Ardy, lebih kurang begini “Kalau kau passion pada sesuatu, kau akan akan memilih pasangan tanpa perlu mengorbankan passion itu.”

5. Saya sempat mempromosikan novel Sepetang di Kafe Biblioholic dan Kumpulan Puisi Perempuan Bulan Perempuan Hujan semasa di rancangan ini. Apabila sinopsis novel itu dibacakan oleh Irma Hasmie, saya tersenyum sendiri. Saya tidak sedar sebenarnya, kedua-dua kulit buku ini mempamerkan sosok perempuan di kulit depannya. Kedua-duanya dilukis oleh 2 orang perempuan, seorang Kak Dila dan seorang lagi Rasyidah Othman. Dan saya menulis tentang dunia perempuan dalam kedua-dua buku ini. Kamellia yang membesar bersama ibunya  yang positif, kuat mengenang masa lalu dan kuat memegang masa depan. Dan Perempuan Bulan pula dari dunia remaja saya yang penuh berontak dan Perempuan Hujan adalah sisi perempuan yang semakin dewasa dan tahu memilih apa yang perlu.

6. Setiap kali bergema soal mempertegakkan hak-hak wanita, atau perjuangan-perjuangan yang bertaut tentangnya, saya selalu bertanya, apakah tidak cukup sikap feminisme dalam diri saya kerana saya tidak begitu tertarik untuk memperkatakan lebih lanjut tentangnya? Sedikit menyalahkan diri, tetapi akhirnya saya sedar. Sebagai perempuan yang dibesarkan dalam keluarga yang perempuan adalah minoriti tetapi punya vokal yang besar dalam keluarga, saya tidak terhimpit dengan hal ini. Saya pernah berkata kepada kawan saya yang mempersoalkan hal yang sama, ingat-ingat lupa kenyataan penuhnya, “Seorang perempuan yang kuat, dia akan menang dalam kelembutan, dalam sembunyi, dalam rahsia, sebab itulah kelebihannya, tanpa perlu berteriak lantak dan menganyang lelaki. Kerana apabila kita mula melakukan gertakan-gertakan itu, kita mula mendedahkan kelemahan kita.”

Selamat Hari Wanita Kebangsaan 🙂