Dunia Novel Seperti Sebuah Taman Tema yang Luas


Dalam berbalas-balas emel dengan salah seorang pembaca blog ini, saya ditanyakan satu soalan yang sangat menarik. Setelah menjawab soalannya, saya terfikir, adalah menarik sekiranya saya memanjangkan isi emel tersebut di blog ini dengan sedikit pengubahsuaian.

Soalan: Saya ingin tahu, apa pendapat saudari berkenaan novel-novel cinta kontemporari yg berlambak di pasaran sekarang? Kalau ditanya kepada saya, secara jujur, saya kurang berminat ataupun tidak keterlaluan saya katakan saya tidak berminat dengan novel-novel sebegitu. Saya lebih cenderung membaca novel-novel yg berkisar tentang kemasyarakatan. Lagi satu genre novel yg saya minati adalah thriller dan misteri. Ramlee Awang Murshid merupakan penulis kegemaran saya.

Jawapan:

Berkenaan dengan genre novel cinta kontemporari seperti yang dipertanyakan dalam emel sebelum ini, suka saya analogikan bahawa genre-genre buku seperti novel popular/cinta, novel misteri, novel perang, novel islamik dan sebagainya adalah seperti sebuah taman tema yang luas. Dalam taman tema itu terdapat pelbagai jenis permainan yang menggoda pengunjung untuk bermain dengannya. Ada permainan yang dikhususkan untuk orang dewasa, ada untuk kanak-kanak, ada yang menguji ketakutan, ada yang menguji ketakutan pada ketinggian, ada yang permainannya direka bentuk untuk semua lapisan umur dan bertujuan untuk keseronokan si pengunjung taman tema. Setiap permainan direka bentuk untuk tujuannya tersendiri. Mungkin ada permainan yang sesuai untuk kanak-kanak sehinggalah ke orang dewasa. Mungkin juga ada yang khusus untuk pengunjung perempuan sahaja. Atau mungkin untuk ibu-bapa dan anak-anaknya.

Jadi, apa kaitan taman tema dengan genre novel seperti yang disebutkan dalam emel sebelum ini? Dunia novel itu adalah sebuah taman tema yang luas dan genre-genre dalam novel merupakan permainan yang disediakan di dalamnya. Tidak semua orang datang ke taman tema untuk menikmati semua permainan. Ada yang seronok bermain dalam rumah hantu sahaja, ada yang seronok menaiki komedi putar, ada yang suka bermain bumper car. Begitulah juga dengan pembaca, sekiranya saudari sukakan membaca genre thriller dan misteri, seperti kesukaan memasuki rumah hantu, apakah permainan yang lain itu tidak menyeronokkan hanya kerana saudari tidak suka bermain dengannya?

Setiap permainan, ada juga takah yang menghiburkan. Sebuah rumah hantu, merujuk novel thiller dan misteri, sekiranya tidak dibina dengan baik, pasti jadi rumah hantu yang membosankan. Atau sebuah rumah hantu yang baik, sekiranya sudah sering dilawati berulang kali dan tidak ada sebarang perubahan baru, pasti sudah tidak jadi lagi menghiburkan.

Merry_Go_Round_by_Aurelia24 (1)

Begitulah setiap genre novel, semuanya ada seni yang menghiburkan untuk golongan tertentu. Bukankah membaca itu merupakan suatu kegemaran yang dijangka memberi keseronokan kepada pembacanya. Seseorang yang sukakan hal yang romantis, tentu sahaja tidak suka memasuki rumah hantu, sebaliknya suka menaiki merry go round dan roda ferris. Seperti itu seorang pembaca yang cenderung menyukai novel-novel popular/romantis/cinta kotemporari ini dan tidak tertarik membaca genre novel yang lain. Mereka terhibur dalam dunia novel dengan membaca novel-novel sebegitu. Namun, merry go round yang menyeronokkan apakah hanya perlu diletakkan patung kuda dan berputar sahaja? Tentu sahaja merry go round yang menyeronokkan dihiasi patung kuda yang cantik, dan hiasan pada mesinnya yang gah dan mengagumkan. Sebuah novel cinta yang baik adalah sebuah permainan merry go round yang dihiasi dengan patung kuda yang cantik, hiasan permainan yang menarik, cara ia berputar yang sederhana serta muzik iringan yang menghiburkan. Ia harus sempurna menjadi romantis dengan caranya sendiri. Manakala sebuah novel cinta yang tidak baik, adalah sebuah permainan merry go round yang semi rosak dan tidak lagi menyeronokkan.

Tetapi apakah permainan merry go round tidak perlu ada hanya kerana ada beberapa jenisnya yang tidak bagus? Tentu sahaja tidak bukan? Kerana sentiasa ada yang sering jatuh cinta dengan permainan ini.

Nota KakiTangan:
Semasa perkongsian entri ini di Facebook, Dr Rem Dambul telah memberi pandangannya dan menambah baik nilai dalam entri ini, kerana saya begitu tertarik, saya panjangkan pandangan beliau terhadap entri ini.

sfs

Sangat bersetuju dengan sentimen keseluruhan tulisan.

Cuma, jika ada permainan yang terbukti membawa kesan buruk kepada pengguna (misalnya dari aspek keselamatan fizikal atau pengaruh negatif mental – seperti permainan tembak-tembak yang sangat ganas), maka permainan tersebut perlu dinilai-semula. Bukan semestinya ditiadakan; tetapi diperbaiki aspek-aspek yang dianggap memudaratkan pengguna secara fizikal atau sosio-budaya.

Taman Tema yang bagus sebaik-baiknya turut mengambil-kira aspek kebajikan dan impak pasca-aktiviti terhadap pengguna, selain memenuhi kehendak dan pilihan pasaran.

8 thoughts on “Dunia Novel Seperti Sebuah Taman Tema yang Luas

Tinggalkan komen